Monday, June 22, 2015

Jangan cuba-cuba main mata dengan Tun Dr M (22/6/15)

Walaupun telah lebih 12 tahun melepaskan jawatan Perdana Menteri dan dianggap bersara, namun Tun Dr Mahathir atau Tun Dr M terus disebut-sebut kebelakangan ini kerana beliau masih menonjolkan dirinya seakan satu kuasa politik yang masih didengari dan terus digeruni walaupun pada usia maghrib 90 tahun.

Kalau kita mahu menyenaraikan Tun Dr M yang dahulu, ia pasti melibatkan berkajang-kajang helaian, kerana Tun Dr M suka atau tidak memang telah meletakkan satu impak yang mendalam ke atas politik tanahair dan antarabangsa satu ketika dahulu.

Hari ini dalam akhbar The Star, kolumnis Joceline Tan memberi fokus kepadanya di bawah tajuk:

He’s not Bond, more like M, Dr M.

Tun Dr M hari ini sedang menalakan kudrat dan kekuatannya apa sahaja yang tinggal ke arah PM Dato Seri Najib Tun Razak. Semuanya tidak kena buat Najib pada pandangan mata Tun Dr M, lalu Najib mesti diserang dan serangan itu bermatlamat mahu meranapkan sama-sekali PM Malaysia yang ke 6 itu.

Beliau bukan mahu menjatuhkan parti yang memerintah, masakan begitu, kerana anaknya termasuk beberapa kerat kroninya masih duduk dalam kerajaan. Tetapi beliau mensasarkan serangannya ke     arah seorang individu lebih tepat lagi PM Najib semata-mata mahu menjatuhkan Najib.

Najib mesti jatuh dan digantikan tak kiralah sesiapa, dan mungkin sesiapa yang naik itu diharapkan akan termakan budinya menjatuhkan Najib lalu sekurang-kurangnya memberi keutamaan ke atas laluan buat anaknya MB Kedah Mukhriz untuk naik ke tangga yang lebih tinggi dalam Umno dan kerajaan satu hari nanti. Bapa mana yang takkan berbuat begitu, sekurang-kurangnya buat bapa politik seperti Tun Dr M.

Peluru-peluru yang dilancarkan olehnya kelihatan cermat tersusun. 1MDB yang merupakan“malapetaka” atau meminjam tulisan Joceline “debacle”buat Najib merupakan peluru utamanya. Dan peluru-peluru lain termasuklah isteri Najib sendiri, Rosmah, cara hidup “mewah” mereka, anak-anak mereka, semuanya tidak dikecualikan oleh Tun Dr M.

Kata Tun Dr M seperti dilaporkan The New York Times:

Mr. Mahathir criticized Mr. Najib’s wife, Rosmah Mansor, for her “lavish lifestyle” and for acting “almost if she was a prime minister.”

(Tun Dr M mengkritik isteri Najib, Rosmah Mansor, yang dikatakan hidup secara mewah dan berlagak seumpama beliaulah Perdana Menteri)

Dan salah satu peluru lagi turut melibatkan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaaribu. Tun Dr M mempertikaikan, sebagaimana dilaporkan The New York Times,  siapakah yang sebenarnya telah mengeluarkan arahan membunuh model berkenaan.

Perang peribadi antara Tun Dr M dan Najib sudah dalam pengetahuan rakyat umum di Malaysia. Ia cuma menunggu masa, siapakah yang akan kecundang akibat darinya, Tun Dr M kah atau Najib?

Menurut Joceline, pimpinan Umno yang merupakan benteng terakhir buat “survival” politik Najib kelihatan memberi sokongan pada Najib, kerana melihatkan serangna-serangan Tun Dr M itu banyak yang tersasar dan lebih tepat lagi merugikan Umno, bukan hanya Najib.
Tindakan Tun dr M, memuntahkan segala isi perutnya pada The New York Times, media asing, yang semasa beliau PM sangat dibencinya, merupakan satu tindakan yang tidak disenangi pimpinan Umno.

Apa pun sengketa ini tidak kelihatan akan segera reda.

Walaubagaimanapun dari kacamata politik, orang yang akan segera menangguk di air keruh, berikutan konflik kedua gergasi ini sudah pastilah orang politik sendiri.

Kalau jatuh Najib, siapakah akan naik?

Maka bergegeas-gegaslah oportunis politik dalam Umno mahu menonjol-nonjolkan calon mereka. Serangan “direct” Timbalan PM terhadap 1MDB dalam satu majlis tertutup Umno, yang telah di “viral” kan videonya baru-baru ini, termasuk dengan bantuan The Star, merupakan petanda oportunis politik dalam Umno sedang menjalankan kerja mereka.
Begitu juga dari kalangan pembangkang juga memang tergiur dengan konflik ini, manalah tahu jolokkan Tun Dr M itu bukan sekadar mengakibatkan Umno menukar PM, tetapi juga silap-silap Umno pun boleh terlentang sekali.

Maka tarik tali juga berlaku dalam memujuk dan bermain mayta dengan Tun Dr M.

Ada yang sampai mengajak Tun Dr M menyertai partinya, ada yang sampai mengajak Tun Dr M menjadi kepala mengetuai Malaysia Baru, dan bermacam-macam lagi.

Malah ada juga yang mencuri kesempatan memohon kerjasama Tun Dr M untuk membantu menjejaki pembunuh Altantuya di Australia.

Namun kesemua usaha itu ditepis begitu sahaja oleh Tun Dr. M. Awas Tun Dr M ini bukan calang-calang gergasi.

Merengkuknya Dato Seri Anwar di penjara hari ini, walaupun disabitkan kesalahannya semasa pemerintahan Najib, namun segalanya berpunca dan bermula dari konspirasi beliau dahulu semasa PM, sudahkah kita terlupa?

Tun Dr M tidak pernah bersetuju untuk menyokong sebarang usaha ke arah perlaksanaan syariah Islam di Malaysia, beliaulah penentang utama Hudud di Kelantan dan Terengganu ketika beliau PM dahulu, sudahkah kita terlupa?

Percayalah Tun Dr M tidak akan beri muka pada kuasa politik lain, Tengku Razaleigh, Zaid Ibrahim, Kadir Sheikh Fadzil apalagi PKR, PAS mahupun DAP kerana mereka ini semua tidak sekali-kali termasuk dalam agenda politiknya.

Mungkin kelihatan dalam keadaan tertentu beliau melambai-lambai tangannya, mahu bermesra, tetapi itulah Tun Dr M, memperalatkan apa sahaja yang boleh digapainya demi mengejar cita-cita politiknya.

Hakikatnya beliau mahu mencungkil keluar Najib dan kroni-kroninya, tidak lebih dari itu. Kerana itu beliau mengancam kiranya Najib dibiarkan terus mengetuai jentera BN, Umno akan pupus dalam PRU akan datang. Ancaman itu bermaksud Najib perlu dinyahkan, lalu Umno akan kekal berkuasa.

Oleh itu tak perlulah pihak-pihak lain cuba-cuba berjinak dengan Tun Dr M ini kelak akan dipatuk mati.

Biarlah gergasi bergasak sesama gergasi, jangan pelanduk yang mati terpijak dan disepak.



No comments: