Rata-rata rasa saya orang-orang Melayu dewasa ini tidak
berminat atau mendukung politik perkauman. PAS saya tahu lebih tertumpu kepada
gerak-kerja dakwah Islam daripada isu perkauman sungguhpun keahliannya hampir
kesemuanya terdiri dari orang-orang Melayu kecuali sebilangan kecil Cina dan
India Muslim. Dan PAS juga mempunyai keahlian bersekutu dari kalangan bukan
Islam.
Umno walau pun parti Melayu, tetapi kerana lama sudah
menjalin ikatan dengan MCA dan MIC serta parti-parti bukan Melayu yang lain,
sudah lunak tuntutan kebangsaan Melayunya. Mereka cuma menjadi chauvinis hanya
apabila berbangkit satu-satu isu spesifik, jika tidak mereka akur dan diam
sahaja.
Adalah beberapa kerat NGO dan tokoh politik yang memang
keras tuntutan perkaumannya tetapi mereka ini tidak mencerminkan orang-orang
Melayu hari ini.
Ringkasnya orang Melayu ini bangsa yang mudah menerima dan
bertolak ansur. Lantaran sikap inilah maka pada detik sebelum kemerdekaan
kerajaan Biritish telah membuka kerakyatan Malaya kepada masyarakat bukan Melayu,
khasnya Cina dan India dengan beberapa syarat termasuk tempuh tinggal dan
kemahiran berbahasa Melayu.
Orang-orang Melayu yang rindukan kemerdekaan ketika itu
bersedia menerima rakan-rakan India dan Cina sebagai warganegara setaraf
mereka, tanpa bantahan atau protes apalagi rusuhan atau pertumpuhan darah.
Demikianlah besarnya jiwa orang Melayu kira-kira 70 tahun
yang lampau dan terus menerus sehinggalah hari ini.
Isu ini saya ketengahkan kerana mengulas kenyataan seorang
Menteri Singapura, Lim Swee Say dari parti PAP baru-baru ini yang dilaporkan
semasa berkempen Pilihanraya di Republik berkenaan telah mengeluarkan kenyataan
bahawa beliau merasakan dirinya beruntung sebagai warga Singapura dan bukan
warga Malaysia. Katanya Malaysia itu milik orang Melayu dan beliau tidak boleh
tinggal (di Negara milik orang Melayu) di sana.
Kenyataan ini walaupun nampak ringkas dan bersahaja, tetapi
ia memberi maksud yang sangat mendalam dan malah mempunyai unsur penghinaan.
Lim cuba membayangkan bahawa Malaysia ini sebuah negara yang
tidak adil sebagaimana Singapura. Jika di Singapura beliau sebagai seorang Cina
boleh hidup selesa dan sejahtera, di Malaysia kerana ia milik orang Melayu
pastinya kehidupan beliau sebaliknya.
Adilkah begitu? Tidakkah kenyataan itu prejudis dan berbau
perkauman, rasis?
Isu perkauman antara Malaysia dan Singapura sering dimainkan
dan dijadikan bahan politik sejak Republik berkenaan berpisah dari Malaysia
lebih 50 tahun dahulu.
Orang Singapura khasnya penduduk majoriti Cina nya sering memandang
rendah kepada keupayaan Malaysia dan sering menganggap warga Malaysia yang
bukan Melayu ditindas dan didiskriminasi secara drastik oleh majoriti penduduk
Melayu dan Bumiputera.
Mungkin bagi calon PAP itu, memainkan isu perkauman seumpama
ini boleh mendatangkan undi buatnya, maka lantaran itu beliau sanggup berkata
demikian walaupun hakikatnya belum tentu betul.
Ringkasnya ulasan saya seperti berikut:
Menurut bancian 2010 penduduk Melayu mewakili 50.10% dari
keseluruhan penduduk Malaysia. Bumiputera lain 11.7% ini bermakna 61.8%
penduduk Malaysia adalah Bumiputera samada Melayu, Kadazan, Iban, Murut, Orang
Asli dan lain-lain.
Selebihnya 22.6% Cina dan 6.7% India.
Benarkah anggapan buruk calon PAP itu sedangkan hakikatnya
walaupun kaum Cina hanya sekitar 22.6% jumlah penduduk Malaysia tetapi daripada
10 warga Malaysia yang terkaya menurut majalah FORBES, 8 adalah Cina dan cuma 1
masing-masing India dan Melayu.
Bagaimana orang Cina tertindas sedangkan 8 dari 10 yang
terkaya di Malaysia adalah dari kalangan mereka. Bukankah mereka sekadar 22.6%
dari jumlah penduduk Malaysia. Namun mereka memiliki bank-bank perdagangan,
gedung-gedung dan bangunan pencakar langit serta hotel-hotel terbesar di
Malaysia. Mereka juga pemilik ladang dan pemaju-pemaju perumahan dan bangunan
terbesar dalam negara.
Begitu juga calon PAP itu tidak pula menyebut bahawa dari 37
anggota kabinet Malaysia, 5 orang Cina dan 1 India. Ketua Menteri Pulau Pinang sejak
Merdeka adalah orang Cina dan hampir keseluruhan EXCO-EXCO kerajaan negeri
punya wakil Cina kecuali Terengganu.
Di Malaysia juga, tidak seperti Singapura, terdapat sekolah
aliran Cina dan Tamil.
Malah banyak perkara yang boleh dilakukan oleh orang-orang
Cina di sini, yang barangkali tidak boleh sama-sekali dilakukan oleh orang Melayu
minoriti di Singapura. Terbaru kita lihat sendiri betapa dari puluhan ribu
peserta Himpunan Jalanan BERSIH 4.0 baru-baru ini, semua media melaporkan lebih
80% kehadirannya terdiri dari orang Cina. Tak seorang pun ditahan atau
dicederakan.
Bayangkan jika minoriti Melayu berhimpun dan protes di
jalanan seperti itu di Singapura, entah berapa tahun mereka akan merengkok di
bawah ISA yang masih diamalkan di sana.
Kesimpulannya tidak perulah bermain politik perkauman
semata-mata untuk menang pilihanraya.
Rakyat Malaysia dari berbagai kaum, agama dan keturunan di
sini hidup aman damai dan sejahtera. Dan kami tidak perlu orang Singapura untuk
mengajar bagaimana kami harus hidup dan bernegara.
No comments:
Post a Comment