Rashid terus memimpin SPR
Pengundi mati terus mengundi
Walaupun setelah menerima bantahan beberapa pihak, Pengerusi SPR Rashid Abd Rahman sebagaiamana dijangkakan terus memohon untuk tempoh lanjutan perkhidmatan beliau untuk setahun lagi. Baru-baru ini Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan membenarnkan tempoh perkhidmatan Pengerusi dan ahli-ahli SPR dilanjutkan dari bersara pada usia 65 ke 66 tahun.
Dengan ini Rashid dijangka akan terus mengepalai badan yang sepatutnya bebas itu untuk menghadapi pilihanraya umum ke 12 nanti.
Dengan adanya Rashid terus mengemudi SPR sekaligus meletakkan titik hitam permulaan kepada potensi besarnya pilihanraya umum ke 12 nanti terus diurus dalam keadaan tempang dan pincang sebagaimana sebelum ini di bawah tangan beliau. Saya difahamkan beberapa pihak sedang menyusun protes besar-besaran berikutan perkembangan terbaru ini.
Di sini saya tidaklah berhajat membazirkan kudrat saya untuk membicarakan berkenaan Rashid ini. Apa yang mahu saya ketengahkan di sini adalah satu contoh kelemahan besar SPR khasnya dalam pengurusan daftar pengundi. Isunya melibatkan pengundi yang telah meninggal dunia.
Saban tahun kita hadapi ada-ada sahaja peristiwa dimana nama pengundi yang telah meninggal dunia terus digunakan oleh pihak tertentu untuk mengudi. Pengundi tersebut telah meninggal dunia namun namanya masih berada dalam daftar pengundi, lalu kerana kelompongan sistem SPR, pihak-pihak tertentu boleh mengambil kesempatan mengundi menggunakan nama simati itu.
Bolehkah perkara ini berlaku? Atau adakah ini rekaan pihak pembangkang semata-mata?
Bukti terbaik adalah pada pilihanraya umum lalu apabila ayah kepada pemimpin PKR Sdr Azmin Ali dikatakan telah membuang undi mengikut rekod bilik mengundi sedangkan ayah Azmin itu telah pun meninggal dunia (yangs hingga hari ini tidak berjaya dijelaskan oleh mana-mana pihak).
Isunya mengapa masih ada nama-nama pengundi yang telah meninggal dunia di dalam Daftar Pengundi? Kata Rashid SPR tidak boleh bertindak melainkan ada bukti yang pengundi itu telah meninggal dunia. Waris-waris pengundi berkenaan diseru agar mengemukakan sijil kematian kepada SPR sebelum nama-nama berkenaan dapat dikeluarkan dari daftar. Tidakkah ini satu kerja yang tidak masuk akal?
Itu kalau ada waris, kalu tidak ada? Kalau waris tidak tahu simata adalah pengundi?
Soalnya mengapa kerja ini mahu diserahkan atau dipertanggungjawabkan kepada pihak ketiga? Sepatutnya SPR yang kononnya cekap dan berpengalaman itu setelah 11 kali mengendalikan pilihanraya umum kini sudah ada satu mekanisma yang pantas dan padat dalam menangani perkara ini. Pendaftaran mati adalah urusan pihak Jabatan Pendaftaran Negara setelah mendapat input dari pihak polis, kenapa SPR tidak boleh mewujudkan satu mekanisma bersedapau dengan jabatan-jabatan kerajaan ini? Mengapa waris pula yang mahu dipertanggungjawabkan?
Ini baru satu contoh dimana Rashid sehingga kini tidak mampu selesaikan, bayangkan isu-isu besar lain yang melibatkan ketelusan dan keadilan pilihanraya.
Pilihanraya Umum adalah gelanggang untuk rakyat membuat keputusan dan pilihan secara terbuka, tanpa paksaan atau tekanan mana-mana pihak. Keputusan yang terbaik hanya dapat dibuat apabila sistem pilihanraya itu sendiri baik dan sempurna. Di bawah Rashid nampaknya terus tempang dan pincanglah sistem ini!
No comments:
Post a Comment