Bendera Umno tercacak di Palace of Justice
Satu demi satu mesyuarat mingguan kabinet berlalu, namun sehingga hari ini nampaknya Suruhanjaya Diraja yang dikatakan akan ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat video kontroversi melibatkan peguam VK Lingam terus senyap begitu sahaja. Mungkin kebingitan isu Hindraf telah berjaya menenggelamkan tuntutan Suruhanjaya Diraja itu atau mungkin juga kerajaan pimpinan Dollah sudah menjadi begitu gelabah sehingga sudah hilang punca dan tidak tahu apa yang patut diutamakan dan apa yang tidak.
Apa pun dalam diam-diam seorang tokoh Umno sedang belayar deras ke arah membolot kerusi kehakiman tertinggi negara. Menurut semua kahbar tempatan hari ini PM mengumumkan yang Yang Dipertuan Agong telah berkenan melantik Datuk Abdul Hamid Mohamad sebagai Ketua Hakim Negara yang baru manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi, akan memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, iaitu jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman.
Derasnya kapal layar Zaki, mengalahkan barangkali juara Monsoon Cup baru-baru ini, kerana dari seorang peguam biasa pada 5 September lalu beliau memecah tradisi badan kehakiman negara kerana tanpa menjawat jawatan hakim dilantik terus sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan melangkaui kepala hakim-hakim yang lebih kanan. Dan kini baru 3 bulan dijawatan itu meluncur pula untuk memegang jawatan kedua tertinggi.
Kebetulan Ketua Hakim Negara yang baru yang sudah pun mencecah usia 65 tahun dijangka bersara tidak berapa lama lagi, maka sekali lagi Zaki akan memecah rekod melompat terus ke atas sebagai Ketua Hakim Negara dalam tempuh paling singkat dalam sejarah!
Zaki adalah bekas Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno dan bekas Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Umno. Yang menarik juga beliau pernah menjadi Pengarah Berjaya Leisure Berhad, iaitu syarikat dibawah sayap Berjaya Gorup yang berada di bawah naungan Tan Sri Vincent Tan, kawan baik kepada peguam VK Lingam!
Syabaslah Dollah, rakyat menunggu Suruhanjaya Diraja, rupanya yang lebih penting untuk Dollah adalah memastikan yang institusi kehakiman kita terus dinoda dengan meletakkan orang partinya sebagai bakal nombor satu. Sudahlah SPR tercemar dengan aksi dan kebiadapan Rashid, sekarang badan kehakiman pula. Apa lagi selepas ini?
No comments:
Post a Comment