Monday, December 31, 2007

Menteri Kabinet Dollah pelakon video lucah?

Dalam kita memperkatakan darihal klip video VK Lingam dan klip audio Benazir rupanya muncul pula satu klip video, kali ini dalam bentuk DVD yang "panas". Panas kenapa, kerana ia bukannya calang-calang DVD, ianya DVD sebagaimana dilaporkan oleh Utusan:
DVD "aksi seks" pemimpin politik

Menurut Utusan lagi DVD itu mengandungi adengan hubungan seks antara seorang pemimpin politik nasional berasal (bukan bertanding sahaja) dari Johor dengans eorang wanita berusia 20an tahun.





Saya pada awalnya menyangka ia melibatkan aksi pemimpin dari Umno, tetapi apabila membaca laporan bahawa DAP mendesak agar PM menyiasat kes ini, saya mula merasakan ianya membabitkan pemimpin dari masyarakat Cina. Lalu saya mengubungi rakan Cina saya dan beliau mengesahkan perkara itu dan malah mengesahkan juga bahawa ia membabitkan seorang pemimpin MCA dari Johor bertaraf Menteri.

Dah tua-tua pun masih nak buat perangai hodoh begitu, lebih kurang kata saya kepada kawan saya itu. Kami ketawa, ya mungkin kerana beliau mudah memperolehi VIAGRA dari kementeriannya!

Dulu pemimpin MIC, kini MCA dan saya dapat tahu (ini saya belum sahkan) terdapat juga gambar lucah seorang pemimpin kanan Pemuda Umno yang mahu didedahkans edikit masa lagi. Rasuah, salahguna kuasa dan kini peranagi pula hodoh, apa lagi yang tiada pada BN?
Kebebasan kehakiman, klip audio, klip video

Kes pembunuhan bekas PM Pakistan Benzair Bhutto terus hangat diperkatakan.
Dalam akhbar THE SUN hari ini bekas Pegawai Khas PBB bagi Kebebasan Kehakiman dan Guaman, Datuk Param Cumaraswamy menulis satu artikel berkenaan hubungan beliau dengan Allahyarham Benazir di bawah tajuk:

My encounter with Benzair

Ianya sungguh menarik dan terdapat satu isu yang dibangkitkan yang mahu saya kongsi bersama di sini. Rupanya dalam kita heboh menunggu-nunggu penyiasatan terhadap klip video kontroversi VK Lingam di sini, di Pakistan satu klip, tetapi audio bukan video, telah turut pernah menghangatkan suasana politik di sana.

Menurut Param pada tahun 1999 ketika beliau memegang jawatannya di PBB, Benazir telah didakwa (tanpa kehadirannya - in absentia) dan didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan rasuah dan dihukum penjara 5 tahun oleh Hakim Malik Abdul Qayum. Pada bulan Febuari 2001, Param menerima sebuah pita rakaman audio berserta transkripnya yang dikirim dari pejabat Benzair yang ketika itu tinggal dalam buangan di Dubai.

Kandungan pita audio itu adalah rakaman perbualan telefon antara Hakim Malik dan seorang pegawai tinggi Pakistan bertaraf menteri. Menteri berkenaan dalam rakam itu menekan hakim tersebut agar mensabitkan kesalahan ke atas Benazir dan menghukum beliau.

Param telah menyiasat kesahihan pita tersebut dan telah menghubungi kerajaan Pakistan serta wakil tetap mereka di Geneva. Beliau telah membawa penemuan itu ke Sururhanjaya 52 Negara di Geneva dan terbukti penghakiman ke atas Benazir telah tercemar dengan tekanan politik. Dan dalam waktu yang sama Benzair telah merayu di Mahkamah Aging Pakistan, dan mengemukakan pita tersebut, akhirnya Mahkamah Agung Pakistan membatalkan keputusan hakim berkenaan dan mengarahkan agar diadakan perbicaraan semula.

Bagaimana pula dengan kes klip video Lingam? Banyak kes disebut di dalam klip video tersebut antaranya yang membabitkan pembatalan kemenangan calon DAP, Wee Choo Keong di Parlimen Bukit Bintang dan kes Anwar Ibrahim?

Adakah kita memiliki kekuatan dan harga diri untuk mempertahankan keadilan sebagaimana di Pakistan, atau kita sudah sememangnya tercemar dan kotor, setaraf dengan negara-negara mundur yang lain?

Selain itu saya turut tertarik apabila Param mengimbau kembali apa yang pernah Benzair nyatakan kepada beliau semasa kunjungannya ke KL dahulu:

It is only when one is in the opposition, one appreciates the value of judicial independence

Hanya apabila seseorang (telah) berada di kerusi pembangkang, barulah ia akan menghargai erti kebebasan kehakiman.

Selain Anwar Ibrahim (yang masih kekal di pihak pembangkang), yang pernah berada di kerusi pembangkang adalah Tengku Razaleigh, Rais Yatim, Radzi Sheikh Ahmad, Zainal Abidin Zin dan ramai lagi. Bagaimana, tiada rasa dan perasaan kah?
Bebaskan Hindraf penjarakan Pemuda PAS

Pada 25 November lepas berlaku ketegangan di Kuil besar masyarakat Hindu di Batu Caves. Ribuan masyarakat Hindu yang berhimpun awal pagi di situ, kerana mahu menyertai perhimpunan anjuran Hindraf, telah bertempur dengan pihak polis yang telah mengepung mereka dari luar pagar kuil tersebut. Batu, kayu dan objek keras telah dilontarkan ke arah pihak polis manakala pihak polis pula telah melepaskan berdas-das gas pemedih mata.

Apabila suasana reda, banyak harta awam dan kenderaan termasuk milik pihak polis telah menjadi mangsa. Turut menjadi mangsa adalahs eorang anggota polis yang cedera dikerjakan oleh pihak perusuh berkenaan. Beberapa tangkapan telah dibuat.

Akibatnya pada 5 Disember 2007, pihak Pejabat Peguam Negara diketuai Peguam Negara sendiri telah mengetaui pihak pendakwaan dan mendakwa 31 orang yang terlibat dalam kejadian tersebut atas tuduhan cubaan membunuh anggota polis berkenaan.

Sejurus itu, tangan-tangan politik telah memain peranan untuk mempengaruhi pihak pendakwaan. Kononnya masyarakat India tidak berpuas hati dengan dakwaan yang terlalu keras yang dikenakan terhadap 31 penyokong Hindraf itu. Jika sesuatu tidak dilakukan maka rakan karib Umno dalam BN iaitu MIC akan menerima padah kemarahan pengundi India. Lalu sepak-terajang politik laksana filem Tamil pun bermulalah. Dan akhirnya pada 17 Disember, Peguam Negara memaklumkan mahkamah bahawa tuduhan cubaan membunuh terhadap kesemua 31 perusuh itu digugurkan, mereka bagaimanapun akan didakwa atas tuduhan yang lebih ringan dan semua mereka diberi ikat jamin.

Alasan Peguam Negara kononnya, kesemua mereka telah merayu secara bertulis yang mereka bukan ahli Hindraf dan malah mengutuk perjuangan Hindraf dan berjanji tidak akan menyertai mana-mana himpunan haram lagi. Peguam Negara juga kononnya menyatakan yang pihaknya sendiri pihaknya juga tiba-tiba menghadapi kesukaran mengenal pasti siapakah sebenarnya yang melontarkan batu sehingga mencederakan aggota polis berkenaan.

Itu layanan yang diterima oleh mereka yang merusuh dan mengganas di Batu Caves.

Di Kuala Terengganu pada 8 September lalu berlaku kekecohan berhampiran Batu Burok apabila pihak polis enggan membenarkan ceramah anjuran BERSIH (sebuah badan yang dianggotai oleh parti-parti politik dan NGO yang berdaftar dan sah disisi undang-undang). Mereka yang datang berduyun-duyun untuk pergi ke tempat ceramah telah disekat dan dipaksa bersurai. Dalam kekalutan itu pihak polis telah melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air berasid ke arah mereka yang berhimpun. Pihak polis telah menyerbu ke arah mereka yang enggan bersurai dan dalam kekecohan itu dua orang penyokong PAS telah ditembak dengan peluru hidup oleh seorang anggota polis. Azaman 21 dan Suwandi 38 dikejarkan ke hospital kerana cedera parah akibat tembakan tersebut.

Anehnya Azman dan Suwandi, didakwa dimahkamah atas cubaan membunuh Konstabel wan Abdul Aziz. Konstabel berkenaan yang melepaskan tembakan terhadap kedua mereka sehingga cedera parah, tetapi mereka yang dituduh cuba membunuh!

Anehnya lagi apabila kes ini di bawa ke mahkamah kedua-dua mereka tidak diberikan ikat jamin dan semalam di Mahkamah Sesyen atas rayuan pihak peguam bela yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan ADUN PAS Wan Mutallib Embong, kedua-dua mereka terus dinafikan ikat jamin dan akan terus menrengkok di penjara bersama para penjenayah lain. Mereka telah dipenjara sejak 9 Disember lalu.

Tidakkah senario ini menggambarkan pendakwaan berpilih atau "selective prosecution" di pihak Peguam Negara yang ternayata didorong oleh kepentingan politik pihak-pihak tertentu.
Mereka ini penyokong PAS. Kerana itu mereka ini mesti diajar agar mereka tahu inilah akibatnya apabila menentang dan menggugat kerajaan BN. Tetapi dalam kes Hindraf, walaupun mereka menyertai perhimpunan haram anjuran badan haram, mengganas dan mencederakan anggota polis dan merosakkan harta awam, namun kerana undi masyarakat India kritikal untuk survival BN, maka survival BN lebih penting.

Inilah kezaliman BN yang berlaku di depan mata kita. Apakah kita akan duduk berpeluk tubuh menerima bulat-bulat kezaliman ini?
Lihat saiz batu (bongkah monier tiles) yang telah dilontarkan ke arah polis

Sunday, December 30, 2007

Ubah bukan hanya kepimpinan di Perlis…….

Saya melihat semakin hari prestasi kerajaan pimpinan Dollah Badawi semakin parah dan menjunam. Hari ini akhbar-akhbar tempatan menyiarkan saranan Setiausaha Agung Umno, yang juga Menteri Hal ehwal Dalam Negeri, agar kepimpinan Umno diperingkat negeri termasuk Menteri Besarnya ditukar. Menurut Radzi Sheikh Ahmad (orang kepercayaan Dollah), sebagaimana dilaporkan Mingguan Malaysia:

Sudah sampai masanya (kepimpinan UMNO) Perlis diubah. Ini pandangan saya sebagai setiausaha agung parti. Kalau Perlis masih kekal dengan kepimpinan lama dan tokoh yang lama, saya rasa negeri ini akan terus berada di takuk lama.

Saya tak mahu pergi kepada (masalah-masalah) pembangunan, ekonomi atau pengurusan pentadbiran tetapi kepimpinan politik di negeri ini, cukuplah.

Turut hadir adalah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Azmi Khalid yang dipetik pula sebagai berkata:

Beliau sebagai setiausaha agung nampak semuanya sebab beliau menjelajah seluruh negara dan tahu membuat perbezaan.

MB Perlis, Shahidan Kasim dalam reaksinya pula telah memberi amaran kepada Radzi agar tidak mencampuri urusan Umno Perlis. Beliau kelihatan keciwa dengan kenyataan Radzi dan Azmi dan dipetik sebagai berkata:

Ada yang pulang ke Perlis kemudian komen pasal sungai, ada pula yang berniat nak tutup sempadan, tapi mereka tidak ada sebarang jawatan di negeri ini.

Dan terbaru sengketa pemimpin-pemimpin Perlis ini ditegur oleh Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak. Kata beliau:

Kita tidak mahu perkara ini dibincangkan secara terbuka kerana isu begini membawa implikasi yang besar.

Memang besar implikasinya. Rata-rata hari ini sentimen negatif terhadap Umno dan BN begitu menebal sekali. Masyarakat bukan Melayu sudah mula bosan dengan kemampuan kepimpinan yang sedia ada. Dan hari ini orang-orang Melayu sedang melihat dengan mata kepala mereka sendiri kecelaruan dan kekusutan kepimpinan parti Melayu yang telah mereka beri kuasa sejak Merdeka dahulu.

Parti Melayu ini tidak lagi berupaya mengangkat martabat dan memperjuangkan nasib bangsa. Bukan hanya masyarakat bukan Melayu malah sesama orang Melayu sendiri sudah merasa betapa mereka juga sebenarnya terpinggir di bumi sendiri. Yang kaya, yang senang, yang mewah hanya segelintir kecil mereka yang dikeliling-kelalang pemimpin-pemimpin sahaja. Yang selebihnya susah dan merana.

Menyambut saranan Radzi itu saya kira bukan hanya di Perlis malah kepimpinan Umno disemua peringkat dan negeri perlu diubah, dan kita berilah kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin luar Umnoi yang ternyata lebih jujur, bersih dan berkebolehan.

Ayuh kita semua sambut seruan Radzi itu. Selamat tinggal bukan hanya Shahidan tetapi juga Mahadzir, Tajol, Khir, Adnan, Mohamad, Idris, Ali, Ghani dan Musa!

Friday, December 28, 2007

Kerana kuasa manusia sanggup berbunuh-bunuhan

Pagi ini semua akhbar tempatan meletakkan peristiwa pembunuhan bekas PM Pakistan, bermazhab syiah, Benazir Bhutto semalam sebagai paparan muka hadapan. Hatta akhbar Sinar Harian yang sejak kebelakangan ini bagaikan majalah sekolah memaparkan hampir 100% berita dan aktiviti Umno juga menampal berita ini di muka depannya.





Pembunuhan politk nampaknya semakin menjadi-jadi di Pakistan. Belum pun penyiasatan dibuka, banyak pihak telah menuduh puak pelampau agama sebagai pembunuhnya. Ada juga yang menyalahkan Presiden Musharaf, mungkin ada yang selepas ini akan menyalahkan bekas PM Nawaz Sharif, al qaeda, Iran, Amerika Syarikat, entahlah?

Di Malaysia mungkin akan ada pihak-pihak tertentu menggunakan tindakan keganasan itu sebagai alasan bahawa demokrasi di Malaysia adalah jauh lebih baik, selamat dan terkawal. Kalau demokrasi di Pakistan macam Malaysia, tidak ada siapa yang akan mati. Semuanya selamat. Ceramah umu perlu permit, TV dan radio hak eksklusif parti pemerintah, begitu juga akhbar, kerana itu suara pembangkang berjaya dikecilkan, lalu tiadalah kekacauan dan kematian. Yang mati hanyalah demokrasi itu sendiri.

Tetapi kita juga sebenarnya tidak sunyi dari pembunuhan politik. Yang terawal adalah yang melibatkan ahli Parlimen Pasir Mas Hulu dari PAS, Abdul Samad Gul. Beliau mati dihentak dengan “kapak kecil”. Pembunuhan (politik) yang penuh kontroversi yang saya kira sehingga hari ini tidak ramai yang tahu, tidak berjaya diselesaikan (ayah saya kebetulan adalah Pegawai Penyiasatnya). Kita juga ada pembunuhan kerana merebut jawatan politik, iaitu pembunuhan Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Mohd Taha yang juga ADUN Gemenceh. Yang disabitkan sebagai salah seorang pembunuhnya adalah pemimpin muda Umno ketika itu dan Menteri Kebudayaan dan Sukan Datuk Mokhtar Hashim.

Dan kita juga ada satu lagi kes p[embunuhan yang tidak juga selesai sehingga kni iaitu yang melibatkan ADUN Lunas Dr Fernandez serta satu lagi kes pembunuhan melibatkan perubatan kuasa dalam Umno iaitu kes terkemuka Datuk Mazlan, Batu Talam (Mazlan dikatakan menuntut ilmu untuk kaya dan berkuasa tetapi akhirnya mati dicincang oleh sepasang bomoh dan pembantunya).

Ngeri dan tragis juga kes-kes pembunuhan politik di Malaysia ini, cuma taklah setaraf di Pakistan.

Apa pun ini membuktikan kepada kita demi melangsungkan agenda politik, manusia sanggup sehingga berbunuh-bunuhan kerana mahukan kuasa! Rekod membuktikan dalam hal ini bukan hanya orang Pakistan malah orang Malaysia khasnya dari Umno pun, sanggup berbunuh-bunuhan kerana kuasa. Semoga Allah swt menjauhkan kita dari kejahatan mereka yang seumpama ini.
Rashid terus memimpin SPR
Pengundi mati terus mengundi


Walaupun setelah menerima bantahan beberapa pihak, Pengerusi SPR Rashid Abd Rahman sebagaiamana dijangkakan terus memohon untuk tempoh lanjutan perkhidmatan beliau untuk setahun lagi. Baru-baru ini Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan membenarnkan tempoh perkhidmatan Pengerusi dan ahli-ahli SPR dilanjutkan dari bersara pada usia 65 ke 66 tahun.

Dengan ini Rashid dijangka akan terus mengepalai badan yang sepatutnya bebas itu untuk menghadapi pilihanraya umum ke 12 nanti.

Dengan adanya Rashid terus mengemudi SPR sekaligus meletakkan titik hitam permulaan kepada potensi besarnya pilihanraya umum ke 12 nanti terus diurus dalam keadaan tempang dan pincang sebagaimana sebelum ini di bawah tangan beliau. Saya difahamkan beberapa pihak sedang menyusun protes besar-besaran berikutan perkembangan terbaru ini.

Di sini saya tidaklah berhajat membazirkan kudrat saya untuk membicarakan berkenaan Rashid ini. Apa yang mahu saya ketengahkan di sini adalah satu contoh kelemahan besar SPR khasnya dalam pengurusan daftar pengundi. Isunya melibatkan pengundi yang telah meninggal dunia.

Saban tahun kita hadapi ada-ada sahaja peristiwa dimana nama pengundi yang telah meninggal dunia terus digunakan oleh pihak tertentu untuk mengudi. Pengundi tersebut telah meninggal dunia namun namanya masih berada dalam daftar pengundi, lalu kerana kelompongan sistem SPR, pihak-pihak tertentu boleh mengambil kesempatan mengundi menggunakan nama simati itu.

Bolehkah perkara ini berlaku? Atau adakah ini rekaan pihak pembangkang semata-mata?

Bukti terbaik adalah pada pilihanraya umum lalu apabila ayah kepada pemimpin PKR Sdr Azmin Ali dikatakan telah membuang undi mengikut rekod bilik mengundi sedangkan ayah Azmin itu telah pun meninggal dunia (yangs hingga hari ini tidak berjaya dijelaskan oleh mana-mana pihak).

Isunya mengapa masih ada nama-nama pengundi yang telah meninggal dunia di dalam Daftar Pengundi? Kata Rashid SPR tidak boleh bertindak melainkan ada bukti yang pengundi itu telah meninggal dunia. Waris-waris pengundi berkenaan diseru agar mengemukakan sijil kematian kepada SPR sebelum nama-nama berkenaan dapat dikeluarkan dari daftar. Tidakkah ini satu kerja yang tidak masuk akal?

Itu kalau ada waris, kalu tidak ada? Kalau waris tidak tahu simata adalah pengundi?
Soalnya mengapa kerja ini mahu diserahkan atau dipertanggungjawabkan kepada pihak ketiga? Sepatutnya SPR yang kononnya cekap dan berpengalaman itu setelah 11 kali mengendalikan pilihanraya umum kini sudah ada satu mekanisma yang pantas dan padat dalam menangani perkara ini. Pendaftaran mati adalah urusan pihak Jabatan Pendaftaran Negara setelah mendapat input dari pihak polis, kenapa SPR tidak boleh mewujudkan satu mekanisma bersedapau dengan jabatan-jabatan kerajaan ini? Mengapa waris pula yang mahu dipertanggungjawabkan?

Ini baru satu contoh dimana Rashid sehingga kini tidak mampu selesaikan, bayangkan isu-isu besar lain yang melibatkan ketelusan dan keadilan pilihanraya.

Pilihanraya Umum adalah gelanggang untuk rakyat membuat keputusan dan pilihan secara terbuka, tanpa paksaan atau tekanan mana-mana pihak. Keputusan yang terbaik hanya dapat dibuat apabila sistem pilihanraya itu sendiri baik dan sempurna. Di bawah Rashid nampaknya terus tempang dan pincanglah sistem ini!

Thursday, December 27, 2007

Masih adakah kebebasan akhbar di Malaysia?

Memang ada, itulah jawapan yang diberikan oleh Azman Ujang, Pengurus Besar BERNAMA, agensi berita nasional. Beliau berkata demikian dalam majlis forum di RTM1 semalam.

Kebebasan yang dimaksudkan dalam isitlah “kebebasan akhbar” adalah kebebasan untuk menyuarakan sebarang pendapat atau pandangan tanpa sebarang sekatan atau ancaman. Jika kebebasan itu dihalang atau disekat-sekat dengan pelbagai syarat dan peraturan yang memihak kepada satu badan atau agensi atau kerajaan itu sendiri, maka ketika itu tiadalah “Kebebasan akhbar”. Lebih parah lagi apabila sesuatu berita atau maklumat itu diputar-belitkan dengan tujuan mengelirukan pandangan rakyat.

Di Malaysia kita tidak perlukan Pengurus Besar BERNAMA untuk menjelaskan, rakyat semua telah tahu. Saya ambil satu contoh, dalam isu Hindraf. Akhbar-akhbar media perdana semuanya mengeluarkan cabaran pimpinan Umno kepada PAS agar PAS menyatakan sikap dan pendirian berkenaan isu tersebut. Bukan sekadar media cetak, kesemua media elektronik turut memainkan isu cabaran itu. Tetapi apabila Presiden PAS mengeluarkan kenyataan resmi parti berhbung isu tersebut, tidak ada satu akhbar saluran perdana pun yang melaporkannya!

Kita ambil satu contoh lagi, kejadian banjir terbaru yang menimpa beberapa negeri di Semenanjung. Nyatakan kepada saya 1 akhbar saluran perdana yang ada melaporkan darihal bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri Kelantan di Kelantan atau lawatan-lawatan yang dibuat oleh MB ke pusat-pusat penempatan sementara. Yang ada cumalah bantuan dan kunjungan wakil-wakil rakyat pembangkang dari BN. Anehnya di negeri-negeri lain wakil-wakil pembangkang tidak pula mendapat liputan.

Tiba-tiba Azman tanpa segan dan malu boleh mendakwa ke seluruh negara melalui RTM semalam bahawa di Malaysia ada kebebasan akhbar. Penipu!

Itu di media saluran perdana, media milik parti pembangkang pula walaupun zahir tetapi teruk ditekan. Harakah cuma dibenar keluar dua minggu sekali, manakala Suara Keadilan sehingga hari ini tidak diberikan kebenaran. Kebebasan akhbar apakah ini?

Azman juga mendakwa konon wujudnya media alternatif sebagai bukti Malaysia mengamalkan kebebasan akhbar. Harakah dan Suara Keadilan telah saya sebutkan. Lahirnya laman-laman web dan blog berupa berita semasa dan isu-isu politik adalah bukti betapa suara yang berbeza dari kerajaan dikekang dan tidak mendapat tempat dalam akhbar-akhbar tempatan.

Lihat sahajalah apabila tiba musim pilihanraya, betapa akhbar-akhbar saluran perdana terutama akhbar-akhbar berbahasa Melayu akan melacurkan diri untuk mempromosi parti pemerintah tanpa sedikit pun memberi ruang kepada pembangkang, kalau pun ada berita semuanya negatif belaka! Sesungguhnya kita telah pun menerima hakikat begitulah keadaan akhbar tempatan kita, masalahnya Pengurus Besar BERNAMA juga sanggup melacurkan diri berbohong di depan kaca TV menegakkan benang basah kononnya kita kaya dengan kebebasan akhbar, sungguh mengaibkan!

Kalaupun ada akhbar saluran perdana yang benar-benar bebas ia adalah Utusan Melayu, namun itupun kebebasannya telah diperkosa kira-kira 46 tahun lalu iaitu pada tahun 1961 apabila ianya diambil-alih oleh Umno sehingga mencetuskan peristiwa keramat “Mogok Utusan”. Kata Allahyarham SN Usman Awang:

Lazimnya pekerja melancarkan mogok kerana mahu menuntut tambahan gaji, Utusan Melayu mogok kerana mahu mempertahankan “kebebasan akhbar”.

Dan kata bekas Ketua Pengarangnya Sdr Said Zahari:

Kami berpendirian bahawa Utusan Melayu yang bebas daripada penguasaan seperti itu sahajalah yang benar-benar boleh berkhidmat kepada seluruh bangsa Melayu, agama dan tanah air bukannya kepada satu kelompok orang Melayu yang menganggotai satu-satu parti politik sahaja.

Kesimpulannya tidak ada “kebebasan akhbar” di Malaysia, yang ada cumalah akhbar-akhbar saluran perdana yang dimiliki dan dikuasai oleh parti-parti pemerintah.
Antara kita dengan Iblis dan Syaitan

Heboh penyanyi Sohaimi Mior Hassan apabila lagu beliau “Ini bukan demokrasi kita” kononnya dijadikan video klip oleh puak-puak pembangkang. Khabarnya sampai buat laporan polis kononnya video klip itu dimuatkan di YouTube tanpa izin beliau, Sohaimi jelas tidak mahu dibabitkan dengan perjuangan anti BN walaupun kalau kita kaji lagu-lagunya dahulu banyak juga mengkritik.

Saya masih ingat lagu beliau tentang harga getah dan demam denggi, semuanya agak tajam dan pedas.

Tetapi kini Sohaimi mahu dikenali sebagai seorang yang pro BN, mungkin takut periuk nasi tergugat. Itu suka hati beliaulah walaupun ramai yang menyokong pembangkang saya pasti minat juga dengan lagu-lagu beliau.

WTV8 ada memuatkan satu videoklip, tetapi bukan hasil karya Sohaimi. Kalau anda ada masa bolehlah menyaksikannya, iaitu berdasarkan lagu “Antara Kita dengan Iblis dan Syaitan” nyanyian kumpulan RAMPA di http://wtv8.tv/

Lagu ini adalah lagu lama dihasilkan oleh group lama iaitu RAMPA (atau Rambut Panjang, penyanyi leadnya, Sdr Poe). WTV8 juga tidak meminta izin RAMPA kerana mereka yakin tidak seperti Sohaimi, RAMPA adalah group pejuang!
Vigneswaran rupanya “Superman”

Masalah yang menimpa kaum India di Malaysia adalah tidak kritikal, demikian kata Ketua Pemuda MIC SA Vigneswaran. Mereka (kaum India) tidak marah dengan Pak Lah atau Samy Vellu, tetapi pihak pembangkanglah yang sengaja membesarkan-besarkan isu yang kecil ini.
Jahat sungguh pihak pembangkang di Malaysia!

Rupanya masalah perumahan, masalah pengangguran, masalah ekonomi, masalah kemiskinan kaum India di negara ini semuanya bikinan PAS, DAP dan PKR. Kata Vigneswaran sebagai buktinya beliau memberi jaminan yang MIC akan menyelesaikan semua masalah ini dalam masa sebulan!

Hebat sungguh Ketua Pemuda MIC. Kalau beliau seorang sahaja boleh menyelesaikan masalah lebih 2 juta rakyat India yang merupakan 10% dari bilangan penduduk Malaysia dalam masa 30 hari, beliau sepatutnya bukan memegang jawatan Ketua Pemuda MIC, beliau seharusnya dilantik sebagai PM Malaysia!

Beruntunglah masyarakat India mempunyai pemimpin seperti Vigneswaran. Banyak pihak mendakwa yang masyarakat India di Malaysia terpinggir sejak berdekad-dekad, terbaru Naib Ketua Pemuda Gerakan, Panjorthy dan sebelum itu Hindraf dan beberapa NGO tiba-tiba datang Ketua Pemuda MIC, dan dalam sekelip mata, semuanya dapat diatasi!

Tambah Vigneswaran lagi hanya BN yang mampu menyelesaikan masalah rakyat!

Saya bukan bertujuan mahu mengapi-apikan sesiapa tetapi bagi saya kenyataan ini datangnya dari seorang yang angkuh dan bongkak serta tidak berpijak di bumi nyata. Kalau beliau boleh meluangkan masa menjenguk di sekitar Kampung Medan dan flat kos rendah di sekitarnya sehinggalah ke Desa Mentari dan Kg Lindungan, beliau akan menyaksikan betapa dhaifnya, bukan hanya masyarakat India malah masyarakat Melayu pun. Inilah realiti rakyat Malaysia, hidup bersesak-sesak dengan bau hanyir dan suasana kehidupan yang tidak selamat.

Kalau beliau ada masa cuba lihat lif yang mengangkut penduduk di flet-flet tersebut yang lebih 10 tingkat itu. Keadaannya cukup dhaif dan tahukah beliau sekiranya berlaku kecemasan atau kematian lif tersebut tidak boleh memuatkan pesakit atau mayat secara membaring kecuali ditegakkan!

Dikebanyakkan blok-blok di sana, penghuninya terpaksa mengangkut motorsikal masing-masing dengan menggunakan lif untuk ditempatkan ditingkat rumah mereka, mengapa? Kerana kejadian curi motor berleluasa!

Di kawasan-kawasan ini cyber cafe yang gelap dari luar dan arked-arked hiburan tempat lepak anak-anak penghuni flet ini. Kes ragut, curi, seks dan pergaulan bebas menjadi-jadi.
Ini baru satu daerah melibatkan dua kawasan Parlimen, bagaimana pula di kawasan luar bandar, di estet-estet dan lain-lain, adakah semuanya boleh selesai dalam tempuh 30 hari?!

Sama sahaja pemimpin MIC atau Umno atau MCA, apabila berhadapan dengan rungutan dan kritkkan rakyat, mereka akan terbit dengan berbagai alasan dan seribu satu dalih dan tipu daya. Dan kenyataan Vigneswaran ini adalah modal terbaru yang paling tidak masuk akal yang pernah saya dengar!

Namun jika rakyat berpuas hati. Masyarakat India contohnya terpegun dan kagum dengan janji Vigneswaran ini, maka teruskanlah menyokong MIC dan BN, kerana saya yakin majoriti rakyat Malaysia kali ini sudah bosan dan muak dengan janji-janji kosong ini, kami mahukan perubahan total, dan ianya hanya akan berlaku apabila BN dikuburkan dalam pilihanraya yang bakal mendatang ini.

Wednesday, December 26, 2007

Bersediakah kita membawa perubahan?

Dalam kita menunggu-nunggu tibanya tarikh Pilihan Raya Umum ke 12, macam-macam spekulasi dan ramalan yang turut kita dengar. PAS akan kalah di Kelantan (ada juga mengatakan Umno akan berkubur di Kelantan), PAS akan tawan kembali Terengganu, DAP dan PKR akan sapu Pulau Pinang, Umno akan hilang kuasa di Sabah, dan macam-macam lagi.
Dan inilah juga yang diharapkan dari kawan-kawan saya apabila bertemu saya, bagaimana harapan dalam pilihan raya nanti?

Tentulah saya mahukkan kerajaan berubah disemua peringkat. Rakyat Malaysia sebulat suara memberi peluang kepada parti-parti alternatif untuk membuktikan kemampuan mereka manakala BN duduk dikerusi pembangkang dan merasa bagaimana pengalamnnya menjadi pembangkang pula. Tetapi itu kemahuan saya, sebagaimana saya yakin kemahuan Dollah untuk melihat BN muncul sebagai satu-satunya parti untuk rakyat Malaysia di semua peringkat!
Realitinya bagaimana? Bagaimanakah mood rakyat sekarang ini? Jika pilihanraya diadakan hari ini, bagaimanakah kecenderungan mereka?

Kerana itulah apabila ditanya Tun Daim Zainuddin beliau berkata, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor adalah “hotspots” bagi BN, itu bacaan Daim. Adakah ianya mencerminkan kemahuan rakyat?

Apabila Ketua Pemuda MIC, PPP dan IPF tiba-tiba duduk semeja bagaikan kawan-kawan bersedia menyelesaikan masalah kaum India di Malaysia, adakah itu petanda masyarakat India sudah mula berubah selera? MIC dan IPF adalah seteru politik, masing-masing bercakaran untuk mencuri sokongan masyarakat India begitu juga MIC dan PPP, tetapi apabila seterus duduk bersama, pasti ada cabaran diluar yang hebat yang mengakibatkan mereka terpaksa berbuat demikian.

MCA dan Gerakan juga sedang berkuntau bagi memenangi hati masyarakat Cina. Disaat-saat akhir ini berbagai janji ditaburkan. Hati masyarakat Cina mahu dipelihara, mengapa, kerana sejak akhir-akhir ini berita menyatakan yang masyarakat Cina sudah mula bosan dan kini bersedia untuk mengalihkan sokongan kepada pembangakng!

Itu yang sedang berlaku pada hari ini, tetapi memang untuk membaca setepat-tepatnya sangat sukar.

Puluhan ribu (kata Harakah mencecah ratusan ribu) hadir dalam ceramah Tuan Guru Presiden PAS bersama Anwar Ibrahim di Alor Setar, Kedah baru-baru ini. Sebelum itu dalam program “roadshow” nya di Pulau Pinang, Anwar disambut oleh ribuan rakyat berbilang kaum terutama masyarakat India. Adakah semua ini memberikan sebarang petunjuk?

Yang pastinya rakyat terus hidup dalam keadaan memikul beban, beban utama adalah ekoran kenaikkan kos hidup yang semakin mencengkam, bagi mereka yang baru dilanda banjir, kini memikul beban baru pula iaitu untuk memulihkan kehidupan, suatu yang bukan mudah. Hidup sudah tidak seronok dan riang lagi seperti dahulu (tanyalah siapa sahaja kecuali segelintir kecil para kroni yang terus menimba kekayaan), persekolahan anak-anak, walaupun buku-buku teks kini percuma tetapi pakaian seragam, kasut, bag dan lain-lain peralatan wajib semakin mahal.
Itu realiti, bukan cerita bikin-bikinan, tetapi sesuatu yang nyata.

Jenayah, rasuah dan salah-guna kuasa semakin menjadi-jadi. Ada-ada sahaja yang dibunuh, diculik, dirogol, diperkosa, diseret ke mahkamah kerana menipu dan menyeleweng wang rakyat, wang syarikat. Negara kelihatan gawat dan tidak selamat.

Lalu saya nyatakan kepada rakan-rakan yang bertanya, jika kita memikirkan semua ini, kita seharusnya juga memikirkan jalan keluar. Kalau kita umpamakan seperti pasukan bolasepak, mungkin pengurusnya, jurulatihnya, perlu ditukar, mungkin ketika itu baru pasukan akan maju dan berjaya. Kalau kita umpamakan seperti dagangan pasaran saham. Mungkin porfolio yang kita pegang sudah tidak berdaya maju lagi, ada yang lain yang lebih prospeknya, mungkin kita perlu berani jual apa yang kita pegang (walaupun rugi) dan beli yang lain yang lebih baik dan menjanjikan masa depan.

Umno dan BN bukannya parti dari langit. Menolak mereka bermakna akan mengundang bala dan ancaman dari langit. Malah tidak menolak mereka pun kini sudah mengundang pelbagai bala.

Begitu juga PAS, DAP, PKR bukannya parti puaka. Mengundi mereka bermakna mengundang malapetaka. Malah tidak mengundi mereka pun sekarang ini kita sudah bergelumang malapetaka!

Pokoknya disini kita perlu bijak membuat perhitungan politik. PAS contohnya di Kelantan telah berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin Melayu yang berwibawa dan berkaliber, jauh mengatasi pemimpin-pemimpin Melayu yang Umno lahirkan sejak Merdeka! DAP, kita telah melihat bagaimana mereka berani membongkar dan mendedahkan penyelewengan dan korapsi dalam BN kerana dedikasi mereka sepanjang memegang amanah duduk dikerusi pembangkang. Dan PKR punya Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim, semuanya berpengalaman belaka tidak termasuk yang lain-lain yang merupakan pejuang dan pembela rakyat seperti Tian Chua dan Sivarasa dan ramai lagi.

Kalau kita iktiraf bahawa kesusahan dan kepayahan yang sedang melanda hidup kita dan negara tercinta ini angkara kesilapan dan kelemahan pemimpin yang ada, maka kita perlu iktiraf juga bahawa sudah tiba masanya kita memberi peluang kepada pihak lain yang kelihatan lebih cekap dan bertanggungjawab.

PAS pernah menang sebesar 27 kerusi parlimen dalam pilihanraya 1999 manakala bagi DAP pencapaian terbaiknya adalah 24 kerusi pada tahun 1986 dan PKR 5 kerusi 1999. Jumlah disitu adalah 56 kerusi. Jika PAS dapat tambah 20 (jadi 47) DAP tambah 20 (jadi 44) dan PKR tambah 15 (jadi 20) bermakna mereka bersama memenangi 111 kerusi, Parlimen kita ada 219 kerusi, ini bermakna BN tinggal 108 dan duduk di kerusi pembangkang!

Itu peringkat Pusat, negeri-negeri pula?

Mungkin ianya “too good to be true” tetapi berdasarkan realiti yang sedang kita hadapi saya berani menyatakan ianya tidak mustahil dengan syarat rakyat Malaysia sederap bangun menuntut perubahan. Ahhh, 111 dan 108 terlalu rapuh, jangan bimbang apabila cecah sahaja 110 percayalah mana-mana ahli Parlimen BN yang tinggal ketika itu sudah pun melompat menjadi ahli PAS, DAP atau PKR.

Saya dan keluarga sudah bersedia membuat perubahan ini, anda bagaimana?
Selamatkan badminton Selangor dari Zakaria Md Deros

Tidak cukup dengan kekotoran yang telah beliau tinggalkan, Zakaria Md Deros nampaknnya enggan hilang begitu sahaja tetapi terus mahu mewarnai lanskap Selangor walaupun kekotoran ditangannya itu masih belum hilang. Kini beliau bertarung pengaruh pula di Persatuan Badminton Selangor (SBA).

Terdapat dua kumpulan bertelagah untuk menguasai SBA, satu diketuai Zakaria yang kononnya meguasai 10 kelab badminton manakala satu lagi kumpulan diketuai V.Subramaniam. Kumpulan V.Subramaniam sebenarnya telah pun memanggil satu Mesyuarat Agung pada 31 Mac lalu dimana beliau telah dilantik sebagai Presiden menggantikan Zakaria. Semasa mesyuarat tersebut 9 kelab yang didokong Zakaria telah tidak dibenarkan masuk. Menurut rekod setakat ini terdapat 41 kelab yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Walaubagaimanapun baru-baru ini Pesuruhjaya Sukan Tan Sri Elyas Omar telah mengisytiharkan yang pemilihan dan mesyuarat pada 31 Mac itu sebagai tidak sah dan satu mesyuarat pemilihan baru perlu diadakan segera oleh pimpinan lama diketuai Zakaria.

Licik sungguh politik Zakaria. Saya pernah menulis di blog ini bahawa antara punca kelab-kelab badminton di Selangor enggan berketuakan Zakaria kerana Subramaniam pernah mendedahkan beberapa penyelewengan membabitkan Zakaria berlaku dalam SBA antaranya dalam isu perlantikkan kontraktor untuk mengubahsuai Gelanggang SBA di Kg Attap.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah pernah menyebut dalam wawancaranya di NST:

Corruption if not contained can become a cancer eating its way in our society.

Rasuah jika tidak dibendung akan menjadi kanser yang merosakkan masyarakat.

Dari Zakaria Md Deros yang kelam dan hitam rekod dan latabelakangnya, lebih baik Selangor mengangkat Misbun atau anak-anak Datuk Sidek yang lain mengetuai SBA, sekurang-kurangnya kita tahu masadepan badminton Selangor berada dalam tangan orang yang minat dan tahu serta berpengalaman dalam bidang tersebut. Mungkin kelab pemilik rumah besar atau kelab ahli-ahli politik kotor lebih sesuai buat Zakaria.

Monday, December 24, 2007

RM2 billion untuk jatuhkan kerajaan Tok Guru

Dari Kelantan, Pengerusi Perhubungan Umno negeri Annuar Musa (yang telah menunggu hampir 17 tahun untuk dinobatkan sebagai MB negeri tersebut) mengumumkan yang manifesto partinya untuk pilihan raya umum akan datang telah hampir siap. Temanya adalah: “Tawan Kelantan”.





Memang Umno dan BN telah cuba berbagai taktik dan strategi untuk merampas kembali negeri Cik Siti Wan Kembang itu dari PAS sejak tahun 1990. Pada pilihan raya umum 2004 lalu, mereka hampir sahaja berjaya, cuma kurang dua kerusi untuk meletakkan Annuar sebagai MB baru Kelantan. Sudah pastilah semangat 2004 akan terus membakar Umno Kelantan khasnya Annuar untuk terus berjuang mungkin kali ini dalam pilihan raya umum ke 12 nanti beliaulah yang akan dijulang sebagai MB baru menggantikan Tok Guru Nik Abd Aziz.

Kata Annuar dalam manifestonya itu BN Kelantan menjanjikan projek mega bernilai RM 2 billion untuk membangunkan negeri tersebut yang mampu disiapkan dalam tempoh 5 tahun! Ianya bukan sebahagian dari projek ECER yang dilancarkan oleh PM baru-baru ini tetapi merupakan projek-projek sokongan bagi menjayakan ECER.

Memanglah jumlah RM2 billion itu besar, dan mungkin inilah satu-satu negeri yang menerima janji sebesar itu bagi seluruh Malaysia. Bermkana manifesto “Tawan Kelantan” ciptaan Annuar ini bertujuan membeli undi dan sokongan rakyat Kelantan dengan janji pembangunan mega yang luar biasa.

Takkanlah tidak tergiur rakyat negeri Serambi Mekah itu?

Bagi Annuar dan Umno Kelantan, mustahil rakyat Kelantan akan menolak beliau kali ini. Mustahil rakyat Kelantan mahu berterusan bergayut dibawah jubah Nik Aziz, jika menolak Nik Aziz bermakna mereka beroleh projek yang mega mewahnya. Mustahil rakyat Kelantan tidak mahu maju setanding dengan negeri-negeri lain.

Jika begitulah bacaan Annuar dan Umno Kelantan maka mereka sebenarnya menghina dan merendahkan tahap pemikiran dan keupayaan politik rakyat Kelantan. Bukan rakyat di Kelantan sahaja, rakyat di Ulu Tembeling, rakyat dipedalaman Sabah, Sarawak, di hujung-hujung Baling dan Sik, Hulu Perak, Hulu Selangor, Hulu Terengganu semuanya mahu maju dan senang juga. Ringkasnya tidak ada manusia mana pun mahu terus hidup susah dan sengsara.
Solanya apakah tanpa projek mega RM2 billion itu rakyat Kelantan susah dan sengsara?

Bagi saya sejak tahun 1990 rakyat Kelantanlah antara rakyat Malaysia yang paling bijak dan matang politiknya. Mereka yang rata-rata berketurunan Melayu Islam itu mahukan kesenangan dan kesejahteraan, tetapi trend pengundian mereka sejak 1990 menunjukkan yang bagi mereka yang penting bukan hanya sekadar kesenangan dan kesejahteraan dunia semata-mata tetapi mereka juga mahu senang dan sejahtera di akhirat sekali.

Kerana itu mereka memilih untuk “Membangun Bersama Islam” kerana mereka yakin pembangunan yang dibawa walaupun mungkin kecil dari “standard” dan kaca mata BN tetapi ianya merangkumi sekali pembangunan dunia dan akhirat, sesuatu yang manifesto “Tawan Kelantan” ciptaan Annuar Musa mungkin tidak mampu malah gagal lahirkan.

RM2 billion itu memang besar, tetapi apalah maknanya jika dijatuhkan kerajaan yang bercita-cita “Membangun Bersama Islam” pimpinan Tok Guru Nik Abd Aziz dan dinaikkan personaliti seperti Annuar Musa, yang akhlak, peribadi dan kepimpinannya bagaikan langit dan bumi jauhnya jika mahu dibandingkan dengan Nik Aziz.

PAS sepanjang 17 tahun pemerintahannya tidaklah sepi dari pembangunan malah telah membuktikan yang dalam serba kekangan mereka berjaya menongkah arus dan membina sebuah tamaddun yang berbeza sama sekali dari negeri-negeri lain di Malaysia yang dipimpin BN. Kepimpinan Tok Guru Nik Abd Aziz telah melahirkan pimpinan anak-anak negeri yang berkualiti dan bertaqwa sesuatu yang tandus dikalangan pimpinan Melayu di luar Kelantan!

RM2 billion itu memang besar, tetapi saya yakin rakyat Kelantan lebih besarkan Islam dan kemuliaannya. Selamat mencuba Annuar Musa.
Masyarakat India tetap setia dengan BN?

Seluruh jentera kepimpinan MIC tiba-tiba bersuara serentak. Suara lantang mereka mendapat ruang dalam akhbar-akhbar media perdana. Dari Samy Vellu ke Palanivel sehinggalah ke Ketua Pemudanya Vigneswaran, semuanya tiba-tiba mempertahankan rekod MIC dalam membela nasib dan kebajikan masyarakat India di Malaysia.

Kenapa perlu pertahankan? Apakah ianya kini dipertikaikan?

Semuanya menafikan dakwaan bahawa masyarakat India di Malaysia terpinggir, semuanya menolak anggapan bahawa kebangkitan Hindraf tempuh hari akan mengakibatkan tindakbalas politik masyarakat India terhadap BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Kata Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, masyarakat India rata-rata taat pada MIC dan BN beliau menolak dakwaaan Penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa berikutan kebangkitan Hindraf, pengundi India tidak lagi sepakat dalam memberikan sokongan padu pada BN.

Ketua Pemudanya Vigneswaran pula menegaskan yang parti-parti pembangkangs sengaja mahu mencetuskan kekeliruan dikalangan masyarakat India untuk mencuri sokongan mereka. Beliau telah mengarahkan seluruh kekuatan Pemuda MIC untuk turun ke akar umbi bagi mengkaji sebarang masalah yang tidak dapat diselesaikan diperingkat tersebut.

Lalu benarkah pengundi dari kalangan masyarakat India akan mengalihkan sokongan mereka dan tidak lagi mengundi BN kali ini? Sebenarnya “swing” ataupun ayunan sokongan dari Bn ke pembangkang dikalangan masyarakat India jarang-jarang berlaku. Benarlah kata Palanivel bahawa msyarakat India secara tradisinya merupakan penyokong kuat BN. Walaubagaimanapun itu tidak bermkana mereka terus menerus akan meyokong BN secara membuta.

Pada tahun 1990 berikutan pemecatan MG Pandithan dari MIC dan penubuhan parti IPF yang dipimpin sendiri oleh beliau, masyarakat India telah berpecah sokongan. Pandithan ketika itu diiktiraf sebagai pemimpin India yang kental sokongannya diperingkat akar umbi khasnya dikalangan masyarakat India di luar bandar dan di estet-estet iaitu yang berpendapatan rendah. IPF berjaya mencuri sokongan penyokong-penyokong MIC dan dalam pilihanraya tahun itu Pandithan membawa partinya untuk bergabung dalam pakatan Gagasan Rakyat bersama Semangat 46 dan DAP.

Buat pertama kali dalam sejarah, undi masyarakat India berpecah. Di setengah-setengah tempat ia hampir sahaja berpecah 50-50 antara BN dan pembangkang. Kalau diperhatikan ketika itu peti-peti undi di kawasan-kawasan lebih 90% pengundi India khasnya di kawasan-kawasan estet, lonjakkan sokongan terhadap pembangkang dikalangan masyarakat India begitu ketara sekali.

Itu 17 tahun yang lalu. Kini Pandithan telah kembali berdakap dengan Samy Vellu dan isu pergeseran antara kedua tokoh itu telah dilupakan masyarakat. Kini masyarakat India sedang hangat memperkatakan darihal nasib dan masa depan mereka. Mereka mula mempertikaikan sumbangan MIC, mereka mula sedar bahawa walaupun suara masyarakat India duduk di dalam kabinet namun mereka terus terpinggir dan merempat walaupun setelah 50 tahun merdeka.
Kata Naib Ketua Pemuda Gerakan, Paranjothy, masyarakat India di Malaysia kini merupakan rakyat kelas keempat!

Hakikatnya hanya jauhari mengenal maknikam. Nasib dan kesusahan masyarakat India hanya boleh difahami oleh kalangan masyarakat India sendiri. Jika pembangkang yang mengatakan masyarakat India terpinggir, mungkin banyak pihak boleh mengatakan ianya mainan pembangkang, tetapi apabila dikalangan pimpinan India dalam BN juga begitu, saya yakin masanya sudah tiba untuk kita menyaksikan lonjakkan undi protes yang lebih besar dari masyarakat India terhadap BN. Mungkin lebih besar dari sejarah tahun 1990 dahulu.

Marilah kita semua, Melayu, India dan Cina, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan cintakan keadilan, bangun dan mengundi untuk perubahan.

Sunday, December 23, 2007

Mari kita mansuhkan ISA

Sejak penahanan beberapa pemimpin HINDRAF di bawah ISA baru-baru ini, kezaliman undang-undang warisan penjajah itu mula hangat diperkatakan kembali. Saya tertarik sejak satu dua hari kebelakangan ini apabila mendapat tahu darihal komen yang diberikan oleh dua orang personaliti yang berbeza terhadap ISA ini. Kedua-duanya menarik dan perlu diambil perhatian oleh semua warga Malaysia yang cintakan keadilan dan hak asasi.

Semalam bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bekas PM Tun Dr Mahathir telah ditanya berkenaan ISA. Beliau yang semasa kepimpinannya dahulu pernah menggunakan ISA terhadap para penentang dan pengkritiknya telah memberikan reaksi yang sangat tajam dan mendalam maknanya (sebagaimana kata Dato Mustapha Ali, dalam bahasa Tun Dr M). Kata Tun (beliau memberikan kenyataannya dalam Bahasa Inggeris):

It is up to the government and the people to decide this. You see we are a democratic country. If the people selected to lead are the people who support the use of ISA, then they will use it. The choice is yours.

Terpulanglah kepada kerajaan dan rakyat untuk memutuskan. Kita adalah sebuah negara demokrasi. Jika yang dipilih oleh rakyat adalah mereka yang menyokong penggunaan ISA, maka mereka akan menggunakannya. Pilihannya terletak pada anda.

Anda boleh memberikan berbagai tafsiran terhadap kenyataan Tun ini, tambah lagi bagi mereka yang tidak putus dendamnya terhadap beliau. Bagi saya, kenyataan Tun ini bagaikan serampang dua mata, satu cuba mempertahankan pentadbiran beliau dahulu, dua melemparkan kritikkan sinis terhadap pentadbiran yang ada. Lebih mudah lagi kalau tak suka ISA pilihanraya nanti janganlah lagi undi parti Dollah Badawi!

Sementara itu dalam NST hari ini dimuatkan temuramah Syed Nazri dan Jeniffer Gomez dari akhbar tersebut bersama Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah. Salah satu soalan yang diajukan kepada Raja Nazrin adalah berkenaan ISA. ISA dikatakan suautu alat bagi kerajaan untuk bertindak terhadap mereka yang mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara, komen beliau:


I hope it is used very sparingly, if at all, and only when there is a genuine threat to national security. It should never be used to stifle dissent.

Saya berharap ianya mestilah dikawal penggunaanya jikapun perlu digunakan ianya mestilah ketika berlaku ancaman yang sebenar terhadap keselmatan negara. Ia tidak wajar digunakan untuk mengekang perbezaan pendapat.

Sekali lagi pihak istana kembali dengan pandangan yang luas dan bernas. Malah banyak isu disentuh oleh Raja Nazrin dalam wawancara beliau itu namun dalam hal membicarakan darihal ISA ini cukuplah sekadar memaparkan yang ini. Kesimpulannya ISA kini sudak diperakui lapuk dan usang, zalim tak terkata. Siapakah yang berkuasa merobahnya, tidak ada kuasa lain melainkan rakyat sendiri. Oleh itu marilah kita fikirkan masak-masak perkara ini, perubahan hanya mampu berlaku apabila rakyat sendiri yang bangkit menuntunya, oleh itu pastikan ianya berlaku dalam PRU ke 12 nanti.
Paranjothy menjadi wira angkara kedangkalan Pemuda Umno

Pemangku Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon nampaknya berada dalam keadaan tersepit. Beliau sudah pastinya mahu memimpin parti Gerakan ke arah kemajuan yang lebih besar setelah mantan Presidennya Dr Lim Keng Yaik mengundurkan diri. Pilihan raya sudah semakin hampir. Pulau Pinang menurut Tun Daim Zainuddin merupakan salah sebuah negeri "hotspot", yang tidak mustahil boleh berlaku perubahan angin. Kerana itu beliau perlu berhati-hati.
Sebagaimana yang saya kemukakan di blog ini semalam, kenyataan Naib Ketua Pemuda parti tersebut S. Paranjothy kononnya telah menghiris hati Pemuda Umno khususnya sehingga mengakibatkan Ketuanya Hishamuddin Tun Hussien bangkit melenting.

Dr Koh mengadakan sidang akhbar khas hari ini untuk menjelaskan keadaan. Beliau kelihatan mahu menunjukkan ketegasan kepimpinan beliau tetapi dalam waktu yang sama berusaha juga memelihara imej beliau dan partinya itu. Beliau menyatakan yang Paranjothy akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib parti dan jika didapati beliau bersalah boleh digantung atau dipecat dari parti. Walaubagaimanapun dalam waktu yang sama Dr Koh menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap reaksi Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussien semalam yang kononnya mendesak Gerakan mengambil tindakan terhadap Paranjothy ataupun Pemuda Umno dan BN akan memutuskan hubungan dengan Gerakan.

Kata Dr Koh kenyataan Hishamuddin itu berbau ugutan dan beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Perkembangan terbaru ini jelas membuktikan yang hubungan sesama parti komponan dalam BN sekarang ini genting dan tidak lagi mesra seperti dahulu.

Gerakan kini sedang menghadapi asakkan teruk khasnya di Pulau Pinang. Sentimen pengundi bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan kos hidup yang semakin kalut di bawah BN begitu menebal sekali. Ini ditambah pula dengan pandangan negatif yang diberi oleh Tun Daim. Tiba-tiba Pemuda Umno (yang memang buruk rekodnya dikalangan masyarakat bukan Melayu) mengambil kesempatan memukul pula Gerakan atas kes Paranjothy ini.

Saya pasti aksi kurang waras Pemuda Umno ini sebenarnya akan lebih mengeruhkan suasana. Paranjothy, apa pun tindakan yang bakal diambil terhadapnya kini secara otomatis sudah dijulang sebagai wira. Beliau berani menegur dan mengkritik Pemuda Umno yang memang dianggap "kacang hantu" oleh sesetengah masyarakat bukan Melayu, lalu kerana itu beliau kini mahu digantung dan mungkin juga dipecat. Pemuda Umno telah menobatkan Paranjothy sebagai wira, kalau dipecat saya pasti Paranjothy dengan mudah boleh diterima samada oleh DAP atau parti pembangkang yang lain.

Apa pun perkembangan ini menunjukkan sikap otokrat Pemuda Umno dan bengisnya mereka dalam hubungan sesama rakan komponan BN. Bagi saya apa yang Paranjothy anggap sebagai "Discrimination from womb to tomb" itu memang benar wujud dan diamalkan dalam BN dulu, kini dan selamanya, jika tidak masakan ianya diungkit dan diperkatakan.

Saturday, December 22, 2007

Tidak boleh menegur sesama BN

Sejak kebelakangan ini banyak sungguh suara ketidakpuasan hati kita dengar dari kalangan saf kepimpinan BN sendiri terhadap samada BN ataupun Umno selaku tulang-belakang parti komponan tersebut. Kalau sebelum ini saya pernah paparkan suara-suara keras semasa Perhimpunan Pemuda MCA dan Gerakan, pernah juga Zaid Ibrahim dan Tengku Razaleigh mengkritik, tidak ketinggalan PPP, kini terbaru seorang lagi pemimpin dalam komponan BN bersuara lagi.

Beliau adalah Naib Ketua Pemuda Gerakan Kebangsaan iaitu Sdr S. Paranjothy. Kata Paranjothy Umno khasnya Pemuda Umno memang sentiasa mebakar sentimen perkauman dikalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Malah kata beliau isu-isu perkauman sentiasa dibangkitkan oleh Umno untuk kepentingan politikl mereka khasnya dikalangan masyarakat Melayu. Lalu yang selalu menjadi mangsa adalah parti-parti komponan dalam BN yang sentiasa menjadi "punching bag" dan batu oncatan untuk Umno meluncur ke atas.
Paranjothy melemparkan serangan ini dalam kenyataan 4 muka beliau berjudul "Discrimination from womb to tomb" ataupun "Diskriminasi dari kandungan sehingga ke liang lahat"!

Dalam Buletin Utama TV3 tadi apabila Ketua Pemuda Umno diminta memberikan reaksi beliau terus sahaja menganggap pandangan Paranjothy itu sebagai kata-kata sumbang dan akan meminta Pemangku Presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon untuk memberikan penjelasan. Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda Gerakan dan seorang AJKnya juga turut mengeluarkan kenyataan kononnya terperanjat dengan kenyataan Paranjorthy itu. (Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Lim Si Pin dalah anak kepada mantan Presiden Gerakan Lim Keng Yaik).

Paranjothy mencadangkan agar semua 14 parti komponan dalam Bn bersatu menjadi satu parti berbilang kaum, satu cadangan yang memang sering dimainkan oleh Gerakan sebelum ini. Bagi beliau hanya dengan cara ini barulah segala bentuk politik perkauman akan dapat diatasi dan demikian juga segala bentuk diskriminasi dan manipulasi.

Bagi saya cetusan politik ini membuktikan memang BN bermasalah dan memandangkan ianya kerap sangat dibangkitkan sesama mereka maka masalah itu semakin menggunung dan menunggu masa untuk meletup. Rakyat perlu menggunakan kebijaksanaan bagi menilai semua ini, kalau hak untuk bersuara dan tegur-menegur sesama parti komponan sudah tidak ada sudah dilihat dengan penuh prejudis dan dianggap menderahaka, maka apalagi hak rakyat untuk menegur dan menuntut untuk didengar.
BN dalam dilema

Sudah lama kita tidak mendengar khbar berita dari bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. Tokoh yang dinaikkan di zaman Tun Dr Mahathir itu dahulu memang tidak banyak bercakap tetapi pernah mencetuskan banyak kontroversi. Sebagaimana beliau yang tidak banyak becakap, datang dan perginya juga secara senyap-senyap tidak banyak diketahui orang.
Tetapi sekali beliau bercakap, sehinggakan PM terpaksa mengulas dalam waktu perdana siaran berita jam 8.00 malam tadi.




Apa kata Daim sehingga mengundang reaksi spontan Dollah? Kata Daim sebagaimana dilaporkan dalam The Star hari ini yang diceduk dari temuramah eksklusif beliau dengan The China Press, kerajaan BN perlu beri perhatian dan tumpuan kepada 3 buah negeri yang beliau sifatkan sebagai "hotspots". Negeri-negeri itu bukannya Kelantan atau Terengganu, tetapi 3 buah negeri yang beliau maksudkan adalah Kedah, Pualu Pinang dan Selangor.

Antara faktornya kata beliau, jika di Selangor golongan kelas pertengahan ramai yang tidak berpuas-hati dengan beberapa keputusan pihak kerajaan. Akhbar The Star tidak menghuraikannya tetapi bagi saya di Selangor masalah terbesar rakyat adalah bagaimana mahu mengharungi hidup dalam suasana kos hidup yang tinggi dan mencengkam. Antara negeri yang termaju di Malaysia adalah Selangor sejak zaman-berzaman, namun risiko pembangunan pesat adalah kenaikkan kos hidup yang tinggi yang masalahnya tidak setimpal dengan pendapatan.

Pulau Pinag beliau sifatkan sebagai sebuah negeri yang paling aktif berpolitik. Dasar-dasar kerajaan negeri sering dihalusi oleh rakyatnya dan jika BN tidak beri perhatian kepada rungutan dan ketidakpuasan hati rakyat, tidak mustahil "angin perubahan" akan bertiup di negeri ini.

The Star tidak pula menjelaskan mengapa Kedah juga termasuk dalam "hotspots" yang beliau maksudkan. Mungkin rakyat di sana telah bosan dengan kerajaan yang didominasi Umno yang gagal memenuhi keperluan mereka. Mungkin faktor Tun Dr Mahathir kuat bermain di Kedah. Mungkin rakyat Kedah mahukan kerajaan yang lebih berjiwa rakyat.

Apa pun pandangan Tun Daim ini terus diberi respon oleh Dollah ketika ditanya oleh para wartawan. Kata Dollah kita akan beri perhatian kepada negeri-negeri ini dan menghargai pandangan Tun Daim. Pandangan Tun Daim ini jelas menambah kusutkan lagi Dollah. Beliau sebelum ini dikatakan berhadapan dengan kecenderungan masyarakat Cina untuk memberi sokongan kepada pembangkang pula kali ini, ditambah dengan ketidakpuasan hati masyarakat India ekoran isu Hindraf. Kini masuk pula tiga negeri ini, itu beluam lagi mengambil kira Kelantan dan Terengganu.

Mungkinkah BN di bawah Dollah akan menghadapi gerhana yang lebih teruk dari zaman Tunku pada tahun 1969 atau zaman Tun Dr Mahathir pada tahun 1999?

Wednesday, December 19, 2007

Bersedialah berkorban dalam Pilihan Raya nanti

Esok umat Islam di Malaysia akan merayakan Hari Raya Haji atau Eidul Adha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban. Perayaan ini mengambil sempena peristiwa korban yang berlaku di zaman Nabi Ibrahim a.s. Betapa Allah swt telah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. Lantaran taat dan patuh kepada perintah Allah, walaupun ianya terlalu berat dan diluar kemampuan manusia biasa namun kerana ketaqwaannya Nabi Ibrahim dengan kerelaan anaknya Nabi Ismail a.s, masing-masing bersedia melaksanakan perintah Allah yang sangat berat itu.




Lalu sebagaimana kita tahu Allah berfirman (surah al Safaat: 103-109):

Tatkala kedua-duanya tunduk menurut perintah Allah dan digulingkan anaknya ke tanah hendak disembelihnya, lalu kami berseru, hai Ibrahim, sesungguhnya engkau turuti mimpi itu. Begitulah kami membalas orang yang baik, Sesungguhnya ini ujian yang nyata daripada Allah. Kami tebus anaknya itu dengan seekor kibas yang gemuk dan kami tinggalkan nama yang baiknya sampai kepada orang kemudian. Selamat sejahteralah Ibrahim.

Semoga sambil kita merayakan Hari Raya ini kita mengambil kira dan menghayati falsafah dan hikmah yang besar dan bermakna disebaliknya.

Saya perhatikan di dalam fahaman Kristian juga wujud perisitwa korban ini, cumanya menurut ajaran mereka yang dikorbankan oleh Nabi Ibrahim bukannya Nabi Ismail tetapi Nabi Ishaq. Ianya berbeza dengan Islam, tetapi merujuk kepada perintah korban juga iaitu perisitiwa "Binding of Isaac" yang disebut dalam New Testament:

By faith Abraham, when he was tested, offered up Isaac, and he who had received the promises offered up his only begotten son, of whom it was said, "In Isaac your seed shall be called,

Di Malaysia, kita juga sebenarnya berhadapan dengan situasi dimana kita juga perlu berkorban demi menyelematkan ummah dan negara. Pengorbanan yang dituntut dari kita adalah untuk membawa perubahan, kita suarakan hasrat hati tanpa takut atau gentar. Kita korbankan segala kepentingan diri demi kemaslahatan ummah. Apabila nanti kita diberi amanah untuk menentukan haluan, corak dan masadepan negara, maka pikullah amanah itu dengan baik dan bersedialah berkorban demi keadilan untuk semua.

Jangan lagi terpedaya dengan hasutan dan sogokkan wang ringgit yang sebenarnya rasuah dan mungkar sebagaimana Nabi Ibrahim tidak terpedaya dengan hasutan iblis ditengah jalan, lalu melontarkannya dengan batu. Maka lontarkanlah juga iblis-iblis kecil yang cuba menghalang kita dari membawa kebenaran di negara kita yang tercinta ini.

Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua, dan bersedialah berkorban dalam raya yang lebih besar yang bakal menyusul iaitu Pilihan Raya.

Tuesday, December 18, 2007

Tahniah Syed Shahir
Syabas MTUC

Pada jam 6.15 petang tadi saya telah mengirim SMS kepada sahabat saya Tuan Syed Shahir Syed Mohamud, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bertanyakan tentang keputusan pemilihan pucuk pimpinan kesatuan sekerja tertua dan terbesar dalam negara itu. Belum menjawab ringkas "Belum lagi". Saya faham keresahan Tuan Syed dan sebagai seorang sahabat saya turut menumpang resah seperti beliau.

Terus selepas maghrib, kira-kira jam 8.00 malam, seorang lagi sahabat saya, iaitu "orang kuat" Tuan Syed di Kelana Jaya menelefon memaklumkan yang Tuan Syed telah berjaya. Keputusan resmi diumumkan jam 7.25 malam tadi. "Alhamdulillah" kata saya. Terus saya mengirim SMS kepada Tuan Syed:

Tahniah Allah bersama mereka yang istiqomah dan ikhlas

Dan kira-kira jam 8.30 malam saya berjaya menghubungi beliau melalui telefon untuk ucapkan tahniah saya. Saya nyatakan semoga Allah swt memberikan kekuatan kepada beliau untuk terus memimpin MTUC dengan jayanya.

Demikianlah selesainya proses pemilihan pucuk pimpinan MTUC kali ini. Saya difahamkan jawatan-jawatan yang diisi berpecah antara kumpulan Syed dan lawannya. Apa pun semoga semua pihak dapat mengenepikan perbezaan yang lalu dan terus berjuang dengan berani dan ikhlas demi nasib dan kepentinga golongan pekerja. Syabas diucapkan sekali lagi kepada Tuan Syed dan tahniah kepada para perwakilan kerana terus memberikan mandat kepada seorang "pejuang" yang cekal dan konsisten.
Prof Khoo Kay Kim zahirkan kecenderungan politiknya

Prof Emeritus Dato Dr Khoo Khay Khim adalah seorang tokoh sejarah negara yang terbilang. Kepakaran dan ilmu beliau tidak dipertikaikan. Beliau merupakan salah seorang tokoh yang terlibat menghasilkan Rukunegara.








Kita sering mendengar beliau mengutarakan pandangan dalam pelbagai isu dan topik, kadangkala melangkaui subjek sejarah. Ini menunjukkan kemahiran beliau hasil dari pembacaan dan kajian yang meluas. Seringkali teguran atau pandangan beliau begitu terbuka dan tidak cenderung kepada mana-mana pihak lantas meningkatkan lagi darjat beliau sebagai seorang ilmuan dan pengritik yang berani dan bebas.

Kerana itulah apabila beliau baru-baru ini dilantik sebagai salah seorang ahli suruhanjaya SUHAKAM bagi sesi 2006/8, perlantikkan beliau itu diterima dengan baik oleh semua pihak. Saya sendiri mengkagumi beberapa pandangan dan pendirian Prof Khoo walaupun ada diantaranya yang tidak selari dengan saya. Saya dan saya percaya ramai yang lain tidaklah mengharapkan Prof Khoo untuk menyebelahi perjuangan pihak sebelah sini, biarlah beliau terus kekal berpendirian dan berpandangan bebas dan kritikal. Tetapi dalam waktu yang sama penghormatan ramai terhadap beliau saya yakin akan luntur kiranya beliau condong atau menzahirkan kecenderungan politiknya secara terbuka.

Itulah yang saya pungut dari Utusan Malaysia hari ini. Dibawah tajuk "Pemerintahan BN perlu dikekal" Khoo dipetik sebagai menyebut:

Kepimpinan BN harus dikekalkan memandangkan mereka cukup berpengalaman dalam mentadbir negara.


Walaupun BN menekan suara pembangkang dan hak asasi rakyat, rasuah dan salah guna kuasa, mengamalkan pelbagai bentuk diskriminasi, kronisma dan nepotisma, namun Prof Emeritus kita masih mahu yang memimpin dalam BN ini terus dikekalkan, terima kasih kerana menzahirkan belang anda.
Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!

Saya membaca kenyataan Ketua Polis Negara di dalam Utusan Malaysia hari ini dengan penuh bimbang. Dari Kota Kinabalu beliau dilaporkan berkata bahawa pihak polis kini menumpukan siasatan terhadap dalang utama disebalik perhimpunan BERSIH di ibunegara pada 10 November lalu. Kononnya selepas menahan lima pemimpin Hindraf (di bawah ISA) kini tumpuan polis beralih ke BERSIH.

Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!

BERSIH menganjurkan perhimpunan tempuh hari untuk menyerahkan memorandum mereka kepada Istana Negara setelah diperkenankan oleh Tuanku. BERSIH terdiri dari gabungan NGO dan parti-parti politik (lebih 70 buah) yang berdaftar secara sah menurut lunas undang-undang. Mereka telah pun bertemu dengan pihak polis, dinasihatkan memohon permit, mereka pohon tetapi ditolak oleh pihak polis apabila menantu PM dan PM sendiri memberikan pelbagai ancaman.

Rakyat jelata yang hadir pada 10 November lalu hadir dalam keadaan aman, tiada niat untuk mencetuskan sebarang kekacauan, malah unit khas untuk mengawal perhimpunan tersebut serta menjaga kebersihan turut dikerahkan. Pada dasarnya, tuntutan BERSIH yang diserahkan kepada Istana Negara juga masih waras, dalam lingkungan demokrasi yang merupakan amalan negara ini. Tiada kandungannya yang bertentangan dengan perlembagaan negara apalagi berbau perkauman, melampau atau mahu mencetuskan huru hara.

Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!

Beberapa aktivis yang terlibat dalam perhimpunan BERSIH telah pun ditahan dan didakwa di mahkamah. Proses undang-undang perlulah dibiarkan berjalan tanpa dipengaruhi oleh apa-apa tekanan politik lebih-lebih lagi dari parti yang memerintah.

Sebagaimana yang telah saya tulis dalam blog saya sebelum ini saya yakin yang mereka yang menyertai himpunan aman BERSIH itu semuanya terlibat atas kerelaan dan kesedaran masing-masing. Semuanya sayangkan negara dan mahu sistem demokrasi yang menjadi tunggak amalan negara diselamat dan dipulihkan.

Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!

Tindakan kami tidak mengancam keselamatan negara kecuali mungkin keselamatan dan keselesaan politik parti pemerintah. Kami yang hadir terdiri dari pelbagai kaum dan agama merelakan diri berhimpun secara aman atas keinsafan mahukan sebuah Malaysia yang bersih dan aman. Kami menyerahkan memorandum kepada Raja kami membuktikan kami percaya dan taat kepada Rukunegara, dan setelah berhimpun secara aman kami turut bersurai dengan aman juga.

Tidak ada yang cedera atau kenderaan polis atau harta awam yang musnah kecuali dikalangan kami sendiri yang diperlakukan oleh pihak polis.

Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!

Oleh kerana BERSIH menjunjung kedaulatan undang-undang, maka anggotanya yang didakwa di mahkamah terbuka akan membela diri, tanpa pun mahu merayu kepada Presiden Umno atau MIC atau mengisytiharkan kononnya dipaksa menyertai himpunan ini. Tetapi jangan anggap kami sama dengan Hindraf lalu pemimpin kami mahu ditahan di bawah ISA sebagaimana pemimpin Hindraf!

Jika ini berlaku, terbukti kerajaan yang ada ditadbir oleh mereka yang sudah hilang fokus dan tidak tahu membezakan antara hak masyarakat sivil dan mereka yang sengaja mahu mencetuskan huru-hara dan keganasan. Jika kerana menganjurkan himpunan aman BERSIH ini maka pemimpin BERSIH ditahan di bawah ISA kerana kononnya mengancam keselamatan negara, maka masyarakat sivil semuanya perlu bangun dan pastikan mereka yang anda berikan amanah untuk memimpin pada tahun 2004 lalu segera digantikan dalam pilihan raya umum ke 12 nanti kerana merekalah sebenarnya merupakan ancaman kepada negara, membiarkan mereka terus berkuasa bermakna mengundang bencana kepada negara.

Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!

Monday, December 17, 2007

Sah memang Dollah kebulurkan sokongan

Berikut kenyataan Peguam Negara kepada para pemberita di luar Mahkamah Sesyen KL siang tadi sebagaimana yang dilaporkan BERNAMA:

Kesemua 31 individu itu menulis surat (kepada saya) mengutuk tindakan Hindraf dan mendakwa bahawa mereka bukan ahli Hindraf. Mereka juga berjanji untuk tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram di masa depan. Tindakan menarik balik pertuduhan itu (cubaan membunuh pegawai polis) juga adalah adil kerana pendakwaan tidak dapat mengenal pasti siapa yang membaling batu sehingga mengenai mangsa.

Sebelum ini saya menulis di blog ini betapa kononnya ibu-bapa 31 individu berkenaan telah merayu kepada PM Dollah Badawi melalui Presiden MIC Samy Vellu. Dan Dollah mengakui bahawa beliau telah menghubungi Peguam Negara meminta agar pertuduhan "attempted murder" yang dikenakan ke atas semua 31 berkenaan digugurkan kerana Dollah kononnya bersimpati dengan ibu-bapa mereka.

Perkembangan ini mirip filem Tamil atau Hindustan, bagi saya.

Kata Peguam Negara, kesemua 31 ini mengaku mereka bukan ahli Hindraf, sejak bila pula Hindraf itu dianggap sebagai satu persatuan?

Setahu saya Peguam Negara sendiri yang mendakwa kesemua 31 berkenaan pada 5 Disember lalu di mahkamah yang sama atas tuduhan "attempted murder" ke atas seorang anggota polis Dedi Abd Rani. Apabila kes ini sudah tiba di mahkamah, pastilah pihak Pejabat Peguam Negara telah berpuas hati dengan kertas penyiasatan pihak polis lalu membawa kes ini untuk pendakwaan. Yang membawanya pula Peguam Negar itu sendiri. Tiba-tiba hari ini Peguam Negara memberitahu kita pihak pendakwaan tidak dapat mengenal pasti siapa yang membaling batu sehingga mengenai mangsa. Apakah baru hari ini Peguam Negara mendapati kesukaran itu, sepatutunya jika sukar mengenal pasti, kes ini tidak dibawa ke mahkamah dan sebaliknya ditutup begitu sahaja.

Tambahan pula kita mula naik musykil, adakah ini puncanya maka Peguam Negara menggugurkan pertuduhan "attempted murder" itu, atau kerana beliau sebenarnya akur dan taat pada arahan Dollah, mana satu yang betul ni?

Kemudian kalau kita teliti kenyataan Dollahs ebelum ini bahawa beliau kononnya bersimpati dengan ibu-bapa 31 yang dituduh itu, kononnya mereka kesal dan sesal. Ini membayangkan kepada kita seolah kesemua yang tertuduh itu remaja dan mentah belaka, benarkah begitu? Kalau kita lihat senarai penuh kesemua 31 itu, ternyata cuma segelintir kecil sahaja belasan tahun dan mungkin masih mempunyia ibu-bapa, bagaimana yang dah melewati 40 tahun dan ada seorang 54 tahun. Saya tidak pasti apakah masih hidup ibu-bapa mereka dan lebih penting lagi, mereka ini sudah berusia dan pastinya waras. Jika mereka inilah yang merejam pihak polis dengan batu sehingga pecah kepala, adakah mereka lakukannya kerana tidak sedar, tertipu, terpengaruh dengan Hindraf?

Bagi saya pengguguran kes ini membuktikan yang Dollah telah bermain politik dan Peguam Negara turut campurtangan membantu Presiden Umno dan Presiden MIC dalam memuaskan nafsu politik mereka masing-masing. (Apakah Dollah tak mahu membantu rakan Najib, Razak Baginda? Arahkan sahaja Peguam Negara gugurkan pertuduhan terhadap beliau, tidakkah kasihan melihatkan keluarga, anak-isterinya)

Berikut saya sertakan senarai 31 yang dituduh itu (sebagaimana yang dipaparkan oleh Malaysiakini):

1. SS Ganishen, 39, lorry driver. 2. K Raju, 42, driver. 3. R Sakthivel, 34, technician.
4. K Ganapathy, 38, lorry driver. 5. K Sukumaran, 24, foreman. 6. S Kumaran, 25, farmer. 7. B Varatharaju, 32, foreman. 8. M Kuna Sekaran, 24, machine operator. 9. V Ganeson, 40, lorry driver. 10. L Thiyagarajan, 31, sales executive. 11. S Gunaa, 21, is a farmer. 12. K Thinagaranpillay, 23, manager. 13. N Balamohan, 23, part-time worker. 14. K Gopinath, 27, store keeper. 15. R Suresh, 24, runs his own business. 16. G Suman, 20, runs his own business. 17. M Buwenthiran, 24, technician. 18. M Pushparathan, 21, technician. 19. S Tail Arasu, 26, despatch boy. 20. N Ramasamy, 43, is a driver. 21. S Ramash Kumar, 22, student. 22. R Pushpanathan,19, despatch boy. 23. S Mugilan Dever, 20, student. 24. G Thinesh Kumar, 19, foreman. 25. T Kunalan, 28, machine operator. 26. S Sures, 18, car-tinter. He has a hole in the heart. 27. A Vasantarao, 19, student. 28. N Markandan, 54, odd-job worker. 29. K Raghu, 39, technician. 30. A Rayar, 30, 31. S Ravi, 33, lorry driver.
“Little Napoleon” diambil tindakan tetapi
“Big Napoleon” terus bermaharajalela

Isitlah “Little Napoleon” merujuk kepada seseorang yang berada disesuatu tingkat kedudukkan (bukannya peringkat tertinggi) tetapi berlagak seolah dia begitu berkuasa seakan seseorang yang berada diperingkat tertinggi. Kadangkala lagak beliau itu didokong oleh mereka yang disekelilingnya dan mereka yang berurusan dengannya lantaran kuatnya hubungan si “Little Napoleon” tadi dengan mereka yang berkuasa diperingkat tertinggi.

Istilah ini dipopularkan oleh PM Dollah Badawi baru-baru ini apabila beliau memberi amaran tidak mau melihat wujudnya “Little Napoleon” dikalangan anggota perkhidmatan awam.
Dalam akhbar The Sun hari ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) Tan Sri Ramon Navaratnam menjelaskan bahawa “Little Napoleon” ini biasanya adalah boneka atau “puppet” yang menjadi begitu berkuasa lantaran sokongan dan dokongan orang-orang politik dan kroni-kroni mereka. Beliau memuji langkah Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mahu memantau dengan dekat prestasi kakitangan awam dan menghukum siapa sahaja yang menyeleweng, rasuah atau menyalahgunakan kuasa.

Tapi kata Ramon,:

Its not only the Little Napoleons who should be blamed but also the 'Big Napoleons' – the ministers, menteris besar and chief ministers – who are also responsible and answerable to all Malaysians.

Bukan hanya “Little Napoleons” yang harus disalahkan, tetapi juga “Big Napoleons” iaitu menteri-menteri, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri yang sepatutnya bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia.

Kalau “Little Napoleons” dikalangan kakitangan awam, mungkin KSN boleh ambil tindakan, itupun jika mereka tidak ada “talian hayat” dengan “orang atasan”. Masalahnya siapa pula mahu memantau menteri-menteri, MB dan KM ini? Contohnya, dalam Laporan Ketua Audit Negara tempoh hari kita melihat beberapa pegawai kanan diambil tindakan, tetapi bagaimana dengan pak-pak menterinya? Bagaimana apabila anak-anak syarikat atau perbadanan di bawah MB atau KM yang rugi dan menyeleweng?

Jangan hanya diligan dan dicungkil “Little Napoleons” ini tetapi yang “Big Napoleons” lepas bebas dan terus boleh tersenyum dan ketawa besar. (Satu “Big Napoleon” yang sedemikian adalah Menteri yang disebut penglibatannya dalam klip video kontroversial VK Lingam!)

Dan bagaimana pula jika “Little Napoleons” itu berkhidmat untuk “Big Napoleon” yang merupakan menantu kepada Perdana Menteri? Siapa pula yang nanti berani mengambil tindakan terhadap beliau? Ada pemerhati politik yang meragui kesungguhan PM menjejaki dan menghapuskan “Little Napoleons” ini kerana “Napoleon” itu sendiri berlindung di bawah ketiak beliau di kediaman resmi PM di Putrajaya!

Sunday, December 16, 2007

Rayuan 31 perusuh di Batu Caves menjadi agenda perjuangan Dollah

Sudahkah anda menonton klip video pertempuran antara kumpulan yang menyokong Hindraf yang bertahan di Batu Caves dan pihak polis yang berlaku awal pagi 25 November lepas?
Seramai 31 dari mereka yang terlibat dalam pertempuran itu telah ditahan dan didakwa di mahkamah pada 5 Disember lepas atas tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis, Dedi Abd Rani yang cedera dalam kejadian tersebut. Memang kejadian pada awal pagi itu sungguh tegang dengan lontaran batu dan pertempuran yang sengit sehingga beberapa buah cermin kenderaan polis pecah.




Hari ini akhbar-akhbar tempatan melaporkan yang Perdana Menteri Abdullah Badawi selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam mendedahkan yang beliau telah memaklumkan Peguam Negara agar mempertimbangkan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap 31 yang tertuduh itu. Alasannya ibu-bapa mereka yang berkenaan telah merayu kepada beliau melalui Presiden MIC Samy Vellu agar anak-anak mereka dibebaskan. Ini kerana anak-anak mereka itu telah terpedaya dengan pemimpin Hindraf dan mereka kini sebenarnya menolak perjuangan Hindraf.

Saya turut berimpati dengan keluarga mangsa, tetapi masalahnya mereka ini telah ditahan dan kini sedang menunggu giliran untuk dibicarakan di mahkamah yang terbuka. Mengapa diperingkat ini Presiden MIC dan Umno mahu menggunakan kedudukan mereka untuk menganggu proses pendakwaan? Mengapa tiba-tiba Presiden Umno bersimpati dengan 31 ini? Mengapa tidak bersimpati dengan anggota polis yang tercedera dan orang awam yang etrperangkap dengan angkara keganasan ini? Dan sejak bila pula atas arahan PM seseorang itu boleh dikecualikan dari undang-undang sedangkan Raja-raja Melayu pun boleh diseret ke mahkamah!

Untuk makluman cuma 4 dari 31 yang ditahan itu berumur belasan tahun, 27 yang selebihnya bukan kanak-kanak tetapi orang dewasa dan ada diantaranya berusia 54 tahun. Jika rayuan ibu-bapa sudah boleh dijadikan lesen untuk menggugurkan pendakwaan terhadap mereka yang dituduh di mahkamah terbuka, ramai lagi ibu-bapa dalam kes-kes lain juga boleh merayu!

Bagaiamana dengan kes di Batu Burok? Anggota PAS yang ditembak oleh polis kini merengkok dipenjara sementara menunggu perbicaraan, mereka yang ditembak tetapi mereka yang didakwa?

Saya menganggap Dollah dan Samy Vellu tiba-tiba mahu meraih simpati masyarakat India, lalu kini mahu menjadi juara pula memintas proses mahkamah untuk membebaskan 31 ini. Kalau benar mahu bersimpati kenapa tidak bebaskan sahaja 5 orang pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA?! Mereka ini ditahan tanpa bicara atas tuduhan yang tidak pun dibuktikan, sedangkan 31 ini didakwa di mahkamah terbuka, dengan hak membela diri, megapa tiba-tiba berlaku double standard?

Bagi saya Dollah dan Samy kini terperangkap angkara kelemahan mereka sendiri. Kalau benar nanti 31 yang didakwa itu, atas rayuan Dollah dan Samy, boleh digugurkan pertuduhan mereka maka saya cabar Dollah dan mungkin juga Samy agar menggugurkan dakwaan mengarut terhadap mereka yang terlibat dalam Perhimpunan Aman BERSIH tempoh hari. Inilah bukti tidak konsistennya pemimpin negara kita, mungkin kini Zainuddin Maidin boleh tayangkan video clip baru, kejadian di Batu Caves itu, dengan batu dan kayu yang digunakan, bukan budaya kita, tetapi jika ibu-bapa perusuh datang merayu kepada PM dan Samy Vellu, dan berjanji pula untuk undi BN, kepala polis pecah, kereta peronda pecah cerminnya, tidak mengapa, asalkan BN dapat undi anda!

Demikianlah kebulurnya Dollah.
Syed Shahir yang saya kenali

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC akan mengadakan Persidangan Perwakilannya yang ke 37 bermula esok. Gabungan kesatuan sekerja yang tertua dalam negara itu kini mewakili hampir keseluruhan industri dan sektor pekerjaan dalam negara dengan keahlian melebihi setengah juta orang.

Dalam kongresnya yang lalu pada Disember 2004 (kongres 3 tahun sekali) Presiden MTUC ketika itu Zainal Rampak telah dikalahkan oleh pencabarnya Syed Shahir Syed Mohamud dengan kelebihan 47 undi. Syed memperolehi 287 undi manakala Zainal 240. Syed berjaya setelah 5 kali mencabar Zainal yang merupakan Presiden sejak 1987. Dan kini dalam kongres ke 37 ini para perwakilan akan sekali lagi memilih pucuk pimpinan mereka. Syed kali ini dicabar oleh timbalannya Mohamed Shafie BP Mammal dari NUTE.





Saya berkesempatan mengenali Tuan Syed sejak 2004 lalu. Saya perhatikan beliau seorang yang baik, peramah, jujur dan sangat merendah diri. Beliau begitu meminati kerjayanya dan begitu prihatin akan nasib dan masalah para pekerja. Sepanjang mengenali beliau dari cerita beliau sendiri dan kawan-kawan yang mengenalinya, sesungguhnya MTUC bertuah mempunyai seorang pemimpin yang berkaliber, cekal dan komited seperti Syed.

Adakah tulisan saya ini merupakan kempen untuk Syed? Ya kalau ianya dibaca oleh para perwakilan ke Kongres MTUC esok, saya harap begitulah kerana Syed, kawan saya ini, saya rasa memang layak dan cocok untuk terus menyandang jawatan Presiden MTUC.
Tidak seperti penyandang jawatan sebelum ini, Syed lebih terbuka dan cenderung kepada konsep musyawarah. Pernah apabila kongres bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, pihak menteri cuba "corner" beliau seorang tetapi Tuan Syed telah menegaskan yang beliau datang dengan seluruh kepimpinan kongres, jika Pak Menteri mahu menyatakan sesuatu nyatakan terus secara terbuka kepada semua dan bukan beliau seorang sahaja.

Saya perhatikan pengalaman beliau di dalam kesatuan sekerja selama lebih 30 tahun itu mematangkan beliau dalam berurusan dan memperjuangkan nasib kaum pekerja. Tuan Syed ringkasnya adalah seorang pejuang. Beliau telah mengharungi pahit maung perjuangan, dan bila sampai ke kemuncak beliau tidak pernah berkompromi atau menjual maruah perjuangan, malah terus memacu kehadapan dengan berani tanpa memperdulikan kepentingan diri.
Selama memegang tampuk MTUC Tuan Syed begitu gigih memperjuangkan nasib kaum pekerja, isu gaji minima terus beliau harungi sebagai agenda utama. Begitu juga masalah nasib dan kebajikan pekerja khusunya berhubung isu kos hidup yang semakin meningkat. Tuan Syed ke hadapan dalam isu-isu rakyat terutama isu kenaikkan harga barangan, minyak dan tol. Begitu juga dalam memperjuangkan hak rakyat termasuklah dalam memulihkan demokrasi dan pilihanraya yang bersih dan adil.

Esok perwakilan MTUC akan menentukan samada Tuan Syed akan terus memimpin mereka ataupun tidak. Saya harap beliau akan terus diberikan mandat untuk memimpin. Setelah tidak ada cacat dalam rekod kepimpinan beliau,ada pula pihak mengaitkan pembabitan beliau dalam politik. Syed adalah ahli PKR dan sebelum ini PRM. Salahkah seseorang itu bergiat dalam politik? Dalam hal ini selagi ia tidak menjejaskan jawatan Presiden MTUC itu sendiri saya kira siapa sahaja berhak untuk menjadi ahli parti politik dan bertanding dalam pilihanraya.
Malah pemimpin MTUC sebelum ini pun ramai yang aktif dalam berpolitik. Mendiang V. David pernah menjadi Setiausaha Agung MTUC dan ahli parlimen DAP. Begitu juga Zainal Rampak dari Pekemas ke Semangat 46 dan kemudiannya sehingga kini Umno.

Semoga Syed Shahir terus berpeluang meneruskan agenda beliau membela dan memeprtahankan nasib pekerja.

Saturday, December 15, 2007

Bagaimanakah sokongan pengundi Melayu kini?
Siri 1


Saya melontarkan perkara ini kerana pilihan raya umum semakin hampir. Saban hari kita dipaparkan dengan pelbagai perkembangan yang sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi dan selera pengundi. Hakikatnya blok pengundi di negara kita terbahagia kepada 3 yang terbesar iatu pengundi Melayu, Cina dan India. Biasanya trend pengundi menurut kaum ini boleh diukur berdasarkan satu-satu pilihanraya dan kawasan, namun ianya bukan mutlak dan menyeluruh.

Contohnya dalam "euphoria" atau suasana gembira ekoran kemerdekaan negara tahun 1957, pilihanraya umum pertama selepas Merdeka, iaitu dua tahun kemudian pada 1959 tidak juga memberikan kemenangan besar kepada Umno, MIC dan MCA yang ketika itu bergabung dalam Perikatan. Ramai yang menyangkakan dengan kejayaan besar Tunku ketika itu menebus kemerdekaan dari tangan British, besar kemungkinan rakyat rata-rata akan berdiri dibelakang Perikatan, tetapi ia tidak berlaku. Buktinya PAS menang di Kelantan dan Terengganu.

Ramai pula beranggapan yang pengundi bukan Melayu adalah blok pengundi yang taat dan setia pada Perikatan. Tetapi pada pilihan raya 1969, pegundi bukan Melayu telah menolak gabungan ini dan Perikatan hampir kehilangan kerajaan negeri di Perak dan Selangor angkara lonjakkan undi bukan Melayu kepada pembangkang.

Pilihanraya umum 1990 menyaksikan pengundi Cina dan pengundi India (ketika itu IPF pimpinan Pandithan menyebelahui Tengku Razalegh yang memimpin blok pembangkang) menyokong pembangkang. Walaupun pengundi India yang menyokong pembangkang bukannya majoriti namun lonjakkan hampir mencecah 40 ke 45%, iaitu antara yang terbesar dalam sejarah dan buat pertama kali pengundi India condong besar kepada pembangkang.

Kali ini pengundi Cina khasnya di kawasan-kawasan bandar, dijangka beralih sokongan kepada pembangkang dalam pilihan raya umum yang ke 12 nanti. Ramai penganalisa menyatakan antara faktor utama adalah ketidakpuasan hati pengundi Cina terhadap suasana ekonomi khasnya kos hidup rakyat yang semakin meningkat. Dengan perkembangan isu Hindraf kebelakangan ini pula, ramai melihat ianya telah mencuit simpati sebilangan besar pengundi India. Walaupun ramai yang tidak setuju dengan cara dan teknik digunakan Hindraf namun apa yang mereka perjuangkan pada dasarnya memang menghantui kehidupan sebilangan besar masyarakat India di negara ini. Malah ada yang menyatakan simpati kepada Hindraf ini melebihi simpati terhadap Pandithan yang cuma dirasai sekelompok tertentu pengundi India, padapilihan raya 1990.

Ini bermakna jika trend ini berkekalan, perubahan besar diperingkat kerajaan-kerajaan negeri, malah sehingga ke peringkat pusat mampu berlaku jika syaratnya pengundi Melayu juga mengundi untuk perubahan!

Bagaimana kecenderungan pengundi Melayu hari ini? Tanpa prejudis saya berani menyatakan bahawa pengundi-pengundi Melayu yang menyokong PAS biasanya tidak berubah, pengundi-pengundi tradisional PAS ini akan tetap mengundi PAS walau apa sekali yang berlaku. Yang baisanya berubah adalah pengundi Melayu dikalangan penyokong Umno dan pengundi Melayu atas pagar.

Sebenarnya pada pilihanaraya umum 1990 contohnya, pengundi Melayu telah berubah selera, tetapi perubahannya tidak merata dan cuma berlaku di Kelantan dan sebahagian kecil di Terengganu dan Kedah. Kerana itu walaupun taktik kotor Umno menyibarkan gambar kontroversi "Ku Li bertanjak salib" berkesan mempengaruhi pengundi Melayu tetapi ia tidak berlaku di Kelantan dimana PAS dan 46 telah sapu bersih kerusi di negeri tersebut. Bermkana faktor keperibadian Ku Li unggul di Kelantan ketika itu. Pilihanaraya umum 1999 telah menyaksikan lonjakkan pengundi Melayu kepada pembangkang ekoran isu DSAI (khasnya kes mata lebam). Tetapi sekali lagi lonjakkan tidak melewati 50%, besar (sehingga tumbang Umno di Terengganu) tetapi tidak cukup besar untuk menjatuhkan Umno di negeri-negeri lain. Cuma sekadar memenangkan pembangkang Melayu buat pertama kalinya di Selangor dan mengembalikan suara pembangkang Melayu di Perak, Pahang dan Perlis.

Tetapi sekarang bagaimana?

Apakah pengundi Melayu akan terus berdiri dibelakang Umno dan Dollah sebagaimana pilihanraya umum 2004 lalu sehingga menumbangkan kerajaan PAS di Terengganu dan hampir sahaja tumbang yang ada di Kelantan? Ataupun apakah mungkin pengundi Melayu juga telah bangun dari tidur mereka yang begitu lama, dan kini bersedia membuat perubahan?

Saya akan cuba membincangkan isu ini dalam beberapa siri di blog ini, mungkin anda yang membaca ingin berkongsi pandangan dalam topik ini, silalah turunkan komen masing-masing.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Jika tidak kerana komen seorang pengunjung saya sendiri pun tidak perasan yang blog saya semalam, Jumaat 14 Disember 2007 mencecah 10,000 pengunjung (10,212 menurut webstats montigo) , iaitu rekod tertinggi sejak blog ini diusahakan kira-kira 3 tahun dahulu. Semalam juga blog ini menurut webstats telah menerima sejumlah 1 juta (1,0002,099) pengunjung.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan. Terima kasih juga kepada mereka yang memantau, yang benci tetapi terus membaca. Dan yang paling saya hargai adalah mereka yang mengambil kesempatan menurunkan komen dan pandangan, tak kiralah samada kritikkan ataupun pandangan yang membina.

Insyallah saya akan terus menulis menurut style dan citarasa saya di blog ini. Mudah-mudahan apa yang baik dan berguna dapat dimanfaatkan dan menyumbang ke arah perjuangan menegakkan keadilan dan merobohkan kezaliman. Teruskanlah memberikan sokongan anda, terima kasih kepada semua yang membantu dan terus memberikan semangat. (Special thanks to dhuat@mamat yang tanpa beliau blog ini tidak mungkin dilancarkan).

Thursday, December 13, 2007

"Mr Clean" sudah tidak "clean" lagi

Akhirnya Dollah terbukti tidak lagi mampu bertahan. Akta zalim ISA terpaksa digunakan juga digunakan oleh "Mr Clean". Akta yang menahan seseorang tanpa bicara secara berterusan sehingga kiamat jika mahu, tertakluk kepada nafsu menteri.

Petang tadi 5 pemimpin Hindraf ditahan di bawah ISA kerana dikatakan mengancam keselamatan negara.

Secara peribadi Hindraf memang membuat beberapa tuntutuan yang ekstrim dan tidak sihat dalam hubungan pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Peguam yang menyokong Hindraf aktif terlibat dalam beberapa kes murtad kebelakangan ini dan memorandum Hindraf kepada PM Britain jelas menganggu masyarakat Islam di Malaysia. Namun, saya tidak bersetuju yang undang-undang kejam dan lapuk ini digunakan terhadap mereka!

Bukankah inisiatif telah diambil untuk mendakwa mereka di mahkamah terbuka dan mereka telah pun bersedia untuk membela diri. Hempapkanlah apa sahaja pertuduhan di atas kepala mereka, tetapi ianya sepatutnya dibuat melalui saluran mahkamah dan bukannya melalui tindakan bacul seperti ISA ini. Mengapa membuang masa, tenaga dan wang ringgit melalui mahkamah terbuka jika kesudahannya, akta puaka ini mahu digunakan! Tindakan melalui ISA ini sesungguhnya membuktikan betapa tidak cekapnya pentadbiran Dollah walaupun kononnya disokong dan didokong oleh rakyat melalui pelabagi poll.

Satu demi satu sikap dan langkah Dollah sejak kebelakangan ini semakin kalut. Wajah yang kononnya "Clean" itu kini telah berubah menjadi hodoh dan memualkan. Pemimpin Hindraf kini dibawa pergi secara paksa, mungkinkah selepas ini giliran Dollah pula?!!
Jangan anggap hidung rakyat semuanya tertindik

Semalam di muka dua dua NST disiarkan gamabr beberapa tokoh politik dan NGO dan disertakan pandangan masing-masing berkenaan ucapan PM mengenai keamanan dan keselamatan awam. Ramailah yang memuji dan memuja, PM lah katakan (mengingatkan saya karya SN Shahnon Ahmad: Shit).

Tetapi saya sekali lagi tertarik dengan pandangan MP Kota Baru, Zaid Ibrahim. Kata beliau:

Public safety is paramount by law, but we must not use that as a reason to stifle dissent. Managing public safety and public freedom is a question of balance. People want to feel safe, but we also dont want to live in a society that doesnt allow freedom of expression.

Keselamatan awam adalah penting menurut undang-undang, tetapi ia tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan untuk menekan perbezaan (pandangan). Menguruskan keselamatan awam dan kebebasan awam perlulah berimbang. Rakyat mahukan keselamatan, tetapi mereka tidak mahukan suatu masyarakat yang tidak mengizinkan kebebasana bersuara.

Ini bermakna hatta di dalam Umno dan BN pun tidak semestinya bersetuju dengan tindakan PM dan pihak polis dalam menekan dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan berhimpun. Sebelum ini saya telah memetik pandangan bekas TPM Tun Musa Hitam mengenai perkara yang sama.

Dalam akhbar The Sun hari ini, seorang peguam Gan Ping Sieu menyuarakan bahawa pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan melampau dalam menangani insiden penyerahan memorandum BERSIH di Parlimen Selasa lepas. Kata beliau tindakan menyerahkan memorandum kepada mana-mana ahli parlimen tidak wajar dianggap sebagai suatu perhimpunan haram apa lagi mengancam keselamatan. Permohonan yang perlu dibuat oleh mana-mana pihak untuk masuk ke parlimen bagi tujuan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyekat mereka dari memasuki parlimen.

Gan adalah Pengerus Biro Undang-undang Pemuda MCA.

Terbukti tindakan pihak polis dalam menangani peristiwa di Parlimen Selasa lepas, bolehlah dianggap keterlaluan dan menghalang hak rakyat dan proses demokrasi itu sendiri. Wakil BERSIH sekadar mahu menyerahkan memorandum kepada Spekaer Dewan dan Ketua Pembangkang, adakah itu kini sudah menjadi satu kesalahan di Malaysia?

Saya yakin walaupun ahli-ahli Parlimen BN berbangga dengan “silent” majoriti yang kononnya di belakang mereka, namun percayalah, berdasarkan pandangan-pandangan berbeza yang dari dalam BN dan Umno sendiri, “silent” majoriti itu tidak semestinya condong kepada mereka berikutan perkembangan ini.

Rakyat Malaysia yang sudah 50 tahun Merdeka, kinin sudah bijak membezakan antara yang benar dan yang palsu. Melayu, Cina dan India semuanya jangan diingat mudah dicucuk hidungnya dan diseret ke sana ke mari lagi. Cuma manusia yang tiada perasaan dan pertimbangan sahaja boleh seronok melihat kezaliman dan penindasan berlaku dikalangan sesama mereka secara melampau dan tidak berperi kemanusiaan.

Saya masih yakin kepada kemampuan rakyat Malaysia untuk membawa perubahan apabila tiba masanya nanti.