Saturday, December 22, 2007

BN dalam dilema

Sudah lama kita tidak mendengar khbar berita dari bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. Tokoh yang dinaikkan di zaman Tun Dr Mahathir itu dahulu memang tidak banyak bercakap tetapi pernah mencetuskan banyak kontroversi. Sebagaimana beliau yang tidak banyak becakap, datang dan perginya juga secara senyap-senyap tidak banyak diketahui orang.
Tetapi sekali beliau bercakap, sehinggakan PM terpaksa mengulas dalam waktu perdana siaran berita jam 8.00 malam tadi.




Apa kata Daim sehingga mengundang reaksi spontan Dollah? Kata Daim sebagaimana dilaporkan dalam The Star hari ini yang diceduk dari temuramah eksklusif beliau dengan The China Press, kerajaan BN perlu beri perhatian dan tumpuan kepada 3 buah negeri yang beliau sifatkan sebagai "hotspots". Negeri-negeri itu bukannya Kelantan atau Terengganu, tetapi 3 buah negeri yang beliau maksudkan adalah Kedah, Pualu Pinang dan Selangor.

Antara faktornya kata beliau, jika di Selangor golongan kelas pertengahan ramai yang tidak berpuas-hati dengan beberapa keputusan pihak kerajaan. Akhbar The Star tidak menghuraikannya tetapi bagi saya di Selangor masalah terbesar rakyat adalah bagaimana mahu mengharungi hidup dalam suasana kos hidup yang tinggi dan mencengkam. Antara negeri yang termaju di Malaysia adalah Selangor sejak zaman-berzaman, namun risiko pembangunan pesat adalah kenaikkan kos hidup yang tinggi yang masalahnya tidak setimpal dengan pendapatan.

Pulau Pinag beliau sifatkan sebagai sebuah negeri yang paling aktif berpolitik. Dasar-dasar kerajaan negeri sering dihalusi oleh rakyatnya dan jika BN tidak beri perhatian kepada rungutan dan ketidakpuasan hati rakyat, tidak mustahil "angin perubahan" akan bertiup di negeri ini.

The Star tidak pula menjelaskan mengapa Kedah juga termasuk dalam "hotspots" yang beliau maksudkan. Mungkin rakyat di sana telah bosan dengan kerajaan yang didominasi Umno yang gagal memenuhi keperluan mereka. Mungkin faktor Tun Dr Mahathir kuat bermain di Kedah. Mungkin rakyat Kedah mahukan kerajaan yang lebih berjiwa rakyat.

Apa pun pandangan Tun Daim ini terus diberi respon oleh Dollah ketika ditanya oleh para wartawan. Kata Dollah kita akan beri perhatian kepada negeri-negeri ini dan menghargai pandangan Tun Daim. Pandangan Tun Daim ini jelas menambah kusutkan lagi Dollah. Beliau sebelum ini dikatakan berhadapan dengan kecenderungan masyarakat Cina untuk memberi sokongan kepada pembangkang pula kali ini, ditambah dengan ketidakpuasan hati masyarakat India ekoran isu Hindraf. Kini masuk pula tiga negeri ini, itu beluam lagi mengambil kira Kelantan dan Terengganu.

Mungkinkah BN di bawah Dollah akan menghadapi gerhana yang lebih teruk dari zaman Tunku pada tahun 1969 atau zaman Tun Dr Mahathir pada tahun 1999?

No comments: