Sediakan penjara yang lebih luas
buat 100,000 rakyat yang cintakan demokrasi
Saya pasti pagi ini isu penangkapan Naib Presiden PAS, Mat Sabu dan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua menjadi bualan ramai. Turut hangat adalah penahanan terhadap para peguam di KL semalam kerana merayakan Hari Hak Asasi Sedunia. Tidak kurang hangat juga adalah berita keenganan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu memberikan ikat jamin kepada dua orang ahli PAS dalam kes Peristiwa Berdarah Batu Burok, September lepas.
Kata Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, apa yang berlaku semalam adalah bukti bahawa kerajaan pimpinan Dollah Badawi sedang menuju ke arah “Negara Polis” atau “Police State”
“Negara Polis” bermaksud sebuah negara yang kerajaannya mengamalkan kekerasan dalam mengawal masyarakat awam. Ia menekan aktiviti sosial dan politik dan bertindak di luar undang-undang. Kuasa eksekutif seakan mengatasi peruntukkan undang-undang yang sedia ada.
Bagi saya apa yang berlaku semalam dan yang bakal berlaku dihari-hari mendatang ini adalah bukti bahawa Dollah merasakan yang kedudukan politik beliau dan partinya semakin terancam. Rakyat telah mula bangkit, kehidupan mereka lantaran kenaikkan kos hidup yang mencacak semakin tertekan, demokrasi pula mereka lihats semakin ternoda. Rakyat sudah mula bosan, rakyat sudah mula mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan Dollah. Babak-babak rasuah, terutama yang membabitkan integriti badan kehakiman mereka lihat dan saksikan dengan mata kepala mereka sendiri.
Lalu Dollah tidak boleh biarkan semua ini berterusan. Himpunan Hindraf yang mahu dikaitkan dengan terrorist itu terus menghantui beliau. Hari ini Presiden PPP M. Kayveas pula dilaporkan berkata perhimpunan itu adalah protes masyarakat India terhadap MIC!
Saya percaya Dollah risau dan kecut dengan semua yang berlaku ini. Masadepan politik beliau dan menantunya terancam dengan perkembangan ini. Dan kini beliau mengambil keputusan untuk bertindak. Tangkap dan dakwa kesemuanya. Kalau perlu guna ISA maka ISA akan digunakan! Tekan dan dakwa mereka, kelak rakyat akan takut, semua akan kecut, kelak ianya akan mati begitu sahaja.
Bolehkah begitu?
Sesungguhnya apabila arus kebangkitan rakyat ditangani dengan kekerasan sebegini, ianya akan lebih merugikan. “Negara Polis” akan hanya menyediakan lubang untuk melontarkan jenzah politik Dollah, menantu dan kuncu-kuncunya. Lihatlah apa yang telah berlaku kepada Marcos, Suharto dan terbaru Thaksin di Thailand.
Saya berani mengatakan jika Perhimpunan Aman Rakyat anjuran BERSIH pada 10 November lalu dianggap sebagai satu perhimpunan haram, sedangkan ianya menuntut pemulihan demokrasi, maka saya yakin jangankan penganjurnya sekerat dua, malah semua puluhan ribu yang hadir pada hari itu bersedia untuk didakwa insyallah!
Dollah perlu sediakan mahkamah dan penjara yang lebih besar dan luas, kerana bukan Mat Sabu dan Tian Chua sahaja yang layak menjadi juara demokrasi, kami semua yang telah merakamkan sejarah pada hari keramat tersebut, insyallah bersedia didakwa dan dilontar ke penjara demi membela dan mempertahankan demokrasi dalam negara tercinta ini.
Anda bagaimana?
No comments:
Post a Comment