Wednesday, June 10, 2015

Ulamak dan profesional PAS melangkah ke hadapan (10/6/15)

Malam ini PAS Pusat akan membentuk kabinetnya. Melalui peruntukkan Perlembagaan PAS, Presiden diberi kuasa untuk melantik Setiausaha Agung, tiga orang Penolong Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang ada.

Presiden juga dengan persetujuan mesyuarat boleh melantik enam orang AJK tambahan selain Pesuruhjaya-pesuruhjaya empat belas buah negeri-negeri seluruh Malaysia.

 Sudah pastilah setelah saf kepimpinan baru PAS dilantik oleh para perwakilan dalam Muktamarnya ke 61 minggu lalu, maka tumpuan akan diberikan terhadap kabinet baru Tuan Guru Presiden PAS.

Saya yakin dan percaya Tuan Guru Presiden yang begitu berpengalaman dan faham akan realiti dan kehendak semasa politik Malaysia akan menyusun satu kabinet yang membariskan mereka yang istiqamah dan bersedia meneruskan perjuangan PAS ini, membantu beliau dalam mengemudi bahtera besar PAS menuju destinasi yang dihasratkan oleh seluruh ahli dan pimpinan PAS.

 Pihak-pihak tertentu kelihatan masih berterusan menusuk jarum bagi menyerang dan menabur onar terhadap kepimpinan baru PAS pasca Muktamar ke 61 ini. Serangan itu dibuat walaupun ianya palsu dan penuh fitnah.

 Namun PAS bukanlah anak kecil yang boleh dimomok atau disergah-sergah begitu sahaja.

TMI yang tidak mati-mati dalam agenda adu dombanya hari ini menaikkan satu posting dengan tajuk:

 All ulama lineup likely in PAS’s first post muktamar meet today

(Barisan ulama sepenuhnya dijangka muncul dalam mesyuarat pertama PAS pasca Muktamar)

Posting TMI itu menggambarkan seolah golongan profesional telah dihapuskan sama-sekali dalam pemilihan Muktamar ke 61 baru-baru ini. Dan malam ini PAS dijangka melengkapkan kabinetnya yang didominasi sepenuhnya oleh para ulamak.

 Kalau bukan mengadu domba, itu bukan TMI namanya.

Namun demikian dalam kesempatan ini saya ingin memperkenalkan beberapa pimpinan PAS yang telah dipilih oleh para perwakilan dalam Muktamar baru-baru ini demi mahu membuktikan betapa jahatnya peranan TMI itu dalam mensabotaj PAS, khasnya sebagai sebuah Gerakan Islam.

Dari kalangan para ulamak yang dipilih tiga memiliki Ijazah Doktor Falsafah iaitu Ustaz Datuk Dr Khairuddin Attakiri(UKM), Ustaz Datuk Dr Nik Zawawi (UKM) dan Ustaz Dr Ridhuan Md Nor. Selain Datuk Dr Mahfodz yang merupakan Ketua Dewan Ulamak yang baru.

Lima dari para ulamak PAS itu merupakan bekas Pensyarah IPT tempatan antaranya:

 1) Ustaz Dato Tuan Ibrahim – bekas pensyarah UITM

2) Ustaz Idris Ahmad – bekas pensyarah UITM

3) Ustaz Dato Nik Amar – bekas pensyarah UIAM

4) Ustaz Datuk Dr Khairuddin Attakiri – bekas pensyarah UKM

5) Ustaz Datuk Dr Nik Zawawi – bekas pensyarah KIAS

Sementara itu perwakilan PAS turut mengangkat lapan orang dari golongan profesional, satu angka yang sering disembunyikan, apalagi oleh pihak seperti TMI.

Lapan mereka adalah:

1) Dato Iskandar Abd Samad – Arkited lulusan Universiti Humberside UK

2) Dato Dr Fadhli Hassan – Phd Undang-undang Universiti Birmingham UK

3) Dr Zuhdi Marzuki – BSc Geografi (UM) Sarjana Falsafah Sains (UM) Phd Universiti Wales

4) Hj Sanusi Md Nor – lulusan USM

5) Dr Ali Akbar – Phd (UKM) Geografi Bandar

6) Dr Rosni Adam – Lulusan doktor pergigian UM

7) Hj Mohamad Nor Mohd – bekas Pegawai Perancang Bandar UDA, lulusan UKM

8) Hj Razman Zakaria – Sarjana Pentadbiran Awam (UM)

Kepelbagaian latar belakang akademik ulamak dan profesional yang menerajui PAS hari ini diyakini mampu melojakkan PAS ke arus perdana politik nasional dan antarabangsa.

Dan mereka ini dijangka turut dibantu oleh beberapa lagi profesional selain ulamak yang bakal dipilih Tuan Guru Presiden mala ini.

Rugilah mereka yang kecewa dengan perjuangan hanya semata-mata didorong oleh kepentingan peribadi. PAS bergerak dalam bentuk Jemaah dan dijangka mengorak langkah terus maju ke hadapan dengan dokongan majoriti ahli dan pendukung yang semakin yakin dengan perjuangan kebenaran ini.

Apabila lengkapnya kabinet PAS Pusat malam ini kita doakan semoga Tuan Guru Presiden dan pimpinan yang baru tidak menoleh ke belakang lagi, sebaliknya menyusun langkah mara ke hedapan membimbing dan memimpin seluruh kekuatan ahli-ahli dan penyokong PAS bagi merealisasikan matlamat perjuangan, samada kita menang ataupun syahid.

Yang memilih untuk tidak bersama kita, maka kita doakan mereka juga selamat. Namun jika mereka memilih memusuhi kita, maka seluruh anggota kekuatan parti bersedia menghadapi mereka.

 Selamatlah Parti Islam melangkah

Membimbing ummah ke medan siasah

Berpedomankan al Quran dan Sunnah

Suburlah hidupnya dan pasti berbuah……

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments: