Masih adakah kebebasan akhbar di Malaysia?
Memang ada, itulah jawapan yang diberikan oleh Azman Ujang, Pengurus Besar BERNAMA, agensi berita nasional. Beliau berkata demikian dalam majlis forum di RTM1 semalam.
Kebebasan yang dimaksudkan dalam isitlah “kebebasan akhbar” adalah kebebasan untuk menyuarakan sebarang pendapat atau pandangan tanpa sebarang sekatan atau ancaman. Jika kebebasan itu dihalang atau disekat-sekat dengan pelbagai syarat dan peraturan yang memihak kepada satu badan atau agensi atau kerajaan itu sendiri, maka ketika itu tiadalah “Kebebasan akhbar”. Lebih parah lagi apabila sesuatu berita atau maklumat itu diputar-belitkan dengan tujuan mengelirukan pandangan rakyat.
Di Malaysia kita tidak perlukan Pengurus Besar BERNAMA untuk menjelaskan, rakyat semua telah tahu. Saya ambil satu contoh, dalam isu Hindraf. Akhbar-akhbar media perdana semuanya mengeluarkan cabaran pimpinan Umno kepada PAS agar PAS menyatakan sikap dan pendirian berkenaan isu tersebut. Bukan sekadar media cetak, kesemua media elektronik turut memainkan isu cabaran itu. Tetapi apabila Presiden PAS mengeluarkan kenyataan resmi parti berhbung isu tersebut, tidak ada satu akhbar saluran perdana pun yang melaporkannya!
Kita ambil satu contoh lagi, kejadian banjir terbaru yang menimpa beberapa negeri di Semenanjung. Nyatakan kepada saya 1 akhbar saluran perdana yang ada melaporkan darihal bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri Kelantan di Kelantan atau lawatan-lawatan yang dibuat oleh MB ke pusat-pusat penempatan sementara. Yang ada cumalah bantuan dan kunjungan wakil-wakil rakyat pembangkang dari BN. Anehnya di negeri-negeri lain wakil-wakil pembangkang tidak pula mendapat liputan.
Tiba-tiba Azman tanpa segan dan malu boleh mendakwa ke seluruh negara melalui RTM semalam bahawa di Malaysia ada kebebasan akhbar. Penipu!
Itu di media saluran perdana, media milik parti pembangkang pula walaupun zahir tetapi teruk ditekan. Harakah cuma dibenar keluar dua minggu sekali, manakala Suara Keadilan sehingga hari ini tidak diberikan kebenaran. Kebebasan akhbar apakah ini?
Azman juga mendakwa konon wujudnya media alternatif sebagai bukti Malaysia mengamalkan kebebasan akhbar. Harakah dan Suara Keadilan telah saya sebutkan. Lahirnya laman-laman web dan blog berupa berita semasa dan isu-isu politik adalah bukti betapa suara yang berbeza dari kerajaan dikekang dan tidak mendapat tempat dalam akhbar-akhbar tempatan.
Lihat sahajalah apabila tiba musim pilihanraya, betapa akhbar-akhbar saluran perdana terutama akhbar-akhbar berbahasa Melayu akan melacurkan diri untuk mempromosi parti pemerintah tanpa sedikit pun memberi ruang kepada pembangkang, kalau pun ada berita semuanya negatif belaka! Sesungguhnya kita telah pun menerima hakikat begitulah keadaan akhbar tempatan kita, masalahnya Pengurus Besar BERNAMA juga sanggup melacurkan diri berbohong di depan kaca TV menegakkan benang basah kononnya kita kaya dengan kebebasan akhbar, sungguh mengaibkan!
Kalaupun ada akhbar saluran perdana yang benar-benar bebas ia adalah Utusan Melayu, namun itupun kebebasannya telah diperkosa kira-kira 46 tahun lalu iaitu pada tahun 1961 apabila ianya diambil-alih oleh Umno sehingga mencetuskan peristiwa keramat “Mogok Utusan”. Kata Allahyarham SN Usman Awang:
Lazimnya pekerja melancarkan mogok kerana mahu menuntut tambahan gaji, Utusan Melayu mogok kerana mahu mempertahankan “kebebasan akhbar”.
Dan kata bekas Ketua Pengarangnya Sdr Said Zahari:
Kami berpendirian bahawa Utusan Melayu yang bebas daripada penguasaan seperti itu sahajalah yang benar-benar boleh berkhidmat kepada seluruh bangsa Melayu, agama dan tanah air bukannya kepada satu kelompok orang Melayu yang menganggotai satu-satu parti politik sahaja.
Kesimpulannya tidak ada “kebebasan akhbar” di Malaysia, yang ada cumalah akhbar-akhbar saluran perdana yang dimiliki dan dikuasai oleh parti-parti pemerintah.
No comments:
Post a Comment