Rayuan 31 perusuh di Batu Caves menjadi agenda perjuangan Dollah
Sudahkah anda menonton klip video pertempuran antara kumpulan yang menyokong Hindraf yang bertahan di Batu Caves dan pihak polis yang berlaku awal pagi 25 November lepas?
Seramai 31 dari mereka yang terlibat dalam pertempuran itu telah ditahan dan didakwa di mahkamah pada 5 Disember lepas atas tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis, Dedi Abd Rani yang cedera dalam kejadian tersebut. Memang kejadian pada awal pagi itu sungguh tegang dengan lontaran batu dan pertempuran yang sengit sehingga beberapa buah cermin kenderaan polis pecah.
Hari ini akhbar-akhbar tempatan melaporkan yang Perdana Menteri Abdullah Badawi selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam mendedahkan yang beliau telah memaklumkan Peguam Negara agar mempertimbangkan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap 31 yang tertuduh itu. Alasannya ibu-bapa mereka yang berkenaan telah merayu kepada beliau melalui Presiden MIC Samy Vellu agar anak-anak mereka dibebaskan. Ini kerana anak-anak mereka itu telah terpedaya dengan pemimpin Hindraf dan mereka kini sebenarnya menolak perjuangan Hindraf.
Saya turut berimpati dengan keluarga mangsa, tetapi masalahnya mereka ini telah ditahan dan kini sedang menunggu giliran untuk dibicarakan di mahkamah yang terbuka. Mengapa diperingkat ini Presiden MIC dan Umno mahu menggunakan kedudukan mereka untuk menganggu proses pendakwaan? Mengapa tiba-tiba Presiden Umno bersimpati dengan 31 ini? Mengapa tidak bersimpati dengan anggota polis yang tercedera dan orang awam yang etrperangkap dengan angkara keganasan ini? Dan sejak bila pula atas arahan PM seseorang itu boleh dikecualikan dari undang-undang sedangkan Raja-raja Melayu pun boleh diseret ke mahkamah!
Untuk makluman cuma 4 dari 31 yang ditahan itu berumur belasan tahun, 27 yang selebihnya bukan kanak-kanak tetapi orang dewasa dan ada diantaranya berusia 54 tahun. Jika rayuan ibu-bapa sudah boleh dijadikan lesen untuk menggugurkan pendakwaan terhadap mereka yang dituduh di mahkamah terbuka, ramai lagi ibu-bapa dalam kes-kes lain juga boleh merayu!
Bagaiamana dengan kes di Batu Burok? Anggota PAS yang ditembak oleh polis kini merengkok dipenjara sementara menunggu perbicaraan, mereka yang ditembak tetapi mereka yang didakwa?
Saya menganggap Dollah dan Samy Vellu tiba-tiba mahu meraih simpati masyarakat India, lalu kini mahu menjadi juara pula memintas proses mahkamah untuk membebaskan 31 ini. Kalau benar mahu bersimpati kenapa tidak bebaskan sahaja 5 orang pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA?! Mereka ini ditahan tanpa bicara atas tuduhan yang tidak pun dibuktikan, sedangkan 31 ini didakwa di mahkamah terbuka, dengan hak membela diri, megapa tiba-tiba berlaku double standard?
Bagi saya Dollah dan Samy kini terperangkap angkara kelemahan mereka sendiri. Kalau benar nanti 31 yang didakwa itu, atas rayuan Dollah dan Samy, boleh digugurkan pertuduhan mereka maka saya cabar Dollah dan mungkin juga Samy agar menggugurkan dakwaan mengarut terhadap mereka yang terlibat dalam Perhimpunan Aman BERSIH tempoh hari. Inilah bukti tidak konsistennya pemimpin negara kita, mungkin kini Zainuddin Maidin boleh tayangkan video clip baru, kejadian di Batu Caves itu, dengan batu dan kayu yang digunakan, bukan budaya kita, tetapi jika ibu-bapa perusuh datang merayu kepada PM dan Samy Vellu, dan berjanji pula untuk undi BN, kepala polis pecah, kereta peronda pecah cerminnya, tidak mengapa, asalkan BN dapat undi anda!
Demikianlah kebulurnya Dollah.
No comments:
Post a Comment