Orang Umno Ijok masih ada pilihan
Menurut laporan Malaysiakini Umno bahagian Kuala Selangor menuntut agar kerusi DUN Ijok yang kini dimiliki MIC diserahkan kepada mereka. Rasionalnya kerana kerusi DUN tersebut majoriti pengundinya iaitu 50.6% adalah terdiri dari pengundi Melayu. Mereka juga mendakwa walaupun MIC berpengaruh di DUN tersebut namun sejak akhir ini berlaku perpecahan dikalangan pimpinan dan ahli MIC di sana yang boleh menjejaskan kedudukan BN.
Tuntutan ini dibuat ekoran kematian ADUN Ijok Datuk K. Sivalingam yang bakal melihat Pilihanraya Kecil pertama di negeri Selangor sejak Pilihanaraya Umum 2004 lalu. Mendiang Sivalingam menjadi ADUN di kawasan tersebut yang dahulunya dikenali sebagai DUN Seri Cahaya sejak tahun 1990.
Sesungguhnya kerusi ini telah menyaksikan sejarah percaturan yang panjang antara Umno dan MIC di Selangor. Ia merupakan kerusi kuota MIC sekian lama. Selepas pilihanraya umum 1990 terdapat desakan yang kuat dalam Umno Kuala Selangor agar beberapa daerah mengundi Melayu di dalam DUN ini dikeluarkan untuk dimasukkan ke dalam kawasan DUN kuota Umno, kerana kebanyakkan cawangan-cawangan Umno di sana enggan lagi bekerjasama apabila duduk di bawah ADUN MIC.
Hasil dari tekanan dan tuntutan kuat ini akhirnya dalam proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya sebelum PRU 1995 beberapa daerah mengundi yang majoriti pengundinya Melayu telah dikeluarkan dari DUN ini antaranya Kg Baru Assam Jawa, Kg Pasir Tuntong dan Kg Api-api.
Oleh kerana kedudukan geografi yang tidak dapat dielakkan maka kekallah daerah mengundi selebihnya termasuklah Kg Ijok, Jaya Setia dan Bukit Badong di dalam DUN MIC walaupun pengundi-pengundi di situ majoriti pengundi Melayu.
Hakikatnya demikianlah tolak-ansur dalam BN, kerana memang kebetulan tidak ada kerusi DUN atau Parlimen pun yang majoriti pengundi India untuk ditempatkan calon MIC maka lazimnya Umno lah yang kena berkorban walaupun ada cawangan-cawangannya yang tidak berpuas hati.
Kerana itu saya berkeyakinan atas sebab-sebab ini tuntutan terbaru Umno Kuala Selangor ini sudah pasti tidak dapat dilayan. Tidak pernah kita dengan dalam sejarah BN kuota mana-mana parti komponan diserahkan kepada Umno semasa proses Pilihanraya Kecil. Oleh itu bagi kes Ijok sahabat-sahabat di dalam Umno janganlah meletakkan harapan besar yang MIC akan bersedia mengorbankan kerusi tradisional mereka itu.
Walaubagaimanapun pengundi-pengundi Melayu pro Umno di Ijok jika benar-benar tidak senang hati dengan status quo BN ini mereka sesungguhnya ada pilihan, dan pilihan itu adalah untuk mengundi calon BA (PKR) yang pada tahun 2004 lalu adalah calon Melayu. Malah jika tiada halangan kemungkinan dalam Pilihanraya Kecil ini calon BA (PKR) akan kekal Melayu dan mungkin seorang tokoh popular yang dikenali ramai.
Oleh itu sahabat-sahabat Umno yang ramai di Ijok bolehlah beralih angin memberikan sokongan kepada calon BA sebagaimana sahabat-sahabat Umno di Lunas, Kedah semasa berlaku pilihanraya kecil di sana dahulu.
No comments:
Post a Comment