Thursday, April 12, 2018

Pilihan di tangan kita

Parlimen kini dengan rasminya telah dibubarkan. Tindakan ini memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 14 yang dijangka hari mengundinya sekitar minggu pertama bulan Mei nanti.

Dengan perkembangan ini rakyat Malaysia khasnya para pengundi berdaftar yang berjumlah 14.9 juta orang akan diberikan hak untuk menentukan wakil mereka yang kelak bakal membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri kecuali Sarawak.

Adakah Barisan Nasional akan kembali berkuasa di peringkat Persekutuan atau akan berlakukah satu perubahan pentadbiran negara buat pertama kali dalam sejarah?

Bagaimana nasib parti-parti lain, Pakatan Harapan dan PAS serta parti-parti di Sabah dan Sarawak?

Proses memilih pemimpin yang bakal mencorak dan menentukan nasib serta masadepan kita, negara kita, adalah penting dan bukannya main-mainan. Ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh mana-mana sentimen sempit, agenda peribadi, atau ditentukan oleh nilai sogokan dan janji-janji kosong.

Rakyat harus juga menimbang dan memikirkan kesan serta impak kiranya kita cenderung dan memilih satu-satu parti setelah hampir 61 tahun negara Merdeka ini. Kita malah boleh menilai dan malah cukup berpengalaman dengan kebanyakkan parti-parti yang bakal bertanding ini.

Masalah di hadapan kita bukannya untuk menyelamat dan menjamin survival politik satu-satu pihak, bukan juga untuk mengembalikan individu tertentu ke tampuk kuasa atau menaikkan suku dan kroni atau anak-beranak, adik-beradik sesiapa untuk memegang kuasa. Masalah kita, rakyat jelata hari ini adalah bagaimana kita terbit keluar dari kemelut kehidupan yang serba terbeban hari ini angkara kenaikkan kos hidup yang begitu menghimpit diri dan keluarga masing-masing, serta bagaimana negara kita bersih dari anasir pimpinan yang rasuah dan menyeleweng sehingga memporak-perandakan urusan negara dan negeri-negeri.

Lantaran itu keterbukaan dan kematangan sangat-sangat diharapkan dari kita. Jika kita terlalu taksub dengan satu-satu parti sedangkan kita tahu merekalah punca permasalahan kita hari ini, atau kita sedar mereka punya kepimpinan yang bakal mengulangi permasalahan yang kita tanggungi sebelum ini, kita undi juga mereka, maka kita sesungguhnya menyumbang ke arah keruntuhan dan kemusnahan negara.

Mentimun dan pisau di tangan kita pada peringkat ini, parti-parti politik sekadar mampu berkempen dan menyogok kita dengan wang dan pelbagai janji, tetapi kitalah kelak yang memutuskan siapa pilihan kita tanpa paksaan.

Barisan Nasional yang diterajui Umno telah berkuasa sejak Merdeka diperingkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri di Semenanjung selain Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Dengan mereka diteraju, suka tidak suka sebahagian besar permasalahan yang dibebani kita hari ini adalah kesan langsung dari ketempangan dan kepincangan kepimpinan mereka. Terakhir dari Tun Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Badawi dan kini Dato Seri Najib Tun Razak, segala serba tidak kena, hutang negara makin mencacak naik, kos hidup rakyat semakin membebankan, dan rasuah serta salah guna kuasa seakan tidak dapat dibendung lagi.

Mahukah rakyat terus bersama mereka sedangkan rekodnya telah semua kita ketahui?

Pakatan Harapan menggabungkan PKR, DAP, PBBM dan Pan. Pakatan mereka ini kini diteraju Tun Dr Mahahtir, tokoh yang sama yang punya 22 tahun pengalaman sebagai pemimpin negara dahulu semasa beliau Umno. Hampir 60% rekod BN sejak tahun 1981 dipengaruhi oleh kepimpinan beliau. Bermakna Tun tidak boleh melepaskan diri dari turut bertanggungjawab dan menyumbang dalam malapetaka yang kita tanggung hari ini.

Selain Tun, PH juga menghimpunkan pimpinan rasis dan sangat prejudis terhadap Islam khasnya dari kalangan DAP. Mereka juga kaya dengan pimpinan yang tidak berjuang atas mempertahankan prinsip tetapi sungguh liberal dan menganuti fahaman “matlamat menghalalkan cara”. Asal sahaja boleh menang dan berkuasa, mereka ini sanggup melakukan apa sahaja. Sikap sebegini harus diawasi dan dijauhi.

Mahukah kita serahkan nasib negara pada mereka?

Demikanlah BN dan PH yang sewajarnya rakyat telah sangat kenal dan waspada. Dalam tempuh berkempen ini masing-masing boleh berkata dan berjanji apa sahaja, tetapi rekod yang sedia ada jelas untuk diberi perhatian dan diingati rakyat. Jangan sekali-kali kita cenderung pada mereka yang terbutki mempunyai kemampuan memunahkan masa depan kita.

Berhadapan dengan dua pilihan yang sama berat dan sama memudaratkan itu, maka PAS datang ditengah-tengah, menghulurkan tangan untuk menyelamatkan rakyat dan negara, membela serta memperjuangkan nasib dan masa depan semua ke arah yang lebih sejahtera dan terjamin.

Negara kita yang Merdeka dan berdaulat ini perlukan saf kepimpinan yang berintegriti, berprinsip dan paling penting bertaqwa agar segala kepincangan dan ketempangan yang ada dapat ditangani dan dipulihkan, serta rakyat boleh mengecap dan merasai nikmat kesejahteraan negara tanpa perlu menderita di bumi sendiri. PAS lah pilihan anda.

Biar keadilan dapat dijamin dan diberikan pada semua, biar juga kekayaan negara dapat dikongsi dan dirasai semua tanpa perlu menyogok dan meraikan kroni dan kaum keluarga. Biar Islam kekal sebagai agama rasmi sehingga dapat diamalkan sebagai satu cara hidup oleh umat Islam dengan jaminan keadilan dan kesaksamaan diberikan pada semua. Biar semua warganegara dapat hidup aman damai tanpa berprasangka antara satu sama lain.

Kita perlu berani dan tegas dalam menjalankan tanggungjawab memilih dalam PRU ke 14 ini. Nasib dan masadepan negara terletak ditangan kita. Jalankanlah tanggungjawab dengan tanggungjawab dan amanah. Ke arah Malaysia yang sejahtera. roslansms@gmail.com

No comments: