Sejak Muktamar PAS ke 61 yang lepas kita menjangkakan
seluruh ahli dan kepimpinan PAS dapat meneguhkan kembali saf dan bergerak ke
hadapan bagi memacu amanah perjuangan. Pastinya dalam menggalas amanah
perjuangan Islam ini berbagai rintangan dan cabaran mendepani kita.
Kerana itu kita mengharapkan bahtera besar perjuangan Islam
ini terus dikemudi oleh nakhoda yang telah diberi amanah oleh Muktamar dan
dibantu oleh saf kepimpinannya yang turut diangkat dan diberi kepercayaan oleh
para perwakilan. Kemudilah bahtera ini bersandarkan al Quran dan As Sunnah.
Walaubagaimanapun kelihatan ada dikalangan kita yang sungguh
kecewa dan terganggu hidupnya dengan keputusan Muktamar. Ada yang sampai mahu
membakar jambatan, memutuskan terus hubungan dengan PAS dan ada juga sedang
menunggu-nunggu peluang untuk melompat ke bahtera baru.
Kepada mereka itu kita ucapkan terima kasih dan selamat
jalan.
Akan tetapi masalah yang kita hadapi saya lihat adalah ada
pula dikalangan mereka itu masih berlagak seakan berjawatan dan masih menjadi
jurucakap parti sedangkan saf kepimpinan baru telah pun dibentuk. Memang
sebahagian mereka masih wakil rakyat, iaitu samada ahli Parlimen atau ADUN,
namun dengan terbentuknya kepimpinan baru ini maka mereka sewajarnya
mendahulukan saf kepimpinan dalam isu-isu yang melibatkan Jemaah dan gerakan
Islam PAS ini.
Mengeluarkan kenyataan dan memberi komen atau ulasan, adalah
hak masing-masing. Akan tetapi ianya mestilah seiringan dengan haluan dan
aspirasi kepimpinan baru, menerjah dengan pandangan peribadi dalam hal-hal
sebegini, apalagi pandangan itu bertentangan atau mendahului parti bolehlah
dibaca sebagai berniat jahat atau mungkin ada unsur untuk mensabotaj parti.
Saya menyatakan ini kerana PAS kini sedang berhadapan dengan
isu perbalahan dengan DAP dan dalam waktu yang sama ianya mencabar kedudukan
dan masadepan Pakatan Rakyat.
Hari ini tumpuan sedang diberikan terhadap nasib gabungan
ini di Negeri Selangor dan kelangsungan kerajaan PR di Selangor.
Oleh kerana ini adalah isu sikap dan pendirian, maka
sewajarnyalah kepimpinan PAS samada Presiden atau siapa sahaja yang punya “authority”
yang memberi ulasan dan penerangan darihal kedudukan PAS dalam isu ini.
Dalam akhbar Sinar Harian hari ini di muka hadapan terpampang
tajuk:
“BUBAR?”
Persoalan samada akan terbubarkah Dewan Negeri Selangor
dengan kemelut politik PAS-DAP ini?
Dimuatkan tiga gambar pemimpin di muka yang sama. Pertama
Azmin Ali selaku MB Selangor dan Timbalan Presiden PKR yang dipetik berkata:
“Tak ada asas untuk bubar”
Kemudian gambar Tony Pua, Pengerusi DAP Selangor yang
dipetik berkata:
“ Mungkin bubar”
Terakhir gambar Datuk Mahfuz Omar
yang dipetik sebagai “Bekas” Ketua Penerangan PAS yang berkata:
“Perlu bubar”
Kenyataan MB Selangor itu
memanglah punya asas memandangkan beliau merupakan MB Negeri berkenaan yang
memegang kuasa bagi pihak ketiga-tiga parti PKR, DAP dan PAS. Dan selaku Timbalan
Presiden PKR dan Pengerusi PKR Selangor, pastinya beliau punya “authority”
mengeluarkan kenyataan.
Kelihatan Azmin cuba memain
peranan sebagai pengimbang kerana pertaruhan di hadapan adalah masa depan
negeri yang sebegitu kritikal.
Tony pula membayangkan jika
kemelut ini tidak ditangani maka opsyen atau pilihan terakhir adalah
membubarkan Dewan Selangor. Sudah pasti ini sesuatu yang mahu dilekak. Dan
dalam hal ini Tony memang punya “authority” sebagai Pengerusi DAP Negeri dan
pimpinan DAP Pusat.
Malangnya Mahfuz bersungguh mahu
Dewan Selangor dibubarkan. Saya mengikuti temuramahnya di bangunan Parlimen
semalam yang disiar oleh TV3. Beliau sehingga mengeluarkan kenyataan bahawa
menjadi “hipokrit” apabila ketiga-tiga parti masih bekerjasama di Selangor
sedangkan PAS dan DAP bercakaran secara terbuka. Beliau dakwa jika DUN tidak
dibubar maka kepercayaan rakyat terhadap PKR, DAP dan PAS akan hilang.
Mengapa Mahfuz berkata begitu?
Atau lebih penting lagi atas
kapasiti apa beliau keluarkan kenyataan itu?
Benarkah kepercayaan rakyat
Selangor hilang pada ketiga-tiga parti ekoran krisis ini?
Atau tidakkah rakyat Selangor mahu
melihat ketiga-tiga parti menyelasikan masalah masing-masing dan terus
mentadbir negeri?
Mengapa Mahfuz beria sungguh mahu
Dewan Selangor dibubar?
Di sinilah “point” saya dimana
saya menyatakan ada pihak-pihak tertentu yang terus memain peranan dengan niat
jahat dan seakan mensabotaj parti.
Mahfuz sepatutnya sedar bahawa
tugas beliau hari ini adalah sebagai wakil rakyat Pokok Sena mewakili PAS di
Dewan Rakyat. Tumpukan pada nasib dan kebajikan rakyat Pokok Sena. Beliau bukan
lagi Ketua Penerangan PAS Pusat!
PAS hari ini punya jurucakap,
punya Ketua Penerangan Pusat, punya Pesuruhjaya Negeri di Selangor dan pimpinan yang diangkat oleh Muktamar yang punya
wibawa dan “authority” untuk bercakap bagi pihak parti dalam isu-isu dasar dan
sikap parti.
Jika memang ringan ,mulut dan minat
bercakap tambah-tambah apabila sahaja di suakan mikrofon, maka agak-agaklah
sikit, dalam hal-hal yang tidak melibatkan bidangkuasa kita, janganlah dilihat
melampaui batas. Jadilah seumpama padi makin tunduk apabila berisi. Bukannya
lalang yang semakin tegak tinggi tapi tidak berisi.
Ahli-ahli PAS sedar apa yang
berlaku dalam Muktamar ke 61 lalu khasnya yang melibatkan DAP, masih belum
putus dan muktamad. Ianya diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak yang akan
menjalankan tugas menurut adab-adab mereka yang telah ditetapkan. Kerana itu
kami semua diajar bersabar dalam menunggu keputusan namun dalam waktu yang sama
beristiqamah bersama perjuangan.
Sebarang usaha untuk menggugat
hakikat ini pastinya punya niat jahat dan pastinya bermatlamat mahu mensabotaj
PAS. Berhati-hatilah saudara ku.
No comments:
Post a Comment