Thursday, September 10, 2015

PAS ambil alih peranan kepimpinan Umno

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2079 Edisi Jumaat muka F8

Hari ini orang-ramai sibuk berkata berkenaan kepincangan kepimpinan Umno secara terbuka, tiada sembunyi lagi. Ketidakpuasan hati kepada kepimpinan negara yang diterajui Umno diluah dan dizahirkan dengan vocal dan berani oleh hampir semua pihak termasuk dari kalangan ahli-ahli dan pimpinan Umno sendiri.
 
Media sosial khususnya menjadi gelanggang menyerang dan mengkritik kepimpinan negara saban hari tanpa henti.

Lebih parah Timbalan dan Naib Presiden Umno masing-masing juga mengkritik Presidennya sendiri. Bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri juga begitu. Ahli-ahli Umno apatah lagi, dalam persidangan-persidangan tahunan bahagian, pemuda dan wanita Umno yang baru sahaja selesai, ada-ada sahaja yang menyerang Najib selaku Presiden parti tanpa selindung-selindung lagi. Malah ada yang mengusulkan agar Najib letak jawatan atau berihat dan terus berundur.

Rata-rata krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden Umno ini terus meletakkan Umno dalam posisi yang sangat lemah dan rendah pada pandangan mata rakyat.

Umno dilihat gagal memimpin negara dengan baik walaupun telah berada dipuncak kuasa sejak Merdeka lagi. Kegagalan menguruskan kewangan negara dengan baik, kegagalan membendung rasuah, kronisma dan nepotisma, kesemuanya telah menghodohkan lagi pandangan rakyat terhadap Umno.

Satu demi satu malapetaka jatuh terhempap atas kepala Umno yang dipimpin Najib dan keadaan ini telah mencampakkan negara ke dalam jurang berbahaya sehingga seolah kelihatan sukar untuk kembali pulih seperti dahulu. Disaat inilah pula terdapat maklumat mengatakan ada kalangan Umno sendiri yang akan mengusulkan undi tak percaya terhadap Presiden mereka sendiri.
 
Ringkasnya keadaan Umno hari ini sungguh-sungguh gawat dan goncang.

Lantaran itu persoalan yang popular yang meniti di bibir rakyat jelata hari ini, mampukah mana-mana pihak mengganti atau mengisi ruang yang bakal dikosongkan Umno itu, jika benar rakyat jelata sudah hilang keyakinan pada mereka?

Dari Perlis ke Kedah, Pulau Pinang ke Perak dan seterusnya Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, hakikatnya dalam situasi hari ini, cengkaman Umno di negeri-negeri berkenaan semakin longgar  

Mana-mana sahaja parti atau kumpulan yang punya pengaruh dan kemampuan, yang disenangi oleh orang-orang Melayu Islam boleh sahaja bersedia melangkah masuk mengisi kekosongan Umno yang sangat kritikal keadaannya itu.

Mampukah PAS? Bolehkah PAS memikul tanggungjawab besar yang ditinggalkan Umno yang kelihatan sudah tiada daya ketahanan itu? Ada yang memperoalkan bukankah PAS juga sedang dilanda krisis? Bukankah PAS juga sedang goyang, bagaimana mungkin ia mahu menggantikan Umno?

Benar PAS kelihatan sedang berhadapan dengan cabaran yang besar di hadapannya, namun demikian pada PAS sendiri ia sekadar satu kocakkan kecil dalam cawan kopi, kerana PAS yang lebih 60 tahun usianya itu sudah terlalu kukuh dan padu untuk dihancurkan begitu sahaja apatah lagi oleh mereka yang kecewa yang telah pun ditolak oleh para perwakilan PAS dalam Muktamarnya yang lalu.

PAS dilihat mampu mengatasi krisis yang melibatkan beberapa kerat bekas pemimpin dan ahlinya yang telah keluar parti dan mahu menubuhkan parti baru itu. Pengalaman yang lampau mengajar PAS, parti-parti baru seumpama ini apatah lagi diterajui pula oleh golongan yang kecewa, tidak mampu bertahan lama malah akan patah begitu sahaja ditelan zaman.

Isunya kini adalah Umno yang dalam keadaan tenat. Pemimpinnya yang dicurigai bukan hanya oleh rakyat jelata malah oleh kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya.

Menurut sejarah setiap kali Umno berkrisis, PAS lah yang akan mengaut laba. Di Kelantan contohnya menjelang Pilihanraya Umum 1990, Umno teruk bercakaran sesama sendiri, akibatnya mereka hilang Kelantan pada tahun itu PAS sehinggalah ke hari ini.

Orang Melayu Islam seakan mengamalkan sistem dua parti, tertakluk kepada magnitud ketenatan mana-mana satu parti lain. Jika Umno lah yang tenat magnitud sederhana menyaksikan satu negeri jatuh. Terengganu dan Kedah, dua lagi buah negeri bengkung Melayu, juga mampu jatuh apabila kena magnitudnya.

Pilihanraya Umum 1999 adalah satu contoh apabila tahap kemarahan orang-orang Melayu terhadap Umno begitu tinggi magnitudnya sehingga jatuh dua negeri serentak iaitu Kelantan dan Terengganu. Umno kecundang dan PAS melonjak ke hadapan dengan berupaya mengutip 27 kerusi Parlimen.

Hari ini PAS dilihat sebagai satu-satunya parti Islam yang konsisten dalam memperjuangkan dasar dan matlamatnya, tidak seperti Umno yang sudah kabur apa yang sebenarnya matlamat yang diperjuangkannya. PAS dihormati kerana ia tidak pernah bertolak ansur dalam bab prinsip, tidak dengan Umno dan malah tidak juga dengan kawan-kawannya.

Sikap matlamat tidak menghalalkan cara sebegini dikagumi orang-orang Melayu dan dengan kemampuan PAS melahirkan kepimpinan yang istiqamah dan berkualiti berbanding Umno, lebih-lebih lagi telah menambat hati para pengundi Melayu.

Kuat tidak kuat magnitud sokongan orang-orang Melayu terhadap PAS dalam keadaan Umno terlantar begini dapat dipastikan dalam Pilihanraya Umum nanti. Tidak mustahil jika berlaku “Malay swing” atau lonjakkan sokongan orang Melayu, kali ini, orang-orang Melayu yang sudah mula hilang kepercayaan pada Umno setelah lama bersandar pada mereka dijangka akan bangkit dan mengalih sokongan pada PAS, parti yang mereka kenal sekian lama sebagaimana Umno juga.

Kejutan 1999 yang menyaksikan pencapaian PAS yang terbaik sejak Merdeka, diyakini dapat berulang tetapi dengan skala yang lebih besar kali ini.

Bonus PAS adalah ia selama ini telah berjaya meletakkan dirinya bukan sekadar parti untuk kaum Melayu sahaja, tetapi sepanjang bertarung dengan Umno ini, PAS telah berjaya menembusi tembok halangan antara ia dengan masyarakat bukan Melayu, melalui slogan “PAS fo all” dan kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) PAS dijangka selain mencatatkan pertambahan sokongan pengundi Melayu, juga akan memperolehi undi bukan Melayu untuk meneguhkan lagi kedudukan politiknya.

Kali ini Umno yang semakin rasis dalam pendekatannya dijangka ditolak sama-sekali oleh masyarakat bukan Melayu.

Kesimpulannya PAS kali ini sudah berupaya menawarkan dirinya secara efektif sebagai alternatif buat Umno dalam menjadi teraju Negara tercinta ini. Umno akan terus berkecamuk dengan isu dalamannya, manakala PAS akan melangkah ke hadapan dengan matlamat menyelamatkan rakyat dan negara dengan keindahan dan keadilan Islam.               


No comments: