Tidak adakah calon lain selain Haidar?
Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menyifatkan perlantikkan Tan Sri Haidar Mohd Noor selaku Pengerusi Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video kontroversi VK Lingam adalah sesuatu yang sangat mengecewakan. Ini kerana Haidar menurut Lim turut berperanan dalam menyingkirkan Ketua Hakim Negara (ketika itu) Tun Salleh Abbas, semasa Krisis Kehakiman 1988 dahulu.
Sesungguhnya Krisis Kehakiman tahun 1988 itu masih terus menghantui insititusi kehakiman negara kita dan ia diparahkan lagi dengan pembongkaran klip video VK Lingam ini.
Aneh Haidar yang telah dilantik oleh kabinet untuk menganggotai Jawatankuasa Penyiasat bagi menyiasat kesahihan klip video tersebut kini dilantik pula untuk mempengerusikan Suruhanjaya Diraja yang mana bertindak atas syor jawatankuasa tadi. Keputusan ini menggambarkan seolah tidak ada orang lain yang lebih layak, sedangkan kita mempunyai barisan hakim-hakim bersara serta pakar dan pensyarah undang-undang yang begitu ramai.
Apakah terdapat muslihat dalam mengekalkan Haidar ini?
Ramai yang khuatir pekung besar yang didedahkan oleh klip video itu nanti akan jadi sekadar kudis kecil atau mungkin parut yang tidak berguna, dengan Haidar selaku Pengerusi Suruhanjaya.
No comments:
Post a Comment