Dewan Sarawak naik 300% Dewan Rakyat bagaimana? (22/5/13)

Wednesday, May 22, 2013


Dalam kita menuntut agar elaun dan ganjaran ahli-ahli Parlimen kita disemak semula, Dewan Negeri Sarawak telah pun mendahuluinya. Semalam satu rang undang-undang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Negeri Kedua Sarawak, bagi menaikkan elaun 71 ADUN dan Kabinet Negerinya sebanyak 300%. Semakan terakhir dilakukan di Sarawak adalah lebih 33 tahun dahulu iaitu pada tahun 1980.
Cuma yang lajunya di Sarawak, elaun Ketua Menterinya setelah disemak semula melalui rang undang-undang berkenaan kini lebih tinggi dari elaun Perdan Menteri sendiri. Elaun PM Malaysia kini adalah sebanyak RM22,826.65 manakala elaun Ketua Menteri Sarawak dengan rang undang-undang berkenaan bakal mencecah RM39,000 iaitu lebih RM16,173.35 dari PM.

Begitu juga elaun bulanan ADUN Sarawak bakal naik RM15,000 (dari RM4,500) berbanding elaun ahli Parlimen Malaysia sekitar RM6,508.59 iaitu lebih RM 8,491.41!
Bagaimana dengan cadangan kenaikkan buat ahli-ahli Parlimen kita?

Kalau 300% dijadikan “benchmark” maka ahli-ahli Parlimen kita juga sepatutnya menerima elaun bulanan RM19,525.77 sebulan.
Sebenar-benarnya adakah tinggi RM19,525.77 itu jika dibayar kepada ahli-ahli Parlimen kita?

Dua hari lepas akhbar The Star menyiarkan pendapatan dua orang tokoh korporat yang meninggalkan jawatan korporat mereka kerana menyertai kabinet. Senator Datuk Paul Low contohnya menerima elaun RM560,000 setahun dari pelbagai jawatan korporat yang disandangnya iaitu bersamaan RM18,666.66 sebulan. Manakala Senator Datuk Seri Abd Wahid Omar bekas CEO Maybank pula menerima RM4.68 juta iaitu bersamaan RM390,000 sebulan!
Bagi saya memandangkan peri pentingnya tugas dan tanggungjawab ahli-ahli Parlimen kita serta status mereka dalam masyarakat tidaklah keterlaluan kalau apa yang berlaku di Sarawak turut dinikmati oleh mereka.

Mudah-mudahan jika ia dipertimbang dan menjadi realiti, mereka akan memberikan khidmat yang lebih fokus dan baik buat Negara, dan yang akan menikmati kesejahteraannya nanti adalah rakyat jua.
Padan-padankanlah tugas dan tanggungjawab mereka dengan imbuhan yang dibayar. Mungkin ada pula nanti kalangan mereka yang menolak, kalau tolak terpulanglah kepada individu berkenaan tetapi saya yakin yang selebihnya akan menerimanya dengan nita akan memartabatkan lagi tugas dan pengorbanan mereka.

 

Antara himpunan aman dan keganasan (22/5/13)


Saya mungkin jadi tidak popular kerana posting ini. Tetapi saya sebagaimana anda semua masing-masing punya hak dan kebebasan bersuara. Hak dan kebebasan itu sewajarnya dihormati kecualilah sekiranya ia bertentangan dengan undang-undang dan peraturan Negara.
Kerana itu selaku seorang blogger contohnya, beliau perlu bertanggungjawab di atas segala yang ditulis dan diterbitkannya. Jika melanggar sebarang undang-undang atau peraturan, blogger tadi perlu berani bertanggungjawab sebagaimana ia berani mengeluarkan pandangannya itu.

Politik keganasan contohnya, adalah sesuatu yang ditolak rakyat Malaysia. Perhimpunan aman walaubagaimanapun yang menyuarakan hak dan tuntutan tidaklah termasuk dalam kategori ini. Jenis politik keganasan adalah menghasut hadirin bangkit menentang dengan cara tidak demokratik, menggunakan tangan dan tidak undang-undang.
Kebelakangan ini kita membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin muda PAS yang kini masing-masing bakal duduk dalam Dewan Rakyat. Antaranya Nik Abduh, ahli Parlimen Pasir Mas yang menyatakan dalam facebooknya bahawa:

 Anda terfikir untuk 'spring' dan memperolehi kerajaan melalui ledakan di jalan raya?
Itu adalah gopoh. Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum?

Orang muda perlu insaf, semangat tidak boleh meminggirkan ketuanan sifat sabar dalam memburu kemenangan.
Kesedaran rakyat baru bermula. Kita masih ada masa dan masa itu sedang bersama kita.

Itu pandangan seorang anak muda pemimpin Islam yang waras. Pandangan itu turut dikongsi oleh Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, ahli parlimen Temerloh yang juga Ketua Pemuda PAS. Kata beliau:
Kami berjuang untuk masa depan agama, negara dan rakyat.

Kami tidak akan turun ke jalan raya untuk mencetus keganasan dan keresahan rakyat sebagaimana yang telah ditegaskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam
Dan kedua-dua kenyataan ini disahut secara positif oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Dato Harun Taib apabila beliau menyatakan:

Memang sudah lama, sejak dulu lagi hingga sekarang Pas pilih demokrasi dan perkara ini kekal menjadi pegangan kita (Pas), mungkin sampai bila-bila.
Bagi Pas, amalan demokrasi adalah yang sebaik-baiknya, bukan bertindak mengikut emosi sehingga berlaku huru-hara. Dalam Islam juga tak mahu berlaku huru-hara.

Biarlah semuanya dalam keadaan aman damai untuk kesejahteraan rakyat. Perlu ingat, Pas tak suka buat huru-hara.
Saya membangkitkan hal ini ekoran insiden yang melibatkan aktivis pelajar Adan Adli yang ditahan polis di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan kerana ucapannya dalam satu majlis di Dewan Perhimpunan Cina Selangor baru-baru ini.

Antara kandungannya:
Kalau ada polis, SB (cawangan khas), ejen Umno, ejen Barisan Nasional di sini, nama saya Adam Adli Abd Halim... ambil butiran saya, buat laporan polis kerana hari ini saya mahu mengajak semua rakyat, kita susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk merampas balik kuasa.

Kita tidak banyak masa lagi, kita akan turun ke jalan raya sebab dalam dunia ketiga seperti negara Malaysia ini, pilihan raya tidak akan menumbangkan kerajaan, yang boleh hanyalah kuasa rakyat. Ini sahaja peluang kita ada,
Adam telah mengeluarkan kenyataan mengajak rakyat menumbangkan kerajaan yang ada melalui kuasa selain demokrasi. Lalu beliau didakwa. Jika benar kenyataan ini jelas ia bertentangan dengan kenyataan-kenyataan di atas. Apa pun Adam kini akan dihadapkan ke mahkamah dan beliau akan di adili. Di sana beliau berhak mempertahankan diri dan proses undang-undangnlah yang akan menentukan nasibnya.

Bagi saya kenyataan seperti ini dan kenyataan-kenyataan lain yang hampir serupa yang dinukilkan oleh blogger tertentu dalam blog mereka adalah keras dan tajam dan dalam proses politik berpilihanraya, ianya sangat bertentangan.
Apa pun sesiapa sahaja layak menyatakan apa sahaja yang tertunjam dibenak hatinya, kalau mahu dikongsi dengan orang-ramai, asalkan ia sanggup bertanggungjawab.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya setuju dengan kaedah perhimpunan aman dan bantahan secara terbuka namun apa sahaja yang berunsur ketegangan dan kekerasan perlu ditolak oleh semua, wallahualam.

Rogol dinafikan dengan nikah! (21/5/13)

Tuesday, May 21, 2013

Saya kesal membaca berita berkenaan insiden ini (saya percaya semua ibu-bapa yang punya anak perempuan juga akan turut begitu). Ia amat memalukan dan tambahan apabila si penjenayah dan mangsa merupakan orang Islam, maka bertambah sedih kita membacanya.

Riduan Masmud (kiri) 40 tahun dituduh merogol mangsa 14 tahun di dalam sebuah kereta di Inanam, Sabah pada 28 Febuari lalu. Beliau didakwa di mahkamah atas tuduhan merogol, namun kini dengan perkembangan terbaru tertuduh dilaporkan mengahwini mangsa dan ekoran itu laporan terhadap beliau telah ditarik balik. Semalam mahkamah memutuskan 1 Julai untuk tarikh menimbangkan samada akan meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh atau mengguhurkan kesnya.
Adalah difahamkan mangsa adalah dari keluarga misikin dan apabila bapa mangsa ditanya adakah beliau menerima perkahwinan anaknya dengan tertuduh beliau menjawab:

Ia adalah terbaik buatnya (anak beliau). Apa lagi yang boleh saya lakukan.

Benar kalau mangsa telah baligh, beliau boleh bernikah, itu peraturan agama.

Tetapi dalam hal ini seksyen 375 Kanun Keseksaan Malaysia menetapkan apabila berlaku hubungan seks antara seorang dewasa dengan gadis di bawah 16 tahun samada dengan kerelaanya atau tidak, maka ia dikira jenayah rogol.
Apa pun hujah bagi saya tertuduh telah melakukan jenayah. Saya yakin gadis ini tidak sedar apa yang berlaku dan apa yang bakal beliau tanggung. Jenayah seksual ini telah berlaku dan ia tidak boleh diampunkan dengan menutupnya melalui pernikahan!

Semalam di mahkamah beberapa NGO khasnya badan-badan wanita turut hadir bagi menyatakan simpati terhadap insiden yang berlaku terhadap gadis malang ini. Tidak disebut pula sebarang nama NGO Islam atau parti Islam kecuali Sister in Islam yang saya tak kategorikan sebagai NGO Islam!

Gadis ini dan keluarga beliau perlu diberi faham dan perlukan pembelaan.
Kenapa kita diam?

Semak semula elaundan ganjaran ahli Parlimen (21/5/13)


Akhbar The Star semalam menyiarkan darihal elaun dan ganjaran yang diterima oleh ahli-ahli Parlimen Malaysia. Dan dalam akhbar yang sama hari ini disiarkan laporan susulan di bawah tajuk:
“MPs: Money goes to the people”

Menurut laporan semalam seorang ahli parlimen di Malaysia menerima elaun RM6,508.59 sebulan selain elaun-elaun dan keistimewaan lain. Antara elaun yang diterima adalah keraiaan RM1,500 sebulan, pemandu RM1,200 sebulan, perjalanan RM1,500 sebulan dan telefon RM900.00 sebulan. Mereka juga menerima elaun persidangan Parlimen RM200 sehari dan RM150 apabila mereka menghadiri majlis-majlis anjuran kerajaan.
Selain itu turut disiarkan elaun Perdana Menteri Malaysia iaitu RM22,826.65 sebulan berbanding RM442,075 untuk PM Singapura!

Secara peribadi saya berseutuju dan merasakan imbuhan yang diterima oleh ahli-ahli Parlimen termasuklah Menteri Kabinet dan MB serta EXCO Kerajaan Negeri-negeri kita adalah rendah. Semakkan semula supaya ia sejajar dengan perkembangan semasa sangat-sangatlah dialu-alukkan.
Dalam laporan The Star hari ini beberapa ahli Parlimen menyuarakan masalah yang mereka hadapi dalam menyempurnakan tugas sebagai wakil rakyat. Ini lebih-lebih lagi bagi kawasan-kawasan yang luas seperti di Sabah dan Sarawak.

Kebanyakkan ahli Parlimen juga menyuarakan agar imbuhan diberikan untuk mereka bagi menyediakan pejabat, kakitangan dan petugas penyelidikkan bagi memudahkan tugas-tugas mereka.
Saya kira wajar sangat pihak kerajaan menyemak semula struktur elaun dan ganjaran buat ahli-ahli parlimen kita termasuklah senator, serta menteri-menteri kabinet. Agar hasil semakkan ini dapat pula diturutui oleh kerajaan-kerajaan negeri.

Setahu saya ahli-ahli Parlimen contohnya sebahagian besar dari PAS memang memberikan tumpuan sepenuh masa kepada tugas mereka. Kita mahukan agar mereka ini juga punya ruang untuk memikirkan hal-hal lain termasuklah keluarga dan masa depan masing-masing. Saya difahamkan ketika Singapura menyemak semula struktur elaun yang sama banyak tahun dahulu ianya dilakukan bagi meletakkan PM dan ahli-ahli Parlimen setaraf dengan tokoh-tokoh di sector korporat selain membenteras gejala rasuah.
Biarlah kepentingan jawatan ini serta status kedudukan mereka di masyarakat setimpal dengan elaun dan ganhjaran yang diterima. Kita cuma ada 222 ahli Parlimen yang memikirkan darihal nasib dan masa depan lebih 23 juta rayat Malaysia. Wajar sangatlah mereka diberi ganjaran yang selesa dengan disediakan kemudahan yang sewajarnya bagi membantu mereka melaksanakan tugas-tugas dengan baik dan sempurna buat rakyat Malaysia.

Semoga PAS peroleh Exco Agama Selangor (19/5/13)

Sunday, May 19, 2013

Menurut kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim komposisi EXCO kerajaan Paktan Rakyat negeri Selangor pasca PRU 13 nanti akan terdiri dari 4 PAS 3 DAP dan 3 PKR. PAS dengan kejayaan 15 kerusi DUN berbanding 8 PRU lalu dijangka memperolehi 1 kerusi tambahan.

Walaubagaimanapun portfolio ahli-ahli EXCO dijangka diumumkan kemudian. Siapa pun yang menjadi ahli EXCO nanti saya kira bagi PAS diperingkat ini yang lebih penting adalah portfolio Hal Ehwal Agama Islam.

Selepas PRU12 dahulu PAS memegang portfolio ini tetapi apabila Dato Dr Hasan Ali dipecat dari PAS dan digugurkan dari ahli EXCO jawatan ini dipegang sendiri ole Menteri Besar.

Saya masih ingat semasa memegang jawatan Setiusaha Akhbar Presiden PAS dahulu, portfolio inilah yang menjadi "concern" Presiden PAS dan saya yakin begitu juga hari ini.

Diharapkan portfolio ini dikembalikan kepada PAS memandangkan calon yang berkelayakan juga ramai antaranya Timbalan Pesuruhjaya PAS yang juga ADUN Sabak Ustaz Sallehen Mukhyi (yang pernah menjadi ADUN kawasan sama pada PRU1999 dahulu). Semoga banyak agenda Islam dapat dimartabatkan nanti

Kenapa masih bertelagah tentang kalimah "ALLAH" (16/5/13)

Thursday, May 16, 2013

Sebuah portal berita terus menerus memainkan isu kalimah “Allah” seakan menyalakan api provokasi agar isu ini terus hidup dan memaksa pada pandangan saya agar umat Islam di Malaysia mengalah dan akhirnya mengizinkan kalimah ini dikongsi dengan bukan Islam.

Terbaru satu kenyataan dari Persekutuan Kristian Malaysia diterbitkan yang antara lain menyebut:
Sesetengah umat Islam mendakwa berulang kali bahawa orang Kristian di Malaysia enggan berhenti menggunakan kata “Allah” kerana mahu mengelirukan umat Islam dan memurtadkan penganut Islam, sekali gus menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. Tuntutan itu adalah tidak berasas kerana tiada bukti penggunaan kata ini membawa ancaman keselamatan negara. Tuduhan ini kekal sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, keadaan sebegitu dibuat kerana jahil dengan hakikat bahawa apabila orang Kristian menggunakan Al-Kitab, ia adalah khusus untuk umat Kristian berbahasa Malaysia. Gereja-gereja di Malaysia tidak pernah mencadangkan untuk mengubah kata “Allah” dan “Lord” kepada “Allah” dan “Tuhan”, begitu juga bahasa-bahasa lain dalam Al-Kitab.
Janganlah disuakan lagi isu ini untuk dijadikan perdebatan umum, seakan menggerakkan “gergasi” yang sedang tidur!

Kenyataan Persekutuan Kritian Malaysia ini apabila diketahui umum pasti akan mengundang reaksi dan akan dibalas pula oleh kenyataan dari badan dan pertubuhan Islam. Lantas akan jadi hangat membara dan mencetuskan pelbagai kemungkinan.
Umat Islam di Malaysia, tanpa mengira fahaman politik, memandang isu ini sangat sensitif. Yang sangat dibimbangi adalah kecenderungan berlakunya insiden murtad. Pihak gereja tidak boleh menyapu kebimbangan ini begitu sahaja dengan menyatakan ia tidak berasas sedangkan luka menghadapi kes Lina Joy, Aishah Bukhari, Joshua Jamaluddin, masing berdarah dan terpahat dalam ingatan umat Islam Malaysia.

Sebaiknya jangan dokocak air yang tenang. Pihak media khasnya media alternatif jangan sekali-kali ada agenda menyalakan kembali api yang semakin padam.

Batu nisan buat Umno Selangor (16/5/13)


Kehancurannya datang timpa-menimpa buat Umno Selangor. Pertama apabila keputusan muktamad PRU 13 menunjukkan mereka cuma bertahan di 12 kerusi DUN sedangkan dahulunya Umno Selangor menang 18 dan MCA 2. Itupun di 2 DUN yang mereka menang, kemenangannya dikira kemenangan “default” kerana pertarungan sesame rakan Pakatan iaitu di Semenyih dan Kota Damansara. Jika tidak mungkin mereka tinggal 10 kerusi dalam tangan.
Kemudian berita kecundangnya “Jeneral” mereka iaitu Zin Mohamad di kerusi parlimen Sepang. Kalau dalam peperangan, apabila “Jeneral” yang kecundang, pasti bala tentera akan porak-peranda dan keadaan menjadi kelam dan kacau bilau.

Ternyata begitulah nampaknya bagi Umno Selangor, apabila dalam pengumuman pembentukan Kabinet semalam, nama seorang lagi hulubalang mereka iaitu Noh Omar pula digugurkan! Tiada lagi wakil Umno Selangor dalam kabinet buat pertama kali dalam sejarah!
Ternyata Pengerusi BN dan Presiden Umno tidak boleh memaafkan kelemahan dan kedangkalan orang-orang kanannya di Selangor. Dengan merosotnya keyakinan itu bermakna terkuburlah Umno di Selangor bersekali dengan MCA dan Gerakan yang sudah pun mendiang belaka.

Di Pulau Pinang Umno berbaki 3 kerusi parlimen dan 10 DUN manakala di Kelantan 5 parlimen 12 DUN (seiras Selangor).
Ada yang meramalkan Umno dan BN tidak mungkin bangkit-bangkit lagi di Selangor sebagaimana nasib rakan seangkatan mereka di Pulau Pinang dan Kelantan. Kesimpulannya batu nisan boleh dipacakkan di pusara Umno di Selangor. Rakan-rakan yang tinggal bolehlah berkira-kira berhijarh samada menyertai PAS, PKR atau DAP.