Bagaimanakah sokongan pengundi Melayu kini?
Siri 1
Saya melontarkan perkara ini kerana pilihan raya umum semakin hampir. Saban hari kita dipaparkan dengan pelbagai perkembangan yang sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi dan selera pengundi. Hakikatnya blok pengundi di negara kita terbahagia kepada 3 yang terbesar iatu pengundi Melayu, Cina dan India. Biasanya trend pengundi menurut kaum ini boleh diukur berdasarkan satu-satu pilihanraya dan kawasan, namun ianya bukan mutlak dan menyeluruh.
Contohnya dalam "euphoria" atau suasana gembira ekoran kemerdekaan negara tahun 1957, pilihanraya umum pertama selepas Merdeka, iaitu dua tahun kemudian pada 1959 tidak juga memberikan kemenangan besar kepada Umno, MIC dan MCA yang ketika itu bergabung dalam Perikatan. Ramai yang menyangkakan dengan kejayaan besar Tunku ketika itu menebus kemerdekaan dari tangan British, besar kemungkinan rakyat rata-rata akan berdiri dibelakang Perikatan, tetapi ia tidak berlaku. Buktinya PAS menang di Kelantan dan Terengganu.
Ramai pula beranggapan yang pengundi bukan Melayu adalah blok pengundi yang taat dan setia pada Perikatan. Tetapi pada pilihan raya 1969, pegundi bukan Melayu telah menolak gabungan ini dan Perikatan hampir kehilangan kerajaan negeri di Perak dan Selangor angkara lonjakkan undi bukan Melayu kepada pembangkang.
Pilihanraya umum 1990 menyaksikan pengundi Cina dan pengundi India (ketika itu IPF pimpinan Pandithan menyebelahui Tengku Razalegh yang memimpin blok pembangkang) menyokong pembangkang. Walaupun pengundi India yang menyokong pembangkang bukannya majoriti namun lonjakkan hampir mencecah 40 ke 45%, iaitu antara yang terbesar dalam sejarah dan buat pertama kali pengundi India condong besar kepada pembangkang.
Kali ini pengundi Cina khasnya di kawasan-kawasan bandar, dijangka beralih sokongan kepada pembangkang dalam pilihan raya umum yang ke 12 nanti. Ramai penganalisa menyatakan antara faktor utama adalah ketidakpuasan hati pengundi Cina terhadap suasana ekonomi khasnya kos hidup rakyat yang semakin meningkat. Dengan perkembangan isu Hindraf kebelakangan ini pula, ramai melihat ianya telah mencuit simpati sebilangan besar pengundi India. Walaupun ramai yang tidak setuju dengan cara dan teknik digunakan Hindraf namun apa yang mereka perjuangkan pada dasarnya memang menghantui kehidupan sebilangan besar masyarakat India di negara ini. Malah ada yang menyatakan simpati kepada Hindraf ini melebihi simpati terhadap Pandithan yang cuma dirasai sekelompok tertentu pengundi India, padapilihan raya 1990.
Ini bermakna jika trend ini berkekalan, perubahan besar diperingkat kerajaan-kerajaan negeri, malah sehingga ke peringkat pusat mampu berlaku jika syaratnya pengundi Melayu juga mengundi untuk perubahan!
Bagaimana kecenderungan pengundi Melayu hari ini? Tanpa prejudis saya berani menyatakan bahawa pengundi-pengundi Melayu yang menyokong PAS biasanya tidak berubah, pengundi-pengundi tradisional PAS ini akan tetap mengundi PAS walau apa sekali yang berlaku. Yang baisanya berubah adalah pengundi Melayu dikalangan penyokong Umno dan pengundi Melayu atas pagar.
Sebenarnya pada pilihanaraya umum 1990 contohnya, pengundi Melayu telah berubah selera, tetapi perubahannya tidak merata dan cuma berlaku di Kelantan dan sebahagian kecil di Terengganu dan Kedah. Kerana itu walaupun taktik kotor Umno menyibarkan gambar kontroversi "Ku Li bertanjak salib" berkesan mempengaruhi pengundi Melayu tetapi ia tidak berlaku di Kelantan dimana PAS dan 46 telah sapu bersih kerusi di negeri tersebut. Bermkana faktor keperibadian Ku Li unggul di Kelantan ketika itu. Pilihanaraya umum 1999 telah menyaksikan lonjakkan pengundi Melayu kepada pembangkang ekoran isu DSAI (khasnya kes mata lebam). Tetapi sekali lagi lonjakkan tidak melewati 50%, besar (sehingga tumbang Umno di Terengganu) tetapi tidak cukup besar untuk menjatuhkan Umno di negeri-negeri lain. Cuma sekadar memenangkan pembangkang Melayu buat pertama kalinya di Selangor dan mengembalikan suara pembangkang Melayu di Perak, Pahang dan Perlis.
Tetapi sekarang bagaimana?
Apakah pengundi Melayu akan terus berdiri dibelakang Umno dan Dollah sebagaimana pilihanraya umum 2004 lalu sehingga menumbangkan kerajaan PAS di Terengganu dan hampir sahaja tumbang yang ada di Kelantan? Ataupun apakah mungkin pengundi Melayu juga telah bangun dari tidur mereka yang begitu lama, dan kini bersedia membuat perubahan?
Saya akan cuba membincangkan isu ini dalam beberapa siri di blog ini, mungkin anda yang membaca ingin berkongsi pandangan dalam topik ini, silalah turunkan komen masing-masing.
No comments:
Post a Comment