Monday, June 30, 2008

DPMK mahu Kedah terus maju

Saya masih mahu memperkatakan darihal isu pembalakan di Kedah. Saya rasa penjelasan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan Abd Razak sebelum ini sudah pun jelas. Fokus perlu diberikan kepada masalah yang dihadapi oleh negeri berkenaan, isu utamanya adalah isu kewangan yang melibatkan hasil serta pengurusan dan pembangunan negeri itu.

Dalam akhbar hari ini, Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Kedah (DPMK) Tan Sri Khalid Abdullah mendesak agar kerajaan Pusat segera menjelaskan pampasan RM100 juta kepada Kedah kerana mempertahankan kawasan hutan simpannya serta kawasan tadahan air. Malah DPMK turut mendesak agar kerajaan Pusat memberikan peruntukkan yang sama kepada Kedah sebagaimana diberikanb kepada negeri-negeri lain tanpa sebarang diskriminasi.
Desakan ini telah diluluskan oleh DPMK dalam Mesyuarat Agungnya Sabtu lalu.

Dan dalam hal cadangan kerajaan negeri untuk menjalankan aktiviti pembalakan yang telah mencetuskan kontroversi itu, Khalid menyatakan ianya merupakan hak kerajaan negeri. Beliau malah yakin yang kerajaan negeri akan menimbangkan semua aspek sebelum memulakan kegiatan berkenaan.

Tindakan DPMK ini perlulah diberikan pujian. Sepatutnya semua NGO dan badan-badan di Kedah perlu berdiri di belakang kerajaan negeri demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan negeri berkenaan. Malah dalam hal pembalakan ini MB Kedah telah pun menyatakan yang keputusan muktamad masih belum diambil lagi, dan kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan semua pihak termasuk pakar alam sekitar dan pakar-pakar lain sebelum membuat keputusan.

Jika Kedah tidak berhadapan dengan masalah sebagaimana yang diutarakan oleh DPMK di atas saya yakin kerajaan negeri tidak akan terdesak untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

Sunday, June 29, 2008

Allah swt bersama mereka yang benar

Tidak ada isu yang bermain di lidah kita semua sejak lewat semalam melainkan berita yang melibatkan Penasihat PKR Dato Seri Anwar Ibrahim. Menurut laporan Pembantu Khas beliau Saiful Bukhari Azlan, 23 telah membuat laporan polis mendakwa beliau telah diliwat oleh DSAI.

Terus sahaja kes ini mengingatkan kepada kita tentang apa yang telah berlaku dan ditanggung oleh DSAI sekeluarga kira-kira 10 tahun lalu.

Sebagai seorang pemimpin yang disegani dan dihormati sudah tentulah tuduhan ini akan mendatangkan aib bukan sahaja kepada DSAI sendiri dan kaum keluarga beliau, tetapi juga turut melibatkan kawan-kawan dan mereka yang bersama berjuang dengan beliau. Sekiranya fitnah ini dirancang sebagaimana 10 tahun lalu, maka Allah sudah pasti akan melaknat mereka yang merancang dan terlibat dalam perancangannya. Kebenaran insyallah akan memihak kepada mereka yang benar.

Lantas, oleh kerana laporan polis telah dibuat, maka marilah kita sama-sama memastikan yang segala ketelusan dan keadilan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam menyiasat kes ini. Tengahari tadi PM Dollah Badawi mengatakan yang biarlah pihak polis membuat penyiasatan, dan memang kita semua mahukan begitu dengan syarat ianya dilakukan dengan setelus dan seadil mungkin tanpa sedikit pun tekanan atau pengaruh dari mana-mana pihak terutama yang memegang kuasa sebagaimana berlaku 10 tahun lalu.

Jika laporan polis dan dakwaan yang dibuat semata-mata bertujuan membunuh karier politik DSAI, siasatan yang telus dan adil bakal membongkar segala-galanya.

Kepada pihak polis dan mereka yang bertanggungjawab, ingat, rakyat jelata sedang memerhatikan dengan penuh teliti perkembangan ini, jangan sampai keyakinan sedikit yang tinggal pada kami itu hilang langsung sehingga rakyat bangkit menuntutnya kembali.

Saturday, June 28, 2008

Berani dan tegas pertahankan kepentingan, atau bagaimana?

Saya bukan bermaksud mahu mengapi-apikan sesiapa tetapi inilah realiti yang sedang berlaku di hadapan kita. Bagi saya jika puak ini berani dan tegas memperjuangkan kepentingan mereka, saya tidak nampak mengapa kita yang berjuang Islam juga tidak boleh turut sama berani dan tegas mempertahankan kepentingan kita.

Ianya berlaku semasa Majlis Perbandaran Seberang Perai sedang bersidang baru-baru ini. Seorang ahli majlis MPSP Teoh Seang Hooi bangkit mencadangkan agar papan tanda jalan-jalan utama dalam kawasan PBT berkenaan menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu. Alasannya bagi memberi kemudahan kepada para pelancong khususnya dari China yang ramai berkunjung ke negeri ini (Pulau Pinang).

Lalu Yang Dipertua MPSP, Farizan Darus yang mempengerusikan mesyuarat itu menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda adalah selaras dengan peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Kemudian Teoh mencelah bahawa perlembagaan yang sama juga menyebut bahawa penggunaan bahasa-bahasa lain juga digalakkan sejajar dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Akhirnya Farizan menyatakan yang beliau perlu merujuk kepada kerajaan negeri terlebih dahulu. Kenyataan Farizan itu mengakibatkan seorang lagi ahli majlis, Oon Neow Soon bangkit meminta secara Farizan secara spesifik menyatakan bila beliau akan mengajukan isu ini ke kerajaan pimpinan KM Lim Guan Eng. Farizan menjawab beliau akan mengemukakannya pada mesyuarat EXCO bulan hadapan.

Mungkin kerana komposisi kaum di Pulau Pinang atau kedudukan politiknya maka Teoh dan Oon mempunyai alasan yang kukuh untuk menuntut penggunaan pelbagai bahasa untuk tanda-tanda jalan di kawasan mereka. Mereka menggunakan kuasa politik untuk membawa perubahan, itulah yang dibenarkan oleh proses demokrasi di negara kita tertakluk kepada beberapa syarat dan peraturan selagi mana ia tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

Tidakkah ini mungkin mendorong orang-orang PAS pula yang duduk dalam kerajaan di negeri-negeri lain untuk turut menuntut perlaksanaan cita-cita perjuangan mereka. Mereka juga ada kuasa politik, kalau di Pulau Pinag boleh mengapa pula di Kedah, Perak dan Selangor tidak boleh, atau bagaimana?

Setakat pengalaman yang ada pada PAS sebelum ini, apabila Pemuda PAS menyebut mahu memperkenalkan siyasah syariah di dalam pentadbiran di negeri-negeri Pakatan, mereka telah diingatkan bahawa Pakatan Rakyat kononnya ditubuhkan atas dasar Malaysia ini sebuah negara sekular sebagaimana yang diberi amaran oleh Penasihat DAP dalam akhbar The Star, Isnin, Jun 16:

PAS Youth's proposal to implement an Islamic administrative system in Pakatan Rakyat states is totally unacceptable, said DAP adviser Lim Kit Siang. Lim said it was not in line with Pakatan Rakyat’s promise to uphold the secular concept.

“There should be no attempt to introduce Islamic state or hudud laws,” he said.

(Tuntutan Pemuda PAS untuk melaksanakan sistem pentadbiran Islam dalam negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak dapat diterima sama-sekali, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang. Kata Lim lagi ianya tidak selaras dengan janji Pakatan Rakyat untuk menjunjung konsep (negara) sekular.

"Tidak harus ada sebarang usaha untuk memperkenalkan Negara Islam atau hukum hudud, tambah beliau)

Mungkin banyak yang perlu dikaji dan diperhalusi oleh semua pihak diperingkat ini, wallahualam.

Cikgu Pa orang lama, "blogger" baru

Dato' Mustapha Ali , Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu kini sudah memiliki blog nya sendiri. Sila kunjungi:



untuk mendapatkan ulasan dan pandagan hebat dan padat dari pemimpin verteran PAS ini.


Tahniah Dato' semoga ramai yang dapat memanfaatkan blog Dato' itu.

Friday, June 27, 2008

Asal-usul isu “Ketuanan Melayu”

Apa yang saudara rasakan apabila kita menyebut berkenaan “Ketuanan Melayu”?

Mungkin ada diantara kita yang tidak berapa ambil pusing malah memandang kecil dan tidak significant isu ini. Mungkin ada yang merasakan ia lebih berbau perkauman harus dilarutkan dengan perkembangan semasa. Dan mungkin juga ada yang merasakan ianya penting dan perlu dipertahankan.






Saya adalah seorang Melayu yang beragama Islam, hidup dan dibesarkan dalam keluarga Melayu dan sudah semestinyalah terdedah dan sering diberitahu dan berbincang berkenaan perkara ini. Walaupun demikian saya sebagaimana yang lain tidaklah hidup dalam kepompong kemelayuan semata-mata, realiti negara kita yang berbilang kaum mengakibatkan terpercik dan tercelup hubungan dan interaksi dengan kaum-kaum lain dalam negara.

Ringkasnya kita akur dan berbangga sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, dan dalam waktu yang sama merai dan menghormati kehadiran kaum-kaum lain sebagai rakan-rakan sewarganegara.

Lantas apabila ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang mengemukakan soalan berikut di Dewan Rakyat, apa agaknya reaksi anda?

Tuan Lim Kit Siang minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah yang beliau ambil untuk memupuk objektif Bangsa Malaysia sejajar dengan Wawasan 2020 memandangkan masalah polarisasi kaum kini semakin memburuk berikutan dengan bunyi riuh komunal mengenai “ketuanan Melayu” atau “kedaulatan Melayu”.

Apa yang anda faham dengan konsep “Ketuanan Melayu” yang dijaja sejak sebelum Merdeka apabila datuk-nenek kita mula menerima rakan-rakan dari Cina dan India yang datang berhijrah ke Tanah Melayu sebagai sebahagian dari mereka? Ianya mempunyai rantaian sejarah yang panjang sehingga akhirnya atas semangat persaudaraan, tolak-ansur dan berbaik sangka orang-orang Melayu bersedia bukan hanya menerima rakan-rakan bukan Melayu tadi sebagai warganegara yang setaraf dengan mereka malah nama Tanah Melayu pun diubah dari Malaya dan kini Malaysia untuk melambangkan penerimaan orang-orang Melayu terhadap rakan-rakan baru mereka ketika itu. Sesungguhnya banyak “adjustments” telah dibuat oleh orang-orang Melayu yang berkorban demi berkongsi tanah air ini dengan rakan-rakan baru mereka.

Adakah menyorot kembali persitiwa sejarah ini menjadikan saya seorang yang komunal, racist, asobiyah (yang sering disalah erti) atau seorang Muslim gred rendah? Saya rasa tidak kerana apa yang dinyatakan di atas adalah sejarah, dan saya yakin wakil Ipoh Timur juga insaf dan sedar akan hakikat itu.

Memang selama ini isu “Ketuanan Melayu” ini banyak dimain oleh Umno kerana Umno menganggap hanya mereka satu-satunya parti yang membela bangsa Melayu. Ketuanan Melayu bukan bikinan dan milik Umno, Ketuanan Melayu adalah satu tuntutan sejarah yang lahir sebagaimana digambarkan di atas. Seorang yang menyentuh isu Ketuanan Melayu, tidak menjadikan ia Umno sebagaimana Ketuanan Melayu itu sendiri bukan hak dan kepunyaan Umno semata-mata.

Lalu membangkit dan mempertikaikan apalagi menuntut untuk dihapuskan sama-sekali apa yang telah dibina oleh sejarah peradaban bangsa kita ini, saya kira bukan hanya akan mencetuskan ketidakselesaan, kebimbangan dan mungkin juga kemarahan orang-orang Umno, tetapi sebenarnya menusuk dan menikam hati kecil semua orang-orang Melayu yang sebenarnya telah banyak berkorban untuk mewujudkan apa yang kita ada pada hari ini.

Apa dia Ketuanan Melayu iu sebenarnya?

Banyak perbahasan dan forum telah membincangkan isu ini, namun tiada pentafsiran yang jelas dan boleh diterima semua, ia kelihatans erring berubah-ubah. Orang Melayu dari segi sejarahnya bersedia menerima rakan-rakan baru tadi, tetapi tidaklah sampai keperingkat menghakis dan memadamkan identiti mereka sebagai anak-anak asal bumi ini. Mereka bertolak-ansur, tetapi mereka juga menuntut jaminan bahawa hak dan status mereka tidak sekali-kali akan hapus. Kerana itu Perlembagaan Negara menggariskan beberapa peruntukkan yang menjamin kelangsungan ini termasuklah dalam bab Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu, hak istimewa orang-orang Melayu, Raja-raja Melayu malah sehingga perlembagaan negeri-negeri menetapkan yang Ketua Negeri yakni Menteri Besar mestilah dari kalangan orang-orang Melayu.

Umno mungkin telah menakut-nakutkan bangsa lain atau memberikan gambaran hodoh selama ini berkenaan konsep ini, itu masalah mereka. Tetapi saya yakin orang-orang Melayu belum bersedia sampai keperingkat menidakkan konsep ini dan menggantikannya dengan konsep yang sebagaimana dibayangkan oleh wakil Ipoh Timur itu.

Kita sudah hidup lebih 50 tahun dalam Malaysia yang merdeka ini, konsep ini dan segala apa yang terkandung dalam Perlembagaan Negara dan amalan serta adat-budaya kita sudah pun dihadamkan oleh semua, apakah yang penting sangat sehingga kita menuntut untuk menghapuskan apa yang telah dibina dari persepakatan datuk-nenek kita dahulu itu?

Saya tertarik membaca satu artikel berkenaan isu ini yang ditulis oleh Uncle Husein (dalam bahasa Ingeris), anda mungkin bersetuju dengannya dan mungkin juga tidak, berikut petikannya:

Accepting Ketuanan Melayu, meaning to accept Malay leaders or to prioritize Malay leaders in states or national government actually are not supposed to bring any harm to other races and religions. To agree with Ketuanan Melayu just means to respect Malays and their late forefathers who are the native races in Tanah Melayu. Therefore, Malay culture and their official religion (Islam) are given special rights and protection in Malaysia. Ketuananan Melayu does not block the freedom of cultural and religious practices in Malaysia. The history has proven that Christianity, Buddhism and Hinduism are freely practiced until now in Malaysia. (Exclusion: No Muslims can religious convert) Religious tolerance is very well practiced. Moreover, academic and economic opportunities are given to all races in Malaysia. Everyone can be educated and rich as long as they make efforts. Ketuanan Melayu does not harm non-Malays.

Juga beliau menulis:

Ketuanan Melayu is not UMNO’s creation or a play-play thing. The real symbols of Ketuanan Melayu which still exist until these present day are the continuity of hierarchy of Raja-Raja Melayu in every state excluding Pulau Pinang, Negeri Sembilan and Melaka. The existence of the position of Raja-Raja Melayu until now resulted from the efforts of Malay people to sustain their cultural heritage. Every Raja Melayu is the head of Malays in the state, represents the community of Malays and their privileges. This unique Ketuanan Melayu concept is what has maintained Islam as the official religion and give Islam a specialty in terms of governmental policy and mainstream media which other kinds of religions in Tanah Melayu don’t have. That is why only Islamic sermons are given special permission in the governmental and mainstream media. However, not to be mistaken, this specialty give to Islam (as a result of Ketuanan Melayu) doesn’t prohibit the spreading and practice of other religions in Tanah Melayu. Therefore, Raja-Raja have the honor right to elect someone right for Menteri Besar (eg: Perak, Terengganu, Perlis) and to ask for changes in the state governments in order to preserve the privilege of Islam and Ketuanan Melayu.Thus, questioning Ketuanan Melayu doesn’t mean to seek fight with UMNO Malays but actually to dispute the leadership and relevance of Raja-Raja Melayu. Once Ketuanan Melayu has been questioned and disputed by certain people, the whole Malays in Malaysia are involved regardless who they are whether PAS,PKR or UMNO. Raja-Raja Melayu represent Malays and All Malays stands behind the Raja-Raja Melayu as the symbol of Malay nativity, unless there are Malays now who disbelieve their kings and deny the relevance of Raja-Raja Melayu.

Saya merasakan apa yang ada ini sedikit pun tidak menganggu-guggat keselesaan rakan-rakan kita, apa lagi menyakit dan menyusahkan mereka. Hargailah warisan sejarah kita dan perjuangan mereka yang terdahulu. Marilah bersama kita bina Malaysia yang sejahtera dan maju berdasarkan apa yang telah sedia ada dan akan kita pertahankan bersama.
Guan Eng vs Azizan

Isunya mudah. Kedah perlukan hasil untuk menguruskan negerinya. Kedah bukan seperti Pulau Pinang, Perak atau Selangor yang rata-rata berupaya berdiri di atas kaki sendiri serta memiliki "reserve" kewangan. Kerajaan Persekutuan telah berjanji akan membayar kerajaan negeri RM100 juta setahun kerana memelihara kawasan tadahan airnya di sekitar kawasan hutan simpan Ulu Muda. Malangnya sejak dari BN berkuasa dahulu khabarnya hanya sekali bayaran itu dibuat ketika Syed Razak menjadi MB dan sejak itu tiada bayaran lagi yang dibuat.

Lalu kerajaan negeri setelah membuat kajian dan mendengar pandangan dari pakar-pakarnya memutuskan untuk melakukan proses pembalakan di sebahagian kawasan berkenaan dengan impak paling minima ke atas alam sekitar.

Saya percaya rakyat negeri Kedah dibelakang keputusan kerajaan negeri memandangkan kemelut yang ditanggung oleh kerajaan kerana mewarisi kerajaan dari BN. MB ustaz Azizan di dalam akhbar NST hari ini dipetikn sebagai berkata:

Why is everone so kalut (panicky)?

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah antara orang pertama mengeluarkan kenyataan membantah keputusan kerajaan negeri Kedah itu. Alasannya sumber air Pulau Pinang datangnya dari kawasan berkenaan dan beliau bimbang ianya akan terjejas. Dalam kenyataannya semalam Guan Eng melemparkan pelbagai tuduhan dan kenyataan keras terhadap Azizan termasuklah bahawa kerajaan BN dahulu pun tidak berani melakukannya kerana bimbang kepada sentimen rakyat, tetapi Ustaz Azizan sanggup. Selain itu Guan Eng turut mendakwa Azizan telah bersetuju menyerahkan konsesi balak di kawasan berkenaan kepada sebuah syrikat yang mempunyai hubungan baik dengan BN.

Menurut laporan beliau berkata:

Tidak sangka kerajaan Kedah sanggup bekerjasama dengan syarikat pembalakan dari Sarawak sedangkan dari segi politik mereka adalah mush.

Berhubung hal itu Azizan berkata:

Tidak salahnya walaupun syarikat pembalakan itu dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan BN. Malah kebanyakan syarikat di negara ini baik dengan BN.

Berbalik kepada isu utama, semua pihak perlu menyedari keadaan yangs edang dialami kerajaan Kedah, apakah Pulau Pinang atau negeri-negeri lain sanggup membantu dengan menghulurkan RM100 juta setahun sebagaimana dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan kepada Kedah itu bagi meringankan beban mereka?

Saya melihat kritikan secara terbuka oleh pemimpin kerajaan negeri Pakatan terhadap pemimpin Pakatan di negeri lain seumpama ini sesuatu yang tidak sihat, sebagaimana diulas oleh penganalisa politik Khoo Kay Peng dalam runagannya di akhbar The Star:

Pakatan Rakyat must develop a harmonious internal decision making process
(PR perlu membentuk satu proses membuat keputusan dalaman yang harmoni)


Masing-masing negeri memiliki hak untuk menentukan sesuatu yang baik untuk negeri dan rakyat mereka. Mengkritik secara terbuka apalagi mempertikaikan keputusan dan membangkitkan syak wasangka yang negatif hanya akan mengeruhkan hubungan sesama Pakatan. Saya hairan bagaimana Guan Eng boleh memperlekehkan keputusan Azizan itu dengan menyatakan yang keputusan yang diambil itu: "....is the result of lack of advice (keputusan dibuat hasil dari kekurangan nasihat).

Dari BN terus mengeksploitasi isu ini, lebih baik Guan Eng memohon maaf kepada Azizan dan pihak tertinggi Pakatan perlu segera memikirkan garispanduan hubungan dan kerjasama sesama kerajaan negeri agar perkara yang malang seumpama ini jangan berulang lagi.

Thursday, June 26, 2008

Lagi kes berebut mayat

Muncul satu lagi kes berhubung tuntutan mayat. Kini di Bagan Serai dan dibawa ke Mahkamah Tinggi Georgetown.

Kesnya, simati seorang penjual kereta terpakai B. Elangesvaran 33, telah meninggal dunia lima hari lalu. Apabila warisnya menuntut mayat tersebut untuk disempurnakan menurut amalan Hindu dari Hospital Parit Buntar, tiba-tiba mereka dihalang kerana Jabatan Agama Pulau Pinang mendakwa yang simati telah memeluk agama Islam Julai tahun lepas dan diberi nama Harun Benedict Abdullah. Jabatan Agama Pulau Pinang mengarahkan pihak hospital agar menyerahkan mayat tersebut kepada Jabatan Agama Islam Perak untuk disempurnakan.

Sudah seharusnya kita prihatin jika benar simati telah peluk Islam, maka wajarlah mayatnya juga disempunakan mengikut peraturan Islam sebagaimana dalam kes Allahyarham Sarjan Moorthy dahulu. Tetapi dalam kes ini kita perlu berhati-hati dan pihak Jabatan Agama perlu sisat agar tidak menimbulkan fitnah terhadap Islam.

Menurut laporan mayat simati diserahkan ke hospitla untuk dibedah-siasat dan beliau disahkan mati kerana "membunuh diri"!

Menurut waris beliau, S. Selvam, yang membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi, simati selama hayatnya tidak pernah mengamalkan hidup sebagai seorang Muslim malah hidup dan mati dalam agama Hindu. Dalam hal ini kes Nyonya Tahir, dimana pihak berkuasa agama bersetuju menyerahkan mayat simati ke warisnya yang beragama Buddha perlu diambil kira, tambahan simati dalam kes ini disahkan mati membunuh diri.

Sekali lagi kita terpanggil untuk menuntut agar pihak berkuasa agama khasnya yang terlibat dalam urusan mengislamkan saudara-saudara baru ini agar mengambil berat dalam isu ini dan memiliki sistem yang teratur bagi membuat susulan dan pemantaun agar mereka yang telah memeluk Islam terus dibimbing dan dibela kebajikannya. Sampai bila kita mahu berhadapan dengan kes-kes yang memalukan seumapama ini.
Agenda jahat terhadap Islam

Tidak ada akhbar tempatan yang terus memain dan mensensasikan isu ini selain The Star. Di muka hadapannya hari ini dipaparkan gambar berikut meliputi satu pertiga ruangannya dengan tajuk: Turban legends on the road


Sejak penguatkuasaan penggunaan topi keledar ke atas penunggang dan pembonceng motorsikal dikuatkuasakan puluhan tahun dahulu, sehingga kini ia tidak pernah menjadi isu. Semua diwajibkan menggunakan topi keledar, namun ada beberapa segmen yang diberikan pengecualian termasuklah penganut Sikh yang mengamalkan pemakian serban mereka dan umat Islam yang "haji" atau "lebai".

Kes ini kini menjadi perhatian apabila seorang anggota polis trafik menyaman seorang murid sekolah pondok di Pasir Tumbuh Kelantan kerana tidak memakai topi keledar dan sebaliknya mengenakan serban. Anggota trafik berkenaan membuat kesimpulan bahawa Ahmad Nasir Darus tidak termasuk dalam segmen yang diberikan pengecualian itu. Ahmad Nasir kini mencabar saman itu dan kes ini sedang didengar di Mahkamah Majistret Kota Bharu (yang kebetulan Majistretnya adalah Puteri kepada Sultan Kelantan).

Sementara itu Ketua Polis Kelantan mengeluarkan arahan agar anggotanya tidak lagi mengeluarkan saman terhadap kes yang sama sementara menunggu penjelasan ebenar darihal pengecualian ini dari Bukit Aman.
Saya hairan kenapa The Star terus mensensasikan kes ini, lalu apabila mengunjungi blog Ketua Pengarangnya, Wong Chun Wai barulah terserlah agenda pihak berkenaan. Wong menulis dalam posting diblognya:
The question here is that Sikhs wear the turbans for religious reasons. For Muslims, is it a religious obligation to wear serbans? Or merely tried to look pious and look Arab?
(Solanya di sini, kaum Sikh mengenakan serban atas alasan agama. Untuk umat Islam, adakah ianya tuntutan agama untuk berserban? Atau adakah semata-mata kerana mahu dilihat alim atau dilihat bagaikan Arab?)

Untuk makluman Wong ini bukanlah seorang yang tidak faham atau kenal akan kepercayaan dan amalan umat Islam kerana beliau adalah lulusan sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, pasti semasa menuntut beliau terdedah dengan amalan para pelajar Islam di sana, tetapi mengapa beliau seolah mempertikaikan amalan berserban ini?
Semua umat Islam yang beramal dan berilmu tahu akan tujuan berserban ini, saya bimbang apa yang cuba dibangkitkan oleh Wong ini nanti dikongsi pula oleh mereka yang lain termasuklah yang jahil dikalangan umat Islam. Dengan mengawal akhbar yang paling luas edarannya di Malaysia, Wong memiliki ruang untuk mempengaruhi dan memberi gambaranb negatif dan jahat seumpama ini, lalu apa yang harus kita lakukan?

Wednesday, June 25, 2008

Lagi-lagi kes pengundi mati

Sebentar tadi kira-kira jam 10.30 pagi saya sempat mengikuti siaran langsung persidangan Dewan Rakyat. Ketika itu wakil Tuaran (BN) mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri di JPM, Nazri Aziz. Beliau bertanya apakah usaha pihak kerajaan untuk memberishkan daftar pengundi induk dari nama-nama mereka yang telah meninggal dunia.

Ini saya percaya adalah suatu kebimbangan yang menghantui banyak pihak, kecuali mereka yang memperolehi manfaat darinya entah atas apa sebab sekalipun. Kehadiran nama-nama pengundi yang telah meninggal dunia, sudah pasti meresahkan parti-parti yang bertanding, takut-takut kalau ada pihak yang akan hadir mengundi menggunakan nama mereka.

Jawab Pak Menteri, di Malaysia ini setiap minit ada orang meninggal dunia (seolah orang yang meninggal dunia di Malaysia, mati begitu sahaja dan ditanam tanpa pengetahuan pihak berkuasa). Kata beliau lagi ianya "beyond human capacity" untuk memantau kematian ini, walaubagaimanapun pembersihan berkala ada dilakukan oleh pihak SPR dengan syarat mereka dimaklum darihal kematian berkenaan.

Saya hairan mengapa jauh sekali tersasar jawapan menteri berkenaan, sedangkan soalan yang ditujukan sungguh spesifik dan tidak memerlukan dolak-dalik lagi.

Di Malaysia siapa sahaja yang meninggal dunia tidak dikambus atau dibakar begitu sahaja tanpa pengetahuan orang lain. Paling tidak suatu laporan kematian perlu dibuat di balai polis berdekatan, jika tidak waris atau sesiapa sahaja yang menguruskan jenazah tidak dapat menyempurnakannya. Lantas apa masalahnya?

Jika daftar kematian di bali-bali polis ini boleh di "online" kan dengan JPN dan SPR, selesai masalah. Jika ada kemahuan pasti ada jalan, soalnya tidak siapa yang peduli kerana apa yang ada ini sudah menguntungkan satu pihak.
Biarkan Kelantan Membangun Bersama Islam

Sudah 18 tahun PAS menerajui Kelantan, mulanya bersama kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah, kemudiannya bersendirian dan kini kerajaan Pakatan Rakyat. Selama 18 tahun itu pelbagai usaha serius dijalan dan diperkenalkan dalam usaha kerajaan negeri merealisasikan slogannya "Membangun Bersama Islam".

Antara pencapaian terbaik Kelantan adalah berjaya mengekalkan rekod urustadbir yang bersih dan telus sehingga kehari ini.

Selain itu Kelantan juga dari masa kesemasa memperkenalkan peraturan berhubung-kait dengan isu dan persoalan moral demi memelihara rakyat dan penduduknya agar menepati cara hidup Islam sebagaimana yang dituntut oleh agama. Banyaklah yang telah diperkenalkan dari mengharamkan kegiatan judi "berlesen" sehinggalah mengawal kedai-kedai yang menjual arak serta garispanduan hiburan dan lain-lain termasuk kod etika berpakaian di kawasan PBT.
Dan seiringan dengan itu ianya juga merupakan suatu kebiasan juga yang setiap perkara seperti ini diperkenal atau dikuatkuasa maka tatkala itu jugalah akan ada pihak-pihak yang melenting, menetang dan lebih sedih lagi mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat dan cemuhan bagi merendah-rendah dan memperlekeh usaha kerajaan negeri itu.

Terbaru MPKB-BI kononnya mengeluarkan arahan baru berhubung kod berpakaian wanita yang bekerja di premis-premis perniagaan di dalam kawasan PBT itu, bahawa mereka dilarang mengenakan "lipstick" yang "striking", kasut tumit tinggi yang mengeluarkan bunyi ketika berjalan, perlu mengenakan tudung labuh dan lain-lain.

Belum pun sempat mana-mana pihak mendapatkan penjelasan, maka terbitlah pemuka-pemuka yang sememangnya tidak pernah mengiktiraf mandat politik yang diberikan oleh rakyat Kelantan kepada PAS, dengan tohmahan dan pertuduhan masing-masing. Peguam Haris Ibrahim menulis dalam blognya: "Selamat datang ke Darul al Taliban", Pengurus program Sisters in Islam mendakwa yang arahan terbaru ini bertentangan dengan janji PAS untuk menggugurkan agenda Islam melalui Pakatan Rakyat (bila pula PAS berjanji demikian?), Menteri Wanita Ng Yen Yen mendakwa PAS terus menyanyikan lagu-lagu lama, Ivy Josiah dari WAO menyatakan bahawa langkah ini merupakan suatu mimpi ngeri yang berulang, kerana ini bukan kali pertama Kelantan mengekang hak wanita.

Sebelum ada lagi pihak yang seangkatan dengan gereombolan yang memang tidak pernah senang hati dengan kerajaan "Membangun Bersama Islam" di Kelantan berikut saya berikan petikan dari surat terbaru MPKB-BRI itu:

ARAHAN MEMATUHI ETIKA BERPAKAIAN

Adalah dimaklumkan bahawa para pekerja yang mengendalikan premis makanan dan bukan makanan dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandara Raya Islam hendaklah menutup aurat bagi yang beragama Islam manakala yang bukan Islam hendaklah berpakaian sopan ketika menjalankan aktiviti perniagaan. Arahan ini selaran dengan syarata lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlsesanan MPKB-BRI.

Surat yang ditandatangani YDP MPKB-BRI itu jelas bukan merupakan peraturan atau arahan baru tetapi memperingatkan pertauran yang telah sedia ada. Menurut maklumat memang bersama surat berkenaan disertakan pamphlet bertajuk:

MPKB-BRI cakna anak muda

yang terkandung di dalamnya contoh-contoh pakaian wanita Muslimah dan contoh-contoh pakaian yang salah. Ianya bukan pertauran baru tetapi kempen menggalakkan anak-anak muda khasnya wanita Muslimah agar berpakaian menurut syariat Islam.

Jika ianya merupakan kempen sedemikian, lalu apa hak Harris Ibrahim, SIS, Ng Yen Yen, Ivy Josiah dan lain-lain mahu memperkecil dan menentangnya "unless you are all against anything that sounds "Islamic"!

Bagi saya MPKB-BRI dan kerajaan negeri sedang dalam proses mendidik rakyatnya agar menjadi masyarakat yang bermoral dan menepati tuntutan syariat. Ianya bukan suatu tugas yang mudah dan ternyata tidak langsung diberi penekanan di tempat-tempat lain. Biarlah Kelantan melakukannya, kerana rakyat Kelantan yang memberi mandat kepada kerajaan ini tahu dan sedar bahawa kerajaan ini mahu "Membangun Bersama Islam".

Monday, June 23, 2008

Menghargai warga pesara kita

Saya membaca dengan penuh faham kemelut yang dihadapi oleh warga emas Malaysia yang telah pun bersara dari perkhidmatan awam. Dalam kahbar NST hari ini dilaporkan masalah yang dihadapi oleh golongan pesara ini dalam mengharungi kenaikan kos hidup yang bukan sahaja menekan mereka yang mendapat gaji penuh bulanan, lebih-lebih lagi mereka yang bergantung harap dari pencen bulanan kerajaan.

Mereka menuntut agar elaun sara hidup atau COLA yang turut dibayar kepada mereka sebelum ini sehingga ia dihentikan kira-kira 28 tahun dahulu iaitu pada tahun 1980 agar dbayar kembali. Ini saya yakin dapat meringankan beban mereka, yang kebanyakkannya hidup samada sebatang kara atau menghabiskan sisa tua masing-masing dengan isteri tersayang. Benar kebanyakan mereka mempunyai anak-anak yang telah dewasa, tetapi sebagaimana kata orang dua orang ibu-bapa boleh membela dan memelihara anak-anak tetapi seorang anak belum pasti dapat melakukan yang sama terhadap ibu-bapa mereka.

Tambahan suasana hari ini memungkinkan apa sahaja wang saku dari anak-anak mungkin turut sama terjejas.

Mereka ini rata-rata telah berkhidmat antara 20-30 tahun dengan kerajaan dan ada yang mungkin lebih dari itu. Jasa mereka jangan dilupakan, tambah dalam keadaan susah ini, merekalah yang antara pertama yang akan terjejas hidupnya.

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia juga menuntut agar kadar pencen dibayar tidak lagi berasaskan separuh dari gaji pokok terakhir, sebagaimana diamalkan sekarang tetapi jika boleh dinaikkan. Di Korea Selatan, Cina dan Jepun mereka menerima 80% gaji pokok terakhir sebagai pencen manakala di Sri Lanka dan negara jiran Singapura mereka menerima 80%.
Kalau tidak pun boleh 100 atau 80% sekurang-kurangnya kenaikan 10% juga saya percaya akan banyak membantu mereka.
Jangan jadi Bal'am bin Ba'ura

Telah dibawa keperhatian saya darihal seorang blogger yang kebelakangan ini banyak membocorkan rahsia-rahsia berkenaan PAS dan pimpinannya yang disulamkan dengan "half truth" dan fakta yang tidak tepat dan berbaur fitnah.

Saya secara peribadi berpegang teguh kepada prinsip kebebasan bersuara walaubagaimanapun dalam hal-hal membabitkan kerahsiaan terutama yang melibatkan gerakan Islam PAS ini saya berharap agar semua pihak berhati-hati dan jika penulis adalah seorang ahli, maka ia akan akur pada salah satu adab berjemaah iaitu kerhasiaan.

Kita mungkin ghairah dengan sedikit maklumat yang dibocorkan kepada kita oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, tetapi apabila kita menulis bagaikan berjalan dalam gelap-gulita, dalam keadaan teraba-raba, saya bimbang kita boleh membahayakan jemaah dan pimpinan yang terlibat tanpa kita sedari. Kecualilah kita memang ada agenda untuk menjatuhkan pimpinan parti dan meranapkan jamaah.

Teguhkan pendirian dan sentiasa mematuhi dan taat pada adab dan disiplin berjamaah, insyallah kita selamat.

Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar [ Do'a Bal'am bin Ba'ura mustajab] . Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israil, setelah selamat daripada Firaun, sampai hampir dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya [berdo'a] untuk mengalahkan Nabi Musa a.s. Bal’am yang pada mulanya enggan berbuat demikian tetapi akhirnya bersetuju juga setelah isteri kecintaannya menerima sogokan daripada Raja [Bal'am kalah dengan pujukan isteri]. Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa a.s. Menurut cerita, doa dan perbuatan Bal’am dimakbulkan Allah s.w.t dan ia menjadi sebab kaum Nabi Musa terperangkap di Padang Teh beberapa tahun lamanya. Apabila Nabi Musa a.s mendoakan agar kaumnya dilepaskan daripada sekatan tersebut, Allah s.w.t memakbulkan doa tersebut dan pada masa yang sama laknat turun kepada Bal’am. [mati dalam keadaan kafir]

Friday, June 20, 2008

Sempena 100 Hari Pakatan Rakyat
(berikut artikel saya yang terbit dalam keluaran khas Harakah)

PAS menyertai PRU ke 12 pada 8 Mac, 2008 lalu dalam keadaan memiliki kerjasama politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Barisan Alternatif. Disamping itu ia juga memiliki persefahaman politik dengan DAP khasnya dalam mengelakkan pertandingan 3 penjuru. PRU ke 12 telah menunjukkan semangat tolak-ansur dan diplomasi politik PAS ditahap yang sangat matang dan membanggakan. Dengan takdir Allah swt, PAS dan rakan-rakan dikurniakan kemenangan bukan hanya berjaya mempertahankan Kelantan yang merupakan kubu PAS sejak tahun 1990 malah berjaya juga menguasai negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Hasil dari kemenangan luar biasa inilah maka disepakati pula dan ditubuhkan Pakatan Rakyat iaitu gabungan kerjasama politik antara parti-parti PAS, DAP dan PKR untuk mentadbir dan menguruskan keempat-empat negeri baru ini bagi menggantikan kerajaan Barisan Nasional.

Bagi PAS sendiri bertapak sebagai kerajaan khasnya di Kedah, Perak dan Selangor walaupun atas nama gabungan ini, merupakan suatu saat yang sangat bersejarah dan bermakna kerana PAS telah bertempur dan berkorban sejak awal tahun 50an lagi di negeri-negeri berkenaan. Sudah tentulah pengorbanan, air mata dan doa mereka yang terdahulu menyumbang ke arah kejayaan ini, dan ianya jangan sekali-kali dilupakan oleh seluruh ahli parti.

PAS kini bukan lagi pembangkang di negeri-negeri baru ini, tetapi PAS sudah menjadi sebahagian dari kerajaan. Di Kedah dan Perak contohnya, PAS memegang jawatan Ketua Eksekutif negeri iaitu Menteri Besar manakala di Selangor tiga orang pemimpin kanan PAS memegang jawatan EXCO dalam kerajaan negeri. Oleh itu pendekatan PAS di negeri-negeri ini perlulah melalui transformasi, bukan lagi sebagai pembangkang seperti dahulu tetapi kini sebagai kerajaan dan pemerintah. Usaha dan tindakan PAS selama menjadi pembangkang sebelum ini kini perlu diterjemahkan kepada perlaksanaan dan gerakerja.

Kerana itu diperingkat ini, dengan kemenangan yang diberikan Allah swt, PAS perlu mengembelingkan tenaga dalamannya untuk memperteguhkan kedudukan disamping memantapkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat ini. Usaha-usaha menambahkan keahlian dan cawangan-cawangan perlu menjadi keutamaan dan dipertingkatkan lipat kali ganda lagi agar parti menjadi semakin mantap dan menyeluruh pengaruhnya dan terus boleh menyumbangkan ke arah penguasaan yang lebih besar selepas ini.

Selain itu PAS perlu menyumbang secara efektif di dalam negeri-negeri yang diwakilinya agar mesej perjuangan PAS tidak luput atau dikompromi dengan kemenangan sementara yang dikurniakan Allah swt ini. PAS bukan "sleeping partner" tetapi PAS adalah rakan kongsi yang aktif dan berperanan. Wakil-wakil PAS di dalam kerajaan dari Menteri-menteri Besar ke ahli-ahli EXCO, ADUN-ADUN, ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampung dan JKKK jangan lupa akan tanggungjawab dakwah mereka dan syarat serta batasan ikatan tahaluf siyasi yang ditarbiyahkan oleh jamaah.

Prinsip perjuangan yang dipertahankan dengan darah dan air mata oleh para pejuang PAS sejak awal penubuhannya, terus-menerus sehingga kini, wajarlah terus menjadi matlamat perjuangan kita dan sentiasa dipertahankan. Di sinilah semua pihak dituntut agar bijaksana dan berhemah dalam memimpin dan memegang amanah agar kerajaan ini dapat terus kekal dan dalam waktu yang sama matlamat perjuangan parti sentiasa terpelihara. Dari situlah nanti kita akan dapat menambat hati dan minat rakyat khasnya masyarakat Melayu Islam dan yang bukan Islam agar memandang tinggi dan menghormati kita sehingga terdorong untuk menyokong kita dimasa-masa yang akan datang.

PAS ditubuhkan sebagai sebuah parti Islam dengan dasar dan matlamat yang jelas dan ia akan terus kekal demikian jika pemimpin dan ahli-ahlinya istiqomah dalam perjuangannya. Kini PAS dikurniakan Allah peningkatan dengan kejayaan di negeri-negeri yang dimaksudkan, disamping harapan positif di negeri-negeri lain termasuklah Terengganu, Pahang, Perlis, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Lantas melalui Pakatan Rakyat, PAS perlu bebas terus memacu mesejnya, dengan menyumbang secara positif ke arah pentadbiran yang telus, bersih dan bertaqwa di negeri-negeri baru ini, semoga nanti yang telah ada terus dikuasai manakala yang baru pula jatuh satu-persatu ke dalam gengamannya.
Jangankan Dr Hasan Ali seorang, seluruh umat Islam wajib!

Ketua Pemuda Umno Selangor di dalam akhbar Sinar Harian hari ini mendesak Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr Hasan Ali agar tampil menyatakan pendirian beliau berhubung sikpa Dewan Pemuda PAS Selangor yang membantah penglibatan Ella dan Mas Idayu dalam konsert sempena Piala Sultan Selangor 6 Julai ini.

Abdul Shukor Idris berkata tindakan menyepi diri Dr Hasan seolah bagaikan seorang jeneral yang membiarkan tenteranya berperang sedangkan ia menyembunyikan diri.






Isu pokok yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Selangor itu adalah kemungkaran yang bakal dibawa dengan kehadiran kedua-dua artis wanita itu (saya tidak tahu sebelum ini tetapi pagi tadi seorang pemanggil menelefon saya memaklumkan yang pernah dalam satu majlis yang diserikan oleh Mas Idayu, para penonton keluar majlis kerana aksinya yang sungguh memalukan dan tidak bersopan). PAS adalah sebuah parti Islam dan oleh kerana ia merupakan sebahagian dari anggota yang membetuk kerajaan Selangor maka tak kanlah ia mahu mendiam diri apabila kerja mungkar seperti ini berlaku.

Langkah Dewan Pemuda Selangor yang tepat ini iaitu sebahagian dari tanggungjawab “amar makruf nahi mungkar” bukan hanya wajar disokong oleh Dr Hassan, Presiden dan Mursyidul Am PAS malah seluruh umat Islam termasuklah Umno juga perlu sokong dan pertahankan!

Saya yakin seluruh kepimpinan PAS Selangor termasuklah Dr Hassan akan berdiri di belakang Dewan Pemuda PAS Selangor dalam hal pokok ini.

Hairan apa pula sikap Pemuda Umno Selangor? Kerana selama ini mereka menyepi diri apabila ada acara-acara seumpama ini sehingga ianya menjadi amalan dan budaya, lantaran itulah apabila mendengar ada parti kerajaan yang berani. bangkit menegur, Pemuda Umno jadi rimas (maklumlah mereka kini pembangkang bukan lagi kerajaan). Kalau Pemuda Umno mahu menjadi relevan memperjuang agama, bangsa dan negara, jangan pilih-pilih hukum dan peraturan Allah, lihatlah apa yang berlaku kepada anda sekarang!

Sementara itu jangan tertinggal dari membaca: "Pendekatan Siasah Syari'yyah di Malaysia Khasnya di Negeri Pakatan Rakyat" nukilan adinda Ustaz Nasrudin Hj Hassan at Tantawi di

http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/
Tiru cara Islam Kelantan: Tok Guru

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat dilaporkan berkata dalam akhbar tempatan hari ini:

“Kami mahukan negeri-negeri Pakatan mencontohi cara urustadbir kerajaan Kelantan dan konsep Bandaraya Islam kami. Islam memperjuangkan kebaikan untuk semua oleh itu kami tidak nampak apa salahanya yang lain mencontohi kami.”





Ternyata PAS telah berjaya bertahan di Kelantan selama lebih 18 tahun iaitu suatu rekod pencapaian paling lama untuk mana-mana parti pembangkang di Malaysia. Slogan yang digunakan oleh kerajaan pimpinan Tok Guru sejak tahun 1990 dahulu sehingga kini adalah “Membangun Bersama Islam”.

Pentadbiran kerajaan negeri di Kelantan menurut laoran akhbar yang sama adalah berdasarkan peraturan Islam disamping menekankan hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam. Bolehkah model Kelantan ini diguna di luar Kelantan?

Thursday, June 19, 2008

PAS akan terus relevan dan kekal

Saya masih ingat semasa satu demi satu senarai kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat diumumkan semasa Muktamar pemilihan yang lalu, ramai teman-teman dari media menyatakan “Wah...Pemuda PAS didominasi oleh Ulamak!”. Saya nyatakan Ulamak bagi PAS penting hadir dimana-mana sahaja, kerana PAS parti Islam maka sandaran kepada Ulamak adalah penting dalam tiap detik dan gerak tindakan kami.

Alhamdulillah hari ini saya sendiri melihat betapa signifikannya kehadiran ulamak-ulamak muda ini dan betapa besarnya peranan mereka di masa hadapan nanti.

Kita tidak dapat menyembunyikan lagi apa yang telah berlaku di Selangor kerana ia realiti. Dewan Pemuda PAS Selangor diketuai ketuanya yang kebetulan seorang ulamak juga, telah menghantar memorandum ke Pejabat MB Selangor (bukan Sultan) menuntut agar tidak diundang dua orang artis “top” wanita tempatan dari hadir membuat persembahan dalam satu acara bolasepak persahabatan tahunan yang dijadualkan pada 6 Julai depan. Ianya mungkar dan kerana PAS menjadi sebahagian dari parti yang membentuk kerajaan di Selangor maka Pemuda memohon agar aspek mungkar ini ditiadakan.

Ekoran dari itu kita semua telah tahu, Tuanku Sultan telah murka dan kini Ketua Pemuda PAS Selangor diaturkan mengadap Tuanku bagi berbincang soal ini. Banyaklah sokongan yang diterima berhubung tindakan Pemuda Selangor itu namun banyak juga yang mengecam, menganggapnya tidak bijak, tidak hikmah, tidak matang dan berbagai lagi.

Sesungguhnya sebak hati saya membaca apa yang ingin saya kongsi di sini, iaitusokongan yang diberikan kepada Pemuda PAS Selangor oleh rakan-rakan pimpinan mereka diperingkat Pusat yang bertaraf ulamak itu. Berikut saya siarkan apa yang saya petik dari blog adinda Nik Abduh Nik Abd Aziz (yang sangat menyentuh hati saya):


Saya diminta mengulas perihal apa yang teman - teman dalam Dewan Pemuda PAS Selangor telah lakukan sehingga berkocak juga ‘ketenangan’ yang tengah dinikmati dan diimpikan selalu dalam Pakatan Rakyat.

Soalan mereka kepada saya bukan banyak pun. Soalan biasa kepada seorang yang bergelar ustaz macam saya. Berhikmahkah cara itu? Ya, ada satu lagi soalan lain yang mungkin sekadar membayangkan keresahan bahawa ketenangan dalam Pakatan Rakyat itu mungkin tak akan bertahan lama. Bunyi soalan, bagaimana nak layan dan memahamkan mereka ( regu dalam PR )?

Saya jawab begini, hikmah itu cara melaksanakan hukum. Bincang dan fahami hukum dulu. Tuhan berkata, ” Serulah ( berdakwahlah ) kepada jalan tuhanMu dengan hikmah dan peringatan yang baik.”

Allah menyuruh kita berdakwah. Wajib berdakwah. Dakwah itu adalah seruan kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar.
Tuhan berkata, ” Dan hendaklah ada ( wajib ) daripada kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar.”

Kemudian Dia menyuruh lagi. Laksanakan hukum tersebut dengan cara berhikmah dan peringatan yang baik. Oleh kerana ia juga suruhan, maka cara itu pun jadi wajib. Wajib berdakwah secara berhikmah. Justeru tak berdakwah adalah salah dan berdakwah secara tidak berhikmah adalah salah juga.

Bila Dia menyuruh, maka suruhanNya adalah dengan al haq dan berhikmat. Bila Dia melarang, maka laranganNya adalah dengan al haq dan berhikmah juga. Dua - dua itu adalah demi maslahat hambaNya.

Apa itu kebaikan, makruf dan mungkar yang wajib didakwah kepada dan daripadanya itu? Mudah sahaja. Ada tersebut di dalam al Quran dan al Hadis. Jika tidak dinyata secara khusus dan jelas, cukuplah fitrah yang suci ( dengan iman ) mengenalinya.

Makruf ertinya dikenali kebaikannya oleh fitrah yang suci. Mungkar ertinya tidak dikenali dan diingkari kebaikannya oleh fitrah yang suci.

Justeru kewajiban setiap muslim adalah memilih, menyeru dan menyuruh manusia kepada yang baik serta menolak dan melarang daripada yang yang tidak baik.
Kemudian, apa itu secara hikmah dan peringatan yang baik?
Ia soal kebijaksanaan. Ia soal menggunakan akal dan petunjuk akal.

Sebijak - bijak akal ialah akal Nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Sebab utamanya adalah kerana ia adalah akal yang ditunjuki wahyu dan dimaksumi daripada kesalahan.

Maka hikmah yang pertama adalah dengan meniru dakwah cara Baginda. Susahkah diperolehi? Mudah sahaja. Tiada perihal yang dihikayatkan di dunia ini melebihi hikayat Baginda dan sirah kehidupannya.

Justeru jangan anda memahami hikmah itu bermaksud otak aku atau otak engkau! Cara aku dan cara engkau! Jikalah begitu, hancur luluhlah dakwah di jalan Allah.

Hikmah bermaksud cara dakwah seperti dakwah nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam. Cedok daripada sirah dan petunjuknya menggunakan akal anda yang diberi petunjuk.
Jikalah cara berdakwah itu diserahkan kepada akal semata - mata, pasti akan saling bercakaranlah sesama kita, akan saling tuduh - menuduhlah sesama kita, akan saling lebih - melebihlah antara kita dan akan saling label - melabellah sesama kita tanpa petunjuk yang menunjuki. Kita sudah ada nabi, keluarganya, para sahabatnya dan para ulama yang penuh bijaksana.

Sekarang, saya bertanya anda, adakah jenis hiburan yang ditentang oleh Dewan Pemuda PAS Selangor itu samar - samar hukumnya? Saya yakin hukumnya jelas di sisi setiap muslim yang berpetunjuk dengan al Quran dan al Hadis dan yang fitrahnya suci juga. Ia adalah perkara mungkar. Hukumnya wajib ditegah. Kemudian bagaimanakah cara menegahnya? Adakah cara menghantar memorandum bantahan itu berhikmah atau tidak? Kenakah ia dalam suasana semasa yang memerlukan pertimbangan paling baik?

Saya tinggalkan anda di sini. Bukan kerana tak berjawaban atau tak mahu memberikan anda jawaban. Saya hanya mahu tegaskan bahawa hikmah itu kesucian dalam petunjuk nabawy dan akal yang rasyid. Allah memberkati akal yang beriman kepadaNya.

Tetapi saya tidak mungkin meninggalkan mereka yang menolak, membangkang, meremehkan dan ‘menghukum’ tindakan DPP Selangor itu sebagai tidak berhikmah. Bagaimana mungkin saya membiarkan mereka begitu sahaja sehinggalah saya memperolehi jawaban yang saya perlukan demi cara dakwah yang yang ‘lebih betul’ daripada mereka.

Saya ingin bertanya mereka, dimanakah dalil yang digali daripada petunjuk ar Rasul bahawa cara DPP Selangor itu tidak berhikmah? Atau jika tiada, bagaimanakah hujahan akal yang rasyid yang begitu diberkati untuk menafikan dan menolak lilitan hikmah pada menghantar memorandum bantahan itu?

Anda hanya ada tiga, iaitu tangan, lidah dan hati dalam menentang kemungkaran. Pancarkan hikmah di tangan atau lidah anda melebihi hikmah di tangan dan lidah DPP Selangor.

Jika anda berhikmah sekadar dengan hati, nyahlah anda daripada persada perjuangan. Perjuangan cukup memeritkan jika bersandar pada iman yang lemah. Ia bukan sekadar melemahkan, bahkan menyesatkan.

Sekadar berkongsi pengalaman, saya pernah menyertai demontrasi membantah majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu anjuran pegawai PTN Kelantan yang diseliti majlis nyanyian oleh seorang artis wanita popular kurang 10 tahun yang lepas. Ia dihadiri ratusan orang yang kebanyakannya adalah pemuda - pemuda Islam yang penuh semangat anti kemungkaran. Berlaku penangkapan dan saya sempat menyelit dicelah keramaian melarikan diri ( takut le ) selepas memberikan selibas ucapan ‘ganas’. Kejadian disiarkan sebagai tajuk utama sebuah akhbar perdana keesokannya.

Ayahanda adalah MB. Kami berdemontrasi menentang tindakan pegawai kerajaan yang ayahanda adalah ketuanya. Selepas pulang daripada ‘persembunyian’ beberapa hari kemudian, ayahanda menyapa, “Inilah kerja anak muda yang ayah suka.” Wow, aku dapat markah!

AlhamduliLlah, Pegawai PTN belajar banyak daripada tindakan berani kami dan kami belajar pula erti berhikmah dalam dakwah.

Hikmah bukan bererti lembut. Hikmah itu lembut dan keras.
PAS adalah sebuah gerakan Islam. Kerjanya bergerak dan menggerakkan ke arah keagungan Islam. Ia bergerak menyatukan umat Islam di dalam Islam. Keagungan adalah dengan bersatu di dalam Islam. Kerja PAS adalah dakwah dan geraknya adalah gerak dakwah. Hikmah terbesar di dalam PAS adalah istiqamah. Ia tidak layu ketika rakan - rakannya layu. Ia bertahan ketika diasak dan ia bergerak ketika ruang diberi.

Yakini, selagi istiqamah pakaian PAS, hikmah adalah jahitannya.

Berikut pula saya ambil dari blog adinda Nasrudin Tantawi:


Dewan Pemuda PAS Pusat , malah seluruh pemuda Islam sangat konsisten dalam menentang dan membantah apa jua aktiviti dan penganjuran yang bersifat maksiat dan mengundang murka ALlah swt.

Sewaktu Kerajaan UMNO dan BN menganjurkan pelbagai konsert hiburan yang keterlaluan seperti Konsert Dangdut Goyang Gerudi Inul Daratista , Scorpion dan lain - lain , Dewan Pemuda PAS Pusat turun menggerakkan setiap insan yang perihatin terhadap kesan langsung dari konsert seperti ini kepada indeks keruntuhan akhlak dan moral masyarakat untuk keluar membantah.

Bantahan tersebut bukan kerana ia ia diluluskan oleh kerajaan UMNO dan BN tetapi kerana aktiviti itu adalah nyata tidak menepati kehendak syara' dan kami tidak boleh berkompromi dalam perkara yang boleh mengundang murka Allah swt.

Menjadi tanggungjawab kami mencegah mungkar dan mendidik masyarakat agar tidak terjebak dalam perangkap mungkar dan maksiat.

Andainya aktiviti serupa mahu dianjurkan atau diluluskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat , maka Dewan Pemuda PAS Pusat juga mempunyai sikap yang sama justeru ianya adalah aktiviti yang boleh melebarkan ruang maksiat dan mungkar untuk terus bertapak kukuh dalam negara kita.

Meskipun PAS adalah parti anggota kepada Kerajaan Pakatan Rakyat , ini tidak bermakna kita boleh membenarkan aktiviti yang tidak bermoral dilakukan melainkan Pemuda PAS tetap akan melaksanakan tanggungjawab asasnya untuk mencegah mungkar dan menegakkan yang makruf.

Syabas saya ucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Selangor terhadap memorundum mereka membantah konsert Ella dan Mas Idayu yang bakal berlangsung di Selangor kelak .

Nasihat saya agar semua pihak khasnya pemegang amanah rakyat selaku pemimpin , bahawa kalian adalah turut bertanggungjawab kepada Allah untuk menjawab dan membentangkan apa jua aktiviti yang dilakukan , maka pastikan kita tidak mengundang murka Allah swt kerana kelak padah dan binasa .

Saya yakin jika PAS nanti diterajui oleh pimpinan-pimpinan muda ini insyallah ia akan terus kekal relevan sebagai sebuah Gerakan Islam dan Parti Islam, takbir!
Antara Istana dan rakyat

Saya mendapat berita seorang ADUN DAP Johor telah dihalau keluar dewan sebelum persidangan dirasmikan oleh Sultan Johor apabila beliau hadir tanpa memakai songkok iaitu sebahagian dari kod pakaian yang diwajibkan ke atas semua ADUN dalam majlis berkenaan.

Dewan Undangan negeri Johor mempunyai 6 orang ahli pembangkang iaitu 4 dari DAP dan 2 dari PAS. (Sebelum ini pada PRU ke 11 Johor hanyan mempunyai seorang pembangkang dari PAS).

Sebelum ini telah terbit berita bahawa terdapat konflik antara keputusan Jawatankuasa Pusat DAP dan DAP Negeri. Yang Pusat mengarahkan agar ADUN-ADUN tidak mematuhi arahan itu manakala DAP Johor pula mengarahkan agar ianya dipatuhi demi menghormati Tuanku Sultan. Kemudian Setiausaha Agung DAP pula menyatakan Pusat tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian dan menyerahkannya kepada negeri. Namun menurut mStar Online:

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bentayan, Gwee Tong Hiang dari DAP diarah keluar Dewan Undangan Negeri kerana tidak mengenakan pakaian rasmi bersama songkok.

Dalam ruangan komen laman-laman web tertentu kritikan-kritikan pedas dan biadap dilemparkan terhadap Dewan Pemuda PAS Selangor (termasuklah agama Islam) semata-mata kerana “kononnya” mengundang murka Tuanku Sultan Selangor dalm isu konsert membabitkan Ella dan Mas Idayu. Sedang isu di Selangor berpunca dari memo yang dikirim oleh Pemuda PAS kepada MB dan bukannya Tuanku. Satu contoh:

http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/8989/1/

Kita tunggu apa agaknya komen laman-laman web ini terhadap peristiwa yang membabitkan ADUN DAP dan Tuanku Sultan Johor ini pula? Pasti ramai pula nanti akan menganggap YB Gwee ini sebagai “hero” dan berani!

Wednesday, June 18, 2008

Tahniah MB dan Pemuda PAS Selangor

MB Selangor baru sahaja umumkan selepas mesyuarat mingguan EXCO tadi bahawa satu pertemuan akan diaturkan antara Dewan Pemuda PAS Selangor dengan Sultan Selangor berhubung isu bantahan dewan tersebut terhadap konsert yang melibatkan Ella dan Mas Idayu sempena Piala Sultan Selangor 6 Julai nanti.

Menurut Tan Sri Khalid:

Saya rasa idea yang baik untuk Pemuda PAS adalah mengadakan diskusi dengan Sultan. Yang dibantah oleh Pemuda PAS adalah tentang tertibnya acara tersebut. Saya rasa bukan menjadi isu.

Saya mengucapkan syabas kepada MB Selangor kerana prihatin akan teguran Pemuda PAS itu dan mengambil inisiatif agar teguran itu akan dapat terus keperhatian Tuanku Sultan. Dan tahniah juga kepada Dewan Pemuda kerana telah berjaya menjalankan tugas mereka sebagai Pemuda Islam. Sekurang-kurangnya teguran telah dibuat, dan dibuat ikhlas semata-mata mahu mengelak murka Allah swt.

Kepada mereka yang memberi cadangan balas supaya “engagement” dibuat dengan Ella dan Mas Idayu, “Why don’t you pick up that idea and do it yourself!”. Yang penting Dewan Pemuda PAS Selangor, diikuti Dewan Muslimat dan Pemuda Pusat telah menjalankan tugas mereka, anda bagaimana?
Tidak siapa berhajat durhaka pada Tuanku

Muka hadapan akhbar The Star meletakkan tajuk besar kemurkaan Sultan Selangor:

Tuankus rage: Sultan threathens to call off match if PAS protest against singer

Berita eksklusif yang dipungut oleh The Star itu dibawa sendiri oleh Ketua Pengarang Kumpulannya, Wong Chun Wai, sedangkan ia tidak kedapatan pada akhbar-akhbar lain, menunjukkan betapa prihatinnya Chun Wai dalam bab melagakan kumpulan Islam dengan istana!

Pemuda PAS Selangor menghantar memo bantahan Isnin lepas kepada MB Selangor, memohon supaya acara konsert yang melibatkan dua orang artis wanita Melayu iaitu Ella dan Mas Idayu ditiadakan. Mereka tidak pun menentang acara utama iaitu Piala Sultan Selangor dan tidak pula menyentuh langsung berkenaan Tuanku Sultan.

Keprihatinan Pemuda PAS itu didorong oleh prinsip perjuangan PAS dan amanah amar makruf nahi mungkar yang dikenakan atas kepala bahu setiap Muslim.

Ternyata mengikut laporan Chun Wai Tuanku murka dengan tindakan Pemuda PAS Selangor itu, saya tidak pasti apakah Tuanku diberikan naskah memo Pemuda PAS kepada MB itu atau menerima laporan dari Chun Wai sendiri. Apa pun jika benar Tuanku murka, Pemuda PAS melalui Pesuruhjaya PAS Selangor boleh memohon mengadap Tuanku Sultan bagi menjelaskan perkara sebenar.

Insyallah kita berani kerana benar demi Allah swt.
Pilihanraya semula di Sanglang?

Apa yang diharapkan sebagai pengisytiharan kemenangan kepada calon PAS Ustaz Hashim Jasin bagi kerusi DUN Sanglang Perlis siang tadi di Mahkamah Tinggi bertukar menjadi haru apabila hakim memngisytiharkan tidak ada pihak yang menang dan sebaliknya mengarahkan agar satu pilihan raya kecil diadakan.

Menurut fakta kes pihak SPR telah membuat kesilapan dalam penjumlahan undi pada 8 Mac lalu dan sebaliknya telah mengisytiharkan calon BN sebagai pemenang. Kes ini hampir sama dengan kes parlimen Pasir Putih yang melibatkan calon PAS dahulu.

Ini bermakna PAS tidak menambah kerusi sebaliknya terpaksa berhadapan BN dalam pilihan raya kecil yang pertama selepas PRU ke 12.
Seorang lagi ulamak di alam siber

Sahabat saya Ustaz Yussaine Yahya, seorang ulamak muda dari Perlis, telah pun mula ber "blog", alhmadulillah. Ini menambahkan lagi bilangan ulamak-ulamak muda yang menyumbang di alam siber yang sangat dahagakan sumbangan mereka, selain Ust Yussaine, Ust Nasruddin Tantawi, Ustaz Nik Abduh dan al bakistani adalah antara yang telah melibatkan diri secara komited, dan mudah-mudahan dapat menyumbang ke arah pembinaan ummah dan ketahanan aqidah Islamiyah.

Saya petik dari posting beliau yang terbaru:

"Berkata benarlah walaupun pahit,itulah pesan salah seorang khalifah Rasulillah SAW yang mendapat jaminan berjalan di atas kebenaran iaitu Saiyyiduna Ali bin Abi Thalib KarramalLahu Wajhah.Sememangnya ucapan di atas tampak ringkas tetapi yang pastinya mempunyai makna yang sangat mendalam.Hakikatnya yang benar itu memang pahit untuk diterima.Lebih pahit lagi untuk dilaksanakan.Seperti senang memberikan nasihat,namun untuk menerima nasihat amatlah payah.Tetapi manusia yang ikhlas dalam keyakinan dan perjuangannya pasti akan berdiri teguh dengan kebenaran walau tinggal seorang diri demi mencari redha Ilahi."

Insyallah kita semua beriltizam untuk menjadi manusia yang teguh berdiri di atas kebenaran itu.

Kunjungi blog beliau di:

http://jihadtegakislam.blogspot.com/

Tuesday, June 17, 2008

Sebut sahaja Islam kena serang

Ada seorang ADUN PAS di Selangor telah menelefon saya pagi tadi membawa keperhatian saya muka depan akhbar Sinar Harian hari ini:

PAS tolak konsert Ella, Mas Idayu

Kata YB berkenaan ini adalah rentetan berpunca dari tulisan saya di blog ini, beliau tidak marah malah sebaliknya menyetujui bahawa dalam perkara-perkara prinsip pendirian kita perlu tegas, walaupun dalam hal lain kita boleh bertolak ansur. Malah kata beliau, kawasannya sendiri juga sudah menghantar memo bantahan kepada MB. Kita doakan semoga MB diberikan kekuatan untuk menimbang dan mengambil kira semua faktor dan akhirnya mengarahkan KDEB agar membatalkan kehadiran dua orang artis itu.

Sementara itu kisah bantahan Pemuda PAS Selangor ini telah mendapat komen yang sinis dan menghina dari laman-laman web tertentu. Ini ditambah lagi dengan cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk memperkenalkan siyasah syariah di negeri-negeri yang diterajui Pakatan.
Ketua Pengarang Kumpulan akhbar The Star, Wong Chun Wai di dalam blognya "New Malaysia" menganggap Dewan Pemuda PAS Selangor sebagai "Little Mullahs", dan mendesak kerajaan negeri agar tidak memperdulikan tentangan mereka dan teruskan konsert tersebut. Manakala dalam komennya terhadap cadangan Dewan Pemuda Pusat beliau (dari akhbar yang dimiliki MCA) dengan senang hati memetik dari blog pimpinan DAP termasuk ahli Parlimen PJ Utara Tony Pua yang berkata jika PAS berterusan bersikap sedemikian maka gabungan Pakatan Rakyat akan tidak lagi menjadi bermakna.

Saya bimbang dengan perkembangan ini dan lebih bimbang lagi reaksi hampir sejuta ahli-ahli dan penyokong PAS diperingkat akar-umbi. Artikel Tony Pua di dalam blognya telah setakat ini mengundang 27 komen termasuklah yang menghina Presiden PAS ("Does he want everyone to dress like him and Hadi Awang'), PAS sendiri ("Tony its important for PAS to understand religious freedom and Malays leaving Umno do NOT equate to Malays embracing PAS - Taliban wannabes!) dan prinsip perjuangannya.

Pimpinan kita perlu keluar dengan kenyataan yang lebih meyakinkan disamping menzahirkan pokok kerjasama sebenar Pakatan Rakyat ini.

Monday, June 16, 2008

Benarkah PAS telah menggadaikan prinsip perjuangannya?

Kenyataan Dewan Pemuda PAS Pusat yang dibuat melalui Naib Ketua Pemudanya Sdr Azman Shapawi tempoh hari, sebagaimana diduga mengundang berbagai kontroversi. Malaysiakini hari ini menyiarkan kenyataan Setiausaha Pemuda DAP Anthony Loke dan Naib Ketua Angkatan Muda PKR Amiruddin Shari yang menolak cadangan Dewan Pemuda PAS itu dibawah tajuk “Syariah: jangan gagalkan Pakatan”.

http://www.malaysiakini.com/news/84553

Paling menarik adalah reaksi Penasihat DAP Lim Kit Siang yang menyatakan:

PAS Youth's proposal to implement an Islamic administrative system in Pakatan Rakyat states is totally unacceptable.
(Cadangan Pemuda PAS untuk melaksanakan isitem pentadbiran Islam di negeri-negeri Pakatan Rakyat, tidak boleh diterima sama-sekali)

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/6/16/nation/21562256&sec=nation

Menurut Lim Pakatan Rakyat telah berikrar mempertahankan konsep sekular dalam negara ini, benarkah demikian? Kononnya menurut Lim melalui cadangan ini PAS telah melanggar syarat-syarat yang dipersetujui ketika Pakatan ditubuhkan.

Saya tidak berhajat untuk mengeruhkan hubungan antara parti-parti yang mendukung Pakatan Rakyat. Tetapi saya merasakan sebagai rakan kongsi yang telah memberikan sumbangan besar dalam PRU yang lalu, PAS harus dihormati.

Benarkah PAS telah menggadaikan matlamat perjuangannya? Benarkah manifesto PAS PRU ke 12 baru-baru ini “Kerajaan beramanah adil dan bersih menuju negara berkebajikan” telah menggugurkan matlamat PAS sebagaimana termaktub dalam fasal 5 Perlembagaannya (“Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hifup Islam dan hukum-hakamnya menuju keredhoan Allah swt”).

Sedangkan di dalam manifesto berkenaan, di bab mukadimmahnya oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden disebutkan: “Pas adalah parti Islam yang memperjuangkan dasar-dasar Islam serta nilai-nilai sejagat.” Manakala di dalam Teras 1 manifesto yang sama disebutkan: “Menegaskan penghayatan Islam sebagai aqidah yang sejahtera dan cara hidup (ad Deen) bagi umat Islam negara ini. Menjamin perlaksanaan peruntukan-peruntukan Islam sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan”.

Oleh itu tidak berbangkit yang PAS telah korbankan dasar atau menyembunyikannya sebagaimana yang disebut oleh pemimpin muda PKR dalam Malaysikini itu. Kita mengharapkan semua pihak dapat saling hormat-menghormati dan mempamirkan sikap toleransi dalam mendepani pakatan politik yang baru ini. Sebagai juara demokrasi (Parti Tindakan Demokratik) sepatutnya kita memberikan hak kepada mana-mana pihak untuk menyuarakan cadangan dan pandangan, bukannya menembak jatuh belum pun sempat ia berkepak atau melabuhkan sayapnya.

Yang paling penting tindakan penolakan mentah-mentah seumpama ini boleh dilihat oleh masyarakat Melayu/Islam sebagai kelemahan politik PAS dan sudah pasti ia memberi implikasi buruk kepada PAS yang sesungguhnya bertenggek pada kekuatan itu.

Sunday, June 15, 2008

Sokong kenyataan Dewan Pemuda PAS Pusat

Saya diminta komen oleh kawan-kawan tentang kenyataan Sdr Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat semasa merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan ke-49 di Kota Bharu.

Malangnya saya lihat hari ini (kebetulan saya tidak berapa sihat) laman-laman web yang digerakkan oleh aktivis parti termasuk milik parti sendiri seolah macam “down play” saranan beliau itu yang dikatakan mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat. Kecuali dalam laman Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa dan blog elbariti di

http://elbaritii.blogspot.com/2008/06/siasah-syariah-di-negeri-pakatan.html

Saya tak terjumpa pula kenyataan penuh yang dikatakan kontroversial itu.

Apa yang kontroversial?



Azman (hitam) dikelilingi AJK Dewan Pemuda
PAS Kelantan (Gambar DPPK PC)


Kata beliau:

Dewan Pemuda PAS Pusat kini dalam proses merangka agenda untuk melaksanakan undang-undang Islam, Siasah Syariah, di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Sebuah jawatankuasa, tambahnya, telah ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih terperinci pelaksanaannya di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor .

Menurut Azman lagi antara perkara yang bakal dilaksanakan dalam Siasah Syariah ialah berkaitan dengan pengharaman tempat perjudian, menghadkan premis penjualan arak, dan etika pakaian di pejabat. Itu cadangan Dewan Pemuda, dan PAS sebuah parti Islam, lalu saya tidak nampak apa dosanya cadangan ini dikemukakan. Nama pun cadangan maka ia tertekluk kepada perbincangan dan sumbang-saran yang terperinci sebelum boleh dilulus dan dilaksanan.

Atau kita ada tempoh matang sebelum boleh bercakap atau membuat apa-apa cadangan berunsur Islamik?

Saya rasa cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat ini relevan kerana masyarakat Islam/Melayu yang ramai di luar sana menunggu-nunggu peranan PAS sebagai sebuah parti Islam dalam Pakatan Rakyat. Saya kira PKR telah pun mengemukakan cadangan-cadangan mereka berhubung dasar ekonomi dan seumpamanya, begitu juga DAP dalam menegaskan kemahuan mereka kepada konsep “Malaysia Malaysia” yang diucapkan secara terbuka dalam Parlimen baru-baru ini. Adakah sebagai rakan terkecil PAS tidak boleh bersuara?

Setahu saya PAS bukan “sleeping partner” tetapi rakan kongsi yang telah memberikan sumbangan besar terhadap kejayaan PR baru-baru ini.

Berbalik kepada cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat itu, ia cadangan, dan ia baik dalam suasana rakyat mahu melihat bagaimana isu keruntuhan moral dan kelonggaran penerimaan terhadap Islam khasnya dikalangan umat Islam mahu ditangani oleh PAS setelah Umno gagal. Saya tidak tahu tentang yang lain tetapi saya sendiri dihujani seribu satu persoalan berhubung perkara ini, samada dalam majlis dialog terbuka, ataupun dalam perbincangan kecil termasuklah SMS dan email yang bertalu-talu. Lantas cadangan Dewan Pemuda ini saya kira kena pada tempatnya sekaligus memperlihatkan sensitivity PAS dalam hal ini.

Tahniah Dewan Pemuda!

Saturday, June 14, 2008

Konsert Ella dan Mas Idayu di Selangor?

Dalam akhbar The Star hari ini dipaparkan gambar Pengerusi KDEB dan beberapa pegawai termasuklah dari polis turun ke padang di Stadium Shah Alam untuk menyaksikan kerja-kerja persiapan pertandingan Piala Sultan pada 6 Julai nanti antara pilihan Singapura dan Selangor. Pertandingan tersebut menurut penganjur dijangka menerima sambutan hangat kerana aturcara padat yang telah disusun untuk menarik minta para penyokong.


Sebagaimana pernah saya bangkitkan sebelum ini, nampaknya anak syarikat kerajaan Selangor ini terus tidak berganjak mahu menganjurkan juga konsert tersebut sebagai salah satu usaha menarik minta penyokong dan pengunjung. Konsert itu akan membariskan Alleycat disamping ratu rock Ella dan ratu dangdut Mas Idayu.

Saya difahamkan PAS Kawasan-kawasan dan Pemuda PAS Kawasan-kawasan di Selangor telah masing-masing menghantar memorandum kepada Menteri Besar agar membatalkan konsert berkenaan khasnya yang melibatkan Ella dan Mas Idayu. Isnin nanti difahamkan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Selangor akan berkunjung ke Pejabat MB untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.

Dalam kita mahu merayakan 100 hari Kerajaan pakatan Rakyat di Selangor, semua pihak perlu sensitif dan akur akan tuntutan PAS ini, kerana PAS merupakan penyumbang besar ke arah kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor (walaupun memiliki bilangan kerusi terkecil di dewan). PAS bukan menuntut kejohanan itu dibatalkan malah saya percaya konsert itu sekalipun kalau mahu ditersukan tidak bermasalah, tetapi isunya adalah artis-artis wanita seperti Ella dan Mas Idayu yang pasti mengundang risiko moral yang tidak ada tempat di dalam Islam.

Isu prinsip dan pokok seperti menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, tidak boleh dikompromi atau di "tutup sebelah mata" oleh PAS sebuah parti yang konsisten dalam perjuangan Islamnya sejak lebih 50 tahun dalam negara ini. Kerana itu saya mengharapkan MB Selangor akan segera bertindak agar kita tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi dalam kerajaan baru yang didokong rakyat ini.

Yang penting rakyat Selangor mesti dipacu ke arah memiliki akhlak dan moral yang baik disamping maju dan sejahtera dalam suasana bersih, telus dan bebas rasuah.

Friday, June 13, 2008

Ex-gratia tidak mampu menutup kesengsaraan

Keluarga Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader sebentar tadi menerima cek “ex-gratia” yang dijanjikan oleh PM kepada 6 orang hakim Mahkamah Agung yang dipecat secara zalim oleh kerajaan lebih 20 tahun lalu. Setakat ini tinggal Tun Saleh Abbas dan Tan Sri Azmi Kamaruddin yang masih belum menerima ex-gratia masing-masing.

Berikut saya siarkan di sini tulisan saya yang terbit dalam ruangan “Menongkah Arus” Harakahdaily berhubung isu ini:



Kerajaan akhirnya melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim telah menyerahkan cek "ex-gratia" kepada hakim-hakim Mahkamah Agung Malaysia yang telah dipecat dan diambil tindakan ekoran pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu Tun Salleh Abas pada tahun 1988 yang telah mengundang krisis kehakiman yang paling buruk dalam sejarah negara ini.

Berapakah jumlah pembayaran tidak pula dinyatakan manakala menurut laporan baru tiga dari enam bekas hakim berkenaan yang telah menerima cek masing-masing iaitu Datuk George Edward Seah, Tan Sri Wan Hamzah Mohamad Ismail dan waris Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh. Tidak pula dinyatakan mengapa Tun Salleh, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan waris Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer tidak menerima cek mereka, atau mungkinkah mereka menolaknya?

Pembayaran "ex-gratia" ini telah dipersetujui oleh kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini atas alasan meringankan beban yang ditanggung oleh bekas-bekas hakim berkenaan tetapi tidak pula sebagai suatu simbol permohonan maaf dari pihak kerajaan.
Bermakna setelah mengakui yang bekas-bekas hakim ini telah dianiyai dan dizalimi hampir 20 tahun lalu, kerajaan hari ini sekadar bersedia memberikan pampasan kepada mereka tetapi tidak lebih dari itu.

Malah Zaid sendiri semasa menyerahkan cek-cek berkenaan menyatakan bahawa wang ex-gratia ini sesungguhnya tidak dapat menggantikan kesengsaraan yang telah ditanggung oleh tokoh-tokoh kehakiman ini.

Untuk rekod pada tahun yang malang itu Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas telah digantung dari jawatannya dan kemudiannya dihadapkan ke hadapan sebuah tribunal kerana salah-laku yang sehingga ke hari ini tidak dapat diterima akal oleh mereka yang rasional.
Tun Salleh selaku ketua nombor satu institusi kehakiman Malaysia dituduh telah melakukan "misbehavior" yang telah mengakibatkan beliau tidak lagi layak menjalankan tugas-tugasnya sebagai Ketua Hakim Negara.

Tun Salleh dikatakan telah memberikan ucapan-ucapan rasmi yang mencabar hubungan eksekutif dan kehakiman serta mengirim surat kepada Yang Di-pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dalam subjek yang sama.

Almarhum Tunku Abdul Rahman di dalam kata penghantarnya kepada buku "Mayday for justice" karangan Tun Salleh menyebut:

Tun telah dihina dan dimalukan dikhalayak ramai, dan dipecat dari jawatannya berdasarkan pertuduhan yang direka-reka.

Ketika itu beberapa kes yang telah diputuskan oleh badan kehakiman dikatakan kononnya menentang kerajaan sehingga mengundang kemarahan Perdana Menteri dan kabinetnya.
Malah satu kes yang dijangka didengari dalam tempoh itu iaitu rayuan terhadap kes Umno oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (yang telah mengharamkan parti tersebut), difahamkan akan didengari oleh Tun Salleh dengan korum semua hakim-hakim mahkamah agung, sesuatu yang dibenarkan tetapi tidak pernah berlaku dalam sejarah kehakiman.

Semasa proses pendengaran tribunal berkenaan permohonan Tun Salleh untuk menahan tribunal berkenaan dari membuat keputusan telah dilengah-lengahkan oleh kamar Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, iaitu Hakim Ajaib Singh.

Akhirnya peguam Tun Salleh telah menuntut dalam waktu yang sangat genting itu keputusan dari Mahkamah Agung. Di situlah hakim-hakim Mahkamah Agung yang ada, atas dasar memberikan keadilan dan mempertahankan kebebasan serta integriti kehakiman telah mendengar permohonan Tun Salleh dan mengeluarkan perintah sebagaimana yang dipohon. Akibatnya kelima-lima mereka juga telah digantung.

Bayangkan Malaysia ketika itu melihat enam hakim mahkamah agungnya termasuk Ketua Hakim Negara, yang masing-masing memiliki khazanah ilmu, pengalaman dan rekod yang sangat cemerlang telah dipecat, digantung dari jawatan dan diambil tindakan.

Sudah pastilah ianya bukan sekadar telah mengundang krisis kehakiman yang sangat serius malah menyeksa dan menzalimi wira-wira kehakiman berkenaan, yang telah sanggup menggadaikan jawatan tertinggi mereka semata-mata kerana mempertahankan insititusi kehakiman kita.

Malaysia tidak pernah melihat sebelum itu pengorbanan besar sedemikian rupa!.

Tun Salleh di dalam bukunya menulis:

Sebagai insan biasa saya telah diduga dan dicuba, namun tidak sekali-kali berjaya dimusnahkan. Ianya memerlukan kuasa yang lebih besar dari tindakan sebuah kerajaan yang otokratik atau tidak bermoral untuk memusnahkan seorang insan yang bersedia berkata benar dan menjadi saksi di hadapan Tuhan-Nya.

Kerana itu jika "ex-gratia" yang diberikan oleh kerajaan ini tidak menutup kes yang malang yang berlaku lebih 20 tahun lalu itu, sepatutnya kerajaan mengambil inisiatif membentuk tribunal baru bagi mendengar kembali kes berkenaan, biar semua pihak diadili sebenar-benarnya.

Luka dan parut yang ditanggung oleh wira-wira kita itu tidak terubat dengan wang ringgit, malah dua telah pun meninggal dunia terlebih dahulu. Kerajaan hari ini bertanggungjawab mengembalikan keadilan kepada mereka yang dizalimi ini, jika benar mereka menghargai peranan wira-wira berkenaan.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS yang juga ahli parlimen Marang akan bertanya dalam sesi Dewan Rakyat yang akan datang berkenaan isu ini. Berapakah jumlah "ex-gratia" yang telah dibayar oleh ekrajaan itu dan apakah kerjaaan tidak berhasrat menubuhkan tribunal untuk mendengar kembali kes ini.

Kisah PAS dan Umno pula.........

Saya menerima SMS dan email dari kawan-kawan yang meminta berikan reaksi berhubung satu artikel dalam NST hari ini yang bertajuk:

PAS will not sleep with the enemy again

http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Friday/Columns/2265825/Article/index_html

Artikel tersebut tidak melaporkan secara langsung tentang sebarang usaha PAS atau Umno untuk berunding bagi tujuan penyatuan politik, tetapi ia sekadar lontaran-lontaran nakal dari seorang penulis veteran yang pasti mengundang latah dari mereka yang memang melatah. “Rumors” dan “purportedly”adalah antara istilah yang digunakan Zubaidah yang dalam bahasa Melayu nya bermakna “khabar angin” dan “dakwaan”. Malah dalam menulis tentang seorang pemimpin kanan PAS yang didakwa berjumpa dengan pemimpin kanan Umno di London, Zubaidah memulakan dengan berkata: “But the latest rumour ” atau “Khabar angin terbaru”.

Bagi saya biarlah orang yang melatah itu melatah, tetapi yang stabil dan teguh insyallah tidak begitu. (Lihatlah latahan dan serangan yang tidak sepatutnya terhadap PAS dalam Malaysia Today berhubung artikel ini tanpa mengambil kira pun istilah "rumour" dan "purpotedly" itu tadi)

Sebelum inipun MSM (main stream media) telah memainkan berkenaan isu Ezam M Noor dan DSAI. Kononnya kemasukkan Ezam dalam Umno adalah untuk membuka laluan bagi DSAI untuk kembali dalam Umno. Malah “The latest rumour” mengatakan perlantikan salah seorang SETPOL baru PM (bekas orang kuat DSAI) adalah bukti kesahihan “rumour” itu. Kita tidak pula terbaca laporan orang melatah berkenaan pendedahan "rumour" ini.

Apa pun dari sejak sebelum pilihan raya sehingga kini saya rasa pimpinan PAS berulang kali menyebut bahawa PAS sentiasa terbuka untuk sebarang jenis perundingan dengan Umno dan malah mana-mana parti-parti politik dan NGO atas isu-isu kepentingan bersama. PAS sudah lebih separuh abad usianya dan sarat dengan pengalaman dan matang dari segi berpolitik, yang penting semua pihak yang bersamanya juga perlu begitu iaitu berpolitik secara dewasa dan matang, tiada ruang untuk melatah dan melompat-lompat tak tentu arah.

Pasca PRU ke 12 PAS bersama-sama PKR dan DAP membentuk kerajaan campuran bersama atas nama Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor (dan juga di Pulau Pinang walaupun PAS hanya diwakili 1 kerusi). Inilah realiti politiknya. Kerajaan ini perlu dipadu dan digerakkan bersama atas kepentingan rakyat dan negara. Asasnya, apa yang ada ini perlu sama-sama dibina, digerak dan dipertahankan, perpaduannya akan menjamin kelangsungannya sampai bila-bila.
Dengar kami jika anda benar-benar jujur

Semasa menghadiri majlis Konsultasi Bajet 2009 di Putrajaya semalam PM Dollah Badawi telah berkata:

Sama-samalah kita memikirkan bagaimana dapat meningkatkan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta mereka yang memerlukan bantuan seperti warga emas dan golongan kurang upaya dalam usaha kerajaan merangka Bajet 2009.

Usaha ke arah merapatkan jurang pendapatan dan membangunkan modal insan juga perlu diberi perhatian,

Kalau Dollah jujur mahu memikirkan isu ini berikut saya berikan beberapa cadangan:

PERTAMA: Berikan kelulusan kepada tuntutan “gaji Minima” MTUC agar semua golongan pekerja di Malaysia memperolehi gaji minima RM1,200 iaitu gaji pokok minima RM900 dan COLA RM300. Dengan ini mereka yang dikategori terbawah tidak menjadi mangsa kenaikan harga yang menggila ini.

KEDUA: Semak semula pencen kakitangan awam khasnya yang melibatkan mereka yang menerima pencen di bawah RM1,000 sebulan. Pasti mereka ini meghadapi tekanan besar ekoran kenaikan kos hidup ini sedang mereka tidak berupaya untuk bekerja mencari nafkah atas faktor usia.

KETIGA: Kerajaan perlu berikan rawatan percuma kepada semua warga emas. Kos perubatan kini menjadi semakin mahal sedangkan golongan inilah yang sangat memerlukannya.

KEEMPAT: Jika Selangor mampu memberikan air percuma 20 meter padu kepada semua rakyatnya, maka formula yang sama perlu diperkenalkan ke seluruh negara, agar semua rakyat dapat menikmatinya.

KELIMA: Pertingkatkan kemudahan dan infrastruktur rumah orang-orang tuan dan rumah kebajikan di Malaysia termasuklah pusat-pusat latihan OKU. Rumah-rumah kebajikan ini kebanyakkannya berada dalam keadaan yang sangat dhaif bagaikan kandang binatang. Lihat juga penempatan yang sama di Sabah dan Sarawak.

KEENAM: Pengangkutan awam khasnya bas dan keretapi rata-rata adalah kemudahan pengakutan yang digunakan oleh golongan pendapatan rendah dan sederhana, samada bagi tujuan harian ataupun untuk pulang ke kemapung dan seumpamanya. Kerajaan perlu pastikan yang tambangnya tidak dinaikkan dan kalau boleh diturunkan demi kemudahan mereka.

KETUJUH: Kos menggunakan bahanapi alternatif iaitu NGV perlulah dikurangkan. Rakyat perlu digalakkan menukar dari petrol dan diesel ke NGV. Masalahnya kos pertukaran itu terlalu mahal khasnya untuk mereka dalam lingkungan berpendapatan rendah dan sederhana. Di sinilah kerajaan perlu berperanan dan jika boleh memperkenalkan skim ansuran untuk memilikinya. Ia mungkin boleh dimulakan dikalangan kakitangan awam, dengan memperkenalkan skim ansuran untuk tujuan itu.

KELAPAN: Kos pendidikan rendah dan menengah pelulah benar-benar diberikan percuma. Dan malah kos pendidikan ke IPTA dan IPTS tempatan khasnya bagi mereka yang ibu-bapanya berpendapatan rendah perlulah diberikan percuma. Tambahkankan lagi bilangan biasiswa JPA dan wajibkan badan-bdana korporat tempatan termasuklah milik asing yang beroperasi di sini agar memperuntukkans ebahagian keuntungan mereka untuk membiayai biasiswa bagi anak-anak tempatan.

Saya dan saudara/i pengunjung blog ini saya pasti dapat memanjangkan lagi senarai ini, pokoknya bersediakan Dollah dan kerajaan untuk mendengar dan melayan?

Thursday, June 12, 2008

Terubatkah keperitan anda apabila gaji dibayar dua kali sebulan?

Rata-rata kos hidup rakyat Malaysia semakin membebankan, dan ini paling ketara setelah pengumuman kenaikan 40% harga minyak dipasaran tempatan baru-baru ini. Harga minyak naik, harga barangan dan perkhidmatan juga semakin naik namun gaji dan pendapatan rakyat seakan tepu dan tidak bergerak.

Hakikat bahawa kenaikan ini khasnya yang melibatkan harga minyak adalah berkaitan lansgung dengan pasaran minyak dunia, pahit ataupun tidak realiti itu sudah pun diterima rakyat, isunya sekarang apakah langkah dan tindakan yang dapat kita ambil untuk membantu hidup rakyat. Takkanlah rakyat terus-menerus dibeban dengan satu demi satu bebanan, sehingga tiada jalan keluar!

Kerana itu apa yang perlu sekarang adalah "action plan" dan langkah-langkah praktikal yang bermatlamat membantu meringankan beban rakyat. Semalam kita mendapat tahu bahawa kerajaan telah memutuskan yang gaji bulanan kakitangan awama mulai Ogos ini akan dibayar beransuran iaitu dua kali sebulan. Rasionalnya bagi membantu urusan dan aliran tunai isi rumah.

Lama saya memikirkan, tetapi tidak dapat mengesan dan memahami rasional ini, kita lebih memberi tumpuan kepada samada penambahan pendapatan rakyat atau usaha-usaha meringankan beban, contohnya rebat pemilik kenderaan (yang ramai masih tidak faham dimana ianya membantu sebenarny), tetapi membayar gaji yang sedia ada dalam pecahan dua tempuh masa, bagi saya, tidak nampak langsung dimana ianya membantu?

Rakyat menunggu-nunggu sesuatu yang lebih praktikal, penurunan atau penghapusan tol contohnya, penurunan caj-caj perkhidmatan bagi syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan yang sedang mengaut keuntungan luar biasa umpamanya telefon. Rakyat sedang lemas sekarang ini, bagi orang yang kelemasan apa yang diperlukan adalah pelampung penyelamat hatta sebarang kayu buruk atau apa sahaja bahan yang boleh membantunya terapung, besar maknanya. Terbitlah dengan perkara-perkara sebegini, bukannya terus membunuh dan mematikan.

Wednesday, June 11, 2008

Jangan sampai amanah disia-siakan

Badan atau institusi berkenaan Islam perlulah dipimpin oleh mereka yang bukan hanya layak dan berpengalaman tetapi lebih-lebih lagi berakhlak sebagaimana akhlak yang dikehendaki oleh Islam. Allah swt berfirman di dalam al Quran (an Nisa: 58) yang berbunyi:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)......

Rasulullah saw bersabda:
"Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran". Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: "(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan kehancuran!".


Orang yang layak tetapi tidak mampu menzahir atau menjelmakan akhlak Islam di dalam jiwa dan diri peribadinya hanyalah akan mencacatkan badan atau institusi Islam yang dipimpin itu. Kerana itu kelayakan tadi perlulah seiiring dengan akhlak keperibadian Islam yang mulia, barulah Islam yang dijunjung oleh badan dan institusi tadi terpelihara.

Semalam Presiden UIAM Tan Sri Sanusi Junid diberhentikan walaupun masih mempunyai kontrak 2 tahun di IPT Islam itu. Sanusi difahamkan diambil tindakan demikian kerana mengisytiharkan diri keluar Umno dan menyokong bekas PM Tun Dr Mahathir. Itu masalah antara Dollah dan Sanusi, tetapi mengapa dengan tergesa-gesa kerajaan melantik Ketua Setiausaha Negara, yang masih berkhidmat menggantikan Sanusi?

Apakah sudah tidak ada tokoh yang lebih layak, yang memiliki latarbelakang dan akhlak Islam untuk memegang jawatan penting itu? Sejauh manakah komitmen Sidek Hassan (KSN) dalam memartabatkan Islam dan pendidikan tinggi Islam?

Demikian juga di Selangor apabila kita mendengar seorang tokoh korporat dilantik mengetuai institusi zakat negeri. Memang kita perlukan seorang yang berkelayakan dan berpengalaman duduk di institusi berkenaan, tetapi padankah dengan latabelakang korporat semata-mata tanpa latarbelakang dan ilmu Islam? Apakah tidak ada tokoh korporat atau seumpamanya yang memiliki kedua-dua kelayakan dan pendedahan Islam?

Kita harapkan semua pihak prihatin dan sensitif tentang perkara yang melibatkan Islam ini, beban amanahnya bukan sekadar di dunia malah akan berlanjutan sehingga akhirat.
Selangor "Mini Patpong"?

Saya sedih tetapi tidak terperanjat melihatkan laporan khas di buletin utama TV3 malam tadi yang menyiarkan berleluasanya aktiviti rumah urut di negeri Selangor sehingga menerima jolokkan "Mini Patpong", iaitu suatu daerah di Thailand yang berselerakkan dengan rumah-rumah maksiat seumpama ini.

TV3 menyiarkan aktiviti disekitar Selayang dengan menemuramah beberapa peniaga kecil tempatan yang perniagaan mereka berhampiran dengan rumah-rumah urut berkenaan. Mereka mendakwa bahawa aktiviti di rumah-rumah urut ini bukannya urut biasa atau refleksologi semata-mata malah sebenarnya menawarkan khidmat seks dengan gadis-gadis yang didatang dari Negara Cina dan Thailand. Dan menurut laporan itu juga kegiatan seperti ini tidak terhad di Selayang sahaja malah juga di kawasan-kawasan lain termasuklah Subang Jaya.

Dua isu di sini adalah pertama, jenis lesen apakah yang diberikan oleh PBT-PBT berkenaan kepada rumah-rumah urut ini, adakah untuk khidmat urut badan dan refleksologi, dan jika demikian apakah syarat-syarat dan had-hadnya, adakah pengurutnya perlu anak tempatan atau bolehkah warga asing dan adakah pengurut tadi dibenarkan berpakaian seksi, bertuala dan berdua-duaan dengan yang diurutnya dalam bilik, atau bagaimana? Adakah memang menjadi amalan membenarkan wanita mengurut lelaki tanpa syarat sebegitu?

Keduanya berapa banyakkah permintaan terhadap rumah urut ini sehingga begitu banyak lesen dikeluarkan oleh pihak PBT. Saya akui di Subang Jaya sahaja jarak antara satu rumu urut dengan yang lain begitu hampir sekali seolah-olah penduduk di sini benar-benar ketagih dengan urutan seumpama ini! Amalan dan budaya bangsa manakah urut-urutan seperti ini sehingga kita begitu ghairah sekali mengizinkannya dan memberi lesen?

Saya masih ingat pada bulan Januari 2007 dulu semasa BN memerintah Selangor kerajaan negeri pernah melancarkan operasi membenteras kegiatan maksiat dan aktiviti tidak bermoral di rumah-rumah urut, sehingga mengarahakan pihak PBT tidak lagi mengeluarkan lesen seumpama ini, tetapi sekarang kerajaan sudah bertukar-tangan dan saya pasti lesennya bukan setakat dibekukan malah semakin banyak dikeluarkan!

Kita perlu membuat kesimpulan apa jenis perkhidmatan urut yang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor izinkan dan beri kuasa kepada pihak PBT mengeluarkan permit. Kerajaan PR Selangor ini turut diwakili oleh Parti Islam Se Malaysia (PAS), dan saya yakin di Kelantan yang PAS perintah sejak tahun 1990 rumah urut seperti di Selangor ini tidak dibenarkan.

Mungkin kita boleh beri pengecualian terhadap khidmat urut tertentu, antaranya yang berkaitan wanita baru bersalin, bagi tujuan kesihatan, khidmat yang diberikan oleh mereka yang cacat penglihatan, refleksologi, tetapi semua aktiviti berkenaan mestilah dijalankan secara terbuka, tanpa bilik, penghadang atau cermin gelap dan lampu malap. Ianya mesti diperuntukkan dizon-zon tertentu dan sepatutnya tidak dibenarkan beroperasi sehingga lewat malam. Memadailah pada waktu pejabat dan kalau lebih pun sampai jam 6 petang.

Bagaimana dengan pengurutnya? Pihak kerajaan atau PBT perlulah mensyaratkan yang mereka ini mesti telah menjalani latihan tertentu, atau lulus syarat tertentu, dan pastikan gadis-gadis genit tidak menjadi tukang urut. Untuk umat Islam memang sepatutnya ia diharamkan kecuali lelaki mengurut lelaki atau wanita mengurut wanita (pihak berkuasa agama perlu pantau jangan sampai disalahguna oleh golongan gay yang dikutuk oleh Islam itu).

Saya pernah menulis berkenaan isu ini beberapa minggu yang lalu, nampaknya ia timbul kembali tanpa ada jalan penyelesaian. PR bukan BN, dan rakyat mengharapkan PR lebih baik dari BN, jangan persiakan harapan rakyat itu.