Thursday, April 26, 2007

Demokrasi sudah berkubur di Ijok

Malaysia mengamalkan sisitem demokrasi berparlimen, dimana pemimpin negera dan negeri dipilih secara langsung oleh rakyat melalui proses pilihanraya sekurang-kurangnya setiap 5 tahun sekali. Inilah amalan kita sejak Pilihanraya Umum yang pertama setelah Merdeka iaitu pada tahun 1959 sehinggalah ke hari ini.

Dalam proses pilihanraya yang kita amalkan parti-parti politik yang berdaftar diberikan kebebasan seluas-luasnya untuk berkempen meyakinkan rakyat akan dasar dan perjuangan mereka masing-masing bagi tujuan meraih sokongan para pengundi. Itulah yang kita saksikan setiap kali pilihanraya umum atau pilihanraya kecil. Amalan biasa bagi parti-parti yang bertanding adalah mengadakan majlis-majlis ceramah atau rapat umum sebagai platform bertemu dan menjelaskan perjuangan masing-masing kepada rakyat.

Kejayaan kita mengekalkan amalan demokrasi inilah yang telah mengharumkan nama negara diperingkat dunia.

Walaubagaimanapun dalam Pilihanraya Kecil DUN Ijok hari ini kita lihat apa yang telah sama-sama kita bina dan dukungi itu gugur dan rebah satu demi satu. Demokrasi bagi saya telah hampir mati dan ianya telah dibunuh di bumi Ijok.

Di Ijok sudah beberapa insiden majlis ceramah anjuran pembangkang khasnya PKR untuk bertemu dengan rakyat telah diganggu dan dihentikan oleh pihak polis. Dan semalam saya sendiri terlibat dan menyaksikan pemerkosaan dan pencabulan ke atas amalan demokrasi yang selama ini kita yakini dan percaya.

Semalam saya diamanahkan untuk mempengerusikan sebuah majlis Forum Perdana Ehwal Islam anjuran PAS bagi maksud berkempen untuk calon PKR Tan Sri Khalid Ibrahim. Forum dianjurkan di perkarangan Markas PAS Cawangan Batu 8 yang dijadikan Markas Besar PAS untuk Pilihanraya Kecil Ijok. Markas ini terletak di atas sebidang tanah seluas 5 ekar menempatkan rumah ahli-ahli PAS, pejabat dan PASTI milik PAS cawangan dengan laman yang luas lengkap dengan 8 kanopi dan lebih 300 kerusi.


Lebih 500 orang hadir dalam hujan untuk mengikuti forum bertajuk Ke Arah Kepimpinan Yang Adil. Ahli-ahli panel majlis forum ini adalah Dato Dr Hasan Ali (Naib Presiden PAS), Ustaz Abd Ghani Abd Rahman (AJK PAS Pusat) dan Ustaz Kamal Ashaari (Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor).


Tiba-tiba seawal selepas solat Maghrib para pegawai dan anggota polis telah masuk ke perkarangan markas ini untuk meminta agar majlis forum ini dibatalkan atas alasan tidak memperolehi permit polis terlebih dahulu.

Permit polis? Tidakkah ini premis milik PAS, takkanlah sebuah parti politik yang sah dan berdaftar tidak boleh mengadakan aktiviti parti di premis miliknya sendiri? Bukankah ini tempoh berkempen untuk pilihanraya kecil Ijok? Ini bukan rusuhan, ini bukan konsert, ini adalah majlis forum perdana, takkanlah majlis seumpama ini pun dianggap boleh menganggu ketenteraman dan keselamatan awam?



ASP Wan berunding dengan para petugas parti

Pimpinan PAS yang hadir selain ahli-ahli panel adalah Dato Kamaruddin Jaafar (Setiausaha Agung PAS), Dr Hatta Ramli (Bendahari PAS Pusat), Dato Mustapha Ali (Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat) Ustaz Ahmad Awang (Ketua Penerangan PAS Pusat), Salahuddin Ayuib (Ketua Pemuda PAS Pusat) dan Hanipa Maidin (AJK PAS Pusat). Setelah berbincang penganjur memutuskan untuk meneruskan juga majlis kerana yakin ianya sebagai sebahagian dari hak mereka serta kebetulan di buat di premis milik PAS.

Majlis dimulakan sekitar jam 9.00 malam dan sejurus bermula bilangan mereka yang hadir semakin besar. Dalam keadaan itu bilangan anggota polis yang dikerahkan juga semakin membesar. Sebaik saya mahu memimpin majlis ke round yang kedua, para petugas membisikkan kepada saya bahawa pegawai polis yang bertugas meminta supaya majlis ditamatkan dalam masa 10 minit.

Namun kerana kehadiran yang semakin memberangsangkan kami teruskan juga majlis sehingga round kedua. Sejurus itu calon PKR Tan Sri Khalid tiba ke tapak majlis dan terus dijemput untuk berucap bagi memperkenalkan diri. Ketiak itu suasana semakin tegang apabila pihak polis semakin resah manakala para petugas parti yang terdiri dari unti keselamatan Pemuda PAS mula mengelilingi pentas untuk menghalang sebarang kejadian yang tidak diingini.


Calon menyampaikan kata-kata aluan
Saya selaku pengerusi sungguh kecewa dengan keadaan yang saya saksikan. Tidak sekali-kali kita menyangka yang parti yang memerintah sanggup dalam ahl ini memperkudakan pihak keselamatan demi kepentingan politik mereka. Sungguh jijik dan hina sekali tindakan mereka!

Saya seterusnya menjemput Sdr Hanipa Maidin seorang peguam dan Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pusat untuk naik ke pentas bagi menjelaskan aspek undang-undang dan hak kami selaku parti yang berdaftar.

Suasana saya lihat semakin kelam dan mereka yang hadir juga terganggu tumpuan mereka lantaran ketegangan yang dicetuskan oleh kehadiran pihak polis itu. Lalu demi menjaga keselamatan para penduduk kampung yang hadir serta mengelakkan dari berlaku sebarang pertelingkahan dan pergelutan antara orang awam dan pihak keselamatan maka saya mengambil keputusan untuk menjemput Dr Hasan agar memimpin bacaan salawat diikuti dengan doa penutup oleh Ustaz Ghani.

Sebaik majlis ditamatkan berterak-terak anggota FRU tiba di luar tapak forum, menandakan memang bersungguh mereka mahu meleraikan majlis aman ini kiranya arahan tidak dipatuhi.

Bagi saya walaupun kecewa yang majlis terpaksa dihentikan kerana gangguan pihak polis itu namun saya juga merasakan kejayaan telah dicipta apabila rakyat dapat melihat dengan mata kepala mereka sendiri betapa desperate dan terdesaknya BN sehingga sanggup memperalatkan pihak keselamatan untuk menganggu sebuah majlis ilmu yang aman dan terkawal.

Rupanya tidak berapa jauh dari tapak forum kami, iaitu di Pekan Ijok, Timbalan PM melancarkan konsert ditepi jalan berhampiran rumah kedai yang belum siap, lengkap dengan karaoke, berkempen untuk BN. Mungkin mereka ada permit walaupun memainkan lagu dengan kuat dan dibuat di tempat awam berhampiran jalan raya.

Demikianlah pencabulan ke atas demokrasi yang bermula di Ijok ini. Mungkinkah setelah diperkosa dengan sebegitu rakus maka demokrasi akan tenat dan mati selepas ini? Apa pun lihatlah rakyat Malaysia, inilah nilai kepimpinan pihak yang kita beri kuasa pada hari ini. Fikir-fikirkanlah, semoga Allah swt memberikan kekuatan kepada rakyat Ijok Sabtu ini untuk menonglah arus dan menyelamatkan demokrasi yang telah terlalu nazak ini.

(Sementara itu pihak PAS akan menganjurkan JAMUAN RAKYAT secara besar-besaran di tempat yang sama MARKAS BESAR PAS BATU 8 IJOK paha hari Jumaat malam Sabtu ini, malam akhir, yang akan menyaksikan kehadiran pimpinan tertinggi PAS dan PKR termasuklah Dato Seri Anwar Ibrahim)

No comments: