Friday, April 06, 2007

Ketua Pemuda MIC cemarkan Parlimen

Bangunan Parlimen adalah simbol tertegaknya amalan demokrasi dalam negara. Institusi Parlimen adalah badan penting yang menggubal perundangan negara serta gelanggang dimana nasib dan permasalahan rakyat dibincangkan secara terhormat.

Dengan adanya Parlimen maka Malaysia membutikan bukan hanya kepada rakyatnya malah kepada dunia bahawa negara ini dibentuk oleh satu masyarakat yang menjunjung kedaulatan undang-undang serta menolak sebarang tindakan tidak demokratik atau bercorak hutan-rimba.

Walaubagaimanapun gelagat Ketua Pemuda MIC di lobi Parlimen semalam malangnya telah mencemarkan dewan yang mulia itu dan membawa aib kepada segala amalan demokratik yang mendaulatkan undang-undang.

Semalam di lobi Parlimen S.A. Vigneswaran telah memanggil satu sidang akhbar. Di sana beliau telah cuba membela diri dan menghalalkan tindakan BRIGED MIC nya ke atas dua orang penyokong pembangkang semasa hari penamaan calon di DUN Machap tempoh hari.


Kata beliau penyokong-penyokong pembangkanglah yang telah mencetuskan pergaduhan itu. Mereka katanya telah membuat provikasi sehingga menimbulkan ketegangan.

Tetapi kalau diprovokasi sekalipun mengapa BRIGED MIC yang di bawah arahan beliau itu perlu menggunakan batang kayu dan batu-bata utnuk membelasah mangsa. Malah mengapa tindakan keganasan perlu diambil dalam hal ini?

Malah nama Vigneswaran sendiri dibabitkan di dalam laporan polis yang dibuat oleh mangsa termasuk beberapa pemberita dan jurugambar akhbar tempatan.

Kes ini masih dalam penyiasatan pihak polis (yang mengambil masa yang agak lama juga untuk menyelesaikan penyiasatan sehingga dibangkitkan dalam parlimen oleh wakil DAP), mengapa Vigneswaran selaku seorang ahli Parlimen dan Setiausaha Parlimen yang sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati dan mematuhi undang-undang membuat kenyataan membela diri sebelum penyiasatan selesai? Bukankah lebih baik beliau memberikan sahaja sebarang bukti yang beliau mungkin ada kepada pihak polis untuk membantu penyiasatan?

Mengapa pula bangunan Parlimen digunakan untuk membela diri? Mengapa tidak gunakan bangunan MIC?

Sementara itu Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden Umno Ali Rustam turut mengiakan kenyataan Vigneswaran itu semasa ditemuramah di Melaka. Kata beliau mangsa sebenarnya telah memaki hamun Presiden MIC. Dan beliau turut menyatakan kekesalannya ke atas sikap dan perangai para penyokong pembangkang pada hari tersebut.

Sekali lagi saya bangkitkan: Apakah kerana memaki hamun Samy Vellu maka Briged MIC diberikan kuasa untuk membelasah dan mencederakan sesiapa sahaja yang berbuat demikian? Adakah perangai samseng seumpama ini dihalalkan?

Saya harap pihak polis segera menyelesaikan penyiasatan dan segera mendakwa samseng-samseng ini termasuklah kalau ada bukti Vigneswaran sendiri supaya imej hutan-rimba tidak dikaitkan dengan negara dan masyarakat kita.

Sepatutnya pendakwaan dilakukan tanpa memihak kepada sesiapa. Polis dan pendakwaraya tidak perlu mengambil-kira tarikh hari mengundi atau tidak. Janganlah kerana bimbang yang harapan BN di Machap akan terjejas maka kes ini ditangguhkan sehingga selepas Pilihanraya Kecil ini. Biarlah BN dan DAP sahaja yang berentap di Machap.

No comments: