Berlaku atau tidak “Tsunami Melayu” dalam Pilihan Raya Umum ke 14 ini terus diperdebatkan banyak pihak.
Adakah para pengundi Melayu yang paling teruk terkesan akibat kenaikan kos hidup, akan bangkit menyatakan protes mereka melalui peti undi, mengulangi mungkin pada skala yang lebih besar protes pada tahun 1999 dahulu yang telah menyaksikan PAS kekal di Kelantan dan menawan Terengganu serta menguasai bangku pembangkang di Dewan Rakyat dengan 27 kerusi mengatasi DAP dan PKR.
Bagi Umno, apa yang dikatakan tsunami itu hanyalah rekaan, tetapi bagi kebanyakkan penganalisa, ianya sesuatu yang “real” yang boleh mengakibatkan Umno kehilangan sehingga 30 peratus sokongan terhadapnya khasnya dari kalangan para pengundi Melayu.
Dimana-mana sahaja termasuklah di lubuk Umno, pada hari ini isu rasuah, GST, kenaikan harga barang dan perkhidmatan terus menjadi bualan hangat dan panas. Ianya lebih panas dari 1999 dahulu, kerana ketika itu isunya sekadar kronisma, korupsi dan nepotisma regim Mahathir serta kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa siri kezaliman Perdana Menteri waktu itu.
Hari ini isunya periuk nasi masing-masing yang teruk terjejas kerana kepincangan dan ketempangan pentadbiran Umno dan BN, dan kesannya mengena secara langsung atas setiap individu rakyat, satu kesan mendalam yang sukar dimaafkan.
Dalam pada itu proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya telah pun diluluskan Parlimen. Sempadan baru ini khususnya di Pantai Barat melihatkan sempadan sesuatu kawasan Parlimen atau DUN itu banyak samada secara kebetulan atau dirancang dipengaruhi oleh satu-satu kaum.
Kalau di Selangor rata-rata kerusi negerinya kini samada adalah kawasan majoriti Melayu ataupun bukan Melayu. Kerusi-kerusi campuran yang dahulunya banyak diwujudkan sewaktu Tun Dr Mahathir Perdana Menteri kini samada dikurang atau ditiadakan.
Mereka yang merupakan arkitek terhadap sempadan baru ini mungkin mahu memberi “advantage” kepada sesuatu pihak, dilebihkan kerusi Melayu supaya lebihlah kuasa politik Umno dengan dikurangkan kerusi-kerusi campuran yang merupakan ancaman buat survival Umno.
Mereka lupa orang-orang Melayu ini sejak Merdeka terbelah dua kecenderungannya iaitu samada mereka Umno ataupun PAS. Kalau dilebihkan kerusi Melayu dengan dileburkan kerusi campuran, bermakna ianya bukan sekadar membuka peluang pada Umno, hakikatnya PAS juga boleh mencuri peluang dan kesempatan.
Dan berbalik kepada isu “Tsunami Melayu” tadi, masakan para pengundi Melayu samada di bandar mahupun luarbandar yang terluka dan parah akibat bahana kenaikan kos hidup tadi mahu terus memperjudikan pula undi mereka dengan mengulangi memangkah Umno sedangkan BN dan Umnolah punca permasalahan mereka.
Mungkin tidak sepenuhnya, tetapi unjuran kemerosotan 30 peratus undi penyokong Umno itu, jika berlaku, sudah barang pasti ianya akan beralih ke PAS sebagaimana pada tahun 1999 dahulu.
Kenapa tidak Pakatan Harapan, kenapa mesti PAS?
PH yang diketuai Tun Dr Mahathir dijangka sukar menimba dan mengambil manfaat tsunami ini kerana beliau itu sesungguhnya penyumbang besar ke atas permasalahan yang ada. Anwar dan Lim Kit Siang atau Mat Sabu demi mahu menangguk kemenangan sanggup dan tergamak melupakan pelbagai “jenayah” dan skandal Tun semasa beliau PM dahulu, tetapi orang Melayu kebanyakannya termasuklah sebahagian bukan Melayu dikatakan sukar melupakannya.
Anak beranak dan kaum kerabatnya kaya raya lantaran kedudukannya, isu ini pernah didedahkan berulang kali bukan oleh orang lain tetapi Anwar, Kit Siang dan Mat Sabu juga satu ketika dahulu. Itu tidak termasuk kezalimannya mengekang kebebasan bersuara dan berhimpun, menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, memecat Ketua Hakim Negara dan mengancam institusi kehakiman dan senarai 22 tahun itu terlalu panjang jika mahu diperincikan.
PH juga didominasi DAP, parti kaum bukan Melayu, yang kini lantaran sokongan besar masyarakat bukan Melayu terhadap mereka merasakan mereka boleh melonjak lebih tinggi lagi dengan menguasai sokongan orang-orang Melayu pula dengan cara memijak kepala parti-parti Melayu dalam PH. DAP bercita-cita menguasai Putrajaya dengan memperkenalkan ideologi sosialis sekular mereka dan menjadi ancaman pada status quo yang ada khususnya yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam.
Lantaran itu jika benar dikatakan bakal tercetus tsunami itu, maka persempadanan baru yang diluluskan ini bakal melakarkan lanskap baru buat negara dan negeri-negeri.
PH yang dianggotai parti-parti yang lebih besar ancamannya pada survival umat Melayu dan Islam dijangka diketepikan begitu sahaja dalam PRU ini khususnya oleh pengundi Melayu. Takkanlah orang Melayu mahu mengundi BN yang merupakan punca masalah mereka, dan takkanlah mereka mahu cenderung pula pada PH yang dikuasai DAP yang punya Tun Dr Mahahtir sebagai peneraju.
Tsunami Melayu tidak syak lagi bakal bangkit bergelombang membawa orang Melayu khasnya sekali lagi menolak semua pihak yang bermasalah. Mereka akan tegak dan bertaut serta meletakkan keyakinan mereka pada satu-satunya parti yang terbukti istiqamah dan tidak pernah mengabaikan kepentingan serta nasib mereka iaitu PAS. Parti Islam yang bersih, yang amanah dan penuh berintegriti inilah bakal menjadi pilihan para pengundi Melayu dan rakyat Malaysia pada PRU ke 14 ini. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment