Tuesday, June 30, 2015

Tumpuan dan fokus PAS jangan terganggu (30/6/15)

Muktamar PAS ke 61 telah pun beberapa minggu berlalu. Kehangatannya kelihatan semakin menurun dan bagi saf kepimpinan yang baru, amanah memimpin dan menjadi hamba untuk parti dan jemaah telah pun mula dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin.

Pada waktu ini Dewan Harian Pusat sedang turun menjelajah negeri-negeri, manakala Presiden, Timbalan dan Naib-naib kelihatan mendepani isu masyarakat, turun bersama mangsa gempabumi contohnya di kaki Gunung Kinabalu, menziarah program pemulihan mangsa banjir di Kelantan selain mengisi dan memenuhi acara dan majlis ilmu dan kemasyarakatan yang lain.

Begitu juga pimpinan yang lain dan Dewan-dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat dan DHPP kelihatan  bingkas bangun bekerja. Kehadiran Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat umpamanya, menyerahkan memorandum berhubung skandal MARA semalam menjanjikan kesediaan Dewan Ulamak untuk terjun mendepani denyut nadi dan keluhan masyarakat.

Kabinet PAS Pusat pun telah hampir sempurna terbentuk dengan perlantikkan beberapa indidividu khususnya beberapa profesional bagi mengukuh dan meneguhkan lagi kedudukan parti. Perlantikkan Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung dan Dato Mustafa Ali sebagai Ketua Pengarah Pilihanraya dilihat akan meneguhkan lagi kedudukan Dewan Harian PAS Pusat yang dianggotai oleh Presiden, Timbalan dan tiga Naib-naibnya.

Begitu juga perlantikkan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi AJK PAS Pusat sebagai Ketua Penerangan, pastinya membuka ruang buat masyarakat umum untuk lebih mengenali dan memahami misi dan perjuangan PAS. Manakala perlantikkan Hj Mohamad Noor Mohamad, AJK PAS Pusat, dan bekas Pegawai Perancang Bandar UDA lulusan UKM sebagai Bendahari diyakini dapat memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan yang lebih cekap dan telus buat parti.

Sesungguhnya ahli-ahli dan pendukung PAS meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap saf kepimpinan baru ini. Tolak ke tepilah gangguan dan angkara mereka yang kecewa dalam parti. Kekalutan mereka itu tidak seharusnya menganggu tumpuan dan fokus parti dalam melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawabnya.

Kiranya ditakdirkan mereka yang kecewa itu nanti bertindak keluar parti beramai-ramai dan menubuhkan parti baru, maka sediakanlah sahaja diri menghadapi mereka sebagaimana kita pernah menghadapi golongan kecewa sebelum ini yang mengenakan pakaian pelbagai umpama Hamim, Berjasa dan Kumpulan Islah.

Diperingkat ini PAS perlku mengukuhkan kedudukan dalamannya, selain mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Tindakan DAP mencetuskan ketidakstabilan dalam PR dengan tindakan mereka di Pulau Pinang, tuntutan mereka di Selangor dan penglibatan mereka dengan kumpulan kecewa dalam PAS juga seharusnya jangan sangat menganggu tumpuan dan fokus kita.

Sebagaimana ditegaskan PAS terus bersama PR, dan PR pada pandangan PAS masih wujud dan berfungsi. Buktinya di Selangor, ketiga-tiga parti masih berkerjasama mentadbir negeri dalam keadaan aman, sungguhpun pelbagai tekanan dikenakan.

PAS masih yakin dengan kerjasama politik PR. Cumanya PAS terguris dengan tindak-tanduk DAP khususnya yang berkaitan campuratangannya dalam isu dalaman PAS. Selain itu PAS juga menuntut agar dasar dan prinsip parti masing-masing tidak cuba dikritik apalagi mahu diubah dan dipinda oleh parti lain dalam PR.

Apapun nantinya hubungan dengan DAP, PAS telah serahkan ke Majlis Syura Ulamak, dan keputusannya sama-sama kita tunggu.

Sementara itu suka atau tidak masyarakat umum sesungguhnya sedang menyaksikan gelagat dan tindak-tanduk kita semua. PAS tidak pernah mengkhianati PR. Jatuhnya kerajaan PR di Perak contohnya adalah angkara “melompatnya” beberapa ADUN DAP dan PKR. Malah ketika ROS dikatakan kononnya akan membatalkan status DAP menjelang PRU lalu, PAS lah yang telah menawarkan logo “bulan” nya untuk digunakan calon-calon DAP.

PAS sendiri sudah berusia lebih 60 tahun dan rata-rata tidak ada rakyat Malaysia yang tidak mengenali PAS, perjuangan PAS dan cita-cita PAS.

PAS membentuk kerajaan Kelantan sejak 1990, dan semua rakyat Malaysia melihat betapa sebuah negeri yang miskin apalagi di pulau kan oleh kerajaan Persekutuan, boleh dipimpin dengan baik, bersih dan telus di bawah PAS. Dari Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz ke Ustaz Datuk Mat, kepimpinan ulamak di Kelantan sangat dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Di Selangor, wakil-wakil PAS samada EXCO, ADUN, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung dan JKKK cekap memainkan peranan masing-masing dalam  kerajaan tanpa sedikit pun menimbulkan keraguan atau syak wasangka masyarakat, malah ramai yang berasa selesa bekerja dan menerima khidmat mereka yang mewakili PAS melalui PR itu.

Oleh itu masyarakat boleh melihat PAS sesungguhnya tidak mendatangkan masalah. Kekeruhan dengan DAP pun bukan angkara PAS keras atau mungkir janji sebagaimana dituduh sesetengah pihak. PAS sekadar mempertahankan prinsipnya, dan prisnip dan dasar masing-masing sewajarnya tidak disentuh apa lagi diterjah oleh mana-mana pihak. Adat berkawan, hormat-menghormati rumah dan keluarga masing-masing.

Saf kepimpinan PAS ini di bawah Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan Dato Tuan Ibrahim diyakini dapat terus memenangi hati dan sokongan rakyat khasnya masyarakat Melayu Islam. Masyarakat bukan Islam juga dapat melihat dan mengadili kejujuran dan kesetiaan PAS dan diyakini dapat kekal memberikan kepercayaan pada PAS.

PAS mahu terus bergerak ke hadapan, sejuta ahli PAS mahu PAS terus dipimpin ke arah kecermerlangan dan PAS bersedia menuju ke arah itu dengan saf kepimpinan ini.

Rakyat Malaysia rata-rata sudah muak dan mual dengan kepimpinan Umno dan BN. Satu demi satu skandal dan penyelewengan tersingkap di hadapan mata kepala rakyat dan mereka sendiri seakan sudah tidak mampu mengawalnya. Tanpa kekuatan PR pun kerajaan Persekutuan di bawah mereka dilihat semakin retak dan menunggu rebah.

Oleh itu PAS dan PR perlu terus mantap dan teguh menghadapi BN.

Semoga segala kekeruhan ini dapat segera dileraikan dalam waktu terdekat dan tidak bernanah menjadi lebih parah.

Apa pun PAS saya percaya bersedia berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan. Semoga berkat ibadah dan doa kita di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini akan memberi kekuatan kepada PAS untuk terus meluncur ke hadapan mengejar cita-cita perjuangannya.


No comments: