Friday, February 26, 2010

Kejayaan kerajaaan PR Selangor mula menyerlah

Semalam akhbar-akhbar tempatan memberi ruang utama kepada Perdana Menteri apabila beliau mengumumkan yang negara telah pulih dari krisis ekonomi yang berpunca dari krisis kewangan global. Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan yang teguh pada tahun 2010 ini. Jangkaan ini berpunca dari petunjuk memberangsangkan dari keluaran dalam negara kasar untuk suku keempat 2009 apabila berjaya mencatatkan pertumbuhan 4.5%.

Ini berbanding penguncupan -1.2% bagi suku ketiga tahun yang sama.

Menurut PM Malaysia juga terus menerima pelaburan langsung asing (foreign direct investment, FDI). Pada suku keempat, aliran masuk kasar FDI meningkat kepada RM7.2 bilion (S3 09: RM6.7 bilion). Sejumlah besar pelaburan tersebut adalah untuk sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Sebagai rakyat Malaysia sudah tentulah kita turut berbangga dengan pencapaian ini. Pastinya perkembangan positif ini adalah sumbangan dari pelbagai pihak bukan sekadar mereka yang berperanan di pusat malah sumbangan dari kerajaan-kerajaan negeri juga tidak kurang besarnya.

Semalam juga sebenarnya terbit berita berhubung pencapaian di Selangor yang diumumkan oleh EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor Teresa Kok, namun tidaklah mendapat ruang yang besar sebagaimana PM. Malah ada akhbar yang tidak melaporkan langsung.

Menurut Teresa jumlah pelaburan disektor perindustrian di negeri Selangor meningkat lipat kali ganda tahun 2009. Sasaran RM4bilion yang disasarkan kerajaan negeri bagi tahun itu telah melebihi jangkaan apabila jumlah yang direkodkan mencecah RM6.76 bilion.

Kerajaan Selangor turut berjaya mencatatkan bilangan projek perindustrian yang tertinggi dalam negara bagi tahun 2009 iaitu 278 projek yang mana 182 darinya merupakan projek baru. Selain itu Selangor juga mencatatkan peluang pekerjaan terbesar dalam negara iaitu sejumlah 22,753 pekerjaan baru!

Pelaburan asing terbesar datangnya dari Singapura dengan 20 projek baru di Selangor berjumlah RM350 juta, mencipta 1,180 peluang pekerjaan bagi anak tempatan. Ini diikuti dengan Jepun sebanyak 17 projek bernilai RM309 juta mencipta 728 peluang pekerjaan. Amerika Syarikat walaupun hanya mempunyai 6 projek di Selangor tahun lalu namun negara itu merupakan pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.7 bilion.

Tidakkah pencapaian ini membuktikan kemampuan dan kebolehan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat? Tidakkah ini memberi petanda bahawa kombinasi kepimpinan PAS, PKR dan DAP di bawah teraju Tan Sri Khalid Ibrahim berkeupayaan memacu ekonomi Selangor dan membawa kesejahteraan kepada rakyatnya, walaupun baru diuji?

Siapa kata hanya BN boleh?

Angka-angka ini terbit bertepatan dengan ulangtahun kedua kerajaan negeri Pakatan Rakyat pada 8 Mac 2010 ini. Dengan pencapaian ini dan lain-lain pencapaian disektor pertanian, pembangunan, kebajikan, agama, sosial dan sebagainya saya yakin rakyat Selangor tidak mahu menoleh ke belakang lagi selepas ini. Teruslah memberi keyakinan pada Pakatan Rakyat semoga cita-cita melahirkan sebuah negeri Selangor yang maju, bersih dan berkebajikan akan dapat dicapai dan dinikmati oleh semua.
Selak kain YBK

Mereka mahu bermain politik dengan bertaruh pada nasib rakyat misikin. Demi agenda politik mereka sanggup memperjudian masyarakat yang susah. Nampak gaya isu Yayasan Basmi Kemiskinan YBK tidak mungkin reda dalam waktu terdekat.

Setelah Umno Selangor khasnya dengan berani mencabar kerajaan negeri Pakatan Rakyat atas isu ini, kini giliran kerajaan negeri untuk beri penjelasan. Kita kerajaan yang bertanggungjawab atas amanah yang diberi rakyat. YBK mahu kita uruskan agar ia telus dan menepati cita-cita sebenar penubuhannya.

YBK bukan ditubuh untuk kepentingan politik sesiapa. Tidak juga untuk melindungi kepentingan mana-mana pihak. Apalagi untuk menabur kekayaan pada individu dan kelompok tertentu. Berpuaka dan menanggung dosalah sesiapa yang menunggang kemiskinan rakyat untuk memenuhi tembolok mereka.

Rabu lepas (sila rujuk akhbar The Star 25 Feb, 2010 m/s 29) sejurus mempengerusikan mesyuarat EXCO Negeri Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor mendedahkan bahawa anak syarikat YBK iaitu Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan telah melantik dua pemaju iaitu Shah Alam Properties Berhad dan Syarikat Tenaga Ehsan Sdn. Bhd. untuk memajukan sebidang tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri ketika itu pada tahun 1995 (ketika itu boss Zainal Sakom iaitu Tan Sri Muhammad Taib adalah MB Selangor).

Menurut beliau lagi mengikut maklumat Permodalan YBK rupanya bukan milik penuh YBK. Rupa-rupanya YBK cuma memiliki 12,500 saham di dalam Permodalan YBK. Saham selebihnya dipegang oleh Prihatin Ehsan Holdings Sdn. Bhd. (6,200 saham) dan Fajar Synergy Sdn Bhd. (6,250 saham).

Jadi siapakah pemilik Prihatin Ehsan dan Fajar Synergy ini? Soalan ini kita perlu tanya pada ahli-ahli Umno terutama yang bersama berarak, marah-marah ke Bangunan SUK baru-baru ini kononnya menuntut keadilan buat YBK, kononnya kerajaan Pakatan Rakyat mahu merampas hak orang miskin!

Rupanya Pengerusi YBK Zainal Sakomjuga merupakan pengarah Permodalan YBK dan Prihatin Ehsan yang telah mengadai tanah berkenaan untuk RM100 juta!

Tak cukup dengan itu, pejuang rakyat miskin, iaitu Zainal Sakom juga merupakan pemilik saham terbesar dalam syarikat Tenaga Ehsan iaitu syarikat pemaju yang dilantik untuk memajukan tanah berkenaan.

Demikianlah kehebatan Zainal Sakom bukan sahaja beliau terlibat dalam YBK malah segala syarikat yang berkaitan YBK termasuklah yang memunggah keuntungan dari tanah-tanah miliki YBK yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri, turut dimiliki oleh beliau! Dan kawan-kawan kita berpenat lelah, berpeluh badan dan ketiak berarak ditengah panas tengahari Jumaat, tanpa mengerti hujung pangkal, menuduh kerajaan Pakatan Rakyat khianat?!

Semalam Tan Sri Khalid dalam Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Selangor berjanji akan mendedahkan lagi cerita sebenar disebalik YBK. Biar rakyat Selangor kenal semasak-masaknya mana yang kaca mana yang permata!

Tuesday, February 16, 2010

Masuk Selangor beri salam

Akhbar The Star hari ini melaporkan darihal tindakan Majlis Perbandaran Kelang (MPK) menurunkan papan tanda (bill board) dan kain-kain rentang Majlis Rumah Terbuka Malaysia yang akan dianjurkan oleh kerajaan pusat hujung minggu ini di Pandamaran Kelang yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri.

Laporan akhbar tersebut menyebut kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor sebagai angkuh dan mahu menunjukkan kuasa. Manakala EXCO Kerajaan Tempatan Ronnie Liu menjelaskan bahawa papan tanda dan kain-kain rentang berkenaan diambil tindakan kerana tidak memperolehi kebenaran dan permit dari pihak MPK.

Saya difahamkan pihak kerajaan negeri dan MPK tidak langsung dilibatkan dalam perayaan ini.

Saya bersetuju dengan Ronnie malah pihak penganjur termasuklah MCA dan Kementerian Penerangan seharusnya menghormati kerajaan negeri. Kalau mahu anjurkan majlis di negeri Selangor,alangkah manisnya memberi salam terlebih dahulu, ini tidak, terjun dan langgar bagaikan penyamun tidak beradab. Saya percaya jika kerajaan negeri turut dilibatkan, pasti majlis yang lebih besar dan bermakna dapat diadakan, tetapi ternyata pihak BN semata-mata mahu mempolitkkan majlis ini, tambah-tambah Pandamaran, iaitu DUN Ronnie sendiri dipilih sebagai tuan rumah.

Ini bukan kali pertama kerajaan pusat bertindak sedemkian. Pada bulan Ramadhan lalu PM dibawa oleh Umno Selangor masuk ke masjid untuk mengagih-agihkan bantuan penuh dengan kain rentang dan poster termasuk yang berlogo BN dan Umno sekitar pekan Kuang. Saya difahamkan ketika itu Menteri Besar dan EXCO Agama langsung tidak dimaklumkan berkenaan majlis berkenaan.

Inilah perangai BN yang dibenci oleh rakyat Selangor. Salah guna kuasa dan tidak menghormati pihak lain. Setahu saya kerajaan negeri tidak akan menghalang malah akan menggalakkan sebarang program bersama antara kerajaan pusat dan negeri. Negeri Selangor adalah sebahagian dari Persekutuan Malaysia, dan di Selangor rakyat telah memilih dan memberi mandat pada Pakatan Rakyat untuk memerintah.

Hormatilah pilihan rakyat biar kita hidup dalam suasana aman, hormat-menghormati dan mematuhi perturan dan undang-undang yang ada.

Syabas kepada MPK dan YB Ronnie. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ada maruah, dan akan kekal mempertahankan amanah yang rakyat berikan kepada kami.

Monday, February 15, 2010

Padamu kami berikan wala’ dan ketaatan

Ramai yang terharu dan memberi komen apabila laman Tranungkite menyiarkan foto ini. Ianya menunjukkan Dato Seri Tuan Guru Presiden mengucup dahi (tapak sujud) Dato Tuan Guru Mursyidul Am.

Foto ini dirakamkan ketika Tok Guru Nik Abd Aziz mengunjungi Rusila bagi menziarahi jenazah adidnda Tuan Guru Hj Abd Hadi,Ustazah Aisyah Awang yang meninggal dunia baru-baru ini.

Beginilah rupa kedua-dua ulamak terbesar PAS. Watak dan peribadi mereka sungguh mulia sehinggakan pertemuan mereka sahaja sudah cukup mencetuskan perasaan terharu bagi mereka yang melihatnya, terharu kerana sedar bahawa pada tangan kedua merekalah terletak nasib dan masa depan perjuangan Islam di Malaysia ini.

Kedua-dua mereka ulamak perjuangan, bukan sekadar memimpin gerakan Islam tetapi turut menabur ilmu dan mengajar kepada ratusan ribu anak-anak murid seluruh negara dan rantau ini. Semoga Allah swt terus memberikan kekuatan kepada mereka berdua untuk mendepani perjuangan ini sehingga tercapai cita-cita perjuangan.
Jangan bermain api...........

Isu pembatalan dan kemudiannya keputusan mengadakan kembali perarakan Maulidur Rasul peringkat Pulau Pinang sebagaimana digembar-gembur dan dihebahkan oleh pihak media khasnya TV3 terus hangat. Apa yang sebenarnya berlaku di sana hanya kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang berhak memberi penjelasan dan jawapan.

Apa pun yang pentingnya mengapa perlu ia dipolitikkan?

Siang tadi rakan pemberita menghubungi saya untuk meminta ulasan. Saya enggan memberi ulasan atas alasan kami tidak nampak apa perlu isu ini dibakar-bakarkan sehingga mencetuskan ketegangan.

Bagi kami di Selangor, apa yang telah kerajaan BN Selangor lakukan dahulu yang bermanfaat kepada rakyat, insyallah akan kami teruskan, malah akan diperbaiki dan dipertingkatkan mana yang perlu. Apa yang buruk dan merugikan rakyat, akan kami hapuskan.

Malah dalam hal berkenaan agama Islam dan kepentingan penganutnya, rasanya setakat hampir 2 tahun kerajaan Pakatan Rakyat yang turut disertai PAS berkuasa di Selangor, ianya lebih baik dan berkesan.

Bantuan sekolah agama rakyat terus lancar dan meningkat, Maahad Tahfiz milik kerajaan negeri bertambah lipat kali ganda pengambilannya, bilangan anak-anak Selangor yang dihantar melanjutkan pelajaran keTimur Tengah dalam jurusan agama meningkat.Selain itu agihan bantuan zakat semakin telus dan dirasai semua tanpa mengira fahaman politik. Masjid-masjid seluruh Selangor di”merdeka” kan dengan pemilihan pimpinan masjid diserahkan kembali kepada anak-anak kariah. Program dakwah di masjid-masjid dan surau-surau semakin meningkat.

Kutipan zakat juga semkain meningkat, program forum perdana yang dipimpin oleh pendakwah dan ulamak berwibawa diadakan sebulan sekali di Masjid Negeri, program kuliah agama secara tetap setiap bulan diadakan di kediaman rasmi MB, Enakmen Jenayah Syariah yang diluluskan dizaman BN, dikuatkuasakan secara lebih efektif bagi tujuan amar makruf nahi mungkar.

Ringkasnya insyallah dengan peranan yang dimainkan oleh PAS, Islam ditangan kerajaan PR Selangor lebih terjamin masa depannya. Oleh itu jangan ada mana pihak mahu bermain api,mencetuskan ketegangan dan menabur sikap benci-membenci yang hanya merugikan negeri dan rakyatnya.

PAS akan berpegang kepada agenda perjuangannya, dan kini ditakdirkan Allah swt ia duduk sebagai sebahagian dari kerajaan,insyallah amanah itu akan dipertahankannya. Apa pun peranan PAS jauh lebih baik dan berkesan berbanding Umno yang duduk bertenggek pada kuasa tanpa pencapaian yang bermakna.

Saturday, February 13, 2010

Benarkah YBK beragendakan pembasmian kemiskinan?

Yayasan Basmi Kemiskinan – YBK sehingga hari ini terus menjadi topik perbualan hangat khasnya di negeri Selangor. Laporan SPRM telah dibuat, kertas putih mengenainya akan dikeluarkan. Mengapa tiba-tiba isu kemiskinan dipolitikkan?

Semalam selepas solat Jumaat, dengan laluan mudah dan lancar (kalau pihak lain sudah pasti ditahan atau diseret ke mahkamah) segerombolan gurkha-gurkha Umno dan NGO yang kononnya dikenali Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara berarak dengan marah-marah dari Masjid Negeri ke Bangunan SUK Shah Alam untuk memprotes dan menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Selangor berkenaan isu YBK.

YBK menjadi modal hangat selepas kerajaan negeri memohon agar MB dan beberapa wakil kerajaan dibenarkan duduk dalam lembaga yayasan berkenaan. Jika yayasan ini ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan dan modal atau asetnya datang dari kerajaan negeri dalam bentuk dana dan hartanah wajarlah Menteri Besar duduk dalam lembaganya kerana rakyat Selangor wajib mengetahui kemana perginya dana dan harta kerajaan negeri. Berapa banyka yang telah dibelanjakan untuk tujuan pembasmian kemiskinan? Berapa ramaikah yang telah dibantu? Apakah sasaran seterusnya?

Tiba-tiba tuntutan untuk menzahirkan ketelusan itu disambut dengan laporan kepada SPRM. Kononnya MB menyalah-guna kuasa! Dalam kekalutan itu kerajaan negeri menuntut YBK meneyelesaikan tunggakan cukai tanahnya bernilai RM5.4 juta khasnya ke atas tanah kerajaan negeri yang diberikan kepadanya di Serendah, Hulu Selangor seluas 1,300 ekar yang bernilai RM78juta ringgit.

Lalu panas hatilah para pengendali dan pengurus yayasan ini yang rata-rata berselindung disebalik kain sarong Umno.

Atas hasutan dan barangkali upahan pihak berkepentingan maka beraraklah budak-budak mereka, menuntut berbagai tuntutan termasuklah mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim meletak jawatan sebagai MB Selangor.

Demikianlah keghairahan Umno Selangor, apa sahaja isu walau sekecil kuman, kalau boleh dicanai dan digoreng akan dijaja demi untuk menjatuhkan kerajaan sah pilihan rakyat ini. Yang berarak entahkan tahu entahkan tidak isu sebenar, tapi berarak juga kerana yang penting kerajaan PR Selangor mesti diaibkan.

Isunya disini adalah agenda pembasmian kemiskinan. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ditubuhkan dengan semangat mahu melahirkan sebuah negeri Selangor yang berkebajikan, membantu golongan susah, memerangi kemiskinan. Kerana itu diperkenalkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) agar rakyat negeri ini bukan sekadar akan hidup dalam sebuah negeri maji tetapi turut menikmati limpahan dari kemajuan itu. Biar negeri maju rakyat pun senang.

Sejauh manakaha YBK bawah tangan Umno sejak ia ditubuhkan pada April 1990 telah membantu dalam membasmi kemiskinan di Selangor. 20 tahun YBK bawah tangan Zainal Sakom (bekas SETPOL Mat Taib ketika beliau MB) berapa ramaikah rakyat miskin menjadi senang setelah dibasmi kemiskinan mereka?

Saya harap yang ramai-ramai berarak itu turut bertanya soalan ini. Tahukah mereka ada khabar yang mengatakan yayasan ini turut digunakan semasa Mat Taib berkempen untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno dahulu, betulkah? Mungkin Zainal Sakom boleh menjawabnya, kerana mengikut maklumat demikianlah yayasan-yayasan (tertentu) yang lain seluruh negara digunakan ketua-ketua negeri Umno setiap kali ada pertandingan dalam parti mereka. Agaknya yayasan di Melaka yang mahu membantu rakannya di Selangor ini juga terlibat ketika Pak Ali Rustam bertanding dulu?

Tiba-tiba melompat dari Pasir Mas ke Shah Alam, Presiden PERKASA, Ibrahim Ali, mendakwa kerajaan PR Selangor angkuh dan sombong dan turut menuntut MB letak jawatan. Rakyat Selangor tidak perlu orang lompat-lompatan yang tiada prinsip dalam perjuangan itu untuk mengajar mereka apalagi mendesak ketua mereka letak jawatan.

Kerana tidak telus, kerana mempolitkkan agenda kemiskinan, kerajaan negeri Selangor pilihan rakyat berhak ambil tahu darihal perjalanan di YBK. Jika enggan, maka wajarlah diputuskan sahaja hubungan dengan yayasan ini. Saya percaya seluruh rakyat di negeri ini bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Khalid apabila beliau berkata:

“Mungkin kerajaan terdahulu tidak mahumengambil tahu tetapi kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh membelakangkan isu ini kerana kami bertanggungjawab atas setiap wang rakyat.”

Dalam isu YBK ini seluruh rakyat Selangor yang prihatin, mahukan ketelusan dan keadilan berdiri teguh di belakang MB dan kerajaan negeri Selangor.

Friday, February 12, 2010

(Pada 15 Oktober 2008 lalu saya menulis artikel berikut untuk Harakahdaily. Ketika itu saya adalah Setiausaha Akhbar Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS - saya siarkan ia semula dipagi Jumaat ini semoga menjadi iktibar buat saya dan semua yang cintakan perjuangan ini)


Gerakan Islam terganggu bila amilin longgar akhlak
Wed Oct 15, 08 9:58:44 am MYT

Seorang aktivis atau amilin gerakan Islam bukan sekadar perlu memahami dan tunduk pada peraturan agama dalam memikul amanahnya malah ia perlu memperlengkapkan dirinya dan patuh pada disiplin dan adab dalam berjemaah.

Masalah dalaman angkara amilin yang tidak lengkap atau longgar akhlak berjemaahnya akan mengakibatkan terganggunya perjalanan gerakan Islam tadi.

Gerakan Islam ini bukan gerakan ikut-ikutan atau gerakan yang bertenggek pada populariti semasa atau pada mana-mana individu atau kumpulan. Ianya rentetatan dari gerakan suci lagi besar yang telah diasaskan olehjunjungan kita Nabi Muhammad saw, yang berlandaskan wahyu (al Quran) dan bimbingannya, tidak berubah roh dan semangatnya samada dalam keadaan perjuangan itu ditimpa tekanan, serangan atau fitnah mahupun ketika ia meraih kejayaan dan kemewahan.

Kerana itu dalam menghadapi halangan dan cabaran atau dugaan semasa gerakan Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah perlu bagi memantap dan memperkasakan para pendukungnya. Seseorang itu tidak boleh mendakwa dirinya amilin gerakan Islam jika ia tidak patuh atau tunduk pada peraturan dan adab berjemaah ini.

Komprehensifnya peraturan dan adab berjemaah dalam gerakan Islam sehingga kita ditarbiyah dan didedahkan dalam mengenal-pasti dan menjauhi wabak-wabak yang mampu menganggu-gugat keutuhan diri dan kekuatan jemaah.

Umpamanya Dr al Sayed Muhammad Noh ada menulis darihal wabak-wabak ini yang perlu diberi perhatian di dalam kitabnya "Wabak Sepanjang Jalan" yang pada tahun 2003 telah diterbitkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dengan diterjemahkan oleh Dewan Ulamak PAS Kedah (Pengerusi panel terjemahannya ketika itu adalah MB Kedah kini Ustaz Dato' Seri Azizan
Abd Razak).

Terjemahan buku ini djadikan teks usrah oleh PAS di pelbagai peringkat dan saya difahamkan ianya menjadi teks usrah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah sejak zaman Almarhum Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor lagi.

Kitab ini menghuraikan tujuh wabak yang perlu diawasi oleh para amilin yang jika tidak diberi perhatian mampu mengancam gerakan Islam sepanjang zaman. Dan salah satu wabak itu adalah "al ghurur" atau "tertipu dengan diri sendiri". Di sana Allah SWT berfirman:

" Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka)." (Fatir: 5)

Antara sebab-sebab berlakunya "ghurur" menurut kitab ini adalah pertama lalai untuk mengkaji dan muhasabah diri sendiri dan kedua lalai atau enggan menerima bimbingan orang lain.

Sesungguhnya dua di antara sebab ini sangat mudah hinggap dan memperdayakan kita sehingga kita kadangkala tidak perasan atau terlupa yang ianya telah masuk merasuk jiwa kita.

Kerana itulah kita perlu sentiasa memagang kuat ikatan tali dalam berjemaah ini, jangan sampai ianya terlepas sehingga kita menganggap tidak ada yang lain yang benar dan betul melainkan diri kita sahaja.

Kitab ini memberi amaran bahawa "al ghurur" jika tidak ditangani atau dirawati akan meninggalkan kesan buruk dan merbahaya samada ke atas amilin ataupun amal Islami itu sendiri.

Dan tiga kesan ke atas amilin akibat dari perlakuan "al ghurur" ini adalah pertama: "cenderung terjebak ke dalam perangkap kejahatan dan suka bertegang leher", kedua: "cenderung terjebak ke dalam kancah at takabbur tanpa hak" dan ketiga: "keras kepala".

Untuk itu Rasulullah saw bersabda:

"Aku adalah ketua sebuah rumah perlindungan dalam syurga (dikhususkan) untuk mereka yang tidak bertegang leher, sekali pun apa yang dilakukannya itu adalah benar. Dan aku juga ketua sebuah rumah di tengah-tengah syruga (dikhususkan) untuk mereka yang tidak berbohong, walaupun bohongnya itu hanyalah gurauan. Dan aku juga ketua sebuah rumah di bahagian tertinggi syurga untuk mereka yang baik akhlaknya."

Justeru itu semua kita perlu mengambil iktibar dan memastikan yang kita tidak dihinggapi oleh wabak seumpama ini samada kita sekadar ahli biasa ataupun berjawatan di peringkat cawangan, apa lagi kawasan, negeri termasuklah pusat.

Tidak terkecuali mereka yang memegang jawatan dari setinggi Menteri Besar sehinggalah ahli-ahli EXCO, ahli parlimen dan ADUN serta ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampung mahupun JKKK.

Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS ada menyebut dalam ucapannya di muktamar baru-baru ini bahawa pokok PAS tidak akan tercabut kerana tunjangnya adalah Islam, walaupun ia mungkin bergoyang.

Lalu apa sahaja yang mengakibatkan ianya bergoyang perlu dirawat semoga pokok ini terus kukuh dan teguh dalam meneduhi perjuangan yang besar dan jauh ini.

Thursday, February 11, 2010

Katakan tidak pada arak?!

Dalam akhbar The Star Isnin lepas dilaporkan bahawa persatuan Hindu Sangam mengisytiharkan perang terhadap alkohol khasnya yang memudaratkan golongan generasi muda penganut Hindu.

Sementara itu Rabu semalam dalam akhbar yang sama seorang pembaca menulis dalam ruangan surat dari pembaca menyatakan para pemimpin perlu mengatakan “TIDAK” pada alkohol.

Menurut RG dari Pulau Pinang:

Saya mencadangkan bagi mengurangkan bahana alkohol para pemimpin kita perlu mengangakat sumpah untuk tidak meminum lagi minuman ini. Sekurang-kurangnya ia memberi kesn kepada masyarakat India.

Nampaknya tuntutan mengawal peminuman arak ini bukan sekadar mendesak dikalangan penganut Islam. Malah penganut agama lain termasuk rakan-rakan kita yang beragama Hindu juga menentang amalan keji ini.

Mungkin dengan ini amalan pengawalan minuman ini perlu dipertingkatkan kerana ternyata ia bukan hanya haram dan meroskakkan satu masyarakat atau penganut sahaja.

Wednesday, February 10, 2010

Give all a chance

Saya tertarik dengan tajuk akhbar The Star hari ini yang menyiarkan ulasan Perdana Menteri Najib Tun Razak terhadap keputusan 5-0 Mahkamah Persekutuan semalam. Akhbar itu membawa tajuk:

Give Zambry a chance, says Najib
(Beri Zambry peluang kata Najib)

Beliau berkata dengan keputusan ini Zambry sepatutunya diberi peluang memimpin Perak dan sebarang masalah atau ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran BN Perak dibawa pada PRU akan datang.

Bagi saya itu saranan yang bijak cuma malangnya kenapa hanya di Perak? Kenapa tidak begitu juga di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor? Sepatutnya beliau juga menyarankan:

Give Nik Aziz, Azizan, Guan Eng and Tan Sri Khalid a chance!

Macam mengapa di negeri-negeri Pakatan Rakyat ini kerajaan Persekutuan BN terus menganggu dan tidak memberi kebebasan pada kerajaan-kerajaan negeri pilihan rakyat mentadbir negeri masing-masing.

Contohnya mengapa perlu ada JKKKP apabila kerajaan negeri sudah melantik JKKK nya? Mengapa peruntukkan kepada kerajaan-kerajaan negeri ini disekat-sekat? Mengapa kerajaan negeri tidak dilibatkan dalam program Persekutuan di negeri masing-masing? Mengapa apabila PM dan Menteri turun ke negeri-negeri ini, kerajaan negeri dianak-tirikan?

Benar beri peluang pada Zambry, tapi jangan pula dipinggirkan Nik Aziz, Azizan,Guan Eng dan Tan Sr Khalid. Sebagai PM Najib perlu sedar bahawa kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor juga sah dan perlu dihormati dan diberi pengiktirafan. Negeri-negeri ini semua membentuk Persekutuan Malaysia,oleh itu sebagai PM Persekutuan beliau perlu adil dan saksama pada semua negeri-negeri yang bernaung di bawah Persekutuan.

Kalau BN Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor ghairah sangat mahukan kuasa, tunggu-tunggulah sehingga PRU ke 13 nanti apabila rakyat keluar kembali untuk membuat keputusan. Sementara itu hormatilah keputusan rakyat dimana-mana pun.

Tuesday, February 09, 2010

Perak ditangisi- Selangor terus diyakini

Keputusan Mahkamah Persekutuan 9 Febuari 2010 baru-baru ini telah pun diketahui umum. Zambry Abd Kadir,ADUN Pangkor, Perak disahkan sebagai Menteri Besar Perak sekaligus mengikis sama-sekali hasrat dan kemahuan rakyat Perak yang telah memberi mandat kepada gabungan PAS,DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat untuk memerintah mereka pada pilihan raya umum yang lalu.

Pakatan Rakyat mahukan pilihan raya semula. Isu mandat perlulah diputuskan oleh rakyat dan bukannya institusi lain. Ternyata pilihan rakyat itu telah dibelakangi. Dengan keputusan ini rakyat Perak dipaksa menunggu sehingga PRU ke 13 sebelum boleh diberikan kembali hak membuat keputusan.

Demikianlah mudahnya sebuah kerajaan pilihan rakyat boleh jatuh dan dijatuhkan di bawah demokrasi ala Umno/BN.

Di Selangor, keputusan mahkamah itu sudah pasti memberikan pengajaran kepada semua pihak disini agar terus berdiri kukuh di bawah kerajaan pilihan mereka. Jangan gadaikan apa yang telah sama-sama kita bentuk dan lahirkan ini. Walaupun seorang ADUN di Selangor (Pelabuhan Kelang) telah berpaling tadah dari amanah yang diberikan rakyat, namun kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga kini tetap teguh dan terus diyakini rakyat.

Dalam tempuh dua tahun sejak Mac 2008, perubahan yang diharapkan oleh rakyat Selangor apabila mereka memutuskan untuk menolak kerajaan negeri BN telah mula dirasai. Program-program “Merakyatkan Ekonomi Selangor” (MES) berjaya menyentuh langsung kehidupan rakyat di sini. Bekalan air percuma (20 meter padu pertama), saguhati anak masuk universiti, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang adalah antara contoh keprihatinan kerajaan ini terhadap nasib dan kebajikan rakyatnya berbanding kerajaan dahulu.

Ini tidak termasuk projek-projek perumahan yang terbengkalai dan dibiarkan reput tanpa pembelaan sebelum ini, tetapi berjaya dihidupkan semula atas inisiatif kerajaan negeri PR.

Rakyat selesa dan senang apabila kerajaan yang mereka pilih berlaku adil, telus dan meletakkan kebajikan mereka sebagai keutamaan. Kini di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat, rakyat merasai sendiri betapa tiada lagi pilih kasih, tiada lagi salah-guna kuasa, tiada lagi, kronisma,nepotisma dan rasuah iaitu barah-barah serius yang telah menyerang dan membunuh kerajaan yang lalu. Masyarakat peniaga dapat berniaga dengan tenang memungut keuntungan, kakitangan kerajaan dihargai, para petani diberi perhatian, kaum biuruh dibela, warga tua dihargai, ringkasnya semua golongan dan kelas masyarakat tanpa mengira kaum dan agama beroleh perhatian dan nikmat.

Untuk itu rakyat Selangor perlu terus mempertahankan hak mereka. Rakyat telah memberikan Pakatan Rakyat 35 kerusi dari 56 yang dipertandingkan iaitu majoriti yang besar untuk memerintah Selangor dengan selesa.

Jangan siapa menganggu atau menodai amanat ini. Berikan kebebsan kepada kerajaan ini untuk membuktikan kemampuan mereka. Kerana jika semuanya berjalan lancar, insyallah Selangor kekal menolak BN sampai bila-bila.