Monday, June 01, 2015

Betulkah ulamak mahu menyisihkan profesional? (1/6/15)

Apakah persamaan yang ada pada mereka ini iaitu Dato Iskandar Abd Samad, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Hj Razman Zakaria , Muhammad Sanusi Mohd Nor?

Benar mereka semua ahli-ahli PAS.
Benar mereka masing-masing memegang jawatan penting samada di peringkat Pusat atau Negeri-negeri.
Tetapi yang lebih penting, mereka semua bukan lulusan agama, mereka semua bukan dari kalangan ulamak namun tegas menyokong dan memperjuangkan kepimpinan ulamak.
Itulah persamaannya.

Kebelakangan ini kita mendengar darihal blok atau kumpulan ulamak yang bangkit kononnya menentang kumpulan professional seakan bagi mereka yang tidak mengerti atau tidak sedar, seolah-olah dalam PAS yang sedang bertembung untuk merebut jawatan dalam Muktamar ke 61 minggu ini adalah dari golongan ulamak yang melawan professional.
Seolah-olah kumpulan ulamak mahu membolot habis semua jawatan dalam parti bagi menyisihkan golongan professional. Biar selepas ini nanti PAS didominasi dan dikuasai semata-mata oleh para ulamak sahaja.

Sudah pastilah tohmahan dan anggapan seumpama ini membikin sesetengah pihak tidak selesa. Bayangkan semua yang professional dinyahkan, lalu apa akan jadi pada PAS?
Hakikatnya semua itu tidak benar, semua itu punya maksud jahat mahu memburuk dan merendahkan golongan “main stream” ulamak dalam PAS.

Apa yang sebenarnya berlaku adalah kebangkitan kumpulan yang “pro ulamak”. “Pro ulamak”di sini bukan bermakna semua yang mahu dinaikkan, semua yang menyokong ulamak belaka. Akan tetapi “pro ulamak” bermakna suatu gerakan yang mahu mengekalkan konsep “Kepimpinan Ulamak” di dalam  PAS dan mereka terdiri dari ahli-ahli PAS samada ulamak, professional maupun tidak kedua-duanya yang istiqamah mahu PAS kekal di atas paksi perjuangannya.
Kerana itu kita ada nama-nama seperti Dato Iskandar Abd Samad, Pesuruhjaya PAS Selangor, seorang arkitek yang walaupun bukan ulamak, namun boleh bekerjasama baik dengan para ulamak dan bersedia berganding bahu dengan para ulamak demi memartabatkan perjuangan Islam yang didukung PAS..

Di Selangor umpamanya selaku Pesuruhjaya Negeri Dato Iskandar melantik Setiausaha Perhubungannya YB Khairuddin seorang peguam, Bendaharinya YB Dato Dr Ahmad Yunos seorang doktor perubatan, Pengarah Pilihanrayanya YB Ir Mohd Haslin seorang jurutera, Ketua Penenerangannya YB Zaidy seorang lulusan sains dalam bidang fizik, dan mereka ini rata-rata bersamanya menyokong Kepimpinan Ulamak.
Dengan demikian tidak benar sama-sekali kononnya “Kumpulan Ulamak” mahu menyisih golongan professional, lihatlah pendukung-pendukung mereka di Selangor.

Dan begitulah sebenarnya yang berlaku disemua peringkat di seluruh Negara.
Kerana itu kita ada nama-nama seperti Dr Rosni Adam, Dr Ali Akbar, Tuan Hj Mohd Noor Mohamad, Ir Khairil Nizam yang semuanya bukan ulamak tetapi gigih mempertahankan Kepimpinan Ulamak. Mereka inilah yang dijangka akan berganding dengan para perwakilan yang ulamak dan bukan ulamak masing-masing semuanya dalam keadaan sedar, faham dan tahu akan keperluan sebuah gerakan Islam dalam situasai politik di Malaysia, mereka akan bangkit mempertahankan Kepimpinan Ulamak dalam Muktamar ke 61 nanti.

PAS yang kukuh, PAS yang ampuh, PAS yang menjiwai perjuangan Islam sebenar, adalah PAS yang didukung oleh para ulamak dan profesional disamping mereka yang kebanyakkan, yang boleh bekerjasama dengan kesepakatan pemikiran dan iltizam. Mereka yang dalam satu jamaah ini mampu mengemudi bahtera besar perjuangan Islam yang dinaungi al Quran ini dengan istiqamah dan komitmen menuju destinasi perjuangan yang jauh melampaui Putrajaya iaitu ke pengkalan Akhirat, tempat berakhirnya kita semua.

 

No comments: