Kerana kuasa manusia sanggup berbunuh-bunuhan
Pagi ini semua akhbar tempatan meletakkan peristiwa pembunuhan bekas PM Pakistan, bermazhab syiah, Benazir Bhutto semalam sebagai paparan muka hadapan. Hatta akhbar Sinar Harian yang sejak kebelakangan ini bagaikan majalah sekolah memaparkan hampir 100% berita dan aktiviti Umno juga menampal berita ini di muka depannya.
Pembunuhan politk nampaknya semakin menjadi-jadi di Pakistan. Belum pun penyiasatan dibuka, banyak pihak telah menuduh puak pelampau agama sebagai pembunuhnya. Ada juga yang menyalahkan Presiden Musharaf, mungkin ada yang selepas ini akan menyalahkan bekas PM Nawaz Sharif, al qaeda, Iran, Amerika Syarikat, entahlah?
Di Malaysia mungkin akan ada pihak-pihak tertentu menggunakan tindakan keganasan itu sebagai alasan bahawa demokrasi di Malaysia adalah jauh lebih baik, selamat dan terkawal. Kalau demokrasi di Pakistan macam Malaysia, tidak ada siapa yang akan mati. Semuanya selamat. Ceramah umu perlu permit, TV dan radio hak eksklusif parti pemerintah, begitu juga akhbar, kerana itu suara pembangkang berjaya dikecilkan, lalu tiadalah kekacauan dan kematian. Yang mati hanyalah demokrasi itu sendiri.
Tetapi kita juga sebenarnya tidak sunyi dari pembunuhan politik. Yang terawal adalah yang melibatkan ahli Parlimen Pasir Mas Hulu dari PAS, Abdul Samad Gul. Beliau mati dihentak dengan “kapak kecil”. Pembunuhan (politik) yang penuh kontroversi yang saya kira sehingga hari ini tidak ramai yang tahu, tidak berjaya diselesaikan (ayah saya kebetulan adalah Pegawai Penyiasatnya). Kita juga ada pembunuhan kerana merebut jawatan politik, iaitu pembunuhan Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Mohd Taha yang juga ADUN Gemenceh. Yang disabitkan sebagai salah seorang pembunuhnya adalah pemimpin muda Umno ketika itu dan Menteri Kebudayaan dan Sukan Datuk Mokhtar Hashim.
Dan kita juga ada satu lagi kes p[embunuhan yang tidak juga selesai sehingga kni iaitu yang melibatkan ADUN Lunas Dr Fernandez serta satu lagi kes pembunuhan melibatkan perubatan kuasa dalam Umno iaitu kes terkemuka Datuk Mazlan, Batu Talam (Mazlan dikatakan menuntut ilmu untuk kaya dan berkuasa tetapi akhirnya mati dicincang oleh sepasang bomoh dan pembantunya).
Ngeri dan tragis juga kes-kes pembunuhan politik di Malaysia ini, cuma taklah setaraf di Pakistan.
Apa pun ini membuktikan kepada kita demi melangsungkan agenda politik, manusia sanggup sehingga berbunuh-bunuhan kerana mahukan kuasa! Rekod membuktikan dalam hal ini bukan hanya orang Pakistan malah orang Malaysia khasnya dari Umno pun, sanggup berbunuh-bunuhan kerana kuasa. Semoga Allah swt menjauhkan kita dari kejahatan mereka yang seumpama ini.
No comments:
Post a Comment