Thursday, April 05, 2007

Jangan sita blog ini

Mari kita daftarkan Bloggers. Sebab apa, kerana ini dapat membendung tulisan yang berunsur fitnah dan jahat di internet, demikianlah cadangan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi di Parlimen semalam.

Kata beliau lagi pihak kementerian tidak menghadapi masalah dengan Bloggers yang memperkenalkan diri mereka masing-masing malah pihak kementerian mengalu-alukan aktiviti Blogging ini cuma katanya pihak kementerian sukar memantau mereka yang tidak memperkenalkan diri, dan mereka ini boleh sahaja memuatkan kandungan yang berunsur fitnah dan mengancam keselamatan negara.

Adakah ini amaran awal kepada para Blogger? Adakah ini petanda bahawa kerajaan BN pimpinan Dollah Badawi akan mula mengetatkan ruang maklumat alternatif kepada rakyatnya yang sejak akhir-akhir ini menjadi semakin popular?

Yang penting apakah itu Blog? Menurut Wikipedia http://en.wikipedia.org/wiki/Weblog Blog adalah lamanweb biasanya milik peribadi yang memuatkan catatan pemiliki itu berkenaan satu-satu isu yang beliau minati.

Contohnya Roslan SMS Corner ini adalah satu Blog dan kandungannya lebih bercorak ulasan isu-isu semasa dari perspektif peribadi penulis. Dan kebetulan tulisan di blog ini dikunjungi oleh sebilangan rakyat Malaysia dan asing dari dalam dan luar negara termasuklah dari Jabatan-jabatan Kerajaan, PITA, IPTS dan pihak media. Malah tulisan dari Blog ini turut dimuatkan dalam beberapa akhbar media alternatif.

Saya yakin tulisan dari Blog ini memang tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu terutama dari parti politik pemerintah. Soalnya adakah hasil tulisan dari Blog ini berunsur fitnah dan mengancam keselamatan negara? Setahu saya kebanyakkan para Bloggers yang menerima lebih dari 1,000 orang pengunjung sehari, semuanya bertanggungjawab dan memiliki etika masing-masing.

Yang pentingnya kami menulis atas kesedaran bahawa negara ini mendukung dan menjamin hak kebebasan bersuara berdasarkan Perlembagan Persekutuan. Dan sudah pasti sebagai rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada prinsip Rukunegara iaitu kedaulatan undang-undang, sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang boleh didakwa di mahkamah terbuka dan demikianlah juga Rukunegara menggariskan prinsip keluhuran Perlembagaan, bermakna apa sahaja yang terkandung di dalam Perlembagaan perlu dihormasti dan dijamin oleh semua pihak.

Saya yang menulis dengan penuh tanggungjawab demi memelihara kedaulatan negara dan memastikan ianya bebas dari tangan mereka yang zalim, salah-guna kuasa, rasuah dan memudaratkan masa depan agama, bangsa dan negara:

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
630714-03-5229

roslansms@gmail.com

No comments: