Kewibawaan Azmin Ali sedang diuji

Tuesday, September 08, 2015

Kemelut politik pakatan pembangkang menjadi tegang apabila masing-masing PAS dan Dap bertelagah secara terbuka malah sehingga melahirkan parti baru di bawah dukungan Dap. Awal-awal lagi Dap menyebut Pakatan Rakyat telah berkubur dan tiada lagi. Ini apabila mereka memilih untuk memutuskan hubungan dengan PAS.

PAS pula selepas Muktamar lalu memutuskan untuk turut berbuat demikian.

Pertelagahan ini mungkin dilihat tegang dan panas, akan tetapi anehnya diperingkat negeri Selangor, PAS dan Dap masih lagi bersama membentuk kerajaan negeri bersama PKR.

Sudah pastilah keadaan ini meletakkan MB Selangor Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR dalam keadaan serba-salah. Di luar PAS dan Dap seakan musuh setaraf BN malah kadangkala permusuhan itu kelihatan mengatasi permusuhan politik dengan BN, akan tetapi di dalam kerajaan EXCO PAS, Dap dan PKR boleh menjalankan tugas mentadbir negeri yang dipengerusikan oleh Azmin selaku MB.

Di sinilah kewibawaan dan kredibiliti Azmin selaku seorang pemimpin diuji dan teruji.

Azmin sebagaimana partinya PKR dan malah PAS dan Dap tidak mahu melihat negeri Selangor yang bertuah ini jatuh ke tangan BN. Sebarang keputusan yang silap dan tidak matang boleh mengakibat atau mencetuskan keadaan demikian dan setakat ini Azmin berjaya mengelaknya.

Kelahiran parti baru yang terdiri dari mereka yang kecewa dan mengkhianti PAS pula tidak membantu meringankan beban Azmin.

Kini cakap-cakap berkenaan pembentukkan Pakatan Rakyat baru atau PR 2.0 sedang hangat mendominasi media terutama media alternatif dan sosial.

Kalau ikutkan Dap mahu sahaja mereka menyekat PAS dari menganggotai PR 2.0 ini tambah-tambah mereka telah berjaya melahirkan kononnya klon PAS yang mampu menggantikan PAS.

Bagi DAP biarlah PR 2.0 ini bergerak dengan PKR dan parti baru tadi sebagai anggota tanpa penglibatan atau campurtangan PAS. DAP tidak mahu berbaik dengan PAS lagi demikianlah kenyataan terakhir Guan Eng.

Kenyataan terbaru Azmin yang mengatakan bahawa PKR tetap mahukan PAS berada dalam PR 2.0 dilihat sesuatu yang menggugat cita-cita DAP. Menurut Azmin keputusan itu bukan keputusan peribadinya tetapi keputusan PKR sendiri. Sewajarnyalah ia dihormati.

Saya yakin Azmin dan PKR melihat isu ini dengan perspektif yang menyeluruh yang mengambil kira peranan dan sumbangan PAS yang sebenar yang tidak boleh dipandang kecil.

Dap mungkin marah-marah pada PAS. Tetapi parti baru yang ia taja ternyata tidak mampu meletakkan dirinya setanding PAS, 10 peratus pun barangkali sukar.

Atas dasar itu Azmin memilih jalan yang lebih praktikal dan positif, iaitu PAS perlu dilibatkan dalam pakatan pembangkang kiranya ia benar mahu menggugat dan merebahkan BN.

Saya terbaca satu analisa yang dibuat oleh POLITWEET. ORG yang mengambil kesimpulan:

PKR and Dap have not had as much success winning rural seatss compared to PAS and BN. Without PAS continuing to represent PR in those seats, a new coalition will have difficulities winning GE14.

PKR dan Dap tidak berapa berjaya dalam memenangi kerusi-kerusi luar bandar berbanding PAS dan BN. Tanpa PAS di dalam PR untuk mewakili kerusi-kerusi berkenaan, suatu pakatan baru akan menghadapi kesukaran untuk menang dalam PRU14 nanti

Azmin telah terbit sebagai seorang pemimpin yang cuba untuk menyelamatkan pakatan pembangkang dengan politik yang sangat mulia dan cocok. Politik meraikan kawan-kawan, politik menghormati dan mengiktiraf kawan-kawan penting dalam menjayakan pakatan pembangkang khasnya di Malaysia.

Semoga usaha Azmin ini akan menghidupkan kembali cita-cita dan impian rakyat Malaysia untuk mahu menyaksikan negara ini ditadbir oleh pakatan yang baru selain BN. Azmin diyakini mempunyai karisma untuk menyatukan semua pihak demi kepentingan negara yang lebih besar.

Mudah-mudahan beliau berjaya.




0 comments: