"Saya yakin
inilah sikap yang akan diambil oleh orang-orang yang selama ini
memburuk-burukkan kami sebagai liberal, Anwarinas dan berwala' pada Pakatan
Rakyat (PR) jika mereka terpilih dalam muktamar PAS nanti sebagai AJK PAS
Pusat,"
“Sikap mereka keras
dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan
berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus
perdana,”
Demikian petikan kenyataan ahli Parlimen Shah Alam Khalid
Samad, pada 21 April lalu sebagaimana terakam dalam The Malaysian Insider.
Beliau masuk bertanding mempertahankan jawatan AJK PAS
Pusatnya dalam Muktamar ke 61 lalu
dengan penuh keyakinan bahawa para perwakilan akan menerima segala hujah dan
pandangannya. Bahawa PAS mesti diselamatkan. Bahawa PAS mesti dipimpin dan
didominasi oleh mereka yang kononnya non konservatif dan progresif seperti
beliau.
Ini agar PAS nanti jadi “friendly” mahu berkawan dengan
semua dan pemimpinnya semua bijak-bijak belaka dalam berpolitik. Maka tiadalah
PAS bersendirian dan ketika itu PAS akan muncul teraju dalam arus perdana
politik.
Khalid mahukan PAS yang baru mengikut naluri dan pandangannya. Dalam Malaysiakini beliau dipetik berkata (12 Mac 2015):
“Di dalam muktamar,
prestasi AJK PAS Pusat akan dikaji dan dinilai dari sudut pencapaian matlamat
yang telah diputuskan oleh Muktamar. Dan sekiranya prestasinya tidak memuaskan,
AJK (anggota jawatankuasa) PAS Pusat, termasuk presiden, boleh dan layak
ditukar melalui proses pemilihan di Muktamar,”
Kita menjangkakan Khalid yang gagah bangkit mahu menukar
Presidennya tahukan adat pertandingan. Masakan Khalid yang lantang menegur dan
mengkritik bukan sekadar Presidennya, malah semua yang tak sehaluan dengannya
habis disasarkan termasuklah Dato Dr Harun Din dan MB Kelantan, tak kan tak tahu
adat pertandingan. Takkanlah dalam keadaan “bengis” begitu beliau tidak tahu
adat pertandingan.
Apa adat pertandingan?
Bahawa yang masuk bertanding nanti kesudahannya akan ada yang
menang dan ada yang kecundang. Takkanlah nak menang sahaja dan tiada yang akan kalah.
Jangan jadi macam MIC hari ini, nak bertanding pun belum
tentu ada gelanggang, masing-masing tidak boleh duduk bersetuju belum pun
bertanding.
PAS mengadakan Muktamarnya yang ke 61 dengan penuh tenang
dan tertib walaupun kempen-kempennya dikatakan hangat. Pengerusi pemilihan pun
bukan lah ulamak tetapi rakan karib Khalid yang ada bersamanya dalam perhimpunan di
Muar baru-baru ini yang turut dilaporkan dalam facebook Lim Kit Siang.
Malangnya Khalid tewas. Undi tertinggi buat 18 jawatan AJK
Pusat diperolehi oleh Ustaz Dr Ridhuan Mohd Nor dengan 782 undi manakala Khalid
cuma berjaya memunggut 332 undi.
Ini bermakna walaupun Khalid telah bersungguh berkempen memomokkan para
perwakilan dengan PAS yang kaku dan keras kiranya bukan kumpulan beliau yang
menang, namun para perwakilan PAS yang mewakili suara 1 juta ahlinya dari
seluruh pelusuk Negara telah menyatakan bahawa mereka tetap yakin, selesa dan
percaya dengan kumpulan lawan Khalid.
Tewaslah Khalid dan menanglah lawannya.
Tetapi bukankah itu adat pertandingan. Segala-galanya
ditentukan oleh para perwakilan.
Akan tetapi rupa-rupanya Khalid yang bengis dan lantang itu
ada juga kelemahannya. Beliau lemah apabila tewas. Ini terbukti apabila tiada
kata-kata tahniah dan akur dengan keputusan perwakilan yang terbit dari Khalid.
Sebaliknya Khalid memilih terus menyerang dan mengkritik
mereka yang menang yang diberi mandat oleh para perwakilan. Beliau menganggap
kekalahannya dan gengnya sebagai seolah telah di”cah keting” telah dicantas
sedangkan ianya keputusan Muktamar sekaligus menghina dan merendah-rendahkan kewibawaan
dan kebijaksanaan para perwakilan PAS tempoh hari.
Dan terbaru beliau memberi pula kata dua, bahawa kumpulan
yang menang dalam tempoh 100 hari perlulah membuktikan diri mereka lebih baik
jika tidak beliau dan kumpulannya akan keluar menubuhkan parti baru pro PR.
Begitukah kesudahan Khalid agaknya, sekurang-kurangnya dalam
PAS?
PAS berjuang untuk Islam, bukannya individu atau kelompok, pemimpin
datang dan pergi, jika Khalid yang pintar dan hebat mengkritik dan menegur itu
memilih mempertikaikan kewarasan Muktamar, saya percaya lebih baiklah beliau
segera memilih haluan dan wadah baru. Pemergian sebegitu tidak sekali-kali akan
diratapi.Tak perlulah tunggu 100 hari.
Almarhum Prof Hamka pernah berkata:
“Jangan takut jatuh,
kerana yang tidak memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal,
kerana yang tidak pernah gagallah yang tidak pernah cuba melangkah. Jangan
takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah
pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”
Tidak perluluah mengugut atau memberi kata dua pada Tuan
Guru Presiden dan saf kepimpinan yang baru yang diberikan kepercayaan oleh
ahli-ahli PAS. Jika bahtera besar PAS ini saudara rasakan sudah sempit, buruk
dan usang, maka saudara sahajalah (dan geng saudara itu) angkat kaki dan
naikilah apa sahaja pesawat atau kapal baru yang saudara pilih. Tanpa saudara sedar, sebanyak mana
saudara merendah dan menghina kami disini begitulah sebenarnya pandangan kami
dan yang lain terhadap saudara.
Selamat jalan.
1 comment:
Bravo Lan, ana suka komen ente.
Post a Comment