Friday, September 04, 2015

Istiqamah membuah kejayaan

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2077 Edisi Jumaat muka F8


Ramai melihat PAS sedang melalui tempoh tribulasi yang paling besar dalam sejarahnya. 


Hari ini PAS menyaksikan beberapa kerat bekas pemimpinnya yang tewas dalam pemilihan parti Jun lalu sedang mencetuskan krisis keyakinan terhadap PAS dan saf kepimpinan yang baru yang telah diangkat secara demokratik oleh para perwakilan PAS.


Mereka mempertikai dan meragui kemampuan kepimpinan yang ada dan mereka mengusahakan penubuhan sebuah parti baru yang dikatakan akan membawa idea PAS tetapi dalam bentuk yang lebih lunak dan kononnya lebih sesuai dan mesra dengan penerimaan masyarakat majmuk dalam negara kita.


Lalu gelombang demi gelombang cuba dicetuskan untuk menarik ahli-ahli PAS keluar mengikuti perjuangan “baru” mereka.


Lanjutan dari itu kita melihat terdapat pula usaha melumpuhkan PAS di peringkat kawasan-kawasan dan cawangan-cawangan dipelopori oleh pihak-pihak ini.


Namun bagaimanakah sambutan ahli-ahli PAS terhadap seruan puak-puak “kecewa” ini.

Baru- baru ini saya ditanya oleh seorang penganalisa politik apakah kesan dari asakkan yang dimaksudkan ini terhadap ahli-ahli PAS sendiri?


Saya menyatakan berkemungkinan sekiranya tribulasi yang sama melanda mana-mana parti lain, barangkali parti itu akan goyang dan tidak mampu bertahan lama. Tetapi PAS berbeza dengan parti-parti lain di Malaysia kerana PAS sebuah Gerakan Islam.


Orang-orang PAS yakin Islam yang mereka junjung dan jaja ini mampu memberikan penyelesaian kepada permasalahan ummah, inikan pula kocakkan kecil yang dicetuskan oleh mereka yang ghairah dan tidak sabar yang duduk dalam PAS sendiri.


Rata-rata ahli-ahli PAS tidak mudah untuk diajak meninggalkan perjuangan mereka dan duduk dalam wadah yang baru cantik bagaimana pun rupanya. Ini kerana keyakinan mereka terhadap PAS terlalu kental dan disiplin yang diterapkan ke dalam jiwa mereka sepanjang berada dalam PAS memberikan mereka alahan yang kuat terhadap apa sahaja virus dan serangan samada dari dalam apalagi yang diusahakan dari luar.


Tidak dinafikan golongan kecewa ini pasti ada pengikutnya, dan mereka mungkin punya upaya dan mampu untuk mengheret pengikut setia itu bersama mereka. Walaubagaimanapun berbanding majoriti yang istiqamah dan terus yakin dengan kepimpinan dan dasar perjuangan PAS saya berani menyatakan bahawa usaha puak-puak “kecewa” ini nanti akan berakhir dengan kekecewaan mereka pula. Kerana ia tidak mampu bertahan dan akan berkubur begitu sahaja sebagaimana usaha yang sama yang pernah dilakukan oleh puak-puak seumpama mereka sebelum ini.


Saya melihat ada dikalangan ahli-ahli PAS yang pada awalnya berjaya dipujuk dan dirayu oleh puak-puak “kecewa” ini hari ini secara perlahan-lahan mula dan telah menjauhkan diri dan tidak mustahil akan kembali bersama PAS. Mungkin pada awalnya kekecewaan benar-benar telah merasuk tubuh dan perasaan segelintir mereka, tambahan yang kecundang itu kawan-kawan dan kenalan rapat belaka, akan tetapi setelah berfikir panjang dan menyedari perjuangan Islam yang dipelopori PAS ini bukan mudah mahu digantikan semata-mata atas kekecewaan pihak-pihak tertentu, akhirnya mereka memilih untuk kembali bersama PAS.


Pokoknya kita perlu bersabar dalam menekuni jalan perjuangan yang penuh berliku ini. Kita berjuang untuk mendapat redha dan pertolongan Allah, kerana itu kita disarankan beristiqamah, barulah redha dan pertolongan itu dengan izin Nya akan tiba.


Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar PAS ke 61 lalu menyebut:


Tiga prinsip utama yang perlu kita pegang bagi mendapatkan pertolongan Allah swt iaitu, pertama berpegang dengan Islam, kedua tidak melampau dan ketiga tidak terpengaruh dengan mereka yang zalim.


Dalam hal ini saya pernah terlibat dalam memujuk seorang pemimpin kanan PAS agar isitiqamah bersama PAS dalam satu krisis lain lewat tahun 2011 dahulu. Saya dan Khairuddin Othman, sekarang YB dan ADUN PAS Paya Jaras, telah memujuk pemimpin berkenaan agar bersetuju untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan Tuan Guru Presiden PAS bagi berbincang. Mungkin nasihat Tuan Guru boleh meredakan hatinya yang kecewa dan berkecamuk ketika itu.


Apa yang saya mahu utarakan di sini adalah nasihat yang dibawa Tuan Guru ketika itu. Tuan Guru dengan panjang lebar mengisahkan pengalaman pejuang besar Islam satu ketika dahulu iaitu Salahauddin al Ayubi atau Saladin menurut catatan sejarah Barat.


Salahuddin ini rupanya bukan sekadar pemimpin dan pejuang Islam yang besar, tetapi lebih penting lagi beliau menjadi begitu kerana memiliki kualiti yang besar, iaitu besabar dan dalam waktu yang sama beristiqamah dalam menggalas tanggungjawab perjuangan.


Kata Tuan Guru ketika dilantik menjadi Jeneral mewakili kerajaan Abasiyyah ke Mesir yang ketika itu di bawah kerajaan yang dipengaruhi fahaman Syiah, Salahuddin keberatan untuk pergi kerana tidak redha dengan fahaman berkenaan. Pemerintah Mesir ketika itu kuat berpegang dengan fahaman dan amalan Syiah sedangkan Salahuddin berpegang pada ahli Sunnah wal jamaah.


Namun disitulah kualiti kepimpinannya yang penuh dengan kesabaran dan istiqamah akhirnya membuahkan kejayaan.


Dalam sabarnya, Salahuddin istiqamah menerapkan fahaman dan ajaran Islam sebenarnya secara berpeingkat-peringkat dan akhirnya apabila pemerintah Mesir itu meninggal dunia tanpa wairs, Salahuddin diangkat menjadi pemerintah dan dengan kuasa yang ada beliau terus memusnahkan segala amalan dan simbol Syiah di Mesir, satu kejayaan yang kekal hingga ke hari ini.


Kiranya Salahuddin yang berdarah muda itu tidak sabar dan bertindak melampau sebelum memperolehi kuasa penuh, pastinya masyarakat Mesir ketika itu akan menolaknya dan kuasa serta pemerintahan yang ada akan menentangnya.


Tetapi kerana Salhuddin bijak mengatur langkah dan yang paling penting sabar dan istiqamah, beliau berjaya dan malah kualiti itulah di bawanya hingga menawan Baitumuqaddis kemudiannya.


Saya sungguh kagum dengan kupasan Tuan Guru ketika itu, malangnya pemimpin kanan PAS yang kami bawa ketika itu, tidak dapat menghadamkan mutiara yang dihidangkan oleh Tuan Guru. Akhirnya beliau dipecat dan saya yakin hari ini pasti terlintas di hatinya, kiranya beliau dulu menerima nasihat Tuan Guru itu pastinya beliau hari ini akan menempa kejayaan sebagaimana Salahuddin!


Apa pun bagi kawan-kawan kita yang terpesona atau terbawa-bawa dengan pujuk rayu golongan kecewa ini, semoga mereka memikirkan masak-masak dan kembali ke pangkuan PAS.


Dalam menghuraikan tiga prinsip utama istiqamah tadi Tuan Guru Presiden menyebut:


“Ketiga-tiga prinsip ini adalah bagi mencapai kemenangan yang luas berkekalan sepanjang dunia hingga akhirat. Memberi kebahagian bagi diri, keluarga dan masyarakat. Kita mahu berjaya di dunia sehingga memerintah negara berkebajikan terhadap rakyat dan mengurus alam melalui pertolongan Allah.”


Dengan kesabaran dan istiqamah datanglah apa bentuk cabaran dan tribulasi sekalipun, insyallah PAS, pemimpin dan ahli-ahlinya akan kekal melangkah gagah sebab PAS bukan seperti parti-parti politik lain, PAS bukan berjuang untuk kepentingan individu atau kelompok, PAS adalah Gerakan Islam.


Sabar dan istiqamah kualiti kejayaan pimpinan Islam sejak dahulu, dan kualiti inilah juga yang jika kita miliki akan bakal melonjakkan PAS sehingga berjaya nanti.

No comments: