Tuesday, June 23, 2015

Khalid Samad tak perlu tunggu 100 hari (23/6/15)

"Saya yakin inilah sikap yang akan diambil oleh orang-orang yang selama ini memburuk-burukkan kami sebagai liberal, Anwarinas dan berwala' pada Pakatan Rakyat (PR) jika mereka terpilih dalam muktamar PAS nanti sebagai AJK PAS Pusat,"

“Sikap mereka keras dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana,”

Demikian petikan kenyataan ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, pada 21 April lalu sebagaimana terakam dalam The Malaysian Insider.

Beliau masuk bertanding mempertahankan jawatan AJK PAS Pusatnya  dalam Muktamar ke 61 lalu dengan penuh keyakinan bahawa para perwakilan akan menerima segala hujah dan pandangannya. Bahawa PAS mesti diselamatkan. Bahawa PAS mesti dipimpin dan didominasi oleh mereka yang kononnya non konservatif dan progresif seperti beliau.

Ini agar PAS nanti jadi “friendly” mahu berkawan dengan semua dan pemimpinnya semua bijak-bijak belaka dalam berpolitik. Maka tiadalah PAS bersendirian dan ketika itu PAS akan muncul teraju dalam arus perdana politik.

Khalid mahukan PAS yang baru mengikut naluri dan pandangannya. Dalam Malaysiakini beliau dipetik berkata (12 Mac 2015):
 
“Di dalam muktamar, prestasi AJK PAS Pusat akan dikaji dan dinilai dari sudut pencapaian matlamat yang telah diputuskan oleh Muktamar. Dan sekiranya prestasinya tidak memuaskan, AJK (anggota jawatankuasa) PAS Pusat, termasuk presiden, boleh dan layak ditukar melalui proses pemilihan di Muktamar,”

Kita menjangkakan Khalid yang gagah bangkit mahu menukar Presidennya tahukan adat pertandingan. Masakan Khalid yang lantang menegur dan mengkritik bukan sekadar Presidennya, malah semua yang tak sehaluan dengannya habis disasarkan termasuklah Dato Dr Harun Din dan MB Kelantan, tak kan tak tahu adat pertandingan. Takkanlah dalam keadaan “bengis” begitu beliau tidak tahu adat pertandingan.

Apa adat pertandingan? 

Bahawa yang masuk bertanding nanti kesudahannya akan ada yang menang dan ada yang kecundang. Takkanlah nak menang sahaja dan tiada yang akan kalah.

Jangan jadi macam MIC hari ini, nak bertanding pun belum tentu ada gelanggang, masing-masing tidak boleh duduk bersetuju belum pun bertanding.

PAS mengadakan Muktamarnya yang ke 61 dengan penuh tenang dan tertib walaupun kempen-kempennya dikatakan hangat. Pengerusi pemilihan pun bukan lah ulamak tetapi rakan karib Khalid yang ada bersamanya dalam perhimpunan di Muar baru-baru ini yang turut dilaporkan dalam facebook Lim Kit Siang.

Malangnya Khalid tewas. Undi tertinggi buat 18 jawatan AJK Pusat diperolehi oleh Ustaz Dr Ridhuan Mohd Nor dengan 782 undi manakala Khalid cuma berjaya memunggut 332 undi.
Ini bermakna walaupun Khalid telah bersungguh berkempen memomokkan para perwakilan dengan PAS yang kaku dan keras kiranya bukan kumpulan beliau yang menang, namun para perwakilan PAS yang mewakili suara 1 juta ahlinya dari seluruh pelusuk Negara telah menyatakan bahawa mereka tetap yakin, selesa dan percaya dengan kumpulan lawan Khalid. 

Tewaslah Khalid dan menanglah lawannya.

Tetapi bukankah itu adat pertandingan. Segala-galanya ditentukan oleh para perwakilan.
Akan tetapi rupa-rupanya Khalid yang bengis dan lantang itu ada juga kelemahannya. Beliau lemah apabila tewas. Ini terbukti apabila tiada kata-kata tahniah dan akur dengan keputusan perwakilan yang terbit dari Khalid.

Sebaliknya Khalid memilih terus menyerang dan mengkritik mereka yang menang yang diberi mandat oleh para perwakilan. Beliau menganggap kekalahannya dan gengnya sebagai seolah telah di”cah keting” telah dicantas sedangkan ianya keputusan Muktamar sekaligus menghina dan merendah-rendahkan kewibawaan dan kebijaksanaan para perwakilan PAS tempoh hari.  

Dan terbaru beliau memberi pula kata dua, bahawa kumpulan yang menang dalam tempoh 100 hari perlulah membuktikan diri mereka lebih baik jika tidak beliau dan kumpulannya akan keluar menubuhkan parti baru pro PR.

Begitukah kesudahan Khalid agaknya, sekurang-kurangnya dalam PAS?

PAS berjuang untuk Islam, bukannya individu atau kelompok, pemimpin datang dan pergi, jika Khalid yang pintar dan hebat mengkritik dan menegur itu memilih mempertikaikan kewarasan Muktamar, saya percaya lebih baiklah beliau segera memilih haluan dan wadah baru. Pemergian sebegitu tidak sekali-kali akan diratapi.Tak perlulah tunggu 100 hari.

Almarhum Prof Hamka pernah berkata:

“Jangan takut jatuh, kerana yang tidak memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagallah yang tidak pernah cuba melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”

Tidak perluluah mengugut atau memberi kata dua pada Tuan Guru Presiden dan saf kepimpinan yang baru yang diberikan kepercayaan oleh ahli-ahli PAS. Jika bahtera besar PAS ini saudara rasakan sudah sempit, buruk dan usang, maka saudara sahajalah (dan geng saudara itu) angkat kaki dan naikilah apa sahaja pesawat atau kapal baru yang saudara pilih. Tanpa saudara sedar, sebanyak mana saudara merendah dan menghina kami disini begitulah sebenarnya pandangan kami dan yang lain terhadap saudara.

Selamat jalan.


1 comment:

andah said...

Bravo Lan, ana suka komen ente.