Kesungguhan pihak-pihak tertentu mahu melangkah keluar dari
PAS dan menubuhkan parti Islam sendiri sudah pasti mengecewakan banyak pihak
khasnya dikalangan ahli-ahli dan pendukung PAS. Ini tambah pula apabila mereka
itu masing-masing dahulunya menang di peringkat Parlimen dan DUN masing-masing atas
panji-panji PAS.
Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din turut melahirkan sentimen
yang sama sebagaimana dilaporkan dalam akhbar The Star hari ini.
Menurut beliau PAS tidak dapat menahan sesiapa ahlinya yang
ingin meloncat keluar menubuhkan parti baru. Akan tetapi mereka harus ingat
katanya bahawa mereka itu tidak dapat bertahan lama dalam keadaan demikian.
Beliau turut memetik hadis Rasulullah saw yang bermaksud:
“Maka wajiblah ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya
serigala hanya memakan kambing yang jauh daripada kumpulannya” (Riwayat Al
Nasaai)
Sejarah PAS telah membukitkan betapa mereka yang ghairah
keluar menubuhkan parti baru lazimnya tidak dapat bertahan lama dan akhirnya
kecundang layu begitu sahaja. Sejarah Allahyarham Datuk Asri, Berjasa, Hamim
dan kemudiannya Kumpulan Islah di tahun 90an semuanya memrupakan bukti betapa nasib
pemimpin PAS yang bertindak demikian.
Datuk Dr Haron Din turut menasihati kumpulan yang kecewa
dalam PAS itu agar berfikir panjang sebelum mengambil sebarang tindakan.
Menubuhkan parti Islam baru akan hanya mencetuskan pecah-belah dan melemahkan
gerakan Islam. Yang untung nanti kata beliau lagi sebagaimana dilaporkan oleh
The Star adalah musuh-musuh kita.
Menang atau kalah tambah beliau adalah merupakan adat dalam sistem
demokrasi. Jangan berpecah kerana berbeza pandangan. Perbezaan itu perlu
diuruskan sebaik-baiknya termasuklah dalam hubungan sesama PR.
Demikianlah keprihatinan Mursyidul Am PAS terhadap cita-cita
dan kemahuan kelompok G18.
Namun demikian jika sekiranya mereka telah benar-benar
bertekad mahu keluar juga dan tubuhkan parti baru, sekaligus mereka memberi
isyarat bahawa mereka bersedia menghadapi PAS. Kerana di sana nanti pasti
mereka akan bertanding melawan kerusi-kerusi yang ditandingi PAS. Masakan
contohnya Dr Dzulkfili mahu bertanding di Seputeh atau di Permatang Pauh. Mat
Sabu pula takkan nak bertanding di Bagan atau di Bukit Katil.
Jika itu berlaku, saya yakin dan percaya seluruh kekuatan
PAS akan bersatu menghadapi mereka. Ketika itu setaraflah mereka dengan
mana-mana seturu politik PAS termasuklah Umno.
Berfikir panjang, itu nasihat Mursyidul Am PAS, kiranya
masih ada hormat pada PAS, jika tidak bersedialah untuk menghadapi kami semua
insyallah.
No comments:
Post a Comment