Bahtera ini akan kekal selamat

Tuesday, September 01, 2015



Terpapar di dada akhbar muka depan Sinar Harian hari ini wajah Mat Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS mengucapkan “Selamat tinggal PAS”.

Beliau mengisytiharkan gerombolan kecewanya telah mengambil-alih “Workers Party” dan sedang menunggu kelulusan nama baru iaitu “Parti Amanah Negara” sebagai wadah baru menggantikan Gerakan Harapan Baru nya.

Parti baru yang kononnya juga mahu memperjuangkan Islam itu khabarnya akan dilancarkan secara rasmi pada 16 September nanti dengan jangkaan keahlian seramai 35,000 orang.
Beberapa wakil rakyat PAS samada ahli Parlimen mahupun DUN dijangka menurut langkah Mat Sabu antaranya yang tersenarai dalam Jawatankuasa protem parti baru ini dan yang selebihnya disebut-sebut menuruti mereka.

Antara yang tersenarai adalah ahli-ahli Parlimen Parit Buntar, Kota Raja, Kuala Krai, Shah Alam dan Sepang manakala ADUN yang turut serta adalah ADUN Pengkalan Kundor, Kedah (Phahrolrazi), Changkat Jering, Perak (Nizar Jamaluddin), Hulu Klang (Saari Sungib) dan Morib (Hasnul) Selangor dan Parit Yaani, Johor (Aminnolhuda).

Tumpat dan Kuala Terengganu juga dijangka menurut jejak rakan-rakan kecewa mereka.

Apa pun pertamanya PAS akan menyaksikan beberapa kerusinya di “culik” ganti kepada nama parti baru ini. Tindakan sebegini sebagaimana tindakan 3 ADUN Perak yang mengakibatkan runtuhnya kerajaan Pakatan Perak pasca PRU 2008 dahulu sudah tentulah tidak bermaruah dan tidak profesional sungguhpun mereka mendakwa mereka mewakili golongan profesional konon-kononnya.

Segala kudrat dan kekuatan ahli-ahli parti diperah disamping belanja dikorbankan untuk memenangkan mereka ini tetapi tanpa segan dan maruah mereka sanggup merampas kerusi-kerusi PAS itu dan mendakwa ia milik mereka.

Keduanya tindakan mereka melahirkan sebuah lagi parti Islam, sudah pastilah terang-terangan mengancam kedudukan PAS. Mereka pasti disasarkkan oleh “tuan-tuan politik” mereka untuk menentang dan melawan PAS di kerusi-kerusi tradisional PAS. Maka bersedialah mereka untuk menumbangkan PAS di Kelantan selain merampas kerusi-kerusi PAS di negeri-negeri lain termasuklah Selangor.

Umno menerima bonus besar dengan kelahiran mereka ini.

PAS kekal sebagai satu-satunya wadah umat Islam bergerak melalui politik di Malaysia sejak penubuhannya lagi. Adalah satu dua parti yang turut membawa jenama Islam, yang mahu menyaingi PAS sebagaimana kumpulan Mat Sabu ini, tetapi semuanya kecundang setakat ini.

Bermula dengan Berjasa, kemudiannya Hamim, AKIM, Islah dan lain-lain.
Sepatutnya seluruh tenaga dan kekuatan umat Islam tertumpu pada satu wadah lebih-lebih lagi dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia. Perpecahan begini jika dibiarkan hanya akan menguntungkan pihak musuh.

Almarhum Prof Zulkifli Mohamad pernah menukilkan dalam makalah Suara Islam antara tahun 1958-62 berkenaan perkara ini.

Beliau menulis:
(1958)

Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan bahawa kejatuhan sesuatu umat ialah kerana banyak perselisihannya. Inilah yang ada pada umat Islam hari ini. Kadang-kadang jika tidak ada apa yang akan diperselisihkan sengaja kita cari-cari supaya ia timbul.

(1962)
Islam menghendaki semua tenaga digembelingkan dan dipadukan bagi mewujudkan sesuatu kekuatan Islam di negeri ini.

Lebih 50 tahun dahulu tokoh besar Islam ini telah mengesan dan menjangkakan berlaku pertelagahan antara umat Islam ini. Namun Alhamdulillah di Malaysia setakat ini lahirnya parti Islam baru untuk menyaingi atau menandingi PAS semuanya gagal.

PAS sesungguhnya telah menjadi sebuah institusi dalam masyarakat Malaysia yang disegani dan dihormati. Ia diiktiraf sebagai sebuah parti Islam yang berprinsip dan konsisten dengan tuntutannya, ia melahirkan pemimpin yang bersih yang bekerja untuk masyarakat dengan kualiti yang disenangi dan boleh diterima.

Jangankan orang-orang Melayu, yang Cina, India dan lain-lain sudah menganggap PAS sebagai sebahagian dari masyarakat. PAS malah sudah sebati dalam masyarakat dan terlibat dalam gerak kerja dakwah, pendidikan dan kerja-kerja kemasyarakatan yang dialu-alukan oleh masyarakat disetiap peringkat.

Institusi ini dibina lebih 60 tahun, ia teguh, kukuh dan tidak mudah mahu dikesampingkan begitu sahaja apatah lagi oleh sebuah parti yang terdiri dari mereka yang kecewa dan ditolak oleh ahli-ahli PAS sendiri.

Tuan Guru Presiden PAS seakan telah menjangkakan perkara ini bakal berlaku apabila dalam Ucapan Penggulungannya dalam Muktamar PAS yang lalu beliau berkata:

Saya  minta ahli-ahli kita, penyokong-penyokong kita bersama bahtera ini. Bahtera PAS. Jangan bocorkan bahtera ini. Walaupun tak puas hati dengan makanannya, tak puas hati dengan masanya, pelayarannya lama sangat, nak terjun cepat.

Ada yang terjun. Pelayarannya lama sangat  lari kepada bahtera lain . 

Mereka yang lari ke bahtera lain tak selamat.

Alhamdulillah walaupun kita mengalami gelombang yang sangat dahsyat, rebut taufan yang sangat kuat melanda kita sehingga hari ini Allah menjadikan bahtera kita selamat.

Pergilah Mat Sabu dan rakan-rakannya jika mereka yankin yang mereka boleh berdiri sendiri dan dalam waktu yang sama menggantikan peranan PAS.

PAS telah pernah lihat pimpinannya meninggalkan parti sebelum daripada ini, tetapi bahtera PAS terus berlayar menuju destinasi. Bagi mereka yang mengkhianati PAS dengan membawa lari kerusi milik PAS, pasti tindakan mereka yang zalim itu tidak akan membawa senang buat hidup mereka.

Mat Sabu memilih untuk menjadi musuh politik PAS. Saya yakin ahli-ahli dan penyokong PAS bersedia menghadapi beliau dan gerombolan kecewanya sebagaimana PAS menghadapi Umno, BN dan lain-lain.

Selamat jalan Mat Sabu.

0 comments: