Monday, December 24, 2007

RM2 billion untuk jatuhkan kerajaan Tok Guru

Dari Kelantan, Pengerusi Perhubungan Umno negeri Annuar Musa (yang telah menunggu hampir 17 tahun untuk dinobatkan sebagai MB negeri tersebut) mengumumkan yang manifesto partinya untuk pilihan raya umum akan datang telah hampir siap. Temanya adalah: “Tawan Kelantan”.





Memang Umno dan BN telah cuba berbagai taktik dan strategi untuk merampas kembali negeri Cik Siti Wan Kembang itu dari PAS sejak tahun 1990. Pada pilihan raya umum 2004 lalu, mereka hampir sahaja berjaya, cuma kurang dua kerusi untuk meletakkan Annuar sebagai MB baru Kelantan. Sudah pastilah semangat 2004 akan terus membakar Umno Kelantan khasnya Annuar untuk terus berjuang mungkin kali ini dalam pilihan raya umum ke 12 nanti beliaulah yang akan dijulang sebagai MB baru menggantikan Tok Guru Nik Abd Aziz.

Kata Annuar dalam manifestonya itu BN Kelantan menjanjikan projek mega bernilai RM 2 billion untuk membangunkan negeri tersebut yang mampu disiapkan dalam tempoh 5 tahun! Ianya bukan sebahagian dari projek ECER yang dilancarkan oleh PM baru-baru ini tetapi merupakan projek-projek sokongan bagi menjayakan ECER.

Memanglah jumlah RM2 billion itu besar, dan mungkin inilah satu-satu negeri yang menerima janji sebesar itu bagi seluruh Malaysia. Bermkana manifesto “Tawan Kelantan” ciptaan Annuar ini bertujuan membeli undi dan sokongan rakyat Kelantan dengan janji pembangunan mega yang luar biasa.

Takkanlah tidak tergiur rakyat negeri Serambi Mekah itu?

Bagi Annuar dan Umno Kelantan, mustahil rakyat Kelantan akan menolak beliau kali ini. Mustahil rakyat Kelantan mahu berterusan bergayut dibawah jubah Nik Aziz, jika menolak Nik Aziz bermakna mereka beroleh projek yang mega mewahnya. Mustahil rakyat Kelantan tidak mahu maju setanding dengan negeri-negeri lain.

Jika begitulah bacaan Annuar dan Umno Kelantan maka mereka sebenarnya menghina dan merendahkan tahap pemikiran dan keupayaan politik rakyat Kelantan. Bukan rakyat di Kelantan sahaja, rakyat di Ulu Tembeling, rakyat dipedalaman Sabah, Sarawak, di hujung-hujung Baling dan Sik, Hulu Perak, Hulu Selangor, Hulu Terengganu semuanya mahu maju dan senang juga. Ringkasnya tidak ada manusia mana pun mahu terus hidup susah dan sengsara.
Solanya apakah tanpa projek mega RM2 billion itu rakyat Kelantan susah dan sengsara?

Bagi saya sejak tahun 1990 rakyat Kelantanlah antara rakyat Malaysia yang paling bijak dan matang politiknya. Mereka yang rata-rata berketurunan Melayu Islam itu mahukan kesenangan dan kesejahteraan, tetapi trend pengundian mereka sejak 1990 menunjukkan yang bagi mereka yang penting bukan hanya sekadar kesenangan dan kesejahteraan dunia semata-mata tetapi mereka juga mahu senang dan sejahtera di akhirat sekali.

Kerana itu mereka memilih untuk “Membangun Bersama Islam” kerana mereka yakin pembangunan yang dibawa walaupun mungkin kecil dari “standard” dan kaca mata BN tetapi ianya merangkumi sekali pembangunan dunia dan akhirat, sesuatu yang manifesto “Tawan Kelantan” ciptaan Annuar Musa mungkin tidak mampu malah gagal lahirkan.

RM2 billion itu memang besar, tetapi apalah maknanya jika dijatuhkan kerajaan yang bercita-cita “Membangun Bersama Islam” pimpinan Tok Guru Nik Abd Aziz dan dinaikkan personaliti seperti Annuar Musa, yang akhlak, peribadi dan kepimpinannya bagaikan langit dan bumi jauhnya jika mahu dibandingkan dengan Nik Aziz.

PAS sepanjang 17 tahun pemerintahannya tidaklah sepi dari pembangunan malah telah membuktikan yang dalam serba kekangan mereka berjaya menongkah arus dan membina sebuah tamaddun yang berbeza sama sekali dari negeri-negeri lain di Malaysia yang dipimpin BN. Kepimpinan Tok Guru Nik Abd Aziz telah melahirkan pimpinan anak-anak negeri yang berkualiti dan bertaqwa sesuatu yang tandus dikalangan pimpinan Melayu di luar Kelantan!

RM2 billion itu memang besar, tetapi saya yakin rakyat Kelantan lebih besarkan Islam dan kemuliaannya. Selamat mencuba Annuar Musa.

No comments: