Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!
Saya membaca kenyataan Ketua Polis Negara di dalam Utusan Malaysia hari ini dengan penuh bimbang. Dari Kota Kinabalu beliau dilaporkan berkata bahawa pihak polis kini menumpukan siasatan terhadap dalang utama disebalik perhimpunan BERSIH di ibunegara pada 10 November lalu. Kononnya selepas menahan lima pemimpin Hindraf (di bawah ISA) kini tumpuan polis beralih ke BERSIH.
Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!
BERSIH menganjurkan perhimpunan tempuh hari untuk menyerahkan memorandum mereka kepada Istana Negara setelah diperkenankan oleh Tuanku. BERSIH terdiri dari gabungan NGO dan parti-parti politik (lebih 70 buah) yang berdaftar secara sah menurut lunas undang-undang. Mereka telah pun bertemu dengan pihak polis, dinasihatkan memohon permit, mereka pohon tetapi ditolak oleh pihak polis apabila menantu PM dan PM sendiri memberikan pelbagai ancaman.
Rakyat jelata yang hadir pada 10 November lalu hadir dalam keadaan aman, tiada niat untuk mencetuskan sebarang kekacauan, malah unit khas untuk mengawal perhimpunan tersebut serta menjaga kebersihan turut dikerahkan. Pada dasarnya, tuntutan BERSIH yang diserahkan kepada Istana Negara juga masih waras, dalam lingkungan demokrasi yang merupakan amalan negara ini. Tiada kandungannya yang bertentangan dengan perlembagaan negara apalagi berbau perkauman, melampau atau mahu mencetuskan huru hara.
Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!
Beberapa aktivis yang terlibat dalam perhimpunan BERSIH telah pun ditahan dan didakwa di mahkamah. Proses undang-undang perlulah dibiarkan berjalan tanpa dipengaruhi oleh apa-apa tekanan politik lebih-lebih lagi dari parti yang memerintah.
Sebagaimana yang telah saya tulis dalam blog saya sebelum ini saya yakin yang mereka yang menyertai himpunan aman BERSIH itu semuanya terlibat atas kerelaan dan kesedaran masing-masing. Semuanya sayangkan negara dan mahu sistem demokrasi yang menjadi tunggak amalan negara diselamat dan dipulihkan.
Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!
Tindakan kami tidak mengancam keselamatan negara kecuali mungkin keselamatan dan keselesaan politik parti pemerintah. Kami yang hadir terdiri dari pelbagai kaum dan agama merelakan diri berhimpun secara aman atas keinsafan mahukan sebuah Malaysia yang bersih dan aman. Kami menyerahkan memorandum kepada Raja kami membuktikan kami percaya dan taat kepada Rukunegara, dan setelah berhimpun secara aman kami turut bersurai dengan aman juga.
Tidak ada yang cedera atau kenderaan polis atau harta awam yang musnah kecuali dikalangan kami sendiri yang diperlakukan oleh pihak polis.
Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!
Oleh kerana BERSIH menjunjung kedaulatan undang-undang, maka anggotanya yang didakwa di mahkamah terbuka akan membela diri, tanpa pun mahu merayu kepada Presiden Umno atau MIC atau mengisytiharkan kononnya dipaksa menyertai himpunan ini. Tetapi jangan anggap kami sama dengan Hindraf lalu pemimpin kami mahu ditahan di bawah ISA sebagaimana pemimpin Hindraf!
Jika ini berlaku, terbukti kerajaan yang ada ditadbir oleh mereka yang sudah hilang fokus dan tidak tahu membezakan antara hak masyarakat sivil dan mereka yang sengaja mahu mencetuskan huru-hara dan keganasan. Jika kerana menganjurkan himpunan aman BERSIH ini maka pemimpin BERSIH ditahan di bawah ISA kerana kononnya mengancam keselamatan negara, maka masyarakat sivil semuanya perlu bangun dan pastikan mereka yang anda berikan amanah untuk memimpin pada tahun 2004 lalu segera digantikan dalam pilihan raya umum ke 12 nanti kerana merekalah sebenarnya merupakan ancaman kepada negara, membiarkan mereka terus berkuasa bermakna mengundang bencana kepada negara.
Jangan samakan Hindraf dengan BERSIH!
No comments:
Post a Comment