Friday, June 12, 2015

PAS tidak akan tunduk pada politik ugut (12/6/15)

Cina tidak akan undi PAS lagi, itulah kononnya hukuman yang terkena ke atas PAS setelah parti itu bertindak meluluskan usul yang dikemukakan oleh Dewan Ulamaknya yang mahu memutuskan hubungan dengan DAP dalam masa yg sama menegaskan komitmen dalam Pakatan Rakyat.

Apabila Cina tidak lagi undi PAS maka PAS dikatakan akan hilang sebahagian besar kerusi-kerusinya khasnya yang di Pantai Barat.
DI Selangor, ada bijak-pandai yang menyatakan bahawa PAS akan hilang semua kerusi DUN nya kecuali DUN Bangi. Bayangkan PAS akan hilang 14 dari 15 kerusi yang dimenangnya tempuh hari hanya semata-mata kerana usul Dewan Ulamak tadi!

Seorang kolumnis politik yang saya kenali, Lim Hong Siang, tanpa mengemukakan fakta dan data yang saintifik dan berasas, dalam satu forum di KL baru-baru ini pula berkata bahawa akibat menolak pimpinan tertentu beliau dakwa PAS akan hilang undi orang-orang Cina ditambah dengan usul Dewan Ulamak itu.

Segala pandangan dan pemerhatian ini seolah begitu taksub dan mengatakan bahawa seluruh kekuatan pengundi Cina di Malaysia hari ini seratus peratus di belakang DAP. Apa DAP kata mereka akan ikut. Apa DAP arahkan mereka akan patuh. Memusuhi DAP bermakna memusuhi pengundi Cina!
Benarkah begitu?

PAS hanya berada pada kedudukannya hari ini kerana sokongan pengundi Cina. Tanpa undi Cina PAS tidak boleh bersama menang di Selangor. Tanpa pengundi Cina PAS tidak boleh menang di Perak, Johor, Melaka, Kedah dan lain-lain.
Kekuatan PAS hari ini bersandar semata-mata pada undi Cina, maka kerana usul Dewan Ulamak tempoh hari, kerana menolak pimpinan yang pro DAP tempoh hari, maka PAS bakal dihukum dengan pengundi Cina terang-terangan menolak mereka dalam PRU akan datang.

Kenyataan-kenyataan simplistik dan penuh emosi ini bagi saya terbit semata-mata kerana beberapa pihak yang kecewa apabila calon-calon yang mereka harapkan tidak naik.
Sesungguhnya sebanyak mana DAP berjaya menggerakkan kekuatan pengundi Cina dalam dua PRU yang lalu, harus diakui bahawa PAS juga telah menyumbang ke arah mengalihkan tumpuan pengundi Melayu dari taksub BN kepada mula merobah selera. Mula terbuka memangkah selain PAS, PKR dan DAP yang sebelum ini dimomokkan sebagai anti Melayu dan Islam.

Hasil gerakkan PAS lah maka kita lihat orang-orang Melayu tua dan muda sanggup mengundi DAP. Jangan nafikan hakikat bahawa tanpa lonjakkan undi Melayu pada calon-calon DAP di kerusi tertentu DAP pun musatahil memenanginya.

Menurut laporan TMI:
Orang Cina yang sekian lama fobia kepada PAS, fobia kepada Islam, akhirnya mengambil satu keputusan sedaya upaya menyokong PAS dalam PRU13," katanya yang menceritakan isi kandungan buku Tsunami Cina pada forum ‘Pasca Muktamar, ke Mana Hala Tuju PAS’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor semalam.

Aduhai kawan ku Saudara Lim, saudara juga jangan lupa orang Melayu yang sebelum ini turut fobia pada DAP, fobia pada sikap anti Melayu anti Islam yang dikaitkan dengan DAP, telah mengambil keputusan mengundi DAP atas desakkan dan yakin pada PAS.
Saudara tidak objektif dan dilihat pro DAP apabila saudara nafikan sama-sekali peranan dan sumbangan PAS dalam menegakkan hujah saudara itu.

PAS sudah lama berpolitik saudara, PAS sudah menghadapi seribu satu gelombang dan cabaran politik di tanahair, namun ia terus cekal dan kekal di gelanggang politik hingga hari ini.
Kemelut PAS dan DAP hari ini memang memerlukan satu penyelesaian kiranya PAS dan DAP masih mahu kekal berkerjasama dan duduk bawah satu payung PR.

Saudara Lim perlu ingat bahawa 1 juta ahli PAS sebahagian besarnya masih kekal taat dan setia pada PAS dan pimpinan baru PAS hari ini. Ikatan mereka di dalam PAS bukan semata-mata terikat dengan disiplin parti tetapi mereka terikat dengan ikatan satu akidah politik yang padu dan kukuh yang mana ikatan seumpama ini tidak hadir dalam mana-mana parti lain di Malaysia termasuklah DAP.
PAS mahu menang dan menguasai pemerintahan di tanahair kerana itulah cita-cita perjuangan mereka. PAS mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menghormati dan memehami mereka, bekerjasama dan berbaik dengan semua kaum dan agama selagi mana PAS tidak diajak mengorbankan prinsip dan dasar perjuangannya.

Semua termasuk Saudara Lim perlu akui bahawa usul Dewan Ulamak ini ada puncanya. Ia berpunca apabila pihak DAP mula menyerang PAS dan lebih malang lagi menyerang prinsip dan dasar PAS khasnya dalam mahu melaksanakan peraturan Islam.

Ikutilah kronologi kemelut ini dari awal, bermula dari Langkah Kajang sehingga usaha mengemukakan Rang Undang-undang peribadi oleh Tuan Guru Presiden PAS di Parlimen.
Saya yakin PAS jika boleh memang mahu keluar dari kemelut ini kerana agenda perjuangannya lebih besar dari melayan isu remeh yang diungkit DAP.

Oleh itu tak perlulah momokkan PAS dengan kehilangan undi Cina, dengan kalah kerusi dan negeri. Lebih baik usaha ditumpukan ke arah mencari semula titik pertemuan sebagaimana diusahakan oleh PKR hasnya melalui Timbalan Presiden Azmin Ali.
Percayalah menurut rekod PAS tidak pernah curang terhadap kawan. Lazimnya kawanlah yang mencari masalah dan bertindak curang.

Jangan sekali-kali merendah dan memandang sepi kuasa politik orang Melayu Islam yang setia bersama PAS kerana perjuangan Islamnya. Dewasa ini PAS sudah mampu memungut undi dari kalangan yang tidak berparti malah dari kalangan yang condong Umno sekalipun lantara teguh dan konsisten perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Jika DAP memusuhi PAS dan memutukan hubungan dengan PAS, padaperkiraan pengundi Melayu Islam, DAP akan dikira curang dan tidak menghormati kawan yang jujur dan ikhlas.

Ini bermakna jika kemelut ini berterusan sebagaimana ancaman DAP kononnya pengundi Cina akan menolak calon-calon PAS, awas DAP juga bakal menerima "backlash" atau tindakbalas dari pengundi Melayu Islam.

Apa pun ketahuilah PAS dilatih bersedia untuk apa sahaja kemungkinan kerana perjuangan kami lain dari yang lain-lain. Berkawan kami sedia dan hargai bermusuh pun apatah lagi.

 

 

 

1 comment:

IrWrWs said...

Terbaek ulasan tuan terbaek!!