Monday, June 29, 2015

Tangan Mursyidul Am PAS ditepis (29/6/15)



Setelah Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din secara terbuka menasihatkan mereka yang kecewa dalam PAS agar tidak memanjangkan hasrat mereka  untuk menubuhkan parti baru, ramai menjangkakan ianya akan membuka kepada pintu kesedaran dan keinsafan. Bukankah sejarah telah mengajar kita betapa kepelbagaian gerakan dan parti Islam hanya akan melemahkan perjuangan mendaulatkan Islam. 

Yang kecewa sepatutnya berfikiran panjang, menang kalah merupakan adat pertandingan apalagi sesama Jemaah. Takkanlah oleh kerana tewas dalam pertandingan atas padang yang sama rata, tiba-tiba bukan hanya kelambu malah dengan katil-katil mahu dibakar hangus.

Malangnya nasihat seakan mencurah air ke daun keladi.

Setiausaha apa yang dikatakan Jawatankuasa Bertindak G18, Dr Dzulkefly Ahmad dengan bersungguh mengatakan bahawa mereka (kumpulannya itu) akan terus melangkah ke hadapan tanpa mahu menoleh ke belakang lagi serta terbelenggu dengan apa yang dipanggilnya “old politics” atau politik golongan lama.

Reaksi beliau itu terbit dalam akhbar The Star 27 Jun lalu.

Kata beliau:

“We do not want to be embroiled with the embattled lot”
(Kami tidak mahu terlibat dengan puak yang bermasalah)

PAS yang sebelum ini telah menaja beliau sehingga menang menjadi wakil rakyat di Parlimen Kuala Selangor selama sepenggal tiba-tiba hari ini menjadi puak yang bermasalah. Parti golongan lama kononnya. Hanya semata-mata kerana beliau memperolehi 409 undi dan tewas dalam pertandingan untuk jawatan AJK Pusat dalam Muktamar PAS yang lalu.

Beginikah sikap orang yang menggunakan pendekatan “bottom up” atau mendengar keluhan akar-umbi?

Kerana dalam laporan berkenaan Dr Dzul dilaporkan berkata:

“We are taking the bottom-up approach. We want to put our ears firmly to the ground and listen to the grassroots.”

Keras sungguh hati dan tekad gerombolan G18 ini. Jika begitulah pendirian mereka ternyata sebuah lagi parti Islam bakal lahir dalam waktu terdekat sekurang-kurangnya itulah yang cuba dibayangkan oleh “kepalanya”.

Tiba-tiba hari ini akhbar yang sama melaporkan, seorang lagi penggerak gerombolan G18 ini, iaitu Khalid Samad yang juga ahli Parlimen Shah Alam pula mendesak agar PAS perlu mengubah sikap.

Kata-kata bagaikan ugutan itu berbunyi bahawa kegagalan PAS menonjolkan apa yang kononnya dikatakan imej Islam sebenar akan mengakibatkan kumpulan beliau menubuhkan sebuah parti baru.

Kata Khalid lagi ketidakpuasan hati gerombolan beliau bukanlah atas isu ulamak atau bukan ulamak tetapi kerana kegagalan PAS mengubah pendekatannya.

Kalau Dr Dzul sebelumnya seakan bertekad mahu menceraikan PAS, Khalid pula mendesak PAS ubah sikap. Nampak sangat kekalutan agenda gerombolan ini.

Apa pun bagi saya inilah PAS tetap pada dasar dan prinsip perjuangannya namun pendekatannya sentiasa dinilai semula berdasarkan perkembangan semasa. Lalu apakah masalah dengan G18 ini? Masalahnya mereka menaja pendekatan dan budaya yang sama-sekali tidak dapat diterima oleh ahli-ahli PAS. Mereka telah menajanya secara bersungguh sepanjang tempoh berkempen sebelum Muktamar ke 61 lalu.

Dimana mereka pergi, ceramah,forum atau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan, itulah lagu yang sama yang mereka nyanyikan dan dalam waktu yang sama tegar menyerang kepimpinan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Mereka berpasukan masuk bertanding, dari jawatan nombor satu iaitu Presiden sehinggalah ke AJK Pusat.

Mereka punya jentera berkempen malah rakan-rakan luar dari Pakatan Rakyat pun turut mereka sauk untuk berkempen buat mereka selain media alternatif yang ada.

Tiba-tiba para perwakilan PAS sebulat suara berdiri di belakang Tuan Guru Presiden dan menolak bukan seorang tetapi keseluruhan pasukan mereka. Ini menandakan nilai dan budaya yang mahu mereka bawa ke dalam PAS tidak dapat dihadam oleh ahli-ahli.

Mereka kalah, sesuatu yang tidak mereka jangka malah sebahagian besar mereka tidak pernah melalui pengalaman kalah dalam parti sebegitu. Lalu mereka protes.

Maka terbitlah pelbagai tohmahan dan serangan. PAS itu dan PAS ini, pimpinan itu dan ini. Hakikatnya mereka telah diberi peluang tapi malangnya perwakilan PAS yang menolak mereka.

Untuk itu bagi saya buat mereka ini, samada mahu menerima keputusan perwakilan PAS yang mewakili 1 juta kekuatan ahli, atau memilih menolaknya terpulanglah pada mereka. Kalau akur dan terima ayuh kita teruskan perjuangan. Kalau tidak, maka tubuhlah apa sahaja yang tertelan oleh nafsu politik kamu itu.

Jika PAS kamu rasakan tidak relevan lagi, terlibat dengan “old politics”, maka ikut suka kamulah.

Kalau akur dan boleh terima keputusan tinggal kekal dalam PAS maka kita tetap bersahabat namun kalau memilih untuk bersaing maka kami bersedia menghadapi kamu.
Kami di dalam PAS tiada isilah kalah, samada menang atau syahid, insyallah tidak kenal kekecewaan.


2 comments:

Unknown said...

alhamdulillah kerana kamu tidak goncang.

Unknown said...

Padat Dan mantap.