Wednesday, June 24, 2015

Dr Dzul umum parti baru (24/6/15)

Semakin nyata sekarang, sesungguhnya mereka yang kecundang dalam pemilihan PAS tempoh hari benar-benar tidak dapat menerima kekalahan mereka. Mereka bertanding semata-mata untuk menang dan tidak bersedia untuk tewas. Mereka jelas telah berpatah arang dan berkerat rotan dengan PAS.

Ini terbukti dalam laporan akhbar The Star hari ini apabila jurucakap mereka, Dr Dzulkifli Ahmad dipetik berkata bahawa Jawatankuasa Bertindak G18 yang mereka anggotai dan beliau selaku Setiausahanya akan menubuhkan sebuah Parti Islam yang baru dalam masa terdekat.

Kononnya parti itu nanti akan menggantikan PAS di dalam Pakatan Rakyat.
Mat Sabu dinamakan sebagai Pengerusinya dan Salahuddin Ayub  Timbalannya manakala Suhaizan Kayat pula Penolong Setiausaha.

Menurut Dr Dzul lagi parti baru itu akan berkerjasama dengan NGO Islam termasuklah Pasma, ABIM, JIM dan Ikram selain badan-badan lain. Tambah beliau objektif parti baru itu nanti adalah untuk mempelopori politik inklusif yang lebih sesuai buat masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.

Dengan pengumuman itu, saya kira wajarlah Dr Dzul dan kumpulan G18 nya itu mengisytiharkan sahaja keluar PAS, dan berjalanlah sendiri. Semoga sebagaimana mereka berani menyatakan sikap dan pendirian, keluar dari bahtera PAS, diharapkan mereka yang menang atas tiket PAS juga akan mengosongkan kerusi masing-masing, kerana kerusi-kerusi Parlimen dan DUN itu sesungguhnya dimenangi atas tiket PAS. Pengorbanan, harta, wang ringgit dan penat-lelah orang-orang PAS lah yang memungkinkan mereka menang dahulu.

Mungkinkah pengumuman ini juga mengesahkan bahawa Salahuddin Ayub telah menolak tawaran AJK Pusat tambahan lantikkan PAS sebagaimana diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS baru-baru ini, jika benar tak perlulah orang-orang PAS bersusah payah untuknya lagi. Dan mungkin ada lagi kawannya yang sama juga begitu?

Saya terhibur juga bila Dr Dzul menyatakan bahawa mereka nanti mahu menunjukkan yang parti baru mereka tidak bermusuh dengan sesiapa. Saya mahu bertanyakan Dr Dzul: Anda bertanding dalam PAS dengan berbagai slogan dan kempen kemudian tewas, anda lari keluar dan tubuhkan parti Islam baru, lalu anda tergamak menyatakan anda tidak bermusuh dengan sesiapa?!

Pastinya parti yang apa sahaja namanya itu nanti akan bertanding dalam pilihanraya. Dan pasti juga mereka akan bertanding bukan dikerusi milik PKR atau DAP tetapi di kerusi-kerusi yang PAS bertanding. Sudah pasti akan berlaku pertembungan dan Dr Dzul boleh berkata tidak mahu bermusuh dengan sesiapa.

PAS saya yakin tidak akan merasa rugi sedikit pun dengan perkembangan ini sekurang-kurangnya segala masalah yang ada dalam parti selama ini telah terkikis keluar dengan sendirinya.

Dan PAS saya yakin bersedia berhadapan dengan sesiapa pun termasuklah parti yang entah apa namanya itu nanti, demi memartabatkan perjuangan Islam yang PAS bawa. Ini bukan pengalaman pertama buat PAS. Ini sekadar siaran ulangan sebagaimana pernah berlaku semasa wujudnya Berjasa, Hamim dan kemudiannya Kumpulan Islah dahulu. Dan kita semua tahu nasib mereka itu.

Tahniahlah Dr Dzul, angkutlah mana saki baki yang merupakan penyokong tegar anda itu, segeralah susun dan tubuhkan parti anda itu.Di sinilah kita berpisah dan bermula dari sinilah nanti kita bertarung dalam gelanggang politik berbeza, tidak lagi dari dalam tetapi sebagai seteru politik PAS yang sebenar.

3 comments:

Ronn said...

MP/ADUN bertanding atas tiket PAS sebelum ni kena kosongkan kerusi tak... ke jadi katak?

Unknown said...

KIPIDAP = Kumpulan Islam Progressive + DAP

Unknown said...

#KIPIDAP = Kumpulan Islam Progressive + DAP