Monday, September 28, 2015

Takkan roboh kerajaan Selangor ini

Saya terpanggil untuk memberi ulasan apabila seorang rakan memberitahu bahawa seorang bekas aktivis PAS ada mengusulkan agar PAS keluar dari kerajaan Selangor ekoran perkembangan politik terbaru yang melibatkan pakatan pembangkang.

Siapa bekas aktivis itu tanya saya.

Mohd Riza kamaruddin kata rakan tadi?

Mohd Riza siapa? Dimana terbitnya usul beliau itu tanya saya lagi.

Di Utusan Malaysia jawap rakan tadi.

Patutlah tak kenal kata saya. Lalu kami berdua ketawa.

Tolak tepilah siapa Mohd Riza yang mendakwa dirinya bekas aktivis PAS itu, kita terus ke usul beliau iaitu PAS wajar keluar dari kerajaan Selangor dan jadi pembangkang bagi membuktikan PAS tidak lagi boleh diperkudakan oleh DAP, PKR mahu pun parti serpihannya sendiri, Parti Amanah Negara (Amanah).

Adakah PAS kuda DAP dan PKR kerana berada dala kerajaan?

Orang seperti Mohd Riza perlu baca penegasan Dato Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sebelum ini bahawa kerajaan Selangor bawah pentadbirannya adalah kerajaan Pakatan Rakyat yang telah diberi mandat oleh rakyat Selangor. Azmin tidak berhasrat merombak kerajaan ini.

DAP dan PAS mungkin sudah tidak sehaluan, tetapi demi memikul amanah mandat yang telah diberi rakyat, kerajaan ini perlu terus diterajui. Dan teraju pilihan rakyat pada PRU 2013 dahulu adalah PKR, PAS dan DAP dengan berketuakan MB dari PKR.

Fabrik pembentukan sebuah kerajaan sungguh komplek dan ia melibatkan bukan hanya parti yang emnang tetapi lebih penting lagi rakyat, kakitangan kerajaan dan istana. Kuasa politik yang membentuk kerajaan tidak mudah dirongkai begitu sahaja apalagi dengan usul dari kononnya bekas aktivis yang entah dari mana datangnya.

Saya percaya bukan hanya PAS malah PKR dan DAP menyedari hakikat ini kerana itu, kerajaan ini terus bertahan walaupun antara PAS dan DAP sudah tiada lagi hubungan.
Inilah pertanggungjawaban namanya.

Semasa krisis MB Selangor dahulu, 4 orang EXCO PAS bersama Tan Sri Khalid bertaut mempertahankan kerajaan ini. Ketika itu tiada pun kuda yang mahu ditunggang atau menunggang?!

Kerajaan ini tidak perlu dirobohkan semata-mata kerana dua parti besar yang membentuknya telah bertelagah. Lebih-lebih lagi kalau sekadar Mohd Riza ditunggangi Utusan Malaysia yang mencadangkannya.

Anggotanya boleh bertelagah tetapi didalam kerajaan mereka tekun memikul tanggungjawab dan setia pada mandate yang diberikan rakyat. Sehingga suatu formula baru difikirkan oleh parti-parti yang berkepentingan atau ianya berlanjutan sehingga tamat tempoh kerajaan ini, tidak perlulah bermimpi mahu lihat ia roboh dan dirobohkan.

PAS terus berada di dalam kerajaan sebagai bukti ia bukan tunggangan sesiapa malah begitulah juga yang lain.

Mungkin Utusan Malaysia boleh mengutip mereka yang lebih berwibawa dan berstatus dari Mohd Riza yang entah dari mana ni.

Wednesday, September 23, 2015

Pakatan pembangkang perlu pemimpin yang bijak

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2083 Edisi Jumaat muka F8

Ramai akui bahawa kedudukan Umno dan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sangat goyah dan rakyat semakin hilang keyakinan pada keupayaan Perdana Menteri untuk mengemudi Malaysia keluar dari pelbagai kemelut ekonomi dan politik yang tidak nampak jalan penyelesaiannya. 

Hari ini kritikkan terhadap kepimpinan Najib sebagai PM bukan hanya datang dari rakyat kebanyakkan malah kalangan pimpinan dan ahli-ahli Umno sendiri turut mempertikai kewibawaan beliau. Mana sahaja di kedai-kedai kopi, di pasar di majlis-majlis kenduri, setiap ada berkumpul rakyat Malaysia, mengkritik PM seakan satu topik wajib lantaran kekecewaan rakyat itu.

Di media sosial, tiada ruang pujian buat Najib kecuali cemuhan yang merupakan percikkan kemarahan rakyat. Kiranya media perdana Malaysia bebas sebenar-benarnya TV, radio dan akhbar media perdana juga pasti terpaksa memberi ruang, namun kawalan ketat terhadapnya sekurang-kurangnya menyelamatkan kedudukan Najib.

Dalam pada itu pihak pembangkang pula kelihatan masih tidak tersusun. Masih teraba-raba tidak seperti sebelumnya.

Lahir pula parti baru yang membariskan pengkhianat-pengkhianat PAS, tidak membantu dalam mengemaskan keudukan pembangkang untuk menghadapi musuh yang sedang tenat. Demikian juga sikap keras kepala DAP yang mahu mendominasi penentuan dasar dan haluan pembangkang, sesungguhnya menghampakan ramai.

Ahli-ahli PAS yang merupakan komponan terpenting dalam jentera pilihanraya PAS, jentera politik tersusun yang terbesar dan terbukit keberkesanannya dalam pakatan pembangkang sebelum ini, sangat kecewa dengan sikap beberapa kerat bekas pimpinan mereka yang telah mengkhianati perjuangan PAS dan menubuhkan pula parti baru.

Tindakan pihak pengkhianat ini membawa lari kerusi-kerusi yang dimenangi atas tiket PAS itu sangat disesali. Namun lebih disesali apabila secara terang-terangan DAP umpamanya terlibat secara langsung dalam memberi nyawa kepada parti baru ini. Manakala terdapat pula usaha untuk memberi pengiktirafan kepada parti ini tanpa langsung mengambil kira hati dan perasaan orang-orang PAS.

Seorang Wee Choo Keong yang dipecat DAP pada tahun 1998 tetapi diterima sebagai ahli oleh PKR dan kemudiannya menjadi calon dan memenangi keruis Parlimen Wangsa Maju atas tiket PKR, sudah pasti menghiris hati ahli-ahli DAP. Tambah sekarang beliau lompat pula dari PKR dan menjadi “BN friendly”.

Begitulah bengkaknya hati orang-orang PAS.

PAS telah menyatakan sikap tidak akan berkerjasama dengan parti baru ini. Mereka telah mengkhianati perjuangan PAS dan kepercayaan ahli-ahlinya. Lebih parah lagi mereka telah melanggar ikrar sumpah ataupun baiah yang dilafazkan atas nama Allah swt, perlanggaran yang mengakibatkan orang-orang PAS sekali-kali tidak akan menerima mereka.

Namun PAS bersedia bertahaluf dan berkerjasama dengan PKR setelah DAP memutuskan hubungan dengannya.

Di sinilah kefahaman masing-masing pihak diuji dan keupayaaan memelihara persahabatan menjadi pertaruhan.

Pakatan pembangkang hari ini mencari-cari pemimpin setaraf Tengku Razaleigh Hamzah yang memiliki karisma berupaya menyatukan parti-parti pembangkang yang berbagai ideologi ini untuk menghadapi Umno dan BN. Ku Li yang luas pengalaman politiknya sedar perbezaan ketara contohnya antara PAS dan DAP. Lalu beliau himpunkan mereka secara berasingan dengan beliau menjadi orang tengah setiap masa.

Bagi beliau pembangkang ini tidak boleh berpecah dan tidak boleh berlawan sesama sendiri jika serius mahu menghadapi BN.

Tertubuhlah Angkatan Perpaduan Ummah atau APU yang menggabungkan PAS, Semangat 46, Hamim dan Berjasa dan dalam waktu yang sama wujud Gagasan Rakyat iaitu gabungan Semangat 46, IPF, Parti Rakyat dan PBS. Kedua-dua komponan pembangkang ini dipandu oleh Ku Li bagi menghadapi BN dalam PRU 1990 dan 1995.

Hari ini PAS masih mahu menjalin hubungan dengan PKR manakala DAP hanya mahu berkerjasama dengan PKR dan tidak PAS. Sementara itu parti baru yang dimaksudkan itu cuba pula untuk mengemukakan dirinya sebagai alternatif bagi PAS untuk dipilih sebagai kawan oleh PKR dan DAP.

Dalam hal ini pakatan pembangkang perlukan ketua yang boleh menyatukan semua pihak sebagaimana Ku Li 25 tahun lalu.

Ketua tidak boleh kelihatan memihak kepada mana-mana parti. Ketua perlu terbuka dan perlu menerima kedua-dua parti tanpa bias. Di sinilah kefahaman, kebijaksanaan dan kematangan ketua tadi diuji. Di atas perbezaan kawan-kawan yang beliau akui, beliau tetap boleh menyatukan dan menjadi orang tengah demi agenda bersama yang lebih besar.

Buat masa ini bagi pakatan pembangkang Dato Seri Dr Wan Azizah adalah Ketua Pembangkang. Ini diiktiraf oleh PAS dan Dap. Oleh itu Kak Wan perlu memaparkan dirinya sebagai sebenar-benar ketua tanpa menghiris atau melukakan hati mana-mana pihak terutama memandangkan PAS dan Dap adalah kawan-kawan lama belaka.

Bagaimana Kak Wan mahu menyelesaikan krisis ini di sinilah ujian terbesarnya.

Kak Wan perlu faham bahawa PAS tidak pernah mengkhianati kawan-kawannya. Malah PAS telah banyak berkorban demi kawan-kawan. PKR dan Dap masing-masing tahu akan sikap dan pengorbanan PAS ini.

Hari ini PAS memilih untuk terus berkerjsama dengan rakan-rakan yang mahu berkerjasama dengannya. Bermakna hubungan politik buat masa ini bagi PAS hanyalah dengan PKR. 

Kebelakangan ini kita dengar akan dilancarkan pula Pakatan 2.0 kerana kononnya Pakatan Rakyat sebelum ini telah mati. Kak Wan sedang gigih mengusahakan Pakatan baru ini, tetapi adakah ianya satu-satu formula yang tinggal yang boleh menyatukan kesemua parti-parti pembangkang ini?

Masakan DAP mahu bermesra dengan Wee Choo Keong apabila beliau menyertai PKR dulu. Bagi DAP Choo Keong adalah pengkhianat. Begitulah juga buat PAS. Takkanlah mahu dipaksa PAS menerima bukan seorang Choo Keong tetapi satu parti yang penuh padat dengan mereka yang telah mengkhianati PAS.

Kak Wan diharapkan berupaya membongkar dan menyelongkar pelbagai ilmu politik untuk dapat mengekalkan parti-parti pembangkang yang bertelagah ini dengan beliau dan PKR sebagai orang tengah.

PAS sentiasa bersikap terbuka terutama dalam menghadapi musuh politik yang sama, namun kiranya tiada juga formula yang praktikal dan boleh diterima, dapat diusahakan, PAS sudah tegaskan bahawa ia bersedia berseorangan. Semoga pilihan terakhir ini dapat dielakkan oleh kebijaksanaan Kak Wan. 

Rakyat Malaysia melihat dan menunggu. roslansms@gmail.com

Masuk atau keluar penjara si Khir Toyo?

Berdolak-dalik kes Khir Toyo yang disabitkan oleh Mahkamah Tinggi terlibat dalam rasuah membabitkan pembelian banglo jutaan ringgit semasa beliau MB Selangor dahulu.

Pada 6 Disember 2010 beliau didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam. 8 Ogos 2011 iaitu 8 bulan kemudian barulah Mahkamah Tinggi meminta Khir membela diri apabila mendapati pihak pendakwaraya berjaya mengemukakan kes terhadap beliau.

23 Disember 2011, kira-kira setahun kemudian barulah Mahkamah Tinggi memutuskan beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman setahun penjara dan banglo berkenaan dirampas. Mahkamah memutuskan yang hukuman tersebut berkuatkuasa pada hari berkenaan iaitu "date of sentencing". Namun membenarkan digantung penghukuman sementara beliau merayu di mahakamh yang lebih tinggi.

30 Mei 2013, 2 tahun 5 bulan setelah dijatuhkan hukum di Mahkamah Tinggi barulah Mahkamah Rayuan menolak rayuan Khir. Namun Khir merayu pula ke Mahkamah Persekutuan.

Semalam Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah rayuan terakhir menolak rayuan Khir.

Khor pula merayu agar beliau tidak dipenjarakan dan sebaliknya bersedia memberikan khidmat rawatan pergigian percuma sebagai ganti. Maaf tetapi tak pernah pula saya dengar gantian hukuman seumpama ini menggantikan hukuman penjara.

Dan Mahkamah Persekutuan pula menyatakan hanya akan memutuskan rayuan baru itu selepas Hari Raya Haji iaitu 29 Sepetember nanti.

Persoalannya, akan masuk penjarakah Khir atau tidak? Saya mewakili orang kebanyakkan tidak tahu dan tidak faham.

Jika berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Disember 2011, iaitu 3 tahun 9 bulan yang lepas Khir sepatutnya menjalankan hukuman setahun penjara yang dijatuhkan ke atasnya itu berkuatkuasa "date of sentencing" Adakah "date of sentencing" itu 23 Disember 2011 atau semalam?

Jika ia 23 Disember 2011 bermakna Khir taj perlu masuk penjara kerana dah lebih 3 tahun berlalu. Tetapi jika semalam pun belum tentu Khir masuk penjara sebab dalam rayuannya semalam beliau minta untuk beri khidmat rawatan pergigian percuma menggantikan hukuman penjara.

Saya harap Mahkamah menetapkan "date of sentrencing" itu 29 September ini, dan kalau nak beri mukalah sangat pada Khir, minta dia beri khidmat percuma itu dalam penjara. Selangor tak perlu penjenayah rasuah yang beri khidmat percuma pergigian pada rakyatnya.

Cukuplah Malaysia menjadi sarkas dengan berbagai perkembangan politik kebelakangan ini.

Friday, September 18, 2015

PAS parti tunjang yang sentiasa relevan

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2081 Edisi Jumaat muka F8


Seawal 1980, John Funston, kini seorang penyelidik dan pensyarah di Universiti Kebangsaan Australia (ANU) telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “Malay politics in Malaysia – A study of Umno and PAS” yang menghuraikan berkenaan dua buah parti politik Melayu yang dominan di Malaysia

Kedua-dua buah parti yang ditubuhkan sebelum Merdeka inilah yang sejak dahulu sehingga kini bersaing untuk mendapatkan undi dan sokongan masyarakat Melayu. Seolah-olah pengundi  Melayu cuma berhadapan dengan dua pilihan setuap kali pilihanraya iaitu samada mengundi Umno atau PAS kerana kedua-dua parti inilah yang acapkali bersaing antara satu dengan lain untuk menguasai sokongan pengundi Melayu di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Menurut Dr Ismail Said dalam bukunya “Menegak agama membela bangsa – Perjuangan PAS 1951-1970” perbezaan ketara antara kedua buah parti Melayu ini adalah Umno sebuah parti politik yang diasaskan atas dasar kemelayuan semata-mata manakala PAS lahir lantaran dorongan jiwa keIslaman yang bersarang pada dada para ulamak yang mengasaskannya.

Pada tahun 1970, dengan jumlah penduduk Malaysia seramai 10.8 juta, peratus pengundi Melayu adalah seramai 44.32 peratus. Ia melebar 40 tahun kemudian iaitu pada tahun 2010 apabila dari jumlah penduduk seramai 28.9 juta peratusan pengundi Melayu meningkat kepada 55.07 peratus. Ini bermakna pengundi Melayu kekal sebagai pengundi majoriti di Malaysia dan terus berhadapan dengan dua pilihan iaitu samada PAS ataupun Umno.

Tidak dapat dinafikan sudah mula muncul parti-parti baru yang turut menawarkan calon-calon Melayu umpamanya Semangat 46 dari 1990-1995 dan kini PKR. Namun demikian bilangan mereka tidaklah sebesar persaingan antara PAS dan Umno, malah yang lain ini pun bertanding menentang Umno apabila PAS memilih utnuk memberi laluan.

Dalam Kongres Rakyat yang dilangsungkan Sabtu lalu, bekas veteran Umno Tan Sri Abd Kadir Sheikh Fadzir ketika membahaskan usul politik dan mengambil kira majoriti pengundi Melayu seperti di atas menjelaskan bahawa cuma ada dua parti tunjang di Malaysia, yakni yang mewakili majoriti pengundi, dan ia adalah PAS dan Umno.

Kata beliau mana-mana kelompok pun yang bercita-cita mahu menjadi kerajaan Malaysia, maka samada PAS ataupun Umno mesti berada dalam kelompok atau pakatan itu. Ini kerana PAS dan Umno itu masing-masing parti tunjang.

Tanpa tunjang ini, iaitu mewakili sokongan pengundi Melayu, maka tiada kerajaan yang stabil dapat dibentuk di Malaysia.

Sebuah firma penyelidikan “politweet”menjangkakan jumlah kerusi majoriti Melayu dan campuran  dalam negara akan meningkat pada Pilihanraya Umum ke 14 dan 15 nanti. Ini mengukuhkan lagi hujah Tan Sri Kadir bahawa Umno dan PAS tidak boleh ditolak ketepi oleh mana-mana kelompok atau pakatan kiranya mereka mahu menguasai Putrajaya.

Menurut “politweet” lagi dalam menganalisa sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat dalam PRU lalu, dalam kerabat PR, PAS lah yang telah memenangi kerusi Melayu terbanyak. Di Kelantan dan Terengganu PAS memenangi 14 kerusi parlimen dan mengekalkan peratusan sokongan yang tinggi.

Di Semenanjung Malaysia menurut “politweet” PAS mencatatkan sokongan tertinggi dikalangan pemuda Melayu dengan sejumlah 73% pemuda Melayu di kerusi-kerusi yang PAS tandingi cenderung kepada PAS.

Ini menunjukkan PAS tetap relevan dan penting khasnya kepada mana-mana pihak yang bercita-cita mahu menguasai Putrajaya.

Dalam suasana Pakatan Rakyat yang dikatakan telah terkubur dan Pakatan 2.0 yang dikatakan bakal lahir, peranan PAS seakan masih di awang-awangan. DAP telah mengeluarkan kenyataan keras tidak mahu sekali-kali berkerjasama dengan PAS manakala PKR pula yang lebih matang dan berpandangan jauh memutuskan untuk kekal berkerjasama dengan PAS.

Selain itu PAS pula ternyata tidak berkenan kiranya parti baru yang memuatkan para pengkhianatnya menganggotai pakatan yang baru nanti.

Parti baru berkenaan setakat ini masih bercelaru dengan masalah rumahtangganya sendiri dan malah dijangka tidak mampu menarik minta para pengundi yang keliru dan curiga dengan kehadiran mereka. Malah menurut “politweet” kiranya berlaku pertandingan tiga penjuru antara Umno, PAS dan parti baru ini, yang pasti mengaut keuntungan adalah Umno.

Ringkasnya ia lebih merupakan liabiliti buat pakatan pembangkang.

PAS sendiri masih mengkaji dan menimbangkan peranannya dalam pakatan yang baru ini atau sebarang bentuk kerjasama dengan rakan-rakan lamanya.

Apa pun hakikatnya PKR dan malah DAP memang punya dua pilihan. Mereka boleh memilih untuk memutuskan hubungan dengan PAS dan mendakap parti baru yang dianggotai oleh para pengkhianat PAS itu . Ataupun mereka boleh ketepikan perbezaan dengan PAS, khasnya DAP dan kembali bersama dengan PAS sebagaimana pakatan yang lampau.

PAS bersedia sendiri dan tidak pernah menolak untuk berkawan dengan sesiapa pun asalkan prinsip dan dasarnya dihormati oleh kawan-kawan.

Dengan pengiktirafan PAS sebagai parti tunjang, sekurang-kurangnya kawan-kawan perlulah membuka mata dan meraikan hakikat ini. Kiranya langkah seterusnya adalah mengulangi cubaan ke  Putrajaya pada PRU yang akan datang, maka apa bentuk pakatan pun yang dibina, mestilah melibatkan PAS.

PAS bukannya parti setahun jagung. Ia telah mengharungi politik Malaysia hampir selama usia Umno dan ia telah membina kekuatan sepanjang lebih 60 tahun dengan keahlian mencecah 1 juta orang. Suka tidak suka PAS lah yang telah membantu perjuangan Dato Seri Anwar Ibrahim sejak zaman reformasi sehingga tertubuhnya PKR dan PAS lah juga yang telah memecah tembok antara DAP dengan masyarakat Melayu sehingga boleh diterima setelah sekian lama Umno memburukkan mereka.

Keputusan kini bukan terletak pada PAS tetapi pada mereka yang mahu berkawan dengannya. Terima atau tolak terpulanglah, yang pasti PAS akan kekal memain perana mengejar dasar dan prinsip perjuangannya. roslansms@gmail.com