Wednesday, June 10, 2015

Ada usaha mahu sabotaj PAS (10/6/15)

Isu ini saya lihat seakan dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan ketidakstabilan di dalam PAS dan Pakatan Rakyat yang telah pun selamat menyelesaikan Muktamarnya serta memilih pucuk pimpinannya yang baru minggu lepas.

Dalam akhbar The Star hari ini di bawah tajuk:
No order for reps to quit (tiada arahan agar wakil-wakil meletakkan jawatan)

didedahkan betapa kekalutan pihak-pihak tertentu telah menyumbang kepada usaha untuk menghidupkan gelombang ketidakstabian ini.
Menurut Pembantu Setiausaha Agung PAS yang juga ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, sebagaimana dilaporkan dalam akhbar berkenaan belum ada pun apa-apa keputusan samada PAS akan bersama PR atau tidak oleh itu tidak ada keperluan pun untuk mana-mana pihak dari PAS melepaskan jawatan masing-masing.

Sebelum ini bekas Timbalan Presiden Mat Sabu dan bekas AJK Pusat Dr Mujahid Yusof Rawa telah mengisytiharkan melepaskan jawatan masing-masing dalam kerajaan Pulau Pinang.
Dalam laporan berkenaan juga Presiden PAS dipetik sebagai berkata isu ini sesungguhnya telah diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak untuk diputuskan oleh itu biarlah mereka membuat keputusan terlebih dahulu.

Rata-rata bagi saya usul Dewan Ulamak PAS Pusat yang diterima tanpa bahas dalam Muktamar PAS ke 61 lalu itu sebenarnya telah dieksploitasi dengan menokok-tambah perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan satu niat iaitu untuk mensabotaj PAS. Mungkin pihak-pihak yang kecewa tidak dapat menerima kekecewaan masing-masing dengan hati terbuka maka mereka mahu membawa PAS jatuh tersungkur bersama-sama mereka.
Jangan kita nafikan hakikat bahawa DAP telah terang-terang melancarkan serangan terhadap PAS dan Presiden PAS sejak isu Langkah Kajang lagi.

Mereka turut memberi kata dua pada PAS dalam isu Hukum Hudud yang mereka secara terang-terangan tolak dan menganggapnya sebagai penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Kemuncaknya adalah apabila DAP Sarawak memutuskan kerjasama dengan PAS Sarawak, PR Sabah memutuskan hubungan dengan PAS dan DAP Pusat pula memutuskan hubungan dengan Presiden PAS walaupun kononnya tetap mahu bekerjasama dengan PAS.

Selepas daripada itu Lim Guang Eng selaku Setiausaha Agung dan bapanya Lim Kit Siang berterusan mengeluarkan kenyataan yang negatif terhadap PAS sehingga kelihatan terlibat dalam kempen mahu mengajak para perwakilan menolak Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden PAS, satu camputangan langsung dalam rumahtangga parti lain yang jelas tidak kondusif dalam hubungan sesama rakan.
Lain-lain pimpinan DAP turut terbabit sama dalam hal ini, agendanya mahu memastikan pimpinan tertentu mengambil-alih kepimpinan dalam PAS.

Lalu para perwakilan dalam Dewan Ulamak PAS merasakan DAP sudah keterlaluan. Berdasarkan perkembangan di atas, tidakkah berasas kebimbangan Dewan Ulamak itu?
DAP mahu PAS mengubah hala-tuju perjuangannya. DAP mahu PAS tidak memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam.

Kenapa Mat Sabu dan Mujahid senyap membisu apabila PAS Sabah dan Sarawak diperlakukan demikian rupa oleh DAP? Kenapa mereka membisu apabila DAP Pusat mengisytiharkan putus hubungan dengan Tuan Guru selaku Presiden PAS? Kenapa mereka tidak membela PAS dalam mahu melaksanakan perlaksanaan syariat Islam di Kelantan?
Atau mereka setuju dengan keputusan DAP ketika itu? Jika demikian munasabahlah mereka tewas dalam Muktamar baru-baru ini.

Bagi saya PAS perlu bertegas dengan kawan-kawannya. Mereka tidak faham Islam kita boleh terima, mereka menolak Islam pun kita boleh terima tetapi jangan mereka mahu memaksa kita juga menolak Islam sedang ia teras perjuangan kita.
PAS mahu berkawan dengan sesiapa pun akan tetapi kawan-kawan perlulah sama-sama memahami prinsip dan dasar perjuangan PAS, jangan runtuhkan apa yang telah kami bina lebih enam dekad lalu kalau benar mahu berkawan dengan kami.

Dewan Ulamak bertindak dengan memberi reaksi terhadap sikap dan pendirian DAP itu. PAS berkawan melalui kaedah Tahaluf Siyasi, ada hukum dan asas fekah yang mendukungnya, jika kelihatan ada unsur yang boleh menjejaskan ikatan itu, maka wajarlah Dewan Ulamak bertindak.
Usul berkenaan kini dirujuk pada Majlis Syura Ulamak (MSU), badan tertinggi dalam PAS yang sebelum ini telah memutuskan menerima kerjasama politik bersama PKR dan DAP melalui Pakatan Rakyat.

Sehingga kini tiada keputusan muktamad lagi.
Bagaimana Pakatan Rakyat?

Walau DAP telah bertindak terhadap PAS di Sabah dan Sarawak. Walau DAP mengisytiharkan putus hubungan dengan Presiden PAS. Walau DAP mengugut PAS kerana membawa Rang Undang-undang Persendirian di Dewan Rakyat bagi membuka laluan terhadap perlaksanaan Undang-undang Syariah di Kelantan, DAP tetap menganggotai Pakatan Rakyat.
Begitu jugalah PAS sepatutnya.

Apa pun Presiden PAS dalam Muktamar ke 61 lalu telah menegaskan bahawa PAS terus bersama Pakatan Rakyat. Malah Timbalan Presiden PKR yang hadir semasa majlis perasmian Muktamar PAS itu pun telah mengalu-alukan pendirian PAS itu yang disampaikan melalui ucapan dasar Presiden PAS.
Oleh itu kesimpulannya orang-orang PAS yang taat dan bersama parti wajarlah mengikut arahan dan mematuhi disiplin parti. Sehingga ini segala-galanya telah diserahkan kepada MSU, berilah peluang prosesnya dilalui terlebih dahulu. Selepas keputusan dicapai pun ianya belum muktamad kerana ada proses seterusnya, apa pun sabarlah dan taatlah pada arahan.

Bagi saya yang paling penting diperingkat ini adalah keputusan bahawa kita tetap bersama Pakatan Rakyat. PAS punya pimpinan yang telah diputuskan oleh Muktamar, maka berilah keyakinan pada mereka untuk mengemudi bahtera perjuangan ini. Sehingga apa-apa keputusan dibuat, taatlah pada pimpinan.


No comments: