Sunday, December 16, 2007

Syed Shahir yang saya kenali

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC akan mengadakan Persidangan Perwakilannya yang ke 37 bermula esok. Gabungan kesatuan sekerja yang tertua dalam negara itu kini mewakili hampir keseluruhan industri dan sektor pekerjaan dalam negara dengan keahlian melebihi setengah juta orang.

Dalam kongresnya yang lalu pada Disember 2004 (kongres 3 tahun sekali) Presiden MTUC ketika itu Zainal Rampak telah dikalahkan oleh pencabarnya Syed Shahir Syed Mohamud dengan kelebihan 47 undi. Syed memperolehi 287 undi manakala Zainal 240. Syed berjaya setelah 5 kali mencabar Zainal yang merupakan Presiden sejak 1987. Dan kini dalam kongres ke 37 ini para perwakilan akan sekali lagi memilih pucuk pimpinan mereka. Syed kali ini dicabar oleh timbalannya Mohamed Shafie BP Mammal dari NUTE.





Saya berkesempatan mengenali Tuan Syed sejak 2004 lalu. Saya perhatikan beliau seorang yang baik, peramah, jujur dan sangat merendah diri. Beliau begitu meminati kerjayanya dan begitu prihatin akan nasib dan masalah para pekerja. Sepanjang mengenali beliau dari cerita beliau sendiri dan kawan-kawan yang mengenalinya, sesungguhnya MTUC bertuah mempunyai seorang pemimpin yang berkaliber, cekal dan komited seperti Syed.

Adakah tulisan saya ini merupakan kempen untuk Syed? Ya kalau ianya dibaca oleh para perwakilan ke Kongres MTUC esok, saya harap begitulah kerana Syed, kawan saya ini, saya rasa memang layak dan cocok untuk terus menyandang jawatan Presiden MTUC.
Tidak seperti penyandang jawatan sebelum ini, Syed lebih terbuka dan cenderung kepada konsep musyawarah. Pernah apabila kongres bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, pihak menteri cuba "corner" beliau seorang tetapi Tuan Syed telah menegaskan yang beliau datang dengan seluruh kepimpinan kongres, jika Pak Menteri mahu menyatakan sesuatu nyatakan terus secara terbuka kepada semua dan bukan beliau seorang sahaja.

Saya perhatikan pengalaman beliau di dalam kesatuan sekerja selama lebih 30 tahun itu mematangkan beliau dalam berurusan dan memperjuangkan nasib kaum pekerja. Tuan Syed ringkasnya adalah seorang pejuang. Beliau telah mengharungi pahit maung perjuangan, dan bila sampai ke kemuncak beliau tidak pernah berkompromi atau menjual maruah perjuangan, malah terus memacu kehadapan dengan berani tanpa memperdulikan kepentingan diri.
Selama memegang tampuk MTUC Tuan Syed begitu gigih memperjuangkan nasib kaum pekerja, isu gaji minima terus beliau harungi sebagai agenda utama. Begitu juga masalah nasib dan kebajikan pekerja khusunya berhubung isu kos hidup yang semakin meningkat. Tuan Syed ke hadapan dalam isu-isu rakyat terutama isu kenaikkan harga barangan, minyak dan tol. Begitu juga dalam memperjuangkan hak rakyat termasuklah dalam memulihkan demokrasi dan pilihanraya yang bersih dan adil.

Esok perwakilan MTUC akan menentukan samada Tuan Syed akan terus memimpin mereka ataupun tidak. Saya harap beliau akan terus diberikan mandat untuk memimpin. Setelah tidak ada cacat dalam rekod kepimpinan beliau,ada pula pihak mengaitkan pembabitan beliau dalam politik. Syed adalah ahli PKR dan sebelum ini PRM. Salahkah seseorang itu bergiat dalam politik? Dalam hal ini selagi ia tidak menjejaskan jawatan Presiden MTUC itu sendiri saya kira siapa sahaja berhak untuk menjadi ahli parti politik dan bertanding dalam pilihanraya.
Malah pemimpin MTUC sebelum ini pun ramai yang aktif dalam berpolitik. Mendiang V. David pernah menjadi Setiausaha Agung MTUC dan ahli parlimen DAP. Begitu juga Zainal Rampak dari Pekemas ke Semangat 46 dan kemudiannya sehingga kini Umno.

Semoga Syed Shahir terus berpeluang meneruskan agenda beliau membela dan memeprtahankan nasib pekerja.

No comments: