Sunday, December 20, 2009

Jadilah blogger pendakwah bukan pemfitnah

Saya mula memiliki laman blog sendiri dan mula ber”blog” di Roslan SMS Corner ini sejak hari Khamis 20 Mei 2004 iaitu lebih 5 tahun yang lalu. Sebelum itu saya menulis dan mengirimkan posting saya ke laman-laman web pro reformasi dan pembangkang termasuklah Laman Reformasi, Mahafiraun selain laman rasmi milik PAS, paling aktif ketika itu menjelang PRU 1999. Seingat saya pemilik blog politik ketika itu tidak banyak, kalau pun ada adalah Screenshots milik Jeff Ooi (kini YB), Umno-reform (kendalian Sdr Anuar Md Nor) selain laman Malaysia Today milik Raja Petra.

Blog-blog yang ada ketika itu masing-masing berlumba-lumba untuk menjadi media alternatif. Mengemukakan pendedahan dan pendapat yang berbeza nafasnya dari media arus perdana. Kita serang, bongkar dan dedah selain mempertahankan yang hak semuanya demi mengemukakan ruang alternatif buat rakyat Malaysia.

Tiada yang bermain api, menabur onar dan duri. Semuanya menulis dengan penuh tanggungjawab dan menjunjung prinsip perjuangan yang sama iaitu kea rah menegakkan keadilan dan merobohkan kezaliman.

Sejak itu saya sudah memuatkan 2,600 posting dalam blog saya itu yang sudah mencatat jutaan hits.

Hari ini saya tertarik dengan kertas yang dibentangkan oleh Ustaz Abdul Ghani Samsudin sempena Konvensyen Blogger PAS yang menyebut:

Penulisan apa juga bentuknya mestilah disertai dengan rasa tanggungjawab yang tinggi. Manusia tidak terjerumus dalam neraka kecuali hasil penuturan lisan atau pengungkapan penanya.

Beliau memetik beberapa nas al Quran antaranya:

Nun. Demi pena dan catitannya. (al Qalam:1)

Setiap perkataan yang dituturkan semuanya di bawah pemantauan Malaikat Tuhan Raqib dan Atid. (Qaf: 18)

Pada hari Kami menutup rapat mulut mereka, manakala tangan mereka mengatakan kepada Kami keperihalannya, kaki mereka menjadi saksi terhadap segala perbuatan mereka yang lalu. (Yassin: 65)

Blog adalah senjata dakwah bukannya medan untuk memfitnah dan menganiaya orang lain. Lantaran ia senjata dakwah maka penulisnya perlu menggunakannya dengan penuh ikhlas, menitipkan nilai-nilai kebenaran dan menebarkan kebaikan dan kebenaran.

Saya yakin para bloggers yang faham peranan mereka akan akur pada seruan ini dan malah akan memelihara tertib dan nafsu masing-masing jangan sampai terlanjur, jangan sampai memperkosa amanah yang diberikan. Kalau kita mahu bawa mesej perjuangan, maka baik yang kita bawa akan mengharumkan perjuangan itu. Namun dalam waktu yang sama jika kita memuatkan najis dan kotoran maka busuk dan hapaknya akan terpalitpada tubuh perjuangan.

Kehebatan pendakwah, apa sahaja gelanggang yang ia ceburi, adalah kejayaan memikat hati sasaran dan membawa mereka tunduk pada dasar perjuangan. Tetapi jika dakwah kita sekadar memecah belahkan jemaah, menabur fitnah dan mengadu-domba, kita bukan sahaja gagal tetapi perjuangan akan dipandang hina oleh sasaran. Ya mungkin kita boleh jadi popular, kerana hidangan kita panas-panas, tetapi dakwah apakah itu jika yang riang dan bertepuk tangan adalah musuh.

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang ketika merasmikan konvensyen itu berkata:

Jihad yang paling afdal adalah bercakap benar

Ber “blog” ini adalah jihad. Dan kerana ia jihad, bukannya alat untuk cari popularity atau kemegahan makakita dituntut berkata yang benar.

Tuan Guru turut berkata:

Penulisan dengan menyebarkan maklumat yang baik akan menghasilkan pahala yang berpanjangan manakala penyebaran berita dengan niat jahat menghasilkan dosa berterusan.

Tulisan blog boleh menjadi senjata tajam jika diguna untuk membela Islam, tetapi boleh menjadi racun berbisa merosakkan masyarakat jika disalah guna.


Semoga kita semua akan terus insaf akan seruan ini dan jadikan ia pedoman dalam kita melayari bahtera perjuangan yang serba mencabar dan jauh ini.

Saya insyallah berblog sebagai sumbangan jihad dan medan dakwah yang termampu oleh saya. Saya tidak percaya pada sensasi murahan apalagi kerja-kerja fitnah dan adu-domba. Kiranya tersasar, semoga diampuni Allah swt.

Marilah kita semua, para bloggers yang komited, menjadi pasukan yang padu dan jitu untuk Islam. Sasaran kita satu, matlamat kita satu. Berlepas dirilah kita dari kerja-kerja bodoh yang merosakkan jemaah dan mengagalkan dakwah. Selamatkanlah kami Ya Allah.

3 comments:

theskems said...

saya mengikuti blog Encik Roslan sejak tahun 2005 lagi.. walaupun ia tidak sesensasi blog2 lain namun entah kenapa saya tetap setia membaca.. namun saya lihat blog ini kurang interaktif maksudnya tiada respond terhadap komen2 yang diberikan.. saya rasa elok juga kita menjawab atau memperbetulkan hujah orang lain selain hanya menyampaikan pandangan sahaja.. tapi itu pandangan saya, saya faham jika itu bukan cara Encik Roslan.. sekian wassalam..

Saupi Azran bin Muhamad Tamjis said...

Antara Blog yang menampilkan gaya penulisan paling berakhlak dan beretika, tidak sensasi mana pun namun gaya penulisannya penuh 'ilmiah' walau tiada fakta dikemukakan.

Saya hormati penulisan Tuan yang penuh rasa tanggungjawab dan meletakkan Amanah dan pembalasan Allah SWT mendahului tujuan tulisan Tuan...

Teruskan menulis semoga Tuan dipandu hidayah Allah SWT.

Anonymous said...

Hello Bro,
Aku harap lu jangan jadi macam sorang blogger yg angkat diri dia sendiri, gile galamor & publisiti tu n gelar diri dia ahli PAS sejati. Aku rasa lu mesti kenal dia sebab dia selalu hentam lu juga. So bro , teruskan usaha lu utk semarakkan perjuangan ini demi PRU 13 nanti.