Friday, April 27, 2018

Baiah dengan kerelaan

Tiba musim pilihan raya satu syarat penting yang diwajibkan ke atas semua calon-calon PAS adalah tanggungjawab melafazkan baiah. Isu baiah ini pernah menjadi kontroversi apabila berlaku beberapa siri pengkhianatan terhadap PAS yang menyaksikan beberapa kerat wakil-wakil rakyatnya bertindak khianat dengan melompat parti dan ada yang menubuhkan parti baru.

Mereka nekad mengkhianati PAS walaupun mereka tahu sebelumnya mereka telah melafazkan baiah dengan bersumpah menyebut nama Allah sebelum bertanding dalam pilihan raya sebagai calon-calon PAS.

Saya berkesempatan buat pertama kali menyaksikan baiah yang dilakukan oleh calon-calon PAS Selangor di hadapan Pesuruhjaya PAS Selangor Ustaz Sallehin Mukhyi baru-baru ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14.

Baiah ini sebenarnya sumpah taat setia untuk mengikat calon-calon PAS agar istiqamah dengan perjuangan PAS dan tidak mengkhianati parti ini sewenang-wenangnya apabila telah diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Melalui baiah ini adalah diharapkan calon-calon PAS ini punya satu ketahanan mengawal diri dari bertindak liar kerana sumpah telah dilafazkan atas nama Allah.

Dengan cara ini masing-masing calon dibendung oleh disiplin dan ketaatan pada PAS.

Harus diingat satu hakikat penting baiah PAS ini adalah ianya dilakukan dengan rela diri tanpa paksaan oleh setiap yang dicalonkan oleh parti. Tidak ada seorang pun yang ingkar  atau enggan melafazkan baiah setelah dipilih sebagai calon.

Bermakna dalam keadaan waras dan sedar, tanpa paksaan mereka ini melafazkan nama Allah dan berikrar  tidak akan khianat pada PAS kecuali mereka dengan rela membiarkan diri dilaknat oleh Allah, Rasul Nya dan para malaikat serta sekalian makhluk yang boleh melaknat.

Bagi mereka yang sedar serta akur akan betapa beratnya implikasi melafaz baiah ini, mereka akan sebak, sedih malah ramai yang akan menitiskan airmata sebagaimana saya saksikan sebahagian calon-calon PAS Selangor yang melfazkan baiah baru-baru ini.

Mengapa demikian, kerana mereka sesungguhnya tahu yang mereka terikat dengan ikatan langsung pada Allah swt atas kerelaan diri mereka masing-masing dan saya pasti tidak seorang pun dari mereka akan bersedia mengkhianati parti kerana insaf akan impilkasi ke atas setiap mereka.

Baiah ini secara langsung membina saf pimpinan PAS yang bermoral, berdisiplin serta sedar dan faham akan tanggungjawab mereka masing-masing samada kepada parti mahupun kepada rakyat jelata yang memilih mereka. Melalui baiah jualah para ahli dan penyokong PAS dapat diberikan keyakinan bahawa apa sahaja cabaran yang bakal berlaku dan mendatang, setiap wakil rakyat PAS akan akur dan menerima pandangan parti serta meletakkan kepentingan jemaah mengatasi kepentingan peribadi.
Oleh hal yang demikian datang pilihan raya umum ke 14 ini rakyat jelata perlu prihatin dan peka pada bekas ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN PAS yang datang menawarkan diri mereka sebagai calon-calon atas nama perbagai parti pilihan mereka selain PAS.

Jangan sekali-kali kita mengizinkan mereka ini mendapat undi dari masyarakat Islam, kerana ternyata mereka bukannya sekadar telah mengkhianati PAS tetapi lebih penting mereka telah mempermain dan mempersenda  lafaz baih mereka yang menyebut nama Allah swt.

Apalah yang boleh diharapkan dari mereka, jenis yang sanggup merongkai dan mensisihkan diri dari ikatan yang mereka bentuk sendiri dengan kerelaan hati, tanpa paksaan dari sesiapa. Lebih parah nama Allah swt telah digunakan sebagai sumpah, namun dengan mudah mereka mengkhianatinya demi mengejar agenda dan kepentingan peribadi.

Wajarkah mereka yang seumpama ini diberikan peluang lagi untuk naik sebagai ahli Parlimen atau ADUN?

Pepatah Melayu menyebut jika kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang melalui mulutnya. Kerbau yang haiwan sudah tentu tidak berakal, itupun jika diikat pada tali ia boleh dipegang dan dipandu, tetapi manusia walaupun berakal tetapi jika mulutnya melafazkan janji tetapi boleh berdoalk-dalik dan dipermain-main, ketika itu manusia tadi lebih hina dari haiwan kerbau.

Mereka yang mudah melanggar janjinya pada Allah, adalah jenis yang paling bahaya kerana ia tidak langsung punya sifat gerun dan takut pada Allah swt, Tuhan  yang Maha Kuasa lagi Perkasa. Calon-calon PAS Selangor yang melafazkan baiah baru-baru ini ternyata sangat gerun sebaik melafazkan kalimat waullahi, wabillahi, wataullahi, kerana baiah yang mereka ikrarkan itu tersemat atas janji pada Allah swt.

Sesungguhnya pilihan raya umum yang ke 14 ini adalah gelanggang yang paling baik buat kita untuk mengajar kesemua pengkhianat yang mempersendakan baiah mereka pada Allah dengan pakat-pakat kita menolak mereka beramai-ramai.

Biarlah mereka menanggung laknat dari Allah, Rasul Nya dan para malaikat serta sekalian makhluk yang melaknat kerana mereka sendiri dengan sedar diri sesungguhnya mengundang laknat itu.

Semoga calon-calon PAS bukan sahaja di Selangor, malah diseluruh negara akan belajar dari insiden pengkhianatan yang dilakukan oleh bekas wakil-wakil rakyat PAS ini. Janagan sesekali kita pula yang terpalit dengan pengingkaran dan dosa yang sama.

Allah swt bersama mereka yang benar dan memelihara janji mereka pada Nya. roslansms@gmail.com

No comments: