PAS parti tunjang yang sentiasa relevan

Friday, September 18, 2015

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2081 Edisi Jumaat muka F8


Seawal 1980, John Funston, kini seorang penyelidik dan pensyarah di Universiti Kebangsaan Australia (ANU) telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “Malay politics in Malaysia – A study of Umno and PAS” yang menghuraikan berkenaan dua buah parti politik Melayu yang dominan di Malaysia

Kedua-dua buah parti yang ditubuhkan sebelum Merdeka inilah yang sejak dahulu sehingga kini bersaing untuk mendapatkan undi dan sokongan masyarakat Melayu. Seolah-olah pengundi  Melayu cuma berhadapan dengan dua pilihan setuap kali pilihanraya iaitu samada mengundi Umno atau PAS kerana kedua-dua parti inilah yang acapkali bersaing antara satu dengan lain untuk menguasai sokongan pengundi Melayu di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Menurut Dr Ismail Said dalam bukunya “Menegak agama membela bangsa – Perjuangan PAS 1951-1970” perbezaan ketara antara kedua buah parti Melayu ini adalah Umno sebuah parti politik yang diasaskan atas dasar kemelayuan semata-mata manakala PAS lahir lantaran dorongan jiwa keIslaman yang bersarang pada dada para ulamak yang mengasaskannya.

Pada tahun 1970, dengan jumlah penduduk Malaysia seramai 10.8 juta, peratus pengundi Melayu adalah seramai 44.32 peratus. Ia melebar 40 tahun kemudian iaitu pada tahun 2010 apabila dari jumlah penduduk seramai 28.9 juta peratusan pengundi Melayu meningkat kepada 55.07 peratus. Ini bermakna pengundi Melayu kekal sebagai pengundi majoriti di Malaysia dan terus berhadapan dengan dua pilihan iaitu samada PAS ataupun Umno.

Tidak dapat dinafikan sudah mula muncul parti-parti baru yang turut menawarkan calon-calon Melayu umpamanya Semangat 46 dari 1990-1995 dan kini PKR. Namun demikian bilangan mereka tidaklah sebesar persaingan antara PAS dan Umno, malah yang lain ini pun bertanding menentang Umno apabila PAS memilih utnuk memberi laluan.

Dalam Kongres Rakyat yang dilangsungkan Sabtu lalu, bekas veteran Umno Tan Sri Abd Kadir Sheikh Fadzir ketika membahaskan usul politik dan mengambil kira majoriti pengundi Melayu seperti di atas menjelaskan bahawa cuma ada dua parti tunjang di Malaysia, yakni yang mewakili majoriti pengundi, dan ia adalah PAS dan Umno.

Kata beliau mana-mana kelompok pun yang bercita-cita mahu menjadi kerajaan Malaysia, maka samada PAS ataupun Umno mesti berada dalam kelompok atau pakatan itu. Ini kerana PAS dan Umno itu masing-masing parti tunjang.

Tanpa tunjang ini, iaitu mewakili sokongan pengundi Melayu, maka tiada kerajaan yang stabil dapat dibentuk di Malaysia.

Sebuah firma penyelidikan “politweet”menjangkakan jumlah kerusi majoriti Melayu dan campuran  dalam negara akan meningkat pada Pilihanraya Umum ke 14 dan 15 nanti. Ini mengukuhkan lagi hujah Tan Sri Kadir bahawa Umno dan PAS tidak boleh ditolak ketepi oleh mana-mana kelompok atau pakatan kiranya mereka mahu menguasai Putrajaya.

Menurut “politweet” lagi dalam menganalisa sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat dalam PRU lalu, dalam kerabat PR, PAS lah yang telah memenangi kerusi Melayu terbanyak. Di Kelantan dan Terengganu PAS memenangi 14 kerusi parlimen dan mengekalkan peratusan sokongan yang tinggi.

Di Semenanjung Malaysia menurut “politweet” PAS mencatatkan sokongan tertinggi dikalangan pemuda Melayu dengan sejumlah 73% pemuda Melayu di kerusi-kerusi yang PAS tandingi cenderung kepada PAS.

Ini menunjukkan PAS tetap relevan dan penting khasnya kepada mana-mana pihak yang bercita-cita mahu menguasai Putrajaya.

Dalam suasana Pakatan Rakyat yang dikatakan telah terkubur dan Pakatan 2.0 yang dikatakan bakal lahir, peranan PAS seakan masih di awang-awangan. DAP telah mengeluarkan kenyataan keras tidak mahu sekali-kali berkerjasama dengan PAS manakala PKR pula yang lebih matang dan berpandangan jauh memutuskan untuk kekal berkerjasama dengan PAS.

Selain itu PAS pula ternyata tidak berkenan kiranya parti baru yang memuatkan para pengkhianatnya menganggotai pakatan yang baru nanti.

Parti baru berkenaan setakat ini masih bercelaru dengan masalah rumahtangganya sendiri dan malah dijangka tidak mampu menarik minta para pengundi yang keliru dan curiga dengan kehadiran mereka. Malah menurut “politweet” kiranya berlaku pertandingan tiga penjuru antara Umno, PAS dan parti baru ini, yang pasti mengaut keuntungan adalah Umno.

Ringkasnya ia lebih merupakan liabiliti buat pakatan pembangkang.

PAS sendiri masih mengkaji dan menimbangkan peranannya dalam pakatan yang baru ini atau sebarang bentuk kerjasama dengan rakan-rakan lamanya.

Apa pun hakikatnya PKR dan malah DAP memang punya dua pilihan. Mereka boleh memilih untuk memutuskan hubungan dengan PAS dan mendakap parti baru yang dianggotai oleh para pengkhianat PAS itu . Ataupun mereka boleh ketepikan perbezaan dengan PAS, khasnya DAP dan kembali bersama dengan PAS sebagaimana pakatan yang lampau.

PAS bersedia sendiri dan tidak pernah menolak untuk berkawan dengan sesiapa pun asalkan prinsip dan dasarnya dihormati oleh kawan-kawan.

Dengan pengiktirafan PAS sebagai parti tunjang, sekurang-kurangnya kawan-kawan perlulah membuka mata dan meraikan hakikat ini. Kiranya langkah seterusnya adalah mengulangi cubaan ke  Putrajaya pada PRU yang akan datang, maka apa bentuk pakatan pun yang dibina, mestilah melibatkan PAS.

PAS bukannya parti setahun jagung. Ia telah mengharungi politik Malaysia hampir selama usia Umno dan ia telah membina kekuatan sepanjang lebih 60 tahun dengan keahlian mencecah 1 juta orang. Suka tidak suka PAS lah yang telah membantu perjuangan Dato Seri Anwar Ibrahim sejak zaman reformasi sehingga tertubuhnya PKR dan PAS lah juga yang telah memecah tembok antara DAP dengan masyarakat Melayu sehingga boleh diterima setelah sekian lama Umno memburukkan mereka.

Keputusan kini bukan terletak pada PAS tetapi pada mereka yang mahu berkawan dengannya. Terima atau tolak terpulanglah, yang pasti PAS akan kekal memain perana mengejar dasar dan prinsip perjuangannya. roslansms@gmail.com

0 comments: