Wednesday, July 11, 2018

PRK Sungai Kandis: Satu lawan satu

Pilihanraya Umum lebih dua bulan telah berlalu. Calon-calon yang 
memenangi kerusi-kerusi negeri mewakili parti masing-masing 
(termasuklah yang menang dan khianat serta lompat parti kemudiannya) 
telah pun mengangkat sumpah sebagi Ahli Dewan Negeri di negeri 
masing-masing, manakala yang memenangi kerusi Dewan Rakyat dijangka 
mengangkat sumpah mereka bulan Julai ini.

Barisan kepimpinan negeri-negeri telah pun dibentuk demikian juga diperingkat 
Persekutuan.

Walaupun tempoh mereka masih diperingkat terlalu awal, ditakdirkan Allah swt 
berlaku kekosongan di DUN Sg Kandis, Parlimen Kota Raja, Selangor apabila ADUN 
kawasan yang mewakili PH-PKR meninggal dunia.

Dengan kekosongan ini bermakna akan berlaku Pilihanraya Kecil iaitu yang pertama 
selepas PRU ke 14 dalam waktu yang terdekat.

Dengan perubahan besar pasca PRU ke 14 lalu sudah pasti “padang permainan” 
PRK ini berbeza sama-sekali dengan senario diwaktu sebelum dan semasa menghadapi 
PRU ke 14. Umum mengetahui “upset” terbesar PRU ke 14 adalah kalah dan tersungkurnya 
BN diperingkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri kecuali Perlis dan Pahang 
sahaja.

PAS walaupun tidak lagi sebahagian kerajaan di negeri Selangor, namun PRU ke 14 
membuktikan PAS masih relevan dan terus diterima rakyat khasnya di utara Semenanjung dan 
di Pahang serta Pantai Timur Semenanjung. Walaupun PH cemerlang di Pantai Barat dan Johor 
 namun di Kelantan dan Terengganu PH gagal memenangi walau satu kerusi DUN mahupun 
Parlimen dan PAS berjaya mempertahankan Kelantan serta menawan kembali Terengganu.

Ternyata politik Malaysia terbelah pada 3 penjuru sokongan iaitu PH, BN dan PAS yang 
menganggotai Gagasan Sejahtera, namun pasca PRU 14 baru-baru ini, BN khasnya Umno teruk 
“tercedera” dengan parti-parti komponannya berderu-deru berpaling tadah menjauhi gabungan 
tersebut yang kini hanya dianggotai Umno, MCA dan MIC, itupun entah berapa lama boleh bertahan.

Umno sendiri terus goncang apabila berlaku pengkhianatan dalam parti, dan pertandingan peringkat 
 kepimpinan baru-baru ini melihatkan parti Melayu tertua dalam negara ini terus berhadapan dengan 
pelbagai masalah dan delima.

Dan kini bakal berlaku pula PRK di DUN Sg Kandis.

Sg Kandis mempunyai 50,800 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu merupakan pengundi 
terbesarnya iaitu 73.11% diikuti India 14.7% dan Cina 12.8%. PRU ke 14 lalu meyaksikan berlaku 
pertandingan 4 penjuru di DUN ini iaitu antara calon PAS, PH-PKR, BN-Umno, PAS dan PRM. 
Calon PH Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie menang dengan majoriti 12,480 undi.

Ternyata sebagaimana di kerusi-kerusi DUN yang lain yang majoriti pengundi Melayu di Selangor, 
pertandingan 3 penjuru atau lebih antara calon-calon PH, BN dan PAS telah menyaksikan sokongan 
pengundi Melayu itu berpecah tiga.

Kerana itu bagi menghadapi PRK Sg Kandis kali ini PAS melalui Mesyuarat Jawatankausa Pusatnya 
telah memutuskan hanya akan meletakkan calon kiranya berlaku pertandingan satu lawan satu iaitu 
antara calon PH dan PAS. Sikap ini penting kerana jika berulang pertandingan tiga atau lebih penjuru 
maka besar kemungkinan keputusan PRU 14 akan berulang kembali dan PH akan menang mudah.

Umno walaupun memperolehi 11,518 undi di Sg Kandis pada PRU14 lalu, iaitu kedua terbesar, namun
 ia hari ini berbeza dari Umno sebelum PRU 14. Umno hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah 
dan krisis, mereka ditolak rakyat pada PRU lalu dan bekas Presidennya pasca PRU ini telah diseret ke 
mahkamah dan akan menghadapi pelbagai pertuduhan bersabit skandal 1MDB yang banyak mencoteng 
arang ke wajah Umno.

Akaun Umno diperingkat pusat dan beberapa negeri termasuk Selangor pun telah dibeku pihak berkuasa 
yang sudah pasti melumpuhkan operasi Umno.

Lantaran itu, PRK Sg Kandis sepatutunya bukanlah masa sesuai buat Umno sertai. Dan tepatlah keputusan 
PAS Pusat bahawa sewajarnya PAS lah diberi laluan untuk menghadapi PH dalam PRK ini memandangkan 
PAS kekal relevan dan punya rekod yang baik serta masih boleh diterima rakyat, tidak seperti Umno diwaktu ini.

Hari ini setelah 2 bulan berkuasa, beberapa dasar dan program serta tindakan yang diambil kerajaan PH samada 
diperingkat Persekutuan mahupun Negeri Selangor mula digusari rakyat dan mula dipertikaikan.

PH menang Dewan Negeri Selangor pada PRU 14 lalu dengan begitu selesa iaitu menguasai 51 dari 56 kerusi 
DUN. BN-Umno menang 3 kerusi dan PAS cuma 1. Oleh itu PRK Sg Kandis ini adalah peluang buat rakyat untuk 
melontarkan wakil yang dapat bersuara mempertahan dan memperjuangkan hak dan kepentingan mereka agar tidak 
dieksploitasi dan didominasi oleh PH yang punya penguasaan dua pertiga di Dewan Negeri.

PAS dengan rekodnya yang diketahui rakyat Selangor berupaya menjadi benteng suara rakyat khasnya dalam 
mempertahankan kepentingan Melayu Islam sebagaimana yang pernah ia lakukan sejak PRU 2008 semasa di dalam kerajaan.

Semoga pihak lain khasnya Umno berbesar hati memberi laluan kepada PAS dalam PRK ini agar PAS dapat mengembeling 
kekuatannya menghadapi calon PH-PKR. Namun jika opsyen ini tidak berhasil, maka sebagaimana ditegaskan PAS Pusat, ketika 
itu suatu keputusan drastik perlu diambil demi kelangsungan masa depan dan perjuangan PAS.

No comments: