Suburkah Demokrasi di Machap?
Hari in adalah Hari Penamaan Calon untuk Pilihanraya Kecil DUN N8 Machap, Melaka. Kedua-dua parti gergasi yang biasa bertarung di kawasan Alor Gajah itu iaitu BN-MCA dan DAP telah pun menamakan calon masing-masing.
Calon BN-MCA adalah Lai Meng Chong, 56 yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Buruh dan ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Fong Chan Onn. Manakala DAP mengekalkan calonnya pada pilihanraya umum yang lalu iaitu Liou Chen Kuang, 33 dengan slogan MACHAP DEMOKRASI.
Kerusi DUN ini mempunyai 9,623 pengundi berdaftar termasuklah 108 pengundi pos. Pecahan pengundi menurut peratusan bangsa adalah 45% Cina, 38% Melayu, 15% India dan 2% lain-lain.
Pada pilihanraya umum yang lalu mendiang calon BN-MCA telah mengalahkan Liou dengan kelebihan undi sebanyak 4,562 iaitu satu majoriti yang agak besar.
Walaupun pengundi Cina adalah jumlah yang terbesar di Machap namun bilangannya digerhanai oleh peratusan pengundi bukan Cina yang lebih besar iaitu 55%. Dan Machap pula bukanlah kawasan bandar seumpama Kota Melaka dimana pengundi-pengundi Cinanya lebih maju dan terbuka. Oleh itu DAP dijangka menghadapi kesukaran untuk menguasai kerusi ini.
Manakala bagi BN pula, TPM yang juga Timbalan Presiden Umno sebagaimana biasa dijangka berkampung di Machap sepanjang tempoh berkempen jika diputuskan ada pertandingan sebentar nanti. Bagi BN kemenangannya perlulah melebihi dari majoriti 4,562 yang diperolehinya pada tahun 2004 lalu, demi mengekalkan imej FEEL GOOD nya. Sebarang kekurangan akan memberi isyarat bahawa rakyat sudah mula hilang keyakinan dan lebih parah lagi akan diterjemahkan kepada undi protes besar-besaran dalam pilihanraya umum nanti.
Lazimnya rakyat tambahan pula di Melaka, jarang-jarang SWING kepada pembangkang dalam satu-satu pilihanraya kecil. Ini kerana mereka lebih selesa menikmati janji dan gula-gula yang pada amalan biasanya akan ditaburkan semasa tempoh berkempen walaupun ianya mungkin melanggar peraturan pilihanraya yang terpakai. Walaubagaimanapun ada dalam kes-kes tertentu rakyat berani dan telah pernah mengudni pembangkang samada PAS, DAP atau PKR dalam satu-satu pilihanraya kecil.
Contoh yang paling baik adalah di DUN Lunas, Kedah apabila dalam pilihnaraya kecil calon PKR berjaya mengalahkan calon BN walaupun kerusi Lunas tidak pernah dimenangi oleh pembangkangs sebelum ini.
Kesimpulannya apa sahaja boleh berlaku di Machap. Yang penting diperingkat ini badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pilihnaraya ini iaitu SPR hendaklah peka dan tegas menjalankan tugasnya supaya proses demokrasi dalam negara dapat berjalan lancar dan tidak lagi dipertikaikan oleh rakyat atau dunia luar.
Satu perkembangan yang positif adalah berita bahawaMAFREL atau Malaysians for Free and Fair Elections sebuah badan bebas yang ditubuihkan bagi memantau dan memastikan perjalanan pilihanraya yang bersih dan adil telah diberikan kebenaran oleh SPR untuk menjadi badan bebas menantau pilihanraya kecil ini.
Apa pun izinkanlah rakyat membuat keputusan tanpa paksaan atau sogokan.
No comments:
Post a Comment