Monday, September 14, 2015

Muhyiddin tidak dipecat kerana dedah dalang komplot guling Najib?

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2080 Edisi Isnin muka F15


Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang pertama selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri sepatutnya diadakan pada 31 Julai lalu iaitu beberapa hari setelah pemecatan beliau. Tetapi kesan dari pemecatan itu telah sediti sebanyak berjaya mencetuskan gelombang ketegangan antara sesama Umno dengan pelbagai perwakilan dan pimpinan akar-umbi Umno menyuarakan protes secara terbuka khasnya di Negeri Johor dan beberapa negeri lain lalu tarikh mesyuarat berkenaan telah di tangguhkan.

Sekiranya mesyuarat MT itu diadakan juga Muhyiddin dijangka akan dapat mengutip sokongan simpati samada dari kalangan ahli-ahli MT Umno mahupun dari kalangan ahli-ahli Umno kebanyakkan. Langkah memecat Muhyiddin  itu dikira satu tindakan drastik dan tergesa-gesa oleh beberapa kalangan dalam Umno walaupun ianya prerogatif Perdana Menteri.

Sejurus dipecat Muhyiddin dan mereka yang bersamanya terus menyerang dan mengkiritk Datuk Seri Najib, Presiden Umno dan Perdana Menteri atas pelbagai isu kontroversi yang turut menjadi tumpuan dan keresahan rakyat termasuklah isu kontroversi pengurusan 1MDB dan dana RM2.6 billion yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari penyumbang tertentu.

Rakyat mendapat maklumat langsung dari bekas orang nombor dua di Putrajaya yang sudah pastinya tidak berbohong.

Beraninya Muhyiddin terus-menerus menyerang Najib dilihat telah berjaya menggugat dan mengikis kredibiliti Presiden Umno itu sehingga ada yang menganggap kiranya perlakuan ini berterusan tidak mustahil Najib pula yang akan dipaksa melepaskan jawatannya.
Beberapa tokoh Umno lain turut bersama membantu Muhyiddin dalam serangan ini termasuklah seorang lagi menteri yang turut dipecat iaitu Shafie Apdal, Naib Presiden Umno, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dan bapanya Tun Dr Mahahtir.

Dalam kegawatan itu tiba-tiba TPM yang baru iaitu Datuk Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan bahawa terdapat komplot meminta anggota Parlimen BN supaya 'menyeberang' bersama-sama dengan pihak pembangkang dengan menandatangani surat aku janji untuk menggulingkan kerajaan sedia ada. Komplot itu kata Zahid diketuai oleh seorang tokoh tertentu dari parti pemerintah.

Sejurus pendedahan itu serta-merta masing-masing pihak kelihatan berebut membuat penafian. Muhyiddin nafi dan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh pun turut nafi. Siapa yang mahu memperjudikan nasib dengan terlibat dalam komplot besar mahu menjatuhkan Najib melalui politik “pintu belakang.”

Di dalam Umno hari ini sudah tiada pemimpin berjiwa penentang sebagaimana Dato Seri Anwar Ibrahim.

Persoalannya kalau dari Umno yang dikatakan terlibat, mudah sahaja buat kita conggak-conggak untuk mengagak siapakah tuan punya badan yang dimaksudkannya. Akan tetapi Zahid menyebut pembangkang juga turut terlibat, siapakah pula individu atau kumpulan pembangkang itu? Yang pastinya PAS tidak tahu menahu darihal komplot ini. Saya tidak pasti pula samada mereka yang khianat dalam PAS ada terlibat atau tidak?

Lantaran itu apabila Umno memutuskan untuk mengadakan mesyuarat MT nya pada 9 September lalu, ramailah penganalisa politik dan pengamal media menjangkakan akan ada pengumuman penting yang bakal dibuat selepas persidangan MT nanti.

Ada yang mengatakan langkah drastik Najib sebelum ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Jika sekadar memecat Muhyiddin dari kerusi nombor dua di Putrajaya Muhyddin masih boleh bergerak ke seluruh negara kerana beliau masih Timbalan Presiden Umno.
Lantas langkah atau opsyen yang tinggal bagi Najib setursnya adalah untuk menyelamatkan masa depan politiknya sendiri iaitu dengan memecat dan melucutkan keahlian Muhyiddin sebagaimana Tun Dr Mahathir pernah lakukan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim satu ketika dahulu.

Lalu ramailah menjangkakan Muhyiddin akan menerima nasib yang sama dengan Anwar. Beliau Shafie Apdal dan beberapa lagi nama lain akan dipecat dari Umno dalam mesyuarat MT malam itu.

Tiba-tiba tidak seperti mesyuarat MT Umno yang terakhir yang dihadiri Anwar, dalam mesyuarat MT yang ini, Muhyiddin terselamat. Beliau sempat berjabat tangan dengan Najib dihadapan kamera, dan dimaklumkan bahawa Muhyiddin memilih untuk terus komit dan taat setia pada Umno dan Najib. Apakah yang sebenarnya berlaku dalam mesyuarat berkenaan sehingga terjadi “u-turn” begitu?

Menurut Raja Petra Kamaruddin di dalam laman Malaysia Today, Muhyiddin dikatakan telah memaklumkan MT bahawa memang terdapat konspirasi untuk mengguling Najib walaubagaimanapun beliau tidak terlibat sungguhpun telah dihubungi oleh pihak yang berkenaan.

Jika benar dakwaan Raja Petra itu maka ini menjadikan kisah di sebalik komplot menjatuhkan Najib itu semakin panas dan kontroversi.

Barangkali kerana itulah Muhyiddin dan rakan-rakannya terselamat kerana mereka telah meyakinkan MT bahawa ada pihak lain dan bukan mereka yang terlibat dalam komplot berkenaan. Dalam erti kata lain Muhyiddin  telah berjaya mencuci tangannya dan dengan itu menyelamatkan dirinya dari terus dikenakan tindakan.

Apa yang berlaku dalam rumahtangga Umno, biarlah Umno sendiri yang selesaikan. Itu masalah mereka. Akan tetapi dengan perkembangan ini Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab memaklumkan pada rakyat bagaimanakah perkembangan selanjutnya darihal dakwaan beliau tentang komplot menggulingkan Perdana Menteri itu.

Kalau bukan Muhyiddin, yang terlibat maka siapakah dalangnya?

Sebanyak mana kita mengkritik dan mahukan jawapan terperinci dari kerajaan darihal skandal 1MDB dan penjelasana darihal penyaluran dana RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, kita juga mahu tahu siapa sebenarnya dalang dalam komplot menggulingkan Perdana Menteri itu, dan rakyat wajib dimaklumkan.

Kita difahamkan pihak polis sedang melakukan penyiasatan dan jika benar komplot ini merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang negara, atas apa sebab sekalipun, kita mau melihat mereka yang terlibat didakwa di mahkamah yang terbuka.

Muhyiddin mungkin telah diampunkan oleh Najib melalui MT Umno dan boleh tidur nyenyak. Siapakah pula yang akan menjadi sasaran selepas ini?

Kegawatan di dalam Umno tidak berakhir dengan mesyuarat MT tempoh hari, ia sebenarnya baru bermula. roslansms@gmail.com

1 comment:

Unknown said...

Syabas saudara Roslan. Saudara semakin aktif sekarang teruskan usaha saudara untuk membongkar jenayah Umno dan jenayah G18 aka PAN yang ingin merosokan PAS. Syabas saudara teruskan menulis. Darah dan keturunan penegak keadilan akan terus mengalir dari tubuh saudara