Tuesday, June 30, 2015

Tumpuan dan fokus PAS jangan terganggu (30/6/15)

Muktamar PAS ke 61 telah pun beberapa minggu berlalu. Kehangatannya kelihatan semakin menurun dan bagi saf kepimpinan yang baru, amanah memimpin dan menjadi hamba untuk parti dan jemaah telah pun mula dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin.

Pada waktu ini Dewan Harian Pusat sedang turun menjelajah negeri-negeri, manakala Presiden, Timbalan dan Naib-naib kelihatan mendepani isu masyarakat, turun bersama mangsa gempabumi contohnya di kaki Gunung Kinabalu, menziarah program pemulihan mangsa banjir di Kelantan selain mengisi dan memenuhi acara dan majlis ilmu dan kemasyarakatan yang lain.

Begitu juga pimpinan yang lain dan Dewan-dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat dan DHPP kelihatan  bingkas bangun bekerja. Kehadiran Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat umpamanya, menyerahkan memorandum berhubung skandal MARA semalam menjanjikan kesediaan Dewan Ulamak untuk terjun mendepani denyut nadi dan keluhan masyarakat.

Kabinet PAS Pusat pun telah hampir sempurna terbentuk dengan perlantikkan beberapa indidividu khususnya beberapa profesional bagi mengukuh dan meneguhkan lagi kedudukan parti. Perlantikkan Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung dan Dato Mustafa Ali sebagai Ketua Pengarah Pilihanraya dilihat akan meneguhkan lagi kedudukan Dewan Harian PAS Pusat yang dianggotai oleh Presiden, Timbalan dan tiga Naib-naibnya.

Begitu juga perlantikkan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi AJK PAS Pusat sebagai Ketua Penerangan, pastinya membuka ruang buat masyarakat umum untuk lebih mengenali dan memahami misi dan perjuangan PAS. Manakala perlantikkan Hj Mohamad Noor Mohamad, AJK PAS Pusat, dan bekas Pegawai Perancang Bandar UDA lulusan UKM sebagai Bendahari diyakini dapat memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan yang lebih cekap dan telus buat parti.

Sesungguhnya ahli-ahli dan pendukung PAS meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap saf kepimpinan baru ini. Tolak ke tepilah gangguan dan angkara mereka yang kecewa dalam parti. Kekalutan mereka itu tidak seharusnya menganggu tumpuan dan fokus parti dalam melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawabnya.

Kiranya ditakdirkan mereka yang kecewa itu nanti bertindak keluar parti beramai-ramai dan menubuhkan parti baru, maka sediakanlah sahaja diri menghadapi mereka sebagaimana kita pernah menghadapi golongan kecewa sebelum ini yang mengenakan pakaian pelbagai umpama Hamim, Berjasa dan Kumpulan Islah.

Diperingkat ini PAS perlku mengukuhkan kedudukan dalamannya, selain mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Tindakan DAP mencetuskan ketidakstabilan dalam PR dengan tindakan mereka di Pulau Pinang, tuntutan mereka di Selangor dan penglibatan mereka dengan kumpulan kecewa dalam PAS juga seharusnya jangan sangat menganggu tumpuan dan fokus kita.

Sebagaimana ditegaskan PAS terus bersama PR, dan PR pada pandangan PAS masih wujud dan berfungsi. Buktinya di Selangor, ketiga-tiga parti masih berkerjasama mentadbir negeri dalam keadaan aman, sungguhpun pelbagai tekanan dikenakan.

PAS masih yakin dengan kerjasama politik PR. Cumanya PAS terguris dengan tindak-tanduk DAP khususnya yang berkaitan campuratangannya dalam isu dalaman PAS. Selain itu PAS juga menuntut agar dasar dan prinsip parti masing-masing tidak cuba dikritik apalagi mahu diubah dan dipinda oleh parti lain dalam PR.

Apapun nantinya hubungan dengan DAP, PAS telah serahkan ke Majlis Syura Ulamak, dan keputusannya sama-sama kita tunggu.

Sementara itu suka atau tidak masyarakat umum sesungguhnya sedang menyaksikan gelagat dan tindak-tanduk kita semua. PAS tidak pernah mengkhianati PR. Jatuhnya kerajaan PR di Perak contohnya adalah angkara “melompatnya” beberapa ADUN DAP dan PKR. Malah ketika ROS dikatakan kononnya akan membatalkan status DAP menjelang PRU lalu, PAS lah yang telah menawarkan logo “bulan” nya untuk digunakan calon-calon DAP.

PAS sendiri sudah berusia lebih 60 tahun dan rata-rata tidak ada rakyat Malaysia yang tidak mengenali PAS, perjuangan PAS dan cita-cita PAS.

PAS membentuk kerajaan Kelantan sejak 1990, dan semua rakyat Malaysia melihat betapa sebuah negeri yang miskin apalagi di pulau kan oleh kerajaan Persekutuan, boleh dipimpin dengan baik, bersih dan telus di bawah PAS. Dari Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz ke Ustaz Datuk Mat, kepimpinan ulamak di Kelantan sangat dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Di Selangor, wakil-wakil PAS samada EXCO, ADUN, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung dan JKKK cekap memainkan peranan masing-masing dalam  kerajaan tanpa sedikit pun menimbulkan keraguan atau syak wasangka masyarakat, malah ramai yang berasa selesa bekerja dan menerima khidmat mereka yang mewakili PAS melalui PR itu.

Oleh itu masyarakat boleh melihat PAS sesungguhnya tidak mendatangkan masalah. Kekeruhan dengan DAP pun bukan angkara PAS keras atau mungkir janji sebagaimana dituduh sesetengah pihak. PAS sekadar mempertahankan prinsipnya, dan prisnip dan dasar masing-masing sewajarnya tidak disentuh apa lagi diterjah oleh mana-mana pihak. Adat berkawan, hormat-menghormati rumah dan keluarga masing-masing.

Saf kepimpinan PAS ini di bawah Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan Dato Tuan Ibrahim diyakini dapat terus memenangi hati dan sokongan rakyat khasnya masyarakat Melayu Islam. Masyarakat bukan Islam juga dapat melihat dan mengadili kejujuran dan kesetiaan PAS dan diyakini dapat kekal memberikan kepercayaan pada PAS.

PAS mahu terus bergerak ke hadapan, sejuta ahli PAS mahu PAS terus dipimpin ke arah kecermerlangan dan PAS bersedia menuju ke arah itu dengan saf kepimpinan ini.

Rakyat Malaysia rata-rata sudah muak dan mual dengan kepimpinan Umno dan BN. Satu demi satu skandal dan penyelewengan tersingkap di hadapan mata kepala rakyat dan mereka sendiri seakan sudah tidak mampu mengawalnya. Tanpa kekuatan PR pun kerajaan Persekutuan di bawah mereka dilihat semakin retak dan menunggu rebah.

Oleh itu PAS dan PR perlu terus mantap dan teguh menghadapi BN.

Semoga segala kekeruhan ini dapat segera dileraikan dalam waktu terdekat dan tidak bernanah menjadi lebih parah.

Apa pun PAS saya percaya bersedia berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan. Semoga berkat ibadah dan doa kita di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini akan memberi kekuatan kepada PAS untuk terus meluncur ke hadapan mengejar cita-cita perjuangannya.


Monday, June 29, 2015

Tangan Mursyidul Am PAS ditepis (29/6/15)



Setelah Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din secara terbuka menasihatkan mereka yang kecewa dalam PAS agar tidak memanjangkan hasrat mereka  untuk menubuhkan parti baru, ramai menjangkakan ianya akan membuka kepada pintu kesedaran dan keinsafan. Bukankah sejarah telah mengajar kita betapa kepelbagaian gerakan dan parti Islam hanya akan melemahkan perjuangan mendaulatkan Islam. 

Yang kecewa sepatutnya berfikiran panjang, menang kalah merupakan adat pertandingan apalagi sesama Jemaah. Takkanlah oleh kerana tewas dalam pertandingan atas padang yang sama rata, tiba-tiba bukan hanya kelambu malah dengan katil-katil mahu dibakar hangus.

Malangnya nasihat seakan mencurah air ke daun keladi.

Setiausaha apa yang dikatakan Jawatankuasa Bertindak G18, Dr Dzulkefly Ahmad dengan bersungguh mengatakan bahawa mereka (kumpulannya itu) akan terus melangkah ke hadapan tanpa mahu menoleh ke belakang lagi serta terbelenggu dengan apa yang dipanggilnya “old politics” atau politik golongan lama.

Reaksi beliau itu terbit dalam akhbar The Star 27 Jun lalu.

Kata beliau:

“We do not want to be embroiled with the embattled lot”
(Kami tidak mahu terlibat dengan puak yang bermasalah)

PAS yang sebelum ini telah menaja beliau sehingga menang menjadi wakil rakyat di Parlimen Kuala Selangor selama sepenggal tiba-tiba hari ini menjadi puak yang bermasalah. Parti golongan lama kononnya. Hanya semata-mata kerana beliau memperolehi 409 undi dan tewas dalam pertandingan untuk jawatan AJK Pusat dalam Muktamar PAS yang lalu.

Beginikah sikap orang yang menggunakan pendekatan “bottom up” atau mendengar keluhan akar-umbi?

Kerana dalam laporan berkenaan Dr Dzul dilaporkan berkata:

“We are taking the bottom-up approach. We want to put our ears firmly to the ground and listen to the grassroots.”

Keras sungguh hati dan tekad gerombolan G18 ini. Jika begitulah pendirian mereka ternyata sebuah lagi parti Islam bakal lahir dalam waktu terdekat sekurang-kurangnya itulah yang cuba dibayangkan oleh “kepalanya”.

Tiba-tiba hari ini akhbar yang sama melaporkan, seorang lagi penggerak gerombolan G18 ini, iaitu Khalid Samad yang juga ahli Parlimen Shah Alam pula mendesak agar PAS perlu mengubah sikap.

Kata-kata bagaikan ugutan itu berbunyi bahawa kegagalan PAS menonjolkan apa yang kononnya dikatakan imej Islam sebenar akan mengakibatkan kumpulan beliau menubuhkan sebuah parti baru.

Kata Khalid lagi ketidakpuasan hati gerombolan beliau bukanlah atas isu ulamak atau bukan ulamak tetapi kerana kegagalan PAS mengubah pendekatannya.

Kalau Dr Dzul sebelumnya seakan bertekad mahu menceraikan PAS, Khalid pula mendesak PAS ubah sikap. Nampak sangat kekalutan agenda gerombolan ini.

Apa pun bagi saya inilah PAS tetap pada dasar dan prinsip perjuangannya namun pendekatannya sentiasa dinilai semula berdasarkan perkembangan semasa. Lalu apakah masalah dengan G18 ini? Masalahnya mereka menaja pendekatan dan budaya yang sama-sekali tidak dapat diterima oleh ahli-ahli PAS. Mereka telah menajanya secara bersungguh sepanjang tempoh berkempen sebelum Muktamar ke 61 lalu.

Dimana mereka pergi, ceramah,forum atau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan, itulah lagu yang sama yang mereka nyanyikan dan dalam waktu yang sama tegar menyerang kepimpinan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Mereka berpasukan masuk bertanding, dari jawatan nombor satu iaitu Presiden sehinggalah ke AJK Pusat.

Mereka punya jentera berkempen malah rakan-rakan luar dari Pakatan Rakyat pun turut mereka sauk untuk berkempen buat mereka selain media alternatif yang ada.

Tiba-tiba para perwakilan PAS sebulat suara berdiri di belakang Tuan Guru Presiden dan menolak bukan seorang tetapi keseluruhan pasukan mereka. Ini menandakan nilai dan budaya yang mahu mereka bawa ke dalam PAS tidak dapat dihadam oleh ahli-ahli.

Mereka kalah, sesuatu yang tidak mereka jangka malah sebahagian besar mereka tidak pernah melalui pengalaman kalah dalam parti sebegitu. Lalu mereka protes.

Maka terbitlah pelbagai tohmahan dan serangan. PAS itu dan PAS ini, pimpinan itu dan ini. Hakikatnya mereka telah diberi peluang tapi malangnya perwakilan PAS yang menolak mereka.

Untuk itu bagi saya buat mereka ini, samada mahu menerima keputusan perwakilan PAS yang mewakili 1 juta kekuatan ahli, atau memilih menolaknya terpulanglah pada mereka. Kalau akur dan terima ayuh kita teruskan perjuangan. Kalau tidak, maka tubuhlah apa sahaja yang tertelan oleh nafsu politik kamu itu.

Jika PAS kamu rasakan tidak relevan lagi, terlibat dengan “old politics”, maka ikut suka kamulah.

Kalau akur dan boleh terima keputusan tinggal kekal dalam PAS maka kita tetap bersahabat namun kalau memilih untuk bersaing maka kami bersedia menghadapi kamu.
Kami di dalam PAS tiada isilah kalah, samada menang atau syahid, insyallah tidak kenal kekecewaan.


Friday, June 26, 2015

Dengarlah jika masih ada hormat pada Mursyidul Am dan PAS (26/6/15)

Kesungguhan pihak-pihak tertentu mahu melangkah keluar dari PAS dan menubuhkan parti Islam sendiri sudah pasti mengecewakan banyak pihak khasnya dikalangan ahli-ahli dan pendukung PAS. Ini tambah pula apabila mereka itu masing-masing dahulunya menang di peringkat Parlimen dan DUN masing-masing atas panji-panji PAS.

Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din turut melahirkan sentimen yang sama sebagaimana dilaporkan dalam akhbar The Star hari ini.

Menurut beliau PAS tidak dapat menahan sesiapa ahlinya yang ingin meloncat keluar menubuhkan parti baru. Akan tetapi mereka harus ingat katanya bahawa mereka itu tidak dapat bertahan lama dalam keadaan demikian.

Beliau turut memetik hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

“Maka wajiblah ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang jauh daripada kumpulannya” (Riwayat Al Nasaai)

Sejarah PAS telah membukitkan betapa mereka yang ghairah keluar menubuhkan parti baru lazimnya tidak dapat bertahan lama dan akhirnya kecundang layu begitu sahaja. Sejarah Allahyarham Datuk Asri, Berjasa, Hamim dan kemudiannya Kumpulan Islah di tahun 90an semuanya memrupakan bukti betapa nasib pemimpin PAS yang bertindak demikian.

Datuk Dr Haron Din turut menasihati kumpulan yang kecewa dalam PAS itu agar berfikir panjang sebelum mengambil sebarang tindakan. Menubuhkan parti Islam baru akan hanya mencetuskan pecah-belah dan melemahkan gerakan Islam. Yang untung nanti kata beliau lagi sebagaimana dilaporkan oleh The Star adalah musuh-musuh kita.

Menang atau kalah tambah beliau adalah merupakan adat dalam sistem demokrasi. Jangan berpecah kerana berbeza pandangan. Perbezaan itu perlu diuruskan sebaik-baiknya termasuklah dalam hubungan sesama PR.

Demikianlah keprihatinan Mursyidul Am PAS terhadap cita-cita dan kemahuan kelompok G18.

Namun demikian jika sekiranya mereka telah benar-benar bertekad mahu keluar juga dan tubuhkan parti baru, sekaligus mereka memberi isyarat bahawa mereka bersedia menghadapi PAS. Kerana di sana nanti pasti mereka akan bertanding melawan kerusi-kerusi yang ditandingi PAS. Masakan contohnya Dr Dzulkfili mahu bertanding di Seputeh atau di Permatang Pauh. Mat Sabu pula takkan nak bertanding di Bagan atau di Bukit Katil.

Jika itu berlaku, saya yakin dan percaya seluruh kekuatan PAS akan bersatu menghadapi mereka. Ketika itu setaraflah mereka dengan mana-mana seturu politik PAS termasuklah Umno.

Berfikir panjang, itu nasihat Mursyidul Am PAS, kiranya masih ada hormat pada PAS, jika tidak bersedialah untuk menghadapi kami semua insyallah.