Wednesday, December 30, 2009

Cita-cita Umno Selangor tidak akan kesampaian

Dalam akhbar Sinar Harian hari ini, penganalisis politik Prof Datuk Zainal Kling mengakui bahawa hasrat Umno Selangor untuk merampas kembali negeri Selangor dalam PRU ke 13 nanti tidak akan tercapai oleh kerana beberapa faktor termasuklah kerana tiada pemimpin yang berwibawa untuk memegang teraju di negeri ini.

Ini bermakna selagi Khir Toyo dan Noh Omar diharapkan, maka selagi itulah kelam dan suram harapan parti berkenaan.

Selain itu pimpinannya juga berterusan bertelagah sesama sendiri dan masih belum kebah-kebah dari kekalahan ngeri mereka pada PRU ke 12 lalu.

Yang ketaranya, Prof Zainal tidak pula menyebut berkenaan MIC, MCA dan Gerakan iaitu rakan komponan BN di Selangor. Apakah Umno Selangor sahaja memegang tugas untuk merampas kembali Selangor? Seolah MCA, MIC dan Gerakan sudah pupus tiada berperanan lagi di negeri ini!

Sebagai seorang penganalisis yang cenderung pada Umno dan BN ternyata kenyataan Prof Zainal ini suatu petanda buruk buat Umno Selangor. Namun PR janganlah pula bersabesar kepala dan tidak bekerja kuat. Berilah tumpuan pada memperkasakan jentera masing-masing. PAS contohnya mesti memperteguhkan safnya, memperkasakan jentera parti dan terus bekerjasama dan melangsungkan hubungan erat dalam PR.

Dalam keadaan Umno tenat, PAS mesti bingkas bangun segar dan bertenaga. Setiap EXCO, ADUN, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung PAS dan begitu juga rakan-rakan PKR dan DAP mestilah mempamirkan corak kepimpinan yang baik, telus dan berwibawa supaya rakyat terus selesa dan yakin dengan kita.

Kerajaan PR Selangor perlu buktikan yang ia berbeza dan jauh lebih baik dari kerajaan BN dahulu. Jika ini dapat dicapai dan dikekalkan suram muramlah Umno Selangor sampai bila-bila (ikutlah jejak Dato Kapten Zahar, tinggalkan Umno jom masuk PAS dan sokong PR).

Tuesday, December 29, 2009

PAS and PR Selangor is here to stay

Akhbar The Star hari ini melaporkan:

‘PAS protesters’ not members

SHAH ALAM: Selangor PAS members have made a police report against the 20 people who demonstrated outside its state liaison office on Sunday.

The demonstrators, led by Wan Hilman Wan Abdul Rahim who claimed to be a Gombak PAS member, had demanded that the party quit the Pakatan Rakyat coalition in Selangor.
State PAS information chief Roslan Shahir Mohd Shahir said the report was lodged at the Shah Alam district police headquarters by the party’s Selangor youth wing.

“Our youths lodged the report after checking with our Gombak office and confirming that Wan Hilman’s name was not on the membership list,” he said when contacted.
He said those who protested on Sunday were bogus PAS members whose agenda was to undermine the state government.

“I suppose they are trying to create animosity and doubt amongst Pakatan Rakyat partners.”
He said PAS was fully committed to the Pakatan Rakyat partnership in Selangor and would not do anything to jeopardise it.

Asked about problems between PAS and DAP in the state administration, Roslan Shahir said all issues between the two partners had long been addressed.

“We have a Pakatan Rakyat council meeting in Selangor every fortnight and this has been the practice for the last two years.

“Everything is openly discussed and our relationship with DAP is very cordial,” said Roslan Shahir.


However, he said the party grassroots might not be that aware about the good relationship between PAS and DAP in Selangor.

Saya nyatakan kepada pemberita yang menghubungi saya semalam bahawa kerja-kerja puak-puak yang tidak bertanggungjawab ini itdak sedikit pun menjejaskan kestabilan hubungan Pakatan Rakyat di Selangor. Mungkin mereka itu punya agenda untuk mengadu-domba dan mencetuskan ketegangan antara rakan-rakan dalam PR tetapi ternyata cita-cita mereka itu tidak kesampaian.

Sebentar tadi saya menerima SMS dari seorang rakan ahli majlis MPSJ yang juga pimpinan veteran DAP yang menyebut:

Dear roslan, u deserve a pat on yr shoulders n loud applauseof all PR members n supporters by issuing d statement that PAS is fully committed to d PR partnership in Selangor and will not do anything to jeopardize it. This kind of statement is reassuring to all PR members n supporters n all Malaysians that PR unity is here to stay.

Isu demonstrasi puak-puak “separuh tiang” itu sebenarnya kecil kerana tidak mencerminkan kemahuan dan kehendak majoriti rakyat, malah tidak menjejaskan pun batang tubuh PAS dan PR Selangor. Apa pun yang penting adalah kepantasan semua pihak dalam menangkis dan memberi reaksi. Saya mengucapkan syabas kepada Dewan Pemuda PAS Selangor yang proaktif dan pimpinan lain yang sama-sama membantu mematahkan niat jahat puak-puak “separuh tiang” itu dan siapa sahaja yang di belakang mereka.

Sesungguhnya kerajaan PR Selangor dengan komposisi parti komponan yang hampir seimbang dalam DUN dan kerajaan itu adalah model kepada seluruh rakyat Malaysia. Tiada yang dominan mutlak dalam kerajaan, masing-masing perlu-memerlu untuk memastikan kelangsungan kerajaan ini. Jangankan PAS kalau PKR atau DAP bertindak keluar maka runtuhlah kerajaan ini.
Keupayaan kerajaan ini untuk terus bertahan adalah bukti kefahaman dan sikap hormat-menghormati antara rakan-rakan dalam PR di Selangor. Jika ia mampu terus bertahan gagasan BN akan menjadi lapuk dan terus dipinggirkan. Itulah yang membimbangkan kawan-kawan kita di sebelah sana.

PAS Selangor memegang amanah parti, bahawa kerajaan ini perlu dipertahankan. Kita akan terus mendukung prinsip parti dan dalam waktu yang sama mempertahankan kerajaan yang sama-sama dibentuk ini. PAS terus hadir dalam kerajaan PR kerana Umno gagal walaupun memegang tampuk kerajaan dahulu. Kini giliran PAS dan PR dan kita akan buktikan yang insyallah pakatan ini dan PAS sendiri adalah jauh lebih baik dari BN dan Umno yang perlu terus dilupakan itu.

Kita menunggu bila pula demo mendesak Umno, MCA dan MIC Selangor meninggalkan BN menyertai PR kerana barisan mereka semakin hilang hala tujuan, kelam dan tiada masa depan.

Sunday, December 27, 2009

Tumpukan pada kerja mempertahankan Selangor

Setelah beratus-ratus SMS dikirim termasuklah bantuan lidah-lidah pengadu domba khasnya di alam maya ini hanya 8 orang yang dilaporkan hadir (disahkan oleh seorang rakan wartawan yang mnegatakan wartawan yang hadir lebih ramai bilangannya) dalam apa yang didakwa kononnya Perhimpunan Mendesak PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat sebentar tadi. Memorandum yang kononnya akan diterima sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Dato Dr Hasan Ali entah telah diserah pada jembalang mana.

Siapakah mereka ini?

Pimpinan Umno Selangor menafikan mereka terlibat (itu pun kalau boleh percaya). Pimpinan PAS Selangor memang tidak terlibat langsung. Anehnya kawan-kawan bersungguh-sungguh memberi komen dan teguran termasuklah merayu Dato Hasan agar jangan menerima memorandum tersebut. Anehnya lagi lidah rasmi parti di alam maya turut menyumbang ke arah mencetuskan keresahan khasnya ahli dan penyokong parti seolah mahu melihat karier seseorang itu dimatikan melalui himpunan tak berakal ini!

PAS Selangor selesa dengan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor malah semalam semasa program Daurah Tarbawi Negeri yang diadakan semalam (dihadiri Dato Hasan dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat), hadirin yang mengambil bahagian bertekad mempertahankan kerajaan negeri dan berusaha melonjakkan lagi prestasi PAS di negeri ini.

Soalnya mengapa PAS Selangor mesti keluar dari PR?

Terus terang bagi saya insiden ini suatu kerja jahat yang disokong pula oleh tangan-tangan hitam yang mahu melihat PAS Selangor bermasalah dan melagakan pimpinan dengan ahli. PAS Selangor konsisten dengan agenda perjuangan PAS, dan kedudukannya dalam kerajaan negeri akan digunakan bagi meyakinkan rakyat tentang relvannya PAS dan PR serta betapa pentingnya kerajaan ini terus kekal memerintah Selangor. Tidak ada sebab ia mahu tinggalkan PR.

8 manusia yang bermasalah itu bukan orang PAS. Kalau adalah rekod mereka ahli PAS maka sayalah yang pertama yang akan mengesyorkan agar mereka dipecat dari parti. Saya juga sedang menimbangkan untuk membuat laporan kepada PAS Pusat tentang bagaimana media parti boleh turut serta mensensasikan kerja-kerja jahat ini dan saya pandangn tindakan itu sebagai serius dan perlu ditangani.

Ada laporan yang memetik tulisan seorang blogger dalam buangan yang meramalkan kerajaan PR Selangor akan jatuh dan menganggap kononnya himpunan orang-orang separuh tiang itu akan mencetuskan gelombang yang ditelek oleh anak Raja berkenaan, Malangnya media resmi parti turut melaporkan:

Sementara itu, blogger Raja Petra Kamarudin dalam tulisannya memberitahu, para pemimpin Umno telah memberitahu orang-orangnya dalam agensi kerajaan negeri ini bahawa Barisan Nasional akan mengambil alih Selangor Januari ini.

Ekoran itu, katanya, banyak agensi kerajaan negeri yang masih dipimpin oleh penyokong Umno 'tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya'.

Ini kerana, mereka menunggu apakah kerajaan negeri Pakatan di Selangor ini akan jatuh atau tidak ke tangan BN Januari ini sebagaimana yang dijanjikan pemimpin Umno itu.


Adalah dipercayai, jika benarlah tulisan Raja Petra ini bermakna antara strategi Umno adalah dengan memecahkan PAS di Selangor dan seterusnya memecahkan Pakatan Rakyat.

Ramalan ini untuk makluman pernah dibincangkan dalam salah satu mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Selangor (Majlis PR Selangor bermesyuarat secara kerap 2 minggu sekali, bukti betapa kukuhnya ikatan PR Selangor, negeri lain bagaimana?). Walaupun kami bukanlah mahu bermegah bahawa kerajaan ini kukuh, namun Tan Sri MB menganggap kalau kita beri tumpuan pada tulisan seumpama ini semata-mata banyak kerja lain yang lebih penting untuk rakyat tidak dapat kita laksana dan selesaikan.

Jentera kerajaan negeri berjalan lancar di Selangor. Tiada yang terbantut dan ketiga-tiga parti yang membentuk kerajaan PR Selangor bergerak seperti biasa,memerintah negeri ini dengan selesa dan insyallah berusaha memperteguhkan lagi kedudukannya dalam PRU ke 13 nanti. Mari kita bekerja ke arah itu dari meleleh air liur terpesona degan kerja-kerja orang separuh tiang.

Saturday, December 26, 2009

Jangan terjerumus dalam kerja-kerja fasik

“Perhimpunan mendesak PAS Selangor keluar Pakatan Rakyat…………..”

Demikianlah bunyi SMS “layang” yang sedang bertebaran dan meniti antara telefon bimbit ke telefon bimbit. Sebentar tadi ketika berlangsung sebuah program anjuran Lajnah Tarbiyah PAS Selangor, para pemberita bertanyakan Dato Dr Hasan Ali dan saya berkenaan perkara ini.

Sebelum itu beberapa wartawan turut menghubungi saya termasuklah dari lidah rasmi parti sendiri yang bertanya:

SMS ini ana terima dari orang yang xda dlm directory hp ana. BETUL KA? Boleh kami komen utk hdaily

SMS tersebut kononnya menyatakan satu memorandum akan diserahkan oleh himpunan itu dan diterima sendiri oleh Dato Dr Hasan Ali.

(Dan kebetulan semasa membuat posting ini seorang lagi pemberita menghubungi saya)

Saya terpesona bagaimana dari sekerat SMS yang tidak tahu hujung pangkalnya, heboh satu kampung melonjak-lonjak memberi reaksi. Orang lain mungkin tidaklah dihairankan sangat tapi sampai lidah rasmi parti pun begitu, pasti ada agenda yang tersirat!

Bukankahlah Allah swt memerintahkan kita dalam firman Nya:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus
(al Hujarat 6-7)

Fasik kah orang yang mengirim SMS itu? Kalau siapa pengirimnya pun kita tidak tahu, dan kandungan beritanya tidak ada dalam pengetahuan pimpinan tertinggi PAS Selangor apalagi Pesuruhjayanya sendiri, apakah lagi kategori selain fasik?

PAS Selangor tidak sekali-kali terlibat dalam kononnya himpunan seumpama itu. Saya yakin tidak ada seorang ahli PAS di Selangor pun, jika benar ada himpunan itu, akan terlibat atau hadir. Ternyata ianya kerja bodoh. PAS Selangor komited menjayakan Pakatan Rakyat dan insyallah akan mempertahankan kerajaan ini.

Saya tidak kisah sangat kepada penganjurannya tetapi cuma sedih akan nilai profesionalisma kita khasnya mereka yang menjaja dan membawa berita ini. Jangalah menjadi lidah kepada anasir yang mengugat kestabilan parti dan PR sendiri di Selangor.

Akurlah akan firman Allah swt:

Bertakwalah kepada Allah dan dengarkanlah (perintah-Nya). Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang berbuat fasik. (al Maidah:108)

Thursday, December 24, 2009

Selamat memperingati hari kelahiran Isa a.s

Atas izin Rasulullah saw seramai 14 orang umat Islam Makkah telah berhijrah mencari perlindungan di Habsyah angkara kezaliman kaum musyrikin disana. 14 orang termasuk 4 orang wanita itu diarahkan pergi ke Habsyah kerana Rajanya Najashi seorang Kristian Koptik dikatakan seorang yang taat pada Allah dan berlaku adil.




Di sinilah penganut Kristian percaya Nabi Isa
dilahirkan di Baitul Maqdis



Ringkas cerita kumpulan ini akhirnya di bawa mengadap Raja Najashi apabila wakil musyrikin Makkah diketuai Amru al As yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Najashi telah memohon agar kumpulan Islam itu diserahkan kepada mereka untuk dibawa balik ke Makkah kerana dikatakan pendurhaka.

Ketua perwakilan Islam, Jaafar bin Abi Talib telah berhujah membela diri bagi pihak kaum Muslimin. Beliau merayu kepada najashi agar tidak menyerahkan kumpulan mereka kepada amru. Kata beliau merekadiarahkan oleh Rasulullah saw untuk ke Habsyah keranan Najashi dikatakan adil.

Lalu Najashi meminta Jaafar agar menerangkan darihal Isa a.s yang dikatakan turut di imani oleh umat Islam. Lantas Jaafar memetik firman Allah swt dalam surah Maryam(ayat 16-21):

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh (Jibril) dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.

Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.

Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci".

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"

Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.

Esok penganut agama Kristian akan meraikan hari Krismas iaitu menandakan hari kelahiran Nabi Isa a.s kira-kira 2000 tahun lalu.

Isa dilahirkan sebagai satu hadiah, iaitu berupa rahmat dari Allah swt buat umat manusia. Penganut Kristian percaya kepada konsep memberi padahari Krismas kerana ianya menandakan hadiah Allah berupa tubuh badan Nabi Isa yang dilahirkan pada hari berkenaan untuk umat manusia.

Betapa banyaknya persamaan antara kedua agama terbesar dalam dunia ini, walaupun hakikatnya adajuga perbezaannya. Apa pun umat Islam menerima bahawa Isa al Masih sebagaimana dinyatakan oleh al Quran adalah Rahmat dari Allah buat umat manusia.

Kerana itu apabila dibacakan ayat-ayat Allah oleh Jaafar, maka Raja Najashi berkata kepada Amru bahawa walaupun segunung emas diserahkan kepadanya oleh Amru, beliau sekali-kali tidak akan menyerahkan Jaafar dan kumpulannya kepada beliau. Malah beliau menitahkan agar Jaafar dan kumpulannya boleh terus berada di Habsyah selama mana yang mereka perlu.

Selamat memperingati hari kelahiran Nabi Isa buat semua. Wallahualam.

Wednesday, December 23, 2009

Hari muka semakin tenat buat mereka

Sehingga hari ini isu kehilangan injin pesawat tempur F5E milik TUDM yang bernilai RM50 juta terus diperkatakan. Yang paling menarik adalah reaksi bekas PM Dollah Badawi. Kata beliau kehilangan itu menjadikan kita sebagai bahan senda. Dollah ketika insiden itu berlaku adalah PM tetapi bukan Menteri Pertahanan.

Mungkin Dollah tahu apa yang kita tak tahu.

Manakala di muka hadapan Sinar Harian hari ini, Menteri Pertahanan Zahid Hamidi berkata mereka yang terlibat dalam kehilangan ini adalah penderhaka. Kata beliau mereka bukan sekadar pencuri tetapi pengkhianat dan penderhaka kepada negara.

Rakan saya seorang jurutera awam swasta menghubungi saya bertanyakan mungkinkah Zahid menggunakan isu ini untuk menjatuhkan Menteri Pertahanan ketika itu? Saya tidak menafikan telahan beliau itu. Berbagai kemungkinan boleh dijangkakan. Apa pun krisis kepimpinan dalam Umno dan BN nampaknya tidak menampakkan hari redanya.

Dalam pada MCA, Gerakan,MIC dan PPP masing-masing bergelut untuk terus bernafas, Umno rakan kongsi terbesar BN nampaknya tidak terkecuali dari bala bencana.

Belum pun selesai kehangatan Bajet yang diluluskan dengan majoriti tipis tempoh hari di Dewan Rakyat, kini kita masing-masing sedang menunggu siapakah pengkhianat terbesar dalam kes injin pesawat yang hilang itu.

Saya sempat menasihatkan seorang rakan Umno diperingkat rendah baru-baru ini, henti-hentilah mahu melihat Umno bangkit merampas kuasa di Selangor. Jika bala bencana timpa-menimpa satu demi satu begini, kebencian rakyat akan semakin menebal, nanti jangankan mahu merampas semula kuasa, takut-takut yang ada dalam tangan pun akan terlolos begitu sahaja.

Saya percaya dengan rakan saya si jurutera tadi, banyak yang akan tertiarap apabila satu demi satu terselongkar dalam hari-hari mendatang. Tidak musathil ada yang mahu mengambil kesempatan menikam dari belankang untuk naik ke takhta tertinggi. Tidak mustahil sesama pimpinan tertinggi Umno akan berkuntau, bertikam-tikaman, berbomoh dan beracun untuk panjat ke atas. Tidak mustahil dalam pada terseret mereka yang terlibat ke tengah untuk menghadapi pengadilan, akan ada orang politik yang ditalkinkan.

Ringkasnya tidak mustahil dengan segala perkembangan ini jangka hayat BN yang telah sedia tenat itu bakal semakin nazak, mungkin juga terus kaku beku sedia untuk dimakamkan.

Tuesday, December 22, 2009

RM50 juta lesap, apa yang disiasat?

Tadi saya ditanya oleh pemberita isu kehilangan enjin jet pejuang F5E milik TUDM. Enjin bernilai RM50 juta itu dilaporkan hilang pada tahun 2007 di Gudang Matra 1, Kem Udara Sungai Besi, KL.

Bayangkan enjin pesawat boleh hilang?!







Ini bukan isu kecil. Yang pertama nilai barangan yang hilang itu adalah RM50 juta ringgit. Kedua yang hilang adalah barang keselamatan yang diguna oleh angkatan tentera kita. Ketiga ia hilang bukan di laut, dalam perjalanan tetapi hilang di kem tentera, yang sudah pasti ketat dengan kawalan keselamatan.

Tetapi yang lebih aneh lagi kenapa hanya hari ini kita ketahui kejadian ini?

Kenapa setelah hampir dua tahun, tiada yang didakwa dan diheret ke mahkamah? Khabarnya seorang Brigadier General dan lebih 40 orang kakitangan ATM telah dipecat tahun lepas akibat kes ini. Kenapa sekadar pecat? Kemapa tiada yang didakwa di mahkamah? Apa jadi dengan jet tersebut?

Benarkah ia telah dijual ke sebuah syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Afrika Selatan?

Kes ini menjadi bualan hangat rakyat. Manakan tidak RM50 juta wang rakyat lesap begitu sahaja. Kekuatan dan kemampuan pertahanan kita kini diperikaikan. Malah ada khabar angin yang bertiup kencang kononnya lebih dari satu enjin yang sebenarnya telah lesap!

Apa pun tidak cukup dengan PM Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tiada niat menutup kes ini. Kerajaan kini bertanggungjawab mengembalikan keyakinan rakyat. Satu badan penyiasat bebas atau satu suruhanjaya Diraja perlu dibentuk. Ini kes berat, ini kes melibatkan maruah negara. Jangankan pegawai dan kakitangan rendah, kalau menteri sekalipun terlibat walau sedikit, beliau perlu bertanggungjawab dan diambil tindakan! (Ketika itu Menteri Pertahanan adalah Najib).

Selagi langkah seumpama ini tidak diambil, selagi itulah rakyat akan terus hilang keyakinan pada kerajaan.

Sunday, December 20, 2009

Jadilah blogger pendakwah bukan pemfitnah

Saya mula memiliki laman blog sendiri dan mula ber”blog” di Roslan SMS Corner ini sejak hari Khamis 20 Mei 2004 iaitu lebih 5 tahun yang lalu. Sebelum itu saya menulis dan mengirimkan posting saya ke laman-laman web pro reformasi dan pembangkang termasuklah Laman Reformasi, Mahafiraun selain laman rasmi milik PAS, paling aktif ketika itu menjelang PRU 1999. Seingat saya pemilik blog politik ketika itu tidak banyak, kalau pun ada adalah Screenshots milik Jeff Ooi (kini YB), Umno-reform (kendalian Sdr Anuar Md Nor) selain laman Malaysia Today milik Raja Petra.

Blog-blog yang ada ketika itu masing-masing berlumba-lumba untuk menjadi media alternatif. Mengemukakan pendedahan dan pendapat yang berbeza nafasnya dari media arus perdana. Kita serang, bongkar dan dedah selain mempertahankan yang hak semuanya demi mengemukakan ruang alternatif buat rakyat Malaysia.

Tiada yang bermain api, menabur onar dan duri. Semuanya menulis dengan penuh tanggungjawab dan menjunjung prinsip perjuangan yang sama iaitu kea rah menegakkan keadilan dan merobohkan kezaliman.

Sejak itu saya sudah memuatkan 2,600 posting dalam blog saya itu yang sudah mencatat jutaan hits.

Hari ini saya tertarik dengan kertas yang dibentangkan oleh Ustaz Abdul Ghani Samsudin sempena Konvensyen Blogger PAS yang menyebut:

Penulisan apa juga bentuknya mestilah disertai dengan rasa tanggungjawab yang tinggi. Manusia tidak terjerumus dalam neraka kecuali hasil penuturan lisan atau pengungkapan penanya.

Beliau memetik beberapa nas al Quran antaranya:

Nun. Demi pena dan catitannya. (al Qalam:1)

Setiap perkataan yang dituturkan semuanya di bawah pemantauan Malaikat Tuhan Raqib dan Atid. (Qaf: 18)

Pada hari Kami menutup rapat mulut mereka, manakala tangan mereka mengatakan kepada Kami keperihalannya, kaki mereka menjadi saksi terhadap segala perbuatan mereka yang lalu. (Yassin: 65)

Blog adalah senjata dakwah bukannya medan untuk memfitnah dan menganiaya orang lain. Lantaran ia senjata dakwah maka penulisnya perlu menggunakannya dengan penuh ikhlas, menitipkan nilai-nilai kebenaran dan menebarkan kebaikan dan kebenaran.

Saya yakin para bloggers yang faham peranan mereka akan akur pada seruan ini dan malah akan memelihara tertib dan nafsu masing-masing jangan sampai terlanjur, jangan sampai memperkosa amanah yang diberikan. Kalau kita mahu bawa mesej perjuangan, maka baik yang kita bawa akan mengharumkan perjuangan itu. Namun dalam waktu yang sama jika kita memuatkan najis dan kotoran maka busuk dan hapaknya akan terpalitpada tubuh perjuangan.

Kehebatan pendakwah, apa sahaja gelanggang yang ia ceburi, adalah kejayaan memikat hati sasaran dan membawa mereka tunduk pada dasar perjuangan. Tetapi jika dakwah kita sekadar memecah belahkan jemaah, menabur fitnah dan mengadu-domba, kita bukan sahaja gagal tetapi perjuangan akan dipandang hina oleh sasaran. Ya mungkin kita boleh jadi popular, kerana hidangan kita panas-panas, tetapi dakwah apakah itu jika yang riang dan bertepuk tangan adalah musuh.

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang ketika merasmikan konvensyen itu berkata:

Jihad yang paling afdal adalah bercakap benar

Ber “blog” ini adalah jihad. Dan kerana ia jihad, bukannya alat untuk cari popularity atau kemegahan makakita dituntut berkata yang benar.

Tuan Guru turut berkata:

Penulisan dengan menyebarkan maklumat yang baik akan menghasilkan pahala yang berpanjangan manakala penyebaran berita dengan niat jahat menghasilkan dosa berterusan.

Tulisan blog boleh menjadi senjata tajam jika diguna untuk membela Islam, tetapi boleh menjadi racun berbisa merosakkan masyarakat jika disalah guna.


Semoga kita semua akan terus insaf akan seruan ini dan jadikan ia pedoman dalam kita melayari bahtera perjuangan yang serba mencabar dan jauh ini.

Saya insyallah berblog sebagai sumbangan jihad dan medan dakwah yang termampu oleh saya. Saya tidak percaya pada sensasi murahan apalagi kerja-kerja fitnah dan adu-domba. Kiranya tersasar, semoga diampuni Allah swt.

Marilah kita semua, para bloggers yang komited, menjadi pasukan yang padu dan jitu untuk Islam. Sasaran kita satu, matlamat kita satu. Berlepas dirilah kita dari kerja-kerja bodoh yang merosakkan jemaah dan mengagalkan dakwah. Selamatkanlah kami Ya Allah.

Saturday, December 19, 2009

Konvensyen Pakatan Rakyat menyuntik semangat menjana kekuatan menggamit harapan

Pagi tadi merupakan satu lagi detik bersejatah buat PAS, DAP dan PKR yang bergabung dalam ikatan politik yang diberi nama Pakatan Rakyat. Jika sebelum ini ikatan tersebut digunakan bagi maksud menyertai pilihanraya umum dan membentuk kerajaan negeri di negeri-negeri yang dimenangi bersama, kini ia melangkah setapak lagi dengan membentuk satu muafakat melakar serta menegaskan sikap dan pendirian bersama dalam isu-isu melibatkan dasar bernegara untuk ditatapi rakyat secara serius dan memberi isyarat serta amaran pada BN.









Malah sebagaimana ditegaskan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR, dalam ucapan perdananya bahawa Pakatan Rakyat kini bukan sekadar suatu gerakan politik biasa ia kini sebuah gerakan massa yang terbaik yang didokong oleh rakyat dan bersedia untuk menuntut dan membawa perubahan.

Pagi tadi berlangsung Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Auditorium MBSA Shah Alam. Inilah kali pertama kesemua pimpinan terkanan ketiga-tiga berhimpun bersama 1,500 orang perwakilan yang terdiri daripada pimpinan diperingkat negeri dan kawasan-kawasan parlimen untuk membentuk dan memuafakatkan dasar Pakatan Rakyat.
Dato Seri Anwar dan Datin Seri Dr Wan Azizah, Lim Guan Eng dan Karpal, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi dan Ustaz Nasharudin keenam-enammereka duduk dikerusi khas di hadapan pentas utama mengadap kesemua para perwakilan.

Memang sukar untuk menyatukan tiga buah parti yang berbeza ideologi namun pertemuan pagi tadi membuktikan yang ketiga-tiga parti berjaya melangsungkannya dan mahu melihat ke hadapan dan membina harapan bagi sebuah Malaysia yang lebih bermakna buat semua. Ini terbukti apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam ucapannya menyebut bahawa perjuangan Pakatan Rakyat ini perjuangan yang tulen bukan celup, perjuangan yang hak bukan batil ,perjuangan yang makruf bukan mungkar.

Dan dalam hal ini Presiden PAS berpesan bahawa perubahan yang menyeluruh tidak dapat dilaksanakan tanpa persepkatan semua pihak. Yang penting tegas beliau PR perlu mendahulukan perkara-perkara yang boleh disepakati bersama manakala yang berbeza perlu ditangguh dan ditangani dengan penuh kesabaran.

Sebanyak 4 dasar telah dibentangkan yang meliputi demokrasi, ekonomi, keadilan sosial dan hubungan persekutuan negeri serta dasar luar. Ia telah dibahas dan akhirnya disepakati dan diterima oleh semua yang hadir sekaligus dirakmkan sebagai dasar bersama Pakatan Rakyat yang akan dijaja pada rakyat dengan harapan meraih sokongan besar dalam PRU yang akan datang.

Kini tugas kita adalah untuk melangkah bersama bagi memenangi hati rakyat, Ketiga-tiga pemimpin besar PR akur bahawa sepanjang jalan perjuangan memang ada dan malah akan terus hadir sedikit sebanyak pergeseran dan berbeza pendapat yang penting semangat perjuangan ini dibela dan masing-masing perlu matang dan bersedia berhadapan dengan cabaran tanpa menenggelamkan bahtera perjuangan yang besar ini.

Sesungguhnya konvensyen hari ini memberi isyarat kepada semua pimpinan PR agar bekerja bersama untuk mengejar agenda yang sama. Kita akur bahawa kita berbeza tetapi ternyata kita lebih baik, lebih dinamik dan lebih diyakini rakyat berbanding BN.

Monday, December 14, 2009

Alahai menteri tandas.........
Saya terpaksa akui perkhidmatan teksi di Lembah Kelang perlu diperbaiki. Kita akui ramai diantara para pemandu teksi ini jujur mencari rezeki yang halal. Ada diantara mereka memandu sebagai kerja "part-time" selain bekerja disiang hari kerana mencari rezeki tambahan untuk keluarga. Maklumlah hidup di Lembah Kelang hari ini, kosnya tinggi sedangkan gaji dan upah kecil.
Walaubagaimanapun ada diantara mereka yang mencari kesempatan. Memberi buruk pada nama profesion yang asalnya baik. Sebenarnya mana-mana profesion pun begitu bukan sekadar drebar teksi. Bab cari kesempatan ini dari drebar teksi ke pegawai polis, kastam, peniaga kecil-kecilan, tokoh korporat malah atas sampai ke menteri sekalipun memang ada.

Berbalik kepada drebar teksi, masih ada pengguna yang merungut drebar teksi ambil kesempatan. Meter tak diguna, caj lipat kali ganda, enggan ambil penumpang, kasar dan tidak berperikemanusiaan, teksinya kotor dan seumpamanya.

Tetapi apabila Menteri yang bertanggungjawab menghimpunkan masalah ini dan menghukum perkhidmatan teksi lebih teruk dari tandas, saya kira kenyataan itu sangat biadap, tidak bertanggungjawab malah tidak adil terhadap profesion ini.

Nazri Aziz adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang ini. Jika beliau boleh label bidang bawah jagaannya sebagai tandas, siapa boleh menahan kita dari melabelkan beliau sendiri sebagai menteri tandas kerana tidak ada usaha dan inisiatif untuk memperbaiki apa yang lemah dan kurang.

Saya pasti beliau gagal dalam prestasi KPI nya kerana tidak mampu memperbaiki perkhidmatan berkenaan. Nazri sesuka hatinya menghukum perkhidmatan teksi, beliau lupa kita semua sebagai rakyat berhak juga menilai dan menghukum beliau sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan. Kita tidak perlu seorang menteri yang sekadar pandai membebel dan menuding jari menyalahkan orang lain. Yang kita perlu adalah menteri yang mampu mengesan dan mengenal pasti kelemahan dan kekurangan serta berupaya menggunakan kebijaksanaannya menyelesai dan memperbaiki masalah berkenaan.

Kalau sekadar menghukum begitu sahaja saya percaya saya dan ramai yang lain tidak salahkan persatuan perkhidmatan berkenaan menuntut Nazri agar letak jawatan. Kita ganti sahaja menteri tandas ini dengan yang lain yang lebih proaktif dan mampu.
Kalut kerana pembubaran dewan

Maka berkatalah sekian pakar dan pengulas undang-udang dan politik, mengiakan kenyataan MB Selangor Tan Sri Dato Seri Khalid Ibrahim bahawa negeri Selangor berhak untuk tidak menyertai PRU yang dijadualkan kerajaan BN Pusat dan sebaliknya menentukan tarikhnya sendiri.

Sebenarnya tak perlu jadi pakar pun memang setiap yang celik politik dan perkembangan tanahair pernah menyaksikan kerajaan-kerajaan negeri memilih untuk mengisytiharkan tarikh sendiri pembubaran DUN nya. Sabah dan Sarawak adalah contoh terbaik. Saya kira Sabah lah yang punya pilihanraya DUN yang terbanyak berbanding negeri-negeri lain.

Ringkasnya sebagaimana PM yang berhak memohon pembubaran dewan rakyat dengan perkenan Yang Dipertuan Agong, MB juga berhak berbuat demikian dengan perkenan Tuanku Sultan.

Saya kira tujuan MB Selangor mengeluarkan kenyataan berkenaan adalah untuk memberi ingat bahawa kerajaan negeri Selangor dan begitu juga Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang tidak semestinya bersetuju mengadakan pilihanraya umum serentak sebagaimana kemahuan kerajaan BN Pusat. Malah kerajaan PR negeri-negeri berkenaan berhak memutuskan tarikh sendiri samada sebelum atau selepas PRU Nasional atau boleh juga memutuskan satu demi satu atau apa sahaja.

Sudah tentulah apa sahaja keputusan akan dibuat dengan bacaan dan strategi politik terbaik demi mengekalkan kemenangan PR di negeri-negeri itu. Suasana politik di Malaysia telah berubah, dan ia boleh terus berubah jika rakyat mahu.

Saturday, December 05, 2009

Ayuh bekerja mempertahankan kemenangan ini

Semalam saya dan rakan-rakan dari Lajnah Penerangan PAS Selangor bertemu dengan jentera penerangan parti dari kawasan-kawasan Anjung Tenggara iaitu melibatkan kawasan Ampang, Pandan dan Hulu Langat.

Dalam majlis berkenaan kami telah sama-sama membincangkan pelan induk penerangan PAS Selangor dan seterusnya bertukar-tukar pandangan dan maklumat berhubung isu-isu semasa dan bagaimana memperkasakan PAS Selangor dan Pakatan Rakyat bagi menempa kejayaan yang lebih besar dalam PRU akan datang.

Rata-rata perbincangan semalam tertumpu kepada usaha-usaha bagi memajukan parti. Setiap yang hadir semalam lebih berminat bekerja dan mencari jalan bagi mempertahankan kemenangan yang ada selain melonjakkan parti ke arah pencapaian yang lebih baik pada PRU akan datang. Saya melihat semua yang hadir semalam memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing dan bersedia memacu tenaga bagi mencapai cita-cita perjuangan. Tidak ada seorang pun yang berminat atau terganggu dengan seruan-seruan nakal dan tidak bertanggung-jawab di tepi-tepi jalan perjuangan.

Sekretariat Penerangan Anjung Tenggara telah ditubuhkan semalam diterajui Sdr Hj Ismail Arshad Ketua Penerangan PAS Pandan.

Selepas lawatan terakhir nanti bertemu Anjung Tengah, semua sekretariat anjung-anjung akan dihidupkan dan jentera penerangan seluruh Selangor diharap dapat segera melaksanakan pelan induk yang dipersetujui dan memberikan tumpuan penuh pada PRU akan datang.

Prospek untuk PAS Selangor dan PR Negeri memperoleh pencapaian yang lebih baik adalah besar. (Dalam Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Selangor yang terakhir baru-baru ini dimaklumkan bahawa hasil kajian sebuah badan yang ditugaskan oleh kerajaan negeri terus menunjukkan tahap keyakinan rakyat negeri Selangor terhadapa kerajaan PR terus naik mendadak termasuk dari kalangan pengundi Melayu). Yang pentingnya semua pihak perlu bersatu tenaga dan fikiran, berhadapan dengan musuh politik yang satu dan bekerja kuat selain tidak putus dari memohon pertolongan dan bantuan dari Allah swt.