Pilihanraya Umum ke 14 lalu sudah jauh meninggalkan kita hampir 2 bulan. Kita telah menyaksikan runtuhnya kerajaan BN diperingkat Persekutuan yang telah berkuasa sejak 6 dekad lalu. Melainkan kerajaan negeri-negeri Perlis, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, yang lain-lain turut menyaksikan robohnya penguasaan BN di negeri-negeri berkenaan termasuklah Terengganu yang kini digantikan PAS.
Bukan mudah merebahkan BN yang laksana menongkat langit itu, tetapi akhirnya atas asakkan persepsi dan fitnah selain tempang dan pincangnya BN itu sendiri, ia menjadi realiti dan ramai masih terlonjak-lonjak gembira hingga ke hari ini, selain ada yang berterusan meratap-tangis.
Itulah keupayaan demokrasi, melalui suara rakyat, ia boleh meroboh dan menegakkan sesebuah kerajaan, asalkan berjaya dan bijak mempengaruhi pemikiran rakyat samada dengan fakta dan kebenaran atau sebaliknya.
Kini 2 bulan telah berlalu. Segala asap dan debu yang berkepul-kepul menyelubungi udara hasil pertembungan dan pertarungan sengit PRU ke 14 itu telah pun reda dan berlalu di bawa angin.
Hari ini kita medakap realiti kerja tangan dan kehendak hati kita masing-masing. Keghairahan demokrasi membawa kita ke situasi semasa, apa yang ada hari ini adalah cetusan kehendak sebahagian besar kita.
PAS sesungguhnya telah melahirkan kebimbangan jauh sebelum PRU ke 14 dahulu bahawa sebarang perubahan yang mahu dilakukan janganlah sampai merobek dan mencacatkan “status quo” yang ada.
Kedudukan Islam yang diletak tinggi dan diiktiraf Perlembagaan Persekutuan, selain Institusi Raja-raja Melayu dan kedudukan orang-orang Melayu dan Bumiputera jangan sampai diancam, apabila desakkan perubahan politik langsung tidak mengambil-kira status quo yang ada.
Orang Melayu Islam, suka ataupun tidak merupakan majoriti penduduk dalam negara. Jika kuasa politik mereka tergugat atau mengecil hasil keghairahan mengejar sesuatu agenda peribadi maka tatkala itu status quo yang ada akan tergugat
Apabila perubahan politik memberi kuasa kepada golongan minoriti mengatasi golongan majoriti, kita sesungguhnya telah membuka pintu pagar mengorbankan status quo tadi kerana taksub mengejar kepentingan dan agenda peribadi.
Hak demokrasi adalah hak yang dijanjikan buat rakyat, tetapi jangan sampai hak tadi terguna sehingga kita menggadaikan pula segala hak utama yang ada dalam tangan.
Akhirnya kita serupa si Kitol dan Pak Kaduk, perahu telah terlajak, maka rasalah azabnya kerana tidak panjang berfikir dan telah terpesona dengan fitnah dan persepsi jahat serta janji-janji kosong.
Pasca PRU14, kerajaan Persekutuan Malaysia kini berubah bentuk. Dari 222 ahli di Parlimen, kerajaan baru ini menguasai 124 kerusi (angkanya berubah-ubah kerana fenomena politik “lompat katak” yang diterima sebagai amalan biasa), Dari 124 itu, 58 diwakili ahli-ahli Parlimen beragama Islam manakala 66 yang lain pula bukan Islam.
Ini bermakna buat pertama kali dalam sejarah kerajaan Persekutuan Malaysia adalah kerajaan yang anggotanya majoriti bukan Islam. Ia tidak salah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan, tetapi ini bermakna segala status quo yang melibatkan kepentingan dan hak yang disebutkan di awal tadi kini berada di tangan mereka.
Kalau di zaman BN dahulu pun banyak usaha untuk memartabatkan Islam dan memperjuangkan nasib masyarakat majoriti Melayu dan Bumiputera ketinggalan dan ditinggalkan, apakah yang boleh diharapkan dari kerajaan baru seumpama di atas?
Mungkinkah agenda melahirkan sebuah negara Malaysia yang lebih sekular dan liberal akan menjadi kenyataan kerana blok terbesar dalam pakatan parti pemerintah hari ini terdiri dari parti yang mempunyai agenda sedemikian?
Mungkinkah agenda “Malaysian Malaysia” yang sesungguhnya mengenepikan segala kontrak sosial yang lampau semata-mata kerana mahu menyama tarafkan semua kaum dalam negara akan menjadi realiti? Meritokrasi menjadi amalan dan kriteria penting kelayakan seseorang bukan lagi hak kaum atau golongan yang tercicir?
Ini bukannya hasutan atau usaha mengadu-domba, tetapi ini satu hakikat yang perlu disedari dan diinsafi terutama oleh masyarakat Melayu Islam, kerana apa yang ada hari ini adalah atas kehendak sebahagian besar kita.
Kita mahu meguji dan mencuba, lalu pikullah hasil ujian dan cubaan kita itu.
Sewajarnya kita insaf dan kembali bertaut mempertahan dan nanti mengembalikan status quo yang telah kita pelihara sekian lama. Mujurlah proses demokrasi berpilihanraya dalam negara berjalan setiap 5 tahun.
Bertahanlah kita atas kelalaian dan kealpaan ramai, tetapi jangan sesekali berputus-asa, bila tiba masanya nanti jangan lagi kita ulangi kesilapan yang sama. Biar si Kitol dan Pak Kaduk sahaja yang berterus-terusan menanggung derita kecelaruan nafsu mereka. Kita kekallah sebagai bangsa dan penganut yang berilmu dan bermaruah.
Perbetulkan kesilapan kita dan pastikan benteng dan maruah agama dan bangsa sentiasa berdiri kukuh dan teguh selepas ini, tiada lagi tergugat. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment