Friday, April 27, 2018

Baiah dengan kerelaan

Tiba musim pilihan raya satu syarat penting yang diwajibkan ke atas semua calon-calon PAS adalah tanggungjawab melafazkan baiah. Isu baiah ini pernah menjadi kontroversi apabila berlaku beberapa siri pengkhianatan terhadap PAS yang menyaksikan beberapa kerat wakil-wakil rakyatnya bertindak khianat dengan melompat parti dan ada yang menubuhkan parti baru.

Mereka nekad mengkhianati PAS walaupun mereka tahu sebelumnya mereka telah melafazkan baiah dengan bersumpah menyebut nama Allah sebelum bertanding dalam pilihan raya sebagai calon-calon PAS.

Saya berkesempatan buat pertama kali menyaksikan baiah yang dilakukan oleh calon-calon PAS Selangor di hadapan Pesuruhjaya PAS Selangor Ustaz Sallehin Mukhyi baru-baru ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14.

Baiah ini sebenarnya sumpah taat setia untuk mengikat calon-calon PAS agar istiqamah dengan perjuangan PAS dan tidak mengkhianati parti ini sewenang-wenangnya apabila telah diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Melalui baiah ini adalah diharapkan calon-calon PAS ini punya satu ketahanan mengawal diri dari bertindak liar kerana sumpah telah dilafazkan atas nama Allah.

Dengan cara ini masing-masing calon dibendung oleh disiplin dan ketaatan pada PAS.

Harus diingat satu hakikat penting baiah PAS ini adalah ianya dilakukan dengan rela diri tanpa paksaan oleh setiap yang dicalonkan oleh parti. Tidak ada seorang pun yang ingkar  atau enggan melafazkan baiah setelah dipilih sebagai calon.

Bermakna dalam keadaan waras dan sedar, tanpa paksaan mereka ini melafazkan nama Allah dan berikrar  tidak akan khianat pada PAS kecuali mereka dengan rela membiarkan diri dilaknat oleh Allah, Rasul Nya dan para malaikat serta sekalian makhluk yang boleh melaknat.

Bagi mereka yang sedar serta akur akan betapa beratnya implikasi melafaz baiah ini, mereka akan sebak, sedih malah ramai yang akan menitiskan airmata sebagaimana saya saksikan sebahagian calon-calon PAS Selangor yang melfazkan baiah baru-baru ini.

Mengapa demikian, kerana mereka sesungguhnya tahu yang mereka terikat dengan ikatan langsung pada Allah swt atas kerelaan diri mereka masing-masing dan saya pasti tidak seorang pun dari mereka akan bersedia mengkhianati parti kerana insaf akan impilkasi ke atas setiap mereka.

Baiah ini secara langsung membina saf pimpinan PAS yang bermoral, berdisiplin serta sedar dan faham akan tanggungjawab mereka masing-masing samada kepada parti mahupun kepada rakyat jelata yang memilih mereka. Melalui baiah jualah para ahli dan penyokong PAS dapat diberikan keyakinan bahawa apa sahaja cabaran yang bakal berlaku dan mendatang, setiap wakil rakyat PAS akan akur dan menerima pandangan parti serta meletakkan kepentingan jemaah mengatasi kepentingan peribadi.
Oleh hal yang demikian datang pilihan raya umum ke 14 ini rakyat jelata perlu prihatin dan peka pada bekas ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN PAS yang datang menawarkan diri mereka sebagai calon-calon atas nama perbagai parti pilihan mereka selain PAS.

Jangan sekali-kali kita mengizinkan mereka ini mendapat undi dari masyarakat Islam, kerana ternyata mereka bukannya sekadar telah mengkhianati PAS tetapi lebih penting mereka telah mempermain dan mempersenda  lafaz baih mereka yang menyebut nama Allah swt.

Apalah yang boleh diharapkan dari mereka, jenis yang sanggup merongkai dan mensisihkan diri dari ikatan yang mereka bentuk sendiri dengan kerelaan hati, tanpa paksaan dari sesiapa. Lebih parah nama Allah swt telah digunakan sebagai sumpah, namun dengan mudah mereka mengkhianatinya demi mengejar agenda dan kepentingan peribadi.

Wajarkah mereka yang seumpama ini diberikan peluang lagi untuk naik sebagai ahli Parlimen atau ADUN?

Pepatah Melayu menyebut jika kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang melalui mulutnya. Kerbau yang haiwan sudah tentu tidak berakal, itupun jika diikat pada tali ia boleh dipegang dan dipandu, tetapi manusia walaupun berakal tetapi jika mulutnya melafazkan janji tetapi boleh berdoalk-dalik dan dipermain-main, ketika itu manusia tadi lebih hina dari haiwan kerbau.

Mereka yang mudah melanggar janjinya pada Allah, adalah jenis yang paling bahaya kerana ia tidak langsung punya sifat gerun dan takut pada Allah swt, Tuhan  yang Maha Kuasa lagi Perkasa. Calon-calon PAS Selangor yang melafazkan baiah baru-baru ini ternyata sangat gerun sebaik melafazkan kalimat waullahi, wabillahi, wataullahi, kerana baiah yang mereka ikrarkan itu tersemat atas janji pada Allah swt.

Sesungguhnya pilihan raya umum yang ke 14 ini adalah gelanggang yang paling baik buat kita untuk mengajar kesemua pengkhianat yang mempersendakan baiah mereka pada Allah dengan pakat-pakat kita menolak mereka beramai-ramai.

Biarlah mereka menanggung laknat dari Allah, Rasul Nya dan para malaikat serta sekalian makhluk yang melaknat kerana mereka sendiri dengan sedar diri sesungguhnya mengundang laknat itu.

Semoga calon-calon PAS bukan sahaja di Selangor, malah diseluruh negara akan belajar dari insiden pengkhianatan yang dilakukan oleh bekas wakil-wakil rakyat PAS ini. Janagan sesekali kita pula yang terpalit dengan pengingkaran dan dosa yang sama.

Allah swt bersama mereka yang benar dan memelihara janji mereka pada Nya. roslansms@gmail.com

Thursday, April 12, 2018

Pilihan di tangan kita

Parlimen kini dengan rasminya telah dibubarkan. Tindakan ini memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 14 yang dijangka hari mengundinya sekitar minggu pertama bulan Mei nanti.

Dengan perkembangan ini rakyat Malaysia khasnya para pengundi berdaftar yang berjumlah 14.9 juta orang akan diberikan hak untuk menentukan wakil mereka yang kelak bakal membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri kecuali Sarawak.

Adakah Barisan Nasional akan kembali berkuasa di peringkat Persekutuan atau akan berlakukah satu perubahan pentadbiran negara buat pertama kali dalam sejarah?

Bagaimana nasib parti-parti lain, Pakatan Harapan dan PAS serta parti-parti di Sabah dan Sarawak?

Proses memilih pemimpin yang bakal mencorak dan menentukan nasib serta masadepan kita, negara kita, adalah penting dan bukannya main-mainan. Ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh mana-mana sentimen sempit, agenda peribadi, atau ditentukan oleh nilai sogokan dan janji-janji kosong.

Rakyat harus juga menimbang dan memikirkan kesan serta impak kiranya kita cenderung dan memilih satu-satu parti setelah hampir 61 tahun negara Merdeka ini. Kita malah boleh menilai dan malah cukup berpengalaman dengan kebanyakkan parti-parti yang bakal bertanding ini.

Masalah di hadapan kita bukannya untuk menyelamat dan menjamin survival politik satu-satu pihak, bukan juga untuk mengembalikan individu tertentu ke tampuk kuasa atau menaikkan suku dan kroni atau anak-beranak, adik-beradik sesiapa untuk memegang kuasa. Masalah kita, rakyat jelata hari ini adalah bagaimana kita terbit keluar dari kemelut kehidupan yang serba terbeban hari ini angkara kenaikkan kos hidup yang begitu menghimpit diri dan keluarga masing-masing, serta bagaimana negara kita bersih dari anasir pimpinan yang rasuah dan menyeleweng sehingga memporak-perandakan urusan negara dan negeri-negeri.

Lantaran itu keterbukaan dan kematangan sangat-sangat diharapkan dari kita. Jika kita terlalu taksub dengan satu-satu parti sedangkan kita tahu merekalah punca permasalahan kita hari ini, atau kita sedar mereka punya kepimpinan yang bakal mengulangi permasalahan yang kita tanggungi sebelum ini, kita undi juga mereka, maka kita sesungguhnya menyumbang ke arah keruntuhan dan kemusnahan negara.

Mentimun dan pisau di tangan kita pada peringkat ini, parti-parti politik sekadar mampu berkempen dan menyogok kita dengan wang dan pelbagai janji, tetapi kitalah kelak yang memutuskan siapa pilihan kita tanpa paksaan.

Barisan Nasional yang diterajui Umno telah berkuasa sejak Merdeka diperingkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri di Semenanjung selain Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Dengan mereka diteraju, suka tidak suka sebahagian besar permasalahan yang dibebani kita hari ini adalah kesan langsung dari ketempangan dan kepincangan kepimpinan mereka. Terakhir dari Tun Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Badawi dan kini Dato Seri Najib Tun Razak, segala serba tidak kena, hutang negara makin mencacak naik, kos hidup rakyat semakin membebankan, dan rasuah serta salah guna kuasa seakan tidak dapat dibendung lagi.

Mahukah rakyat terus bersama mereka sedangkan rekodnya telah semua kita ketahui?

Pakatan Harapan menggabungkan PKR, DAP, PBBM dan Pan. Pakatan mereka ini kini diteraju Tun Dr Mahahtir, tokoh yang sama yang punya 22 tahun pengalaman sebagai pemimpin negara dahulu semasa beliau Umno. Hampir 60% rekod BN sejak tahun 1981 dipengaruhi oleh kepimpinan beliau. Bermakna Tun tidak boleh melepaskan diri dari turut bertanggungjawab dan menyumbang dalam malapetaka yang kita tanggung hari ini.

Selain Tun, PH juga menghimpunkan pimpinan rasis dan sangat prejudis terhadap Islam khasnya dari kalangan DAP. Mereka juga kaya dengan pimpinan yang tidak berjuang atas mempertahankan prinsip tetapi sungguh liberal dan menganuti fahaman “matlamat menghalalkan cara”. Asal sahaja boleh menang dan berkuasa, mereka ini sanggup melakukan apa sahaja. Sikap sebegini harus diawasi dan dijauhi.

Mahukah kita serahkan nasib negara pada mereka?

Demikanlah BN dan PH yang sewajarnya rakyat telah sangat kenal dan waspada. Dalam tempuh berkempen ini masing-masing boleh berkata dan berjanji apa sahaja, tetapi rekod yang sedia ada jelas untuk diberi perhatian dan diingati rakyat. Jangan sekali-kali kita cenderung pada mereka yang terbutki mempunyai kemampuan memunahkan masa depan kita.

Berhadapan dengan dua pilihan yang sama berat dan sama memudaratkan itu, maka PAS datang ditengah-tengah, menghulurkan tangan untuk menyelamatkan rakyat dan negara, membela serta memperjuangkan nasib dan masa depan semua ke arah yang lebih sejahtera dan terjamin.

Negara kita yang Merdeka dan berdaulat ini perlukan saf kepimpinan yang berintegriti, berprinsip dan paling penting bertaqwa agar segala kepincangan dan ketempangan yang ada dapat ditangani dan dipulihkan, serta rakyat boleh mengecap dan merasai nikmat kesejahteraan negara tanpa perlu menderita di bumi sendiri. PAS lah pilihan anda.

Biar keadilan dapat dijamin dan diberikan pada semua, biar juga kekayaan negara dapat dikongsi dan dirasai semua tanpa perlu menyogok dan meraikan kroni dan kaum keluarga. Biar Islam kekal sebagai agama rasmi sehingga dapat diamalkan sebagai satu cara hidup oleh umat Islam dengan jaminan keadilan dan kesaksamaan diberikan pada semua. Biar semua warganegara dapat hidup aman damai tanpa berprasangka antara satu sama lain.

Kita perlu berani dan tegas dalam menjalankan tanggungjawab memilih dalam PRU ke 14 ini. Nasib dan masadepan negara terletak ditangan kita. Jalankanlah tanggungjawab dengan tanggungjawab dan amanah. Ke arah Malaysia yang sejahtera. roslansms@gmail.com

Wednesday, April 04, 2018

Tsunami Melayu pasti berlaku

Berlaku atau tidak “Tsunami Melayu” dalam Pilihan Raya Umum ke 14 ini terus diperdebatkan banyak pihak.

Adakah para pengundi Melayu yang paling teruk terkesan akibat kenaikan kos hidup, akan bangkit menyatakan protes mereka melalui peti undi, mengulangi mungkin pada skala yang lebih besar protes pada tahun 1999 dahulu yang telah menyaksikan PAS kekal di Kelantan dan menawan Terengganu serta menguasai bangku pembangkang di Dewan Rakyat dengan 27 kerusi mengatasi DAP dan PKR.

Bagi Umno, apa yang dikatakan tsunami itu hanyalah rekaan, tetapi bagi kebanyakkan penganalisa, ianya sesuatu yang “real” yang boleh mengakibatkan Umno kehilangan sehingga 30 peratus sokongan terhadapnya khasnya dari kalangan para pengundi Melayu.

Dimana-mana sahaja termasuklah di lubuk Umno, pada hari ini isu rasuah, GST, kenaikan harga barang dan perkhidmatan terus menjadi bualan hangat dan panas. Ianya lebih panas dari 1999 dahulu, kerana ketika itu isunya sekadar kronisma, korupsi dan nepotisma regim Mahathir serta kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa siri kezaliman Perdana Menteri waktu itu.

Hari ini isunya periuk nasi masing-masing yang teruk terjejas kerana kepincangan dan ketempangan pentadbiran Umno dan BN, dan kesannya mengena secara langsung atas setiap individu rakyat, satu kesan mendalam yang sukar dimaafkan.

Dalam pada itu proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya telah pun diluluskan Parlimen. Sempadan baru ini khususnya di Pantai Barat melihatkan sempadan sesuatu kawasan Parlimen atau DUN itu banyak samada secara kebetulan atau dirancang dipengaruhi oleh satu-satu kaum.

Kalau di Selangor rata-rata kerusi negerinya kini samada adalah kawasan majoriti Melayu ataupun bukan Melayu. Kerusi-kerusi campuran yang dahulunya banyak diwujudkan sewaktu Tun Dr Mahathir Perdana Menteri kini samada dikurang atau ditiadakan.

Mereka yang merupakan arkitek terhadap sempadan baru ini mungkin mahu memberi “advantage” kepada sesuatu pihak, dilebihkan kerusi Melayu supaya lebihlah kuasa politik Umno dengan dikurangkan kerusi-kerusi campuran yang merupakan ancaman buat survival Umno.

Mereka lupa orang-orang Melayu ini sejak Merdeka terbelah dua kecenderungannya iaitu samada mereka Umno ataupun PAS. Kalau dilebihkan kerusi Melayu dengan dileburkan kerusi campuran, bermakna ianya bukan sekadar membuka peluang pada Umno, hakikatnya PAS juga boleh mencuri peluang dan kesempatan.

Dan berbalik kepada isu “Tsunami Melayu” tadi, masakan para pengundi Melayu samada di bandar mahupun luarbandar yang terluka dan parah akibat bahana kenaikan kos hidup tadi mahu terus memperjudikan pula undi mereka dengan mengulangi memangkah Umno sedangkan BN dan Umnolah punca permasalahan mereka.

Mungkin tidak sepenuhnya, tetapi unjuran kemerosotan 30 peratus undi penyokong Umno itu, jika berlaku, sudah barang pasti ianya akan beralih ke PAS sebagaimana pada tahun 1999 dahulu.

Kenapa tidak Pakatan Harapan, kenapa mesti PAS?

PH yang diketuai Tun Dr Mahathir dijangka  sukar menimba dan mengambil manfaat tsunami ini kerana beliau itu sesungguhnya penyumbang besar ke atas permasalahan yang ada. Anwar dan Lim Kit Siang atau Mat Sabu demi mahu menangguk kemenangan sanggup dan tergamak melupakan pelbagai “jenayah” dan skandal Tun semasa beliau PM dahulu, tetapi orang Melayu kebanyakannya termasuklah sebahagian bukan Melayu dikatakan sukar melupakannya.

Anak beranak dan kaum kerabatnya kaya raya lantaran kedudukannya, isu ini pernah didedahkan berulang kali bukan oleh orang lain tetapi Anwar, Kit Siang dan Mat Sabu juga satu ketika dahulu. Itu tidak termasuk kezalimannya mengekang kebebasan bersuara dan berhimpun, menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, memecat Ketua Hakim Negara dan mengancam institusi kehakiman dan senarai 22 tahun itu terlalu panjang jika mahu diperincikan.

PH juga didominasi DAP, parti kaum bukan Melayu, yang kini lantaran sokongan besar masyarakat bukan Melayu terhadap mereka merasakan mereka boleh melonjak lebih tinggi lagi dengan menguasai sokongan orang-orang Melayu pula dengan cara memijak kepala parti-parti Melayu dalam PH. DAP bercita-cita menguasai Putrajaya dengan memperkenalkan ideologi sosialis sekular mereka dan menjadi ancaman pada status quo yang ada khususnya yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam.

Lantaran itu jika benar dikatakan bakal tercetus tsunami itu, maka persempadanan baru yang diluluskan ini bakal melakarkan lanskap baru buat negara dan negeri-negeri.

PH yang dianggotai parti-parti yang lebih besar ancamannya pada survival umat Melayu dan Islam dijangka diketepikan begitu sahaja dalam PRU ini khususnya oleh pengundi Melayu. Takkanlah orang Melayu mahu mengundi BN yang merupakan punca masalah mereka, dan takkanlah mereka mahu cenderung pula pada PH yang dikuasai DAP yang punya Tun Dr Mahahtir sebagai peneraju.

Tsunami Melayu tidak syak lagi bakal bangkit bergelombang membawa orang Melayu khasnya sekali lagi menolak semua pihak yang bermasalah. Mereka akan tegak dan bertaut serta meletakkan keyakinan mereka pada satu-satunya parti yang terbukti istiqamah dan tidak pernah mengabaikan kepentingan serta nasib mereka iaitu PAS. Parti Islam yang bersih, yang amanah dan penuh berintegriti inilah bakal menjadi pilihan para pengundi Melayu dan rakyat Malaysia pada PRU ke 14 ini. roslansms@gmail.com

Thursday, March 29, 2018

Katakan TIDAK kepada DAP-PH

Tugas dan tanggungjawab memilih dan memberi mandat kepada para pemimpin untuk mewakili rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri akan berulang pada Pilihan Raya Umum ke 14 nanti. Kuasa sekali lagi dipulangkan kepada rakyat dan rakyatlah nanti yang akan memutuskan siapa bakal menerajui negara untuk tempuh 5 tahun yang akan datang menurut kehendak dan citarasa mereka.

Siapa pun boleh naik memegang tampuk kuasa dengan syarat mereka memiliki suara majoriti melalui jumlah kerusi terbanyak di peringkat Parlimen dan Negeri-negeri nanti berdasarkan pilihan rakyat. Itulah kaedah demokrasi yang kita amalkan di dalam negara sejak bebas dari kuasa penjajah.

Sudah tentulah umat Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara bakal memainkan peranan penting dalam menentukan corak pemerintahan negara pasca PRU nanti kerana 60 peratus dari 222 kerusi Parlimen seluruh Malaysia iaitu kira-kira 134 kerusi merupakan majoriti pengundi Melayu dan selebihnya iaitu 88 kerusi merupakan kerusi majoriti bukan Melayu.

Kerana itu mana-mana kelompok dan blok yang mahu menguasai tunggak kuasa khususnya diperingkat Persekutuan perlu memperolehi perwakilan dari kalangan kerusi-kerusi majoriti Melayu bagi memastikan mereka punya peluang membentuk kerajaan. Pergantungan pada kerusi majoriti bukan Melayu semata-mata tidak memungkinkan satu-satu blok itu berupaya membentuk kerajaan Persekutuan melainkan ia turut menang dan menguasai sebilangan kerusi-kerusi Melayu.

Kebelakangan ini salah sebuah parti yang gigih dan ghairah mahu merampas tunggak kuasa diperingkat Persekutuan adalah DAP. Parti yang hampir 50 tahun usianya itu walaupun menggambarkan dirinya sebagai sebuah parti berbilang kaum, tetapi hakikatnya ia sebuah parti majoriti Cina.

Bagi DAP berdasarkan keputusan PRU ke 13 yang lalu ia telah hampir menguasai keseluruhan kerusi majoriti bukan Melayu di Semenanjung. Secara total DAP memasuki PRU ke 14 dengan penguasaan ke atas 37 kerusi Parlimen seluruh negara.

Dengan prestasi ini ia yakin ia boleh melonjak ke tahap maksima mengusai hampir sepenuhnya kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu dan campuran dengan menguasai sekuruang-kurangnya 50 kerusi Parlimen dalam  PRU akan datang dan mtidak mustahil lebih dari itu.

Jika ia dapat menguasai 50 kerusi, DAP menjangkakan kerabatnya dalam PH iaitu PKR, Bersatu dan Pan akan memenangi baki sekurang-kurangnya 62 kerusi (PKR kini punya 28 kerusi Pan 6 dan Bersatu 1) menjadikan jumlah 112 kerusi paling kurang bagi mereka merampas kuasa di Putrajaya.

Dalam akhbar The Sunday Star baru-baru ini malah DAP dikatakan sedang menimbang meletakkan pemimpin paling kanannya iaitu Lim Kit Siang bertanding di Parlimen Johor Baru menentang calon Umno Datuk Shahril Abd Samad walaupun kerusi berkenaan punya majoriti 53% pengundi Melayu.

Di sinilah penting DAP punya “kuda tunggangan” Melayu yang boleh membantunya dengan
menguasai undi Melayu, ditambah dengan penguasaan mutklaknya atas undi bukan Melayu, dalam kes Johor Baru sebagai contoh jika DAP menguasai 47% undi bukan Melayu ditambah dengan sekitar 10% undi Melayu, tidak mustahil Umno pun boleh ditumbangkan DAP!

Jika ini berlaku berubahlah lanskap politik negara apabila DAP muncul sebagai parti paling dominan dan berkuasa dalam kerajaan Persekutuan yang baru. Cita-citanya untuk melahirkan sebuah negara Malaysia yang sekular, iaitu negara yang memisahkan urusan agama dari urusan kerajaan pasti berjaya.

Pentafsiran agama mengguna kaedah liberalisma, dengan kebebasan dan hak untuk semua tanpa mengira adat, budaya dan status quo akan menjadi keutamaan kerajaan baru. Bayangkan keadaan negara dan nasib Islam ketika itu?

DAP pasti mahu lihat meritokrasi menjadi asas utama pengangihan peluang, kekayaan dan kebajikan negara. Tiada lagi hak istimewa buat mana-mana kaum dan kelompok, ketika itu bersainglah semua pihak untuk mendapat perhatian dengan keutamaan diberikan kepada yang paling layak, yang paling tinggi pencapaian tanpa mengira agama, bangsa atau samada sesuatu bangsa itu paling ramai atau tidak.

Kita mungkin bimbang dan gusar dengan hakikat ini tetapi ada sebahagian yang sanggup ditunggangi DAP demi mencapai agenda dan cita-cita peribadi mereka.

Dalam satu ceramah DAP di Alor Setar baru-baru ini, seorang pemimpin DAP menyebut: “Kita akan menunggangi Tun Mah (Tun Dr Mahathir) untuk memusnahkan si ayam (Datuk Seri Najib Tun Razak).”

Kerana itu masyarakat pengundi Melayu Islam yang merupakan kelompok pengundi terbesar dalam negara kena meneliti perkembangan ini dan menimbang semasak mungkin sebelum membuat sesuatu keputusan. Tun Dr Mahathir sangat bersedia membantu DAP asalkan tercapai cita-cita politiknya.

Adakah kita akan membantu Tun Dr Mahahtir yang mahu membantu DAP untuk nanti mencorakkan negara Malaysia yang baru atau macam mana?

Nasib agama, bangsa dan negara kita menjadi pertaruhan. Jika kita lalai apa lagi terpengaruh dengan janji-janji manis dan helah politik mereka yang rakus mabukkan kuasa ini tatakala itu tergadailah apa yang kita pertahankan selama ini dan bersedialah melangkah masuk ke Malaysia baru yang lebih sekular dan liberal dengan DAP parti yang paling dominan dan berkuasa di Putrajaya.

Katakan TIDAK pada DAP dan PH. Selamatkan Malaysia dengan memilih PAS. roslansms@gmail.com




Thursday, March 22, 2018

PAS sifar rasuah

Kalau kita lihat mana sahaja hasil kajian sosio politik semasa samada dari pihak pro pembangkang mahupun badan bebas, ternyata salah satu isu yang dikesan, yang sangat menganggu emosi para pengundi selain isu kenaikkan kos hidup dan suasana ekonomi adalah isu rasuah dan penyelewengan kuasa.

Isu kenaikkan kos hidup ini terlalu meruncing kerana ia menganggu kehidupan rakyat dan lebih membimbangkan lagi ia tidak kelihatan boleh banyak berubah melainkan rakyat sendiri bangkit melakukan perubahan. Kemarahan meluap-luap untuk melakukan perubahan secara besar-besaran inilah yang sangat dibimbangi Barisan Nasional.

Tambahan impak atau kesan paling besar isu ini sesungguhnya sangat terasa dikalangan segmen pengundi Melayu khasnya yang berpendapatan sederhana dan rendah termasuklah yang tinggal di bandar dan luar-luar bandar.

Selain isu kos hidup, satu lagi isu besar adalah isu rasuah dan salah guna kuasa. Jika dalam isu kos hidup, rata-rata jari di tuding ke arah BN sebagai punca utamanya, isu rasuah dan penyelwengan kuasa ini pula terbukti tidak hanya terbatas pada BN semata-mata.

Baru-baru ini di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low mendedahkan sesuatu yang  bukan hanya merisau dan membebankan BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke 14 ini, ia turut mendedahkan kelemahan blok pembangkang Pakatan Harapan. Menurut Datuk Paul sejumlah 92 tokoh dan pemimpin parti-parti politik sedang disiasat di bawah Akta SPRM 2009 atas pelbagai pertuduhan rasuah antara 2013 dan 2017.

Menurut beliau lagi antara 92 yang dimaksudkan itu, 71 adalah dari Barisan Nasional manakala baki 21 adalah dari Pakatan Harapan iaitu gabungan parti-parti PKR, DAP, Bersatu dan Pan.

Bermakna dalam isu rasuah kedua-dua pihak Barisan Nasional dan Pakatan Harapan tidak terkecuali selain PAS yang langsung tidak disebut.

Jika rasuah merupakan satu isu besar buat para pengundi menjelang PRU ke 14 ini kerana ianya melibatkan integriti dan kewibawaan seseorang pemimpin mahupun partinya, maka sudah pasti rakyat bukan hanya akan menolak BN tetapi juga PH.

Rupa-rupanya sejak memerintah Pulau Pinang dan Selangor, pemimpin-pemimpin dan tokoh PH juga terpalit dengan rasuah dan ini harus diberi perhatian oleh rakyat. Di Pulau Pinang umpamanya Ketua Menteri dan EXCOnya masing-masing menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah belum pun cukup dua penggal berkuasa.

Seorang bekas Pegawai Khas di Pejabat Menteri Besar Selangor yang kini masih aktif berpolitik dalam PKR pernah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan kerana kesalah menipu. Begitu juga seorang pemimpin AMK PKR di Selangor turut disaisat sebelum ini oleh SPRM kerana meiliki kekayaan luar biasa. Sementara itu seorang anak saudara pemimpin kanan PKR Selangor turut ditahan reman oleh SPRM kerana disiasat dalam kes perlombongan pasir haram di negeri berkenaan.

Wakaupun kes-kes yang disebut Datuk Paul itu masih dalam siasatan SPRM, ternyata dalam isu rasuah dan penyelewengan kuasa, sama sahaja BN dan PH tidak terkecuali dan hakikat ini harus menjadi faktor buat para pengundi sebelum membuang undi dalam PRU ke 14 nanti.

Anehnya PAS satu-satu parti yang terkecuali dari sebarang kes berkaitan dengan SPRM. Ini bukan reka-rekaan tetapi ini hakikat dan rekod yang dibentang membuktikan kebenaran ini. Sudah pasti kenyataan ini meletakkan PAS dan pimpinannya di satu kategori kepimpinan yang penuh berintegriti dan berwibawa berbanding dengan pimpinan parti-parti lain.

Jika rakyat mahukan wakil-wakilnya terdiri dari kalangan mereka yang bersih dan bebas rasuah, berdasarkan pendedahan Datuk Paul ini, PAS lah satu-satunya opsyen yang ada, kerana walaupun memerintah negeri Kelantan sejak 1990 dan bersama dalam kerajaan campuran Selangor sejak 2008, tidak ada seoraang pun pemimpin atau tokoh PAS yang disiasat oleh SPRM.

Dan terbaru jika rakyat juga bimbang pada sebarang bentuk salah guna dan penyelwengan kuasa dalam kerajaan, sebagaimana yang dijuarai BN sebelum ini, maka apa yang hari ini berlaku di Selangor turut perlu diberi perhatian. Menurut pendedahan Pesuruhjaya PAS Selangor Ustaz Sallehin Mukhyi, Menteri Besar PKR di negeri berkenaan telah menahan peruntukkan buat 13 ADUN PAS sejak Januari 2018.

Atas isu politik lantaran keenganan PAS duduk berunding dengan PKR dalam isu pembahagian kerusi di Selangor, maka atas tekanan politik 13 ADUN PAS ini menjadi mangsa dengan dikorban peruntukkan mereka yang bernilai RM800,000 setahun.

Sedangkan umum  mengetahui wang peruntukkan ini bukannya untuk belanja peribadi sebaliknya untuk projek-projek dan aktiviti kemasyarakatan yang sepatutnya memberi manfaat dan membantu rakyat.

Akibat mainan politik ini, sejumlah 660, 000 pengundi di kesemua 13 DUN telah dinafikan hak mereka dan ini terutamanya melibatkan 62% daripadanya para pengundi Melayu dari Sabak Bernam hinggalah ke Hulu Selangor dan Sepang.

Para pengundi PRU ke 14 ini perlu membuat keputusan dengan bijak dan penuh hikmah. Tolak mereka yang rasuah dan cenderung menyelah-guna kuasa. Negara dan rakyat memerlukan pemimpin yang berintegriti dan berwibawa untuk memimpin mereka dan membawa negara ke arah kemakmuran dan keadilan buat semua.

Jangan kita terbuai dan terbawa-bawa oleh sentimen kosong yang akhirnya merugikan rakyat dan negara. Semoga Malaysia kekal sejahtera dengan saf kepimpinan yang bersih dan peduli rakyat serta paling penting bertaqwa kepada Allah swt.

Monday, March 19, 2018

Tsunami Melayu perlu karamkan DAP

Ahli Parlimen Tanjong dari DAP ini tiada hak apa sekalipun untuk campurtangan urusan orang Islam.

Ng Wei Aik, apa yang kamu tahu tentang ajaran Islam sedang parti kamu selama ini bekerja menentang dan menolak Islam.

Kebiadaban Ng melabel PAS sebagai " Parti Ajaran Sesat" sewajarnya membuka mata para pengundi Islam akan betapa kurang ajarnya DAP dan pemimpin mereka. Demi politik mereka sanggup bersuara dalam isu agama yang tiada bersangkutan dengan mereka.

Qunut Nazilah yang dimaksudkan adalah urusan orang Islam. Kalau ada kurang atau cacat ia, biar ia dibincang dan dibahas sesama Muslim, kamu jangan campur dan tunjuk pandai.

Bagi saya "tsunami Melayu" yang bakal bergelora dalam PRU14 nanti jangan hanya dicetuskan untuk menghanyutkan yang tempang dan pincang sahaja. Ia wajar dibangkitkan untuk turut menenggelam dan melemaskan sekali DAP yang terlalu bongkak dan tegar menentang dan menghina Islam kebelakangan ini.

Saturday, March 17, 2018

Menunggu janji Allah swt

Semasa saya menjawat jawatan Setiausaha Akhbar Presiden PAS, kira-kira 10 tahun lalu, masih segar diingatan saya betapa seorang “pakar” PAS ketika itu, telah memberikan taklimat panjang lebar kepada Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang darihal dapatan beliau berkenaan prospek PAS dalam PRU ke 12 ketika itu.
 
Pra PRU ke 12, PAS bertahan tipis di Kelantan dan hanya punya 7 kerusi Parlimen.

Menurut pakar berkenaan yang kini telah melompat ke PAN, PAS yang terus mempromosi pembentukan Negara Islam dan perlaksanaan hukum Islam, akan tewas teruk dalam PRU 2008 dan malah akan kecundang di Kelantan, satu-satuanya bentengnya di Malaysia.

Saya yang hadir taklimat berkenaan berasa cemas ketika itu, dan hampir terpengaruh dengan lontaran pakar berkenaan sehinggalah Tuan Guru Presiden dengan yakin menyebut, jangan sekali-kali lupa akan bantuan Allah swt. Bermakna apa sahaja kajian dan penyelidikan kita, sebagai sebuah gerakan Islam kita perlu sentiasa padan dan selaraskan ia dengan janji-jani Allah swt dan Rasul Nya saw.

Akhirnya ternyata, PRU ke 12, bukan sahaja PAS berjaya mempertahankan Kelantan dengan majoriti yang lebih kukuh, malah PAS cemerlang dan memerintah di Kedah selain berjaya membentuk kerajaan campuran bersama rakan-rakannya di Perak dan Selangor serta Pulau Pinang.

Pakar berkenaan jauh tersasar ramalannya malah beliau sendiri dalam PRU ke 12 itu rupanya berjaya memenangi sebuah kerusi Parlimen.

Demikianlah, terbukti bukan mudah mahu membaca isi hati, pemikiran dan kecenderungan pengundi di Malaysia khususnya para pengundi Melayu/ Islam. Dalam negara kita yang demokratik ini mereka mungkin kelihatan senang dan terbuka, namun ada perkara-perkara yang boleh mereka kongsikan, dan ada juga yang mereka pendam di lubuk hati. Kerana itu siapa pun boleh meramal, tetapi akhirnya keputusan muktamad adalah di tangan rakyat hasil dari gerakan dan perancangan Allah swt.

Ada sebahagian para pengkaji sengaja mahu mempengaruhi mood dan sentimen rakyat sehingga bersedia memanipulasi dapatan asalkan ianya memanfaatkan mereka dan kelompok mereka. Atas hal itu, rakyat khususnya para pengundi perlu berhati-hati dan jangan termakan atau masuk perangkap mereka.

Terbaru, badan yang dipelopori ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Invoke Malaysia, mengeluarkan dapatan kajian mereka bahawa PRU ke 14 ini Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, PBBM dan Pan, kononnya akan berjaya menguasai pemerintahan di 5 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor dan Kedah. Manakala di dua buah negeri lain,iaitu Melaka dan Negeri Sembilan akan berlaku situasi “hung state” dimana tiada satu blok menguasai majoriti.

BN akan hanya berjaya mempertahankan Terengganu, Pahang dan Perlis serta merampas Kelantan.

Bagi kerusi Parlimen pula PH akan memenangi 89 kerusi manakala BN 76 tidak termasuk baki 57 kerusi di Sabah dan Sarawak. Yang menariknya, Invoke menyatakan bahawa PAS, tidak akan memenangi walau satu kerusi Parlimen pun dan malah akan kecundang di Kelantan.

Dapatan Invoke ini mengingatkan saya kepada dapatan “pakar” PAS yang kini sudah melompat ke Pan sebagaimana yang saya sebutkan di awal tadi.

Mustahi Rafizi mahu beri kredit pada PAS walaupun angka-angka mungkin memihak ke PAS. Bagi beliau memberikan gambaran buruk buat nasib PAS bertujuan menjauhkan pengundi dari PAS seterusnya melonjakkan sokongan orang ke kelompok beliau.

Dapatan beliau meletakkan PH menguasai 14.1% sokongan pengundi Melayu sejak Febuari tahun ini dan ia bakal meningkat dari bulan ke bulan. Bolehkah dengan 14.1% itu PH menang di Kedah dan menguasai Selangor, Johor dan Perak dimana kerusi-kerusi bukan Melayu sahaja tidak cukup untuk membentuk kerajaan?

Atau kiranya PRU diadakan dalam bulan Mei 2018, adakah sokongan Melayu pada PH itu bakal melonjak dari 14.1% pada bulan Febuari ke 42.3% iaitu lonjakkan tambahan pada skala 2 kali ganda?

Sesungguhnya angan-angan Invoke itu terlalu longgar, tambah mereka bukannya badan bebas yang boleh terbit dengan kajian yang tidak berat sebelah bagi meyakinkan masyarakat ramai.

Biarlah PH terpesona dan selesa dengan kajian Invoke itu. Mungkin mereka termasuklah parti setahun jagung umpama Bersatu dan Pan sudah melonjak-lonjak tidak sabar berebut jawatan Exco, Menteri dan Perdana Menteri kerana Rafizi dakwa mereka boleh ke situ.

Apapun bagi kita, realitinya rakyat jelata hari ini sungguh tertekan dan tersiksa hidup mereka lantaran kenaikkan kos hidup yang membebankan dan suasana ekonomi yang tidak menentu. Mereka hilang keyakinan dengan BN kerana itu ramai menjangkakan bakal berlaku “Tsunami Melayu”.

Para pengundi Melayu akan menolak BN tetapi sebagaimana dapatan beberapa pengkaji bebas hari ini, kerana adanya beberapa elemen “bekas” BN dalam PH, yang rekod kepincangan dan ketempangan mereka yang lampau jauh lebih mudharat dari kepimpinan BN hari ini, maka “Tsunami” itu tidak akan condong ke PH tetapi sebaliknya bakal memberi manfaat dan untung buat PAS yang bebas unsur mungkar dan rekod buruk.

Biarlah PH dan komponannya terjun dengan labu-labu Rafizi dan terus hanyut ikut mimpi mereka, yang pentingnya perahu ini terus belayar ke destinasi, menyelamtkan rakyat dan negara dari kepincangan yang ada dan memberi harapan kepada kesejahteran yang lebih bermakna dan berkekalan melalui PAS dan Gagasan Sejahtera. roslansms@gmail.com



 


Masakan rakyat Kelantan mahu jatuhkan kerajaan ini

Melihat kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan di Padang Perdana, Kota Bharu malam tadi sempena Himpunan Bangkit Pertahan Kelantan ia sesungguhnya beri isyarat jelas kepada 2  kelompok politik.

Pertama buat BN. Zahid Hamidi tegaskan yang Umno kini bersedia menerajui Kelantan. Mungkin setelah peristiwa malam tadi Zahid perlu semak kembali angka-angkanya.

Kelihatan Umno bakal menhgigit jari sekali lagi.

Kedua buat PH yang begitu terpesona dan ghairah dengan dapatan Rafizi Ramli. Kata Rafizi Kelantan akan tumbang dan PAS tidak akan menang satu kerusi pun PRU 14 nanti.

Invoke perlu di "revoke" nampaknya.

Buat mereka ini fahamilah hati dan jiwa rakyat Kelantan.

Mereka kuat berpaut pada agama. PAS memerintah sebagai sebuah kerajaan Islam. Menobat dan memartabatkan Islam.

Rakyat Kelantan sekali-kali tidak akan terlibat dalam meroboh dan memusnahkan sebuah kerajaan Islam. Sebaliknya siapa sahaja mengancam memusnahkan parti dan kerajaan ini akan berhadapan dengan tentangan hebat keturunan dan cucu cicit Tok Janggut ini.

Bangkit pertahankan Kelantan.

Friday, March 09, 2018

Bumi dipijak milik orang (lagu siapa?)


Jangan rasis atau perkauman. Hiduplah bersatu-padu, rukun dan damai. Toleransi antara kaum sangat diharapkan. Tak perlulah diperjuangkan kepentingan satu-satu kaum.

Puluhan tahun Umno berkuasa di tanahair. Pelbagai program dan dasar diperkenalkan untuk mengukuhkan ekonomi Bumiputera supaya tidak ketinggalan dalam penguasaan kekayaan negara.

Tahniah senarai individu 10 terkaya di Malaysia 2018 menurut Forbes tidak ada seorang pun Bumiputera atau anak Melayu.

Terkaya dan di tangga pertama,Tan Sri Robert Kuok dengan kekayaan bernilai USD14.8 bilion. Di tangga ke 10 Kuan Kam Hon dengan kekayaan bernilai USD2.5 bilion.

Mana anak Bumiputera atau Melayu yang mengorbankan kepentingan diri dan penguasaan tanahair pada 1957, sanggup berkongsi tanah bertuah ini dengan saudara-saudara baru dari tanah asing demi memperolehi kemerdekaan negara?

Umno sekadar melagukan "Bumi dipijak milik orang .....".

Ini bukan rasis dan adu domba. Ini panggilan dari hati kecil agar kita insaf nasib dan masa depan kita. Ke mana kita selepas ini?

Bayangkan jika 1 atau 5 peratus kekayaan terkumpul mereka berjumlah USD 56.8 bilion diserahkan untuk tabung pilihanraya satu-satu parti tertentu?!

Kuasa ekonomi jauh terlepas. Kuasa politik pun begitukah agaknya?

Moga pagi Jumaat ini membangkitkan keinsafan dan kesedaran.

Thursday, March 08, 2018

BN dan PH dua-dua bermasalah

Semakin hampir pilihanraya umum semakin rancak kelihatan pelbagai pihak mensasarkan serangan dan “peluru” mereka terhadap PAS.

Umno dan kaum kerabatnya di dalam Barisan Nasional lantaran sebagai musuh politik tradisi PAS sudah semestinya berterusan melancarkan serangan ke atas PAS. Kerajaan negeri Kelantan dikritik dan diperendah selain mensasarkan Adun-adun PAS tertentu di Selangor dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan.

Demikian juga tidak terkecuali, musuh politik baru PAS, Pakatan Harapan. Apa sahaja liputan berkenaan PH, pasti akan melibatkan serangan dan singgungan terhadap PAS. PAS bagaikan parti wajib diserang atas apa sahaja isu dan perkembangan.

Permusuhan ketat ini sesungguhnya bukan berpunca dari kelemahan PAS, tetapi ia dilancarkan hakikatnya kerana PAS merupakan sebuah parti yang mengancam kedudukan dan kelangsungan tiap-tiap mereka dalam politik tanahair.

PAS tidak boleh terus dibiarkan menguasai sokongan dan dokongan rakyat. Jika dibiarkan pengaruhnya akan semakin menebal, dan rakyat akan makin cenderung pada PAS sehingga akhirnya nanti PAS terbit sebagai juara dan pilihan utama rakyat.

BN dan Umno yang menjadi punca utama kepada penderitaan dan permasalahan rakyat pada hari ini, seakan terperangkap dengan ketempangan dan kepincangan mereka. Rakyat semakin bosan dan menolak mereka walaupun kebelakangan ini pelbagai penambah-baikan kononnya mahu diperkenal untuk memulihkan wajah mereka yang sedia tercalar dan hodoh itu.

Masalahnya “stigma” yang berparut di wajah mereka sukar dimaafkan rakyat. Imbuhan dan janji-janji yang ditaburkan khususnya kebelakangan ini mungkin menarik dan mempersonakan rakyat yang sedang susah menderita, namun jangan sangka ia boleh merobah sentimen kebencian mereka yang sudah membara menunggu masa meletup.

PH pula terus cuba mengaitkan PAS dengan Umno. Lagu-lagu basi “unity government” diulang-ulang seakan boleh mempengaruhi rakyat agar meninggalkan PAS dan menyokong mereka.

Tidak cukup dengan itu, PAS difitnah menerima wang dan bantuan dari Umno dengan harapan tohmahan ini boleh membangkitkan kebencian rakyat pada PAS. Boleh percayakah rakyat dengan tohmahan murahan seumpama ini?

Sedang hakikatnya PH sendiri penuh berkudis. Kes rasuah melibatkan beberapa pimpinan DAP dan kalangan aktivis PKR mula mengikis apa sahaja keyakinan rakyat yang ada pada mereka. Tambah dengan kehadiran beberapa tokoh bekas Umno dalam PH yang rakyat sangat tahu  menanggung pelbagai masalah semasa mereka berkuasa dahulu turut tidak membantu.

Kerana pelbagai permasalahan inilah maka bagi BN dan PH, PAS perlu dilanyak dan jangan dibiarkan mengatasi mereka dari sudut kepercayaan dan sokongan rakyat. Tambah dengan pilihanraya bakal menjelang, PAS yang berintegriti dan bersih berbanding dengan mereka yang kotor dan bermasalah pasti akan jadi pilihan utama para pengundi.

Rakyat perlu sedar bahawa mereka perlu berwaspada dalam membuat keputusan ketika pilihanraya umum ke 14 nanti. Dengan kehidupan yang sungguh tertekan lantaran kenaikkan kos hidup yang sungguh membebankan hari ini, mereka perlu berani membuat perubahan.

Barisan Nasional ternyata merupakan punca yang membawa kepada krisis ekonomi yang melanda rakyat dan negara hari ini. Rasuah, salahguna kuasa, kronisma dan nepotisma melahirkan pentadbiran negara yang pincang dan tempang yang mengakibatkan rakyat merana hari ini. Rakyat yang bijak tidak akan mengulangi memilih bahana umpama BN ini.

Begitu juga PH sebagaimana yang kita nyatakan turut terpalit dengan isu integriti dan malah mahu menonjolkan pimpinan yang satu ketika dahlu menyumbang kepada ketempangan dan kepincangan yang BN warisi.

Rakyat perlu berlaku adil dalam membuat pilihan. Pilihlah parti yang terbukti punya rekod yang bersih dan malah berjaya melahirkan saf kepimpinan yang bertaqwa, berintegriti dan bersih.

Rekod PAS tidak menipu. Di Kelantan sejak 1990, dan kemudian di Selangor dalam kerajaan campuran sejak 2008, wakil rakyat dan pimpinan PAS semuanya cemerlang dan tidak terjerumus dalam aktiviti mungkar yang memudaratkan rakyat.

Begitu juga sebenarnya sepenggal memerintah Terengganu pada tahun 1999 dan Kedah 2008.

PAS melalui disiplin dan adabanya telah berjaya melahirkan pemimpin yang berkualiti yang tiada pada mana-mana parti samada dari kalangan BN mahupun PH.

PRU ke 14 nanti, PAS lah sewajarnya dikaji, diperhatikan dan diberi kepercayaan kerana ternyata jika kita perlukan kepimpinan yang dapat menyelematkan negara dan rakyat, bukan BN atau PH tetapi PAS lah sepatutunya menjadi pilihan kita semua.

Islam menjanjikan keamanan, keselamatan, keadilan dan kesejahteraan buat semua. Jangan kita perjudikan nasib serta masa depan kita dan negara dengan memilih mereka yang mungkar atau punya kecenderungan untuk mungkar dan memusnahkan negara. Jangan juga kerana menerima sogokan wang atau barangan maka kita gadaikan apa sahaja maruah yang berbaki pada diri kita.

Ayuh bersama kita membawa kesejahteraan buat rakyat Malaysia dengan memastikan seluruh rakyat memberi undi pada PAS PRU ke 14 nanti. roslansms@gmail.com

Friday, February 23, 2018

Kelantan buktikan kecemerlangan pemerintahan PAS

Seorang pengarang kanan dalam akhbar harian The Star baru-baru ini telah memberikan analisis beliau berkenaan keadaan politik di negeri Kelantan dan bacaan beliau terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke 14 kelak.

Beliau berpandangan PRU ke 14 nanti di negeri berkenaan hanya akan tertumpu pada pertembungan antara dua kuasa politik tradisi iaitu Umno dan PAS. Bagi beliau parti-parti lain termasuklah PBBM dan Pan akan menghadapi laluan sukar.

Menurutnya lagi PBBM yang dikepalai Tun Dr Mahahtir akan menempuh jalan sukar kerana Tun tidak mempunyai rekod yang baik dikalangan rakyat Kelantan. Sebahagian besar permasalahan yang melanda negeri berkenaan disumbang oleh Tun terutama sepanjang 22 tahun beliau menjadi PM dahulu yang banyak menekan negeri dan rakyat berkenaan.

Pan juga dijangka memiliki nasib yang sama lantaran permasalahan  pimpinan mereka dengan Istana Kelantan. Pan selaku parti serpihan PAS hanya dijangka mengikis di sini-sana pengaruh PAS tetapi tidak mampu merampas kuasa di Kelantan sebagaimana digembar-gemburkan.

Atas itu pengarang berkenaan membuat kesimpulan besar kemungkinan Kelantan akan bertukar kuasa dengan rakyat negerinya memberikan kembali kuasa kepada Umno dan BN setelah hilang genggaman kuasa lebih 28 tahun lalu.

Tiada alasan dan hujah kukuh dikemukakan. Beliau sekadar memetik isu pembangunan yang kononnya ketandusan di Kelantan selain ketiadaan Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz sebagai satu faktor penyumbang kepada kejatuhan PAS, seolah tanpa Tok Guru PAS tidak mampu mengekalkan kuasanya.

Itu hujah dan pandangan beliau. Mungkin atas arahan atau sebab tertentu beliau sengaja menyepi dan menyembunyikan beberapa pencapaian besar kerajaan negeri PAS yang tidak mampu diperolehi Umno BN sebelum ini.

Beliau gagal mengenengahkan bahawa kerajaan negeri Kelantan diiktiraf sebagai salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai rekod aspek pengurusan yang terbaik. Pada tahun 2017 kerajaan negeri yang diketuai PAS memperolehi pencapaian kewangan terbaik dalam tempuh 26 tahun pemerintahannya.

Kerajaan negeri telah berjaya menjimatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM2.9 juta pada tahun 2017 berbanding 2016 dan berjaya mencatatkan lebihan atau “surplus” sebanyak RM38.76 juta pada tahun 2017 berbanding defisit RM33.47 juta pada tahun 2016.

Malah hasil kerajaan negeri sesungguhnya meningkat dari RM497.20 juta pada tahun 2016 ke RM566.52juta iaitu peningkatan sebanyak RM69.32 juta.

Bagi pengarang berkenaan mungkin apa yang dinyatakan ini tidak penting, tetapi buat rakyat Kelantan dan para pemerhati politik serta rakyat Malaysia umumnya inilah bukti kekuatan parti memerintah dalam mengeuruskan sebuah negeri tambahan berjhadapan dengan pelbagai tekanan dan kekangan dari pihak Persekutuan terutama sepanjang 22 tahun pemerintahan Tun Dr Mahahthir dulu.

Kemampuan ini menunjukkan PAS berjaya melahirkan saf kepimpinan negeri yang dinamik, berintegriti dan paling penting bertaqwa sehingga sanggup dan mampu meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan mana-mana pihak, kroni atau individu kerana mentaati titah perintah Allah swt.

Inilah kekuatan unik yang melonjakkan PAS sebagai satu-satu parti politik yang menjadi tumpuan dan perhatian ramai, terutama disaat dan ketika rakyat dan negara menghadapi pelbagai ujian dan tekanan hasil dari keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Kelantan melalui kepimpinan ulamak yang diwarisi dari zaman Almarhum Tok Guru sehinggalah kini ke era Ustaz Dato Ahmad Yakob, peewaris yang ditunjuk sendiri oleh Almarhum Tok Guru, ternyata berjaya menzahirkan kepimpinan Islam yang menjadi kebangaan semua umat Islam bukan hanya di Kelantan malah seluruh negara.

Di Kelantan tiada kebimbangan tentang ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan kerana Bumi Serambi Mekah ini melalui PAS telah melahirkan modal insan khususnya disaf kepimpinan negeri yang berkualiti dan mampu memacu Kelantan menjadi sebuah negeri yang bersih dan bebas rasuah.

Kerajaan negeri yang berintegriti seumpama ini telah menarik minat para pelabur dan pemaju, kerana tiada lagi sogokkan bawah meja atau komisyen gelap yang perlu dibelanjakan untuk masuk ke negeri ini.

Pembangunan hartanah dan gedung-gedung serta kompleks membeli-belah dan pasaraya banyak menukar lanskap negeri Kelantan berbanding semasa ia di zaman BN dahulu, itu pun kerana kerajaan Persekutuan dipegang BN.

Apa pun kesimpulannya akhbar berkenaan berhak membiat apa sahaja bacaan dan tilikan politik sesuka mereka, hakikatnya rakyat Kelantan sendiri tahu kemana arah tuju dan haluan mereka. Di negeri-negeri lain pimpinan negeri berhadapan dengan pelbagai pertuduhan dan kes rasuah dan penyelewengan tetapi di Kelantan segalanya lancar dan bermoral.

Masakan rakyat Kelantan mahu kembali ke pangkuan Umno yang telah mereka kenal berdekad sebelum ini apatah lagi Pakatan Harapan yang kini dinaungi Tun Dr Mahathir yang punya rekod tempang dan pincang yang tidak dapat dilupakan bukan sahaja ioleh rakyat Kelantan malah rakyat seluruh negara.

Kekallah PAS untuk terus memerintah Kelantan, biar kekal sehjahtera ia berpayungkan Islam sebagai model buat rakyat dan negeri lain malah negara kita Malaysia.Rakyat Kelantan tidak akan tertipu dan semoga begitulah rakyat Malaysia keseluruhannya dengan izin Allah swt. roslansms@gmail.com